Anda di halaman 1dari 7

Dalam proses menyampaikan idea dan kemahiran matematik, guru boleh menggunakan resos dalam bilik darjah.

Pemilihan resos yang efektif sangat diperlukan bagi memastikan kejayaan PdP. Melalui esei pendek ini, saya akan mengulas dengan lebih lanjut tentang pandangan saya mengenai sejauh manakah penggunaan resos ini dapat mengukuh dan menghasilkan PdP yang berkesan. Di samping itu juga, saya akan mengupas serba sedikit mengenai isu masalah pembelajaran matematik iaitu resos, bagimana resos PdP diaplikasikan dalam satu topik matematik serta kesan atau impak resos ke atas PdP matematik. Sebelum saya pergi dengan lebih jauh, saya ingin berkongsi tentang apa sebenarnya yang didefinisikan sebagai resos melalui pembacaan yang telah saya lakukan. Pemilihan resos yang efektif atau berkesan amat diperlukan sebagai langkah untuk memastikan kejayaan pembelajaran dan pengajaran. Resos juga turut dikenali sebagai bahan bantu belajar (BBB). Ianya bukan satu bahan yang asing lagi apabila melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Resos adalah alat yang begitu berguna dan sangat membantu para guru dalam melaksanakan proses pengajaran. Resos tidak hanya terhad kepada buku teks, papan tulis, dan gambar-gambar sahaja tetapi ia turut merangkumi keseluruhan bahan yang digunakan dalam pembelajaran sama ada yang dapat dilihat, didengar, dibaca, dipegang, disentuh dan sebagainya. Menurut kamaruddin haji hussin (1986), beliau menyifatkan resos sebagai apa-apa sahaja alat yang dapat diaplikasikan oleh para pelajar. Oleh itu, resos merupakan bahan sokongan yang dapat membantu keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran selain cara penyampaian isi pelajaran secara konvensional. Guru memainkan peranan penting dalam menentukan resos yang berkesan. Dalam era teknologi masa kini, proses pembelajaran dan pengajaran bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan buku teks, kaedah pengajaran guru melalui penggunaan kapur tulis dan papan hitam sahaja, malah lebih daripada itu termasuklah penggunaan teknologi yang menyediakan pembelajaran secara interaktif bagi memupuk minat pelajar. Oleh yang demikian, melalui teknik dan kaedah pembelajaran dan pengajaran dari guru sahaja belum dapat menjamin berlakunya proses pembelajaran yang berkesan tanpa melalui bahan bantu mengajar. Dalam mata pelajaran matematik, resos memainkan peranan penting ke arah memahamkan konsep di dalam proses pengajaran selain daripada bertujuan untuk

menarik minat pelajar. Satu kajian mengenai penggunaan resos dalam pembelajaran dan pengajaran matematik di sekolah rendah telah dijalankan oleh beberapa orang pensyarah di Jabatan Matematik, Maktab Perguruan Batu Lintang. Mereka adalah Lai Kim Leong, Khaw Ah Hong dan juga Seah Ai Kuan. Kajian ini dijalankan untuk meninjau mengenai penggunaan resos dalam pengajaran dan pembelajaran matematik di sekolah rendah. Hasil kajian tersebut menunjukkan sebanyak 71.4 % daripada sekolah yang terlibat dalam kajian tersebut mempunyai pusat sumber matematik. Ini menunjukkan kebanyakkan sekolah amat mengambil berat tentang kepentingan menyediakan pusat sumber matematik di sekolah masingmasing. Selain itu juga, kajian tersebut turut mengkaji tentang peratusan jenis-jenis resos matematik yang ada di sekolah. Hasil kajian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah mempunyai resos seperti pembilang (penyedut minuman / blok-blok kayu / kayu ais krim dan lain-lain), jangka lukis, jangka sudut, alat-alat penimbang, kit pecahan, bekas air bersenggat atau silinder, dekak-dekak dan abakus, alat-alat ukuran panjang dan beberapa lagi resos yang lain. Namun begitu, bahan bantu mengajar seperti rod cuisenaire, ohp, grid peratus, tangram, papan perpuluhan, blok dienes, papan gulung berpetak dan papan pecahan bermagnet 1 mempunyai peratusan terendah resos yang dimiliki oleh setiap sekolah. Selain itu juga, persepsi guru terhadap kepentingan menggunakan resos amat memberangsangkan. Pandangan responden amat positif tentang peranan resos dalam pembelajaran dan pengajaran matematik . Lebih daripada 98.8 % responden setuju bahawa penggunaan resos dapat meningkatkan minat, penglibatan serta kefahaman pelajar terhadap konsep matematik. 95.2 % daripada responden juga setuju bahawa bahan bantu belajar dapat juga memupuk perasaan ingin tahu dalam kalangan pelajar. Dapatan kajian tersebut adalah selaras dengan hasil kajian bahawa pelajar lebih gemar belajar secara konkrit dengan memanipulasi bahan-bahan maujud . Lebih daripada 83 % responden tidak setuju bahawa bahan bantu mengajar hanya penting untuk tahap 1 dan juga pemulihan sahaja manakala kurang daripada 12 % responden setuju bahawa penggunaan resos adalah membuang masa dan tidak mempunyai kesan yang kuat terhadap pembelajaran pelajar. Setelah saya meneliti kajian tersebut, saya juga turut mempunyai

pandangan yang tersendiri. Keberkesanan resos yang dipilih mestilah mampu mempengaruhi minat murid-murid untuk meneruskan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Resos boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Ianya mungkin dalam bentuk buku, carta atau slaid yang dipancarkan pada layar dan sebagainya yang merupakan bahan yang menyokong penyampaian pembelajaran. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengutamakan kepentingan murid-murid, penggunaan bahan bantu belajar bertujuan untuk membantu guru mengajar dengan lebih berjaya. Pada pendapat saya, penggunaan resos dapat mengukuhkan dan menghasilkan pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang berkesan berdasarkan kepada beberapa faktor yang akan saya huraikan. Menurut dale (1969), beliau menyatakan bahawa proses PdP dapat ditingkatkan dengan berkesan apabila ianya melibatkan sesuatu media yang memberikan pengalaman baru kepada pelajar dan sekali gus dapat meningkatkan daya ingatan murid terhadap proses pembelajaran pada waktu tersebut. Penglibatan melalui pengalaman merupakan cara yang paling berkesan dalam pembelajaran. Penggunaan resos dapat meningkatkan minat murid dalam PdP. Murid-murid akan merasa teruja dan seronok apabila mereka melihat suatu benda baru yang turut dilibatkan dalam proses pembelajaran berbanding dengan pembelajaran yang hanya berasaskan chalk and talk. Lebih-lebih lagi apabila mereka sendiri diberi peluang untuk melihat dengan lebih dekat dan mencuba resos tersebut. Langkah tersebut akan menambahkan lagi keghairahan murid-murid untuk terus mengikuti aktiviti pembelajaran. Di samping itu, ianya juga untuk mengelakkan rasa jemu pelajar terhadap pengajaran guru. Hamalik (1986) menyatakan bahwa penggunaan resos dalam proses pembelajaran dapat membangkitkan keinginan dan minat yang baru, membangkitkan motivasi dan merangsang kegiatan belajar bahkan membawa pengaruh-pengaruh positif kepada murid-murid. Dengan adanya resos yang bersesuaian dengan topik yang diajar, guru akan dapat membangkitkan semangat murid agar terus bersama-sama dengan beliau dalam proses PdP. Pembelajaran yang membosankan akan menyebabkan murid-murid hilang fokus dan berkemungkinan untuk melakukan kerja lain ataupun murid-murid akan mengantuk. Penggunaan resos adalah sebagai alat pemudah untuk membantu dalam

penyampaian pengajaran guru yang mana bertujuan untuk mencapai objektif pengajaran yang telah dirancang oleh guru dan murid-murid lebih memahami pengajaran guru seterusnya dapat menerima pembelajaran dengan cepat. Resos ini juga dapat mengelakkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas lebih menjurus kepada keadaan yang diselubungi kebosanan dalam kalangan murid-murid, kerana murid-murid hanya lebih menumpukan perhatian terhadap pengajaran satu hala oleh guru. Sebaliknya dengan adanya resos, proses pengajaran dan pembelajaran dapat diselamatkan dari masalah disiplin di dalam kelas. Selain itu, ia juga dapat mencungkil kreativiti guru untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas lebih mencabar. Guru juga lebih terdedah dengan kemajuan sains dan teknologi jika guru mempunyai inisiatif untuk meneroka dunia tanpa sempadan ini, dan mengaplikasikannya dalam PdP. Contohnya, apabila guru ingin mengajar tentang operasi tambah, guru-guru boleh menggunakan pembilang, dekak-dekak dan lain-lain lagi. Pembilang sesuai digunakan untuk murid-murid tahun 1 dan 2 yang baru mengenali operasi tambah dan bagaimana untuk membilang. Ringkasnya, pembilang sesuai digunakan untuk mengajar konsep asas operasi tambah kepada murid-murid. Seterusnya, dekak-dekak pula sesuai digunakan untuk murid-murid tahun 3 dan ke atas. Penggunaan dekak-dekak amat berguna untuk memberikan kefahaman yang mendalam kepada muridmurid dalam memahami operasi tambah memandangkan sukatan pelajaran untuk murid-murid tahun tiga ialah operasi tambah dalam lingkungan 10000. Tuntasnya, guru-guru perlulah memilih resos yang bersesuaian dengan topik yang ingin diajar agar dapat menghasilkan impak dan kesan yang optimum bagi murid-murid. Di samping itu juga, penggunaan resos dalam proses PdP akan membantu pelajar meningkatkan dan mengukuhkan lagi pemahaman dalam matapelajaran tersebut dan seterusnya dapat mengaplikasikannya. Daya kefahaman pelajar terhadap sesuatu pengajaran dan pembelajaran adalah tinggi berbanding hanya dengan tertumpu kepada teks dan bahan paparan saja. Penggunaan bahan bantu belajar dapat memberikan pendedahan dan gambaran sebenar berkaitan dengan apa yang dipelajari oleh pelajar. Ciri-ciri penting yang terdapat pada BBB dalam pembelajaran dapat membantu memudahkan kefahaman pelajar kerana dapat melihat benda sebenar yang akan dipelajari. Selain itu juga, teknik pendedahan

penggunaan resos yang betul dan berkesan terhadap para pelajar akan membolehkan pelajar mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Penggunaan resos dapat mengukuhkan dan menghasilkan pembelajaran dan pengajaran yang berkesan kerana dengan menggunakan resos tersebut, ia akan dapat melahirkan satu interaksi dan kerjasama antara pelajar dengan guru dan pelajar dengan pelajar. Apabila wujudnya interaksi yang positif di dalam proses PdP, ini bermakna guru tersebut berjaya dalam menyampaikan isi pelajaran kepada para pelajar. Mengikut Noraziah Abdul Hamid ( 1981: 2 ), bertajuk Alatan Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa, alat bantu itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta membantu atau mempercepatkan proses pemahaman mereka. Oleh itu, saya berpandangan, penggunaan resos dalam proses PdP adalah amat penting dan begitu berguna untuk memastikan keberkesanan penyampaian isi pelajaran. Resos lebih membantu merangsangkan dunia pelajar untuk belajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Penggunaan bahan bantu belajar memberi sumbangan yang amat besar dalam mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru dan pelajar. Bahan bantu belajar ini juga dapat menyelesaikan pelbagai masalah dalam kaedah pengajaran guru yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman (Omardin Ashaari, 1999). Antara rasionalnya penggunaan bahan bantu belajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran ini adalah untuk mengetengahkan konsep. Ini bermaksud pelajar dapat menyaksikan sendiri tunjuk cara dan bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru semasa menyampaikan pengajaran dalam bilik darjah. Pengajaran guru akan lebih mudah dengan penggunaan bahan bantu mengajar, lebihlebih lagi bahan yang digunakan itu bersesuaian dengan tajuk pelajaran yang disampaikan oleh guru. Antara lain rasionalnya adalah untuk mencetuskan minat pelajar. Peralatan yang digunakan juga menjadi pengalak dalam penyampaian pelajaran. Bahan bantu mengajar dapat mewujudkan suasana persekitaran yang sesuai kepada pelajar. Jika bahan bantu mengajar digunakan dengan teratur semasa memberi penerangan, pengajaran yang disampaikan akan

mencetuskan minat pelajar. Hasil dapatan kajian ini dapat memberi dorongan kepada guru pelatih supaya bersikap positif dalam mempelbagaikan penggunaan bahan bantu mengajar untuk meningkatkan lagi minat belajar kepada pelajar. Selain daripada itu, ia juga dapat memberi kesedaran dan dorongan kepada guru pelatih supaya menggunakan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta memberi panduan dan kesedaran kepada guru pelatih tentang kepentingan menggunakan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kepelbagaian penggunaan bahan bantu mengajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kefahaman pelajar dan dapat menarik pelajar perhatian pelajar untuk lebih fokus dan memahami konsep yang diajar. Menurut Mohd Dahlan (1992), penggunaan pelbagai alat bantu mengajar mengikut cara yang bersesuaian dapat meningkatkan mutu atau tumpuan muridmurid terhadap pembelajaran. Pengunaan bahan bantu mengajar juga turut memudahkan guru dalam penyampaian konsep kepada pelajar. Kajian ilmiah lain pula menunjukkan, resos yang mencatatkan peratusan yang agak tinggi penggunaannya dengan 77.4% adalah kalendar dan juga muka jam. Ianya bertujuan mengajar topik masa dan waktu. Kertas, rajah dan gambar untuk mengajar pecahan pula adalah 70.2 % manakala penggunaan carta soalan untuk mengajar penyelesaian masalah harian ialah 50.0 %. Peratusan responden yang selalu menggunakan rod Cuisenaire dalam pengajaran nilai tempat dan empat operasi asas mencatatkan peratusan yang sangat rendah iaitu 10.7 % untuk nilai tempat dan 9.5 % untuk empat operasi asas dan sebilangan besar responden langsung tidak menggunakannya dalam pengajaran topik ini. Saya berpendapat bahawa, ianya mungkin kerana sebilangan besar sekolah tidak mempunyai bahan ini. Penggunaan resos sememangnya dapat menghasilkan PdP yang berkesan. Bukan untuk matapelajaran matematik sahaja, bahkan juga untuk matapelajaran lain. Melalui penggunaan resos, guru-guru dapat menyajikan bahan pembelajaran yang bersifat abstrak menjadi konkrit sehinggakan ianya mudah dipelajari oleh para pelajar. Contohnya untuk matapelajaran Sains. Pembelajaran mengenai cara hidup haiwan-haiwan karnivor, herbivor dan juga omnivor dapat diajar dengan menayangkan

video, gambar-gambar dan juga filem. Guru-guru tidak perlu membawa murid-murid ke zoo mahupun membawa haiwan-haiwan tersebut ke dalam kelas semata-mata untuk mengajar mengenai topik yang berkenaan. Selain itu juga, resos membantu untuk menampilkan objek-objek yang terlalu besar yang tidak mungkin dapat dibawa ke dalam kelas dan juga objek-objek yang terlampau kecil yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Melalui esei pendek ini juga, saya ingin berkongsi tentang sebab-sebab mengapa resos jarang digunakan di sekolah-sekolah. Kajian menunjukkan sebab utama ianya tidak digunakan adalah kerana resos tersebut tidak mencukupi. Bilangan kelas yang terlampau banyak, begitu juga dengan bilangan pelajar yang begitu ramai, menyukarkan guru-guru untuk mengaplikasikan penggunaan resos semasa proses pembelajaran dan pengajaran. Jika bahan yang tidak mencukupi dibawa kepada murid-murid, akan ada murid-murid yang merasakan dirinya disisihkan kerana tidak dapat mencuba resos tersebut. Ini akan mengundang rasa sedih dan kecewa dengan pembelajaran pada hari tersebut. Faktor kekurangan masa pula menjadi sebab yang kedua diikuti oleh ketiadaan tempat untuk menyimpan bahan dengan sistematik. Hal ini kerana, penyediaan resos memerlukan guru-guru meluangkan sedikit masa untuk mencari dan membina resos yang sesuai dengan topik yang bakal diajar. Guru-guru yang sibuk menguruskan keluarga dan hal-hal lain, tidak mungkin berkesempatan untuk menyediakannya. Sumber kewangan yang tidak mencukupi untuk membeli resos-resos tersebut juga menjadi salah satu faktor mengapa ianya tidak digunakan di sekolah. Walau bagaimanapun, saya tetap berpandangan penggunaan resos mampu untuk memberikan kesan dan juga impak yang positif terhadap sesi pembelajaran dan pengajaran, sekali gus dapat menjayakan sesi PdP tersebut berdasarkan hujah-hujah yang telah saya nyatakan berserta dengan kajian-kajian yang telah dilaksanakan oleh beberapa pihak tertentu.

Anda mungkin juga menyukai