Anda di halaman 1dari 11

2.

Konsep Pengujian, Penilaian dan Pengukuran. 2.1 Pengujian Pengujian merupakan satu kaedah dalam pengukuran dan dijalankan dengan

cara yang sistematik Ia juga satu cara bagi mengukur tingkah laku seseorang individu. Pengujian dilakukan untuk menguji sesuatu perkara dengan berpandukan skala atau tahap pemarkahan bagi menentukan pencapaian pelajar dalam pembelajaran. Tindakan susulan yang boleh dibuat setelah proses pengujian dibuat adalah mengasingkan pelajar mengikut kumpulan belajar yang sesuai berdasarkan tahap pemikiran iaitu cemerlang, sederhana dan lemah. Guru boleh merancang secara berkesan bagi mengajar apabila kelemahan pelajar dikenal pasti dengan penggunaan alat pengujian. Pengujian ini dilaksanakan dalam tiga peringkat iaitu, sebelum, semasa dan selepas sesuatu pengajaran. Ujian boleh diberikan sebelum sesuatu pengajaran berlaku dengan tujuan untuk mengumpul maklumat. Ujian itu dikenali sebagai ujian pra atau pretest. Semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku ujian diberikan sama ada secara lisan atau bertulis. Ujian ini bagi mengetahui kemajuan yang dicapai oleh pelajar-pelajar dan pemahaman mereka terhadap pengajaran dan pembelajaran guru. Pengujian juga dapat dianggap sebagai satu proses penyerahan set soalan

yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau murid. Kesesuaian alat pengujian adalah perlu iaitu mempunyai ciri ketekalan kerana keputusan yang telus perlu bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar untuk sesi akan datang. Bagi pelajar yang mendapat skor lemah dalam pengujian, guru hendaklah mengenal pasti kelemahan pelajar tersebut dan memberikan perhatian yang lebih terhadap pelajar tersebut. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, ujian ialah bahan yang bertulis atau tercetak atau terakam yang telah dibentuk oleh guru untuk menguji sesuatu kemahiran bahasa. Misalnya, guru membina ujian kloz bagi menguji kefahaman membaca atau ujian imlak bagi menguji kefahaman mendengar. Namun, perlu diingat bahawa ujian mungkin menjadi kurang baik jika pentadbir ujian menggunakannya dan menginterpretasinya secara tidak jujur. Oleh itu, ujian perlulah digunakan sesuai
2

dengan perkara yang hendak diuji itu. Contohnya, jika guru menguji tahap kefahaman murid Tahun 4 dengan menggunakan bahan bacaan yang layak untuk Tingkatan 1, sudah semestinya keputusan pelajar ini tidak menggalakkan. Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata muridan seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian alah untuk mengukur perubahan tingkah laku murid seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa: Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2). Hasil daripada pemarkahan jawapan murid, satu ukuran yang disebut sebagai markah akan diberikan kepada murid tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi murid yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan dan pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada murid-muridnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.

2.2 Penilaian

Penilaian telah didefinisikan dengan banyak cara, secara umumnya penilaian merupakan satu proses untuk memperolehi maklumat kuantitatif. Ia adalah satu proses bagi guru untuk menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai. Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan sesebuah kurikulum. Pentafsiran penilaian berdasarkan data kuantitatif dan penghuraian kualitatif. Ia boleh dijalankan sebelum, semasa atau selepas satu sesi pengajaran guru. Ia boleh dijalankan berdasarkan sesuatu pembelajaran spesifik atau kepada keseluruhan kurikulum. Penilaian digunakan dalam pelbagai bidang dan dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran membaca,menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah. Dalam membuat penilaian, kita mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah.Misalnya, tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Penilaian adalah aspek yang penting selain konsep pengukuran dan pengujian. Melalui penilaian kita dapat mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Melalui penilaian juga, status dapat dikenal pasti sama ada status semasa dan seterusnya malah, penambahbaikan dapat dirancang menerusi program-program berkesan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, penilaian dilakukan bagi mengetahui sama
4

ada guru dapat mengajar murid dan murid dapat mempelajari ilmu yang disampaikan oleh guru. Justeru itu, penilaian pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan dengan sempurna dan berkesan. Bukti-bukti empirikal tentang sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh menggunakan pengukuran perlu dianalisis. Selepas itu, penambahbaikan atau proses peningkatan perlu diberi keutamaan. Kebiasaannya, guru akan merangka objektif dan kandungan kursus yang hendak diajar sebelum merancang strategi dan kaedah pengajaran kursus berkenaan. Kemudian, beliau akan menyediakan soalan sama ada dalam bentuk kuiz, ujian atau peperiksaan. Proses pembinaan soalan perlu dirancang dengan meneliti aspek-aspek penting sama ada soalan tersebut relevan, sesuai dan menepati objektif pengajaran yang terkandung dalam sukatan murid.. Pada masa yang sama, penilaian yang dilaksanakan bukan hanya bertujuan untuk membuat penilaian yang adil, tetapi ianya juga bertujuan untuk mengenal pasti pretasi murid dalam penguasaanya terhadap subjek atau kursus yang diajar. Bahkan, melalui penilaian juga, guru dapat mengenal pasti kelemahan terhadap pengajaran yang diaplikasikan kepada murid. Justeru pemahaman terhadap konsep penilaian, ciri-ciri utama soalan ujian, matlamat mereka bentuk soalan formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik serta norma dan kriteria sangat penting bagi seseorang guru bagi memastikan pengajaran dan penilaiannya bermutu dan adil.

Terdapat lima prosedur atau langkah dalam melaksanakan penilaian terhadap pelajar.

peringkat persediaan ujian

peringkat pentadbiran ujian

peringkat pemeriksaan dan pengukuran

peringkat interpretasi dan tindakan

peringkat analisis

Guru melaksanakan penilaian kerana ingin mengetahui tahap keupayaan dan kemahiran asas sedia ada murid. Selain itu, guru juga dapat mengetahui sama ada sesuatu isi pelajaran yang diajar memberi kesan terhadap murid atau tidak. Murid diuji dengan segala isi pelajaran yang diajar dan melibatkan kemahiran berfikir pelajar. Hasil penilaian yang dibuat boleh dijadikan penanda aras dalam kelas tersebut. Hasil penilaian ini juga membolehkan guru boleh mengenal pasti murid yang berpotensi dan murid yang kurang potensinya di dalam kelas. Guru dapat mengambil langkah yang bijak sama ada untuk melakukan aktiviti penggayaan atau pemulihan dalam proses pengajaran dan pembelajarannya.. Proses pengajaran dan pembelajaran juga boleh berjalan dengan berkesan apabila hasil penilaian diperoleh. Bahan bantu mengajar yang bersesuaian mengikut tahap murid dalam kelas dipilih oleh guru bagi memudahkan pemahaman pelajar dalam topik pembelajaran.

2.2.1 Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian

Aspek penilai membabitkan dua unsur penting iaitu kuantifikasi dan kualifikasi. Kuantifikasi ialah unsur di mana ujian bertindak sebagai bukti penguasaan murid dalam bentuk empirikal terhadap kursus yang diajar. Manakala kualifikasi pula bermaksud pertimbangan nilai yang dibuat berdasarkan bukti empirikal bagi membuat andai atau keputusan sama ada objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai atau tidak. Proses penilaian yang bermutu memerlukan bukti empirikal penguasaan murid yang sahih agar segala keputusan dapat dilaksanakan dengan baik. Keperluan ini adalah kerana setiap keputusan yang dibuat melibatkan risiko. Bukti empirikal membantu kita membuat keputusan dengan risiko yang kecil. Semakin tepat guru mengukur pencapaian murid, semakin tepat penilaian terhadap keberkesanan pengajarannya. Terdapat dua jenis penilaian yang sering digunakan iaitu : Penilaian Formatif

Penilaian formatif dilaksanakan bagi membuat keputusan terhadap pencapaian atau prestasi murid dalam topik atau bab-bab murid yang telah diajar. Penilaian formatif dibuat secara berterusan, iaitu sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, untuk menilai keberkesanan pengajaran guru dan pembelajaran murid bagi setiap tajuk yang diajar. Penilaian formatif dilakukan bagi memastikan murid telah menguasai setiap topik atau bab-bab yang telah dipelajari sebelum mereka diperkenalkan dengan topik pembelajaran yang baru. Diagnosis dapat dibuat menerusi penilaian formatif. Malah penilaian formatif membolehkan guru untuk mengenal pasti sama ada murid-muridnya sudah bersedia untuk mengikuti pembelajaran berikutnya yang lebih sukar dan kompleks. Selain dapat membuat tafsiran terhadap kelemahan murid dalam topik atau bab sesuatu pembelajaran yang telah diajar, penilaan formatif juga boleh

meningkatkan motivasi murid untuk belajar. Maklumat yang diperolehi selepas ujian ini dijalankan,, digunakan serta merta dalam memperbaiki pengajaran dan pembelajaran agar pelajar dan guru sama-sama memperolehi manfaat daripadanya

Penilaian Sumatif

Penilaian sumatif merupakan penilaian yang diguna bagi menentukan tahap penguasaan murid dalam keseluruhan sukatan pembelajaran yang telah diajar. Penilaian sumatif biasanya dilakukan pada akhir sesi kursus. Sebagai contoh ujian pertengahan tahun atau akhir tahun. Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir kursus, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan prestasi murid malah dapat mengenal pasti semula dan memperbaiki kelemahan awal pengajaran guru serta membuat perubahan terhadap cara atau kaedah pembelajaran murid. Skor penilaian sumatif banyak digunakan bagi tujuan pemilihan dan penempatan murid ke alam pekerjaan atau ke institusi pendidikan tinggi seperti universiti, kolej, institut, dan sebagainya. Penilaian dan ujian mempunyai beberapa tujuan. Antaranya ialah untuk mengetahui keupayaan, kemahiran atau pengetahuan asas yang sedia ada pada pelajar-pelajar dalam perkara yang hendak diajar. Selain itu, melalui penilaian juga ianya dapat menolong guru-guru mengetahui sejauh manakah pelajar-pelajar mereka telah dapat menguasai atau mempelajari perkara yang telah disampaikan. Penilaian juga membolehkan guru membuat perbandingan terhadap pencapaian seseorang pelajar dengan rakan-rakan sekelasnya atau dengan peringkat kelas yang sama di sekolah. Melalui penilaian juga, guru dapat menentukan pelajar yang tinggi keupayaan dan juga yang amat lemah dalam pencapaian mereka. Guru juga dapat menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka. Melalui ujian dan penilaian mereka sentiasa dapat meningkatkan pengajaran mereka dan kepentingannya juga kepada murid ialah membolehkan mereka mengetahui kelemahan-kelemahan mereka dalam sesuatu kemahiran atau bidang itu dan segera pula memperbaikinya.

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau menilai pencapaian murid? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian murid melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada pemerhatian atau temubual. 2.3 Pengukuran Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding pengujian. Pengukuran membawa definisi sebagai suatu proses untuk mendapatkan penjelasan secara numerik tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan alat tertentu. Dalam erti kata lain pengukuran ialah proses menentukan sejauh mana seseorang individu memiliki ciri-ciri tertentu. Pengukuran juga dikatakan sebagai suatu proses atau sistem yang digunakan untuk menentukan nilai kuantitatif sesuatu benda, perkara atau keadaan. Dalam

pembelajaran, pengukuran merupakan suatu proses memperoleh penjelasan numerik tentang setakat mana seseorang individu tersebut mempunyai suatu ciri yang disukat dengan menggunakan alat, iaitu alat ujian. Ini bermakna, pengukuran mengukur secara kuantitatif pada peringkat pencapaian atau kedudukan pelajar. Sebagai contohnya, guru menggunakan ujian untuk mengukur prestasi pelajarnaya. Hasil nilai kuantitatif pengukuran ini biasanya dibandingkan dengan nilai maksimum yang diperuntukkan bagi alat, dan perbandingan inilah yang menggambarkan pencapaian para pelajar. Tujuan pengukuran dibuat adalah untuk menentukan tahap pencapaian dan kedudukan antara pelajar. Maka guru dapat mengetahui tahap pencapaian para pelajar mereka dalam sesuatu subjek atau mata pelajaran yang diajarkan kepada mereka. Selain itu, guru dapat membuat perbandingan pencapaian dan kedudukan antara pelajar dalam mata pelajaran yang tertentu ataupun keseluruhan pencapaian akademiknya.
9

Sebagai contohnya, guru dapat membezakan pencapaian markah antara pelajar cemerlang yang mendapat 90 markah dalam subjek Matematik berbanding dengan pelajar lemah yang mendapat markah 50 dalam subjek tersebut. Dalam pada itu, melalui pengukuran guru dapat mengelaskan dan menempatkan pelajar dalam jurusan kurikulum yang sesuai. Pelajar yang cemerlang akan ditempatkan di kelas-kelas yang menyediakan jurusan yang sesuai dengan pencapaian kurikulum mereka. Manakala pelajar yang lemah boleh ditempatkan di kelas-kelas pemulihan yang mana dapat membantu mereka untuk meningkatkan lagi pencapaian kurikulum mereka. Pengukuran dilakukan selepas beberapa pelajaran telah diajarkan kepada Pengukuran merangkumi segala aspek pengujian termasuk menggunakan skel ordinal atau skel selang untuk menentukan kedudukan dan pencapaian murid-murid dalam sesebuah kelas atau di antara kelas. Skel ordinal digunakan untuk menempatkan pangkatan atau kedudukan murid-murid mengikut markah-markah yang diperoleh daripada sesuatu ujian. Contohnya, Sarah mendapat 90 markah dalam ujian Matematik manakala Shah mendapat 80 markah dalam ujian yang sama. Manakala skel selang pula mengandungi markah dan gred yang digunakan bukan sahaja untuk menentukan pangkatan tetapi juga membuat perbandingan antara murid-murid dalam sesebuah kelas yang sama ataupun antara kelas-kelas lain. Tegasnya, adalah penting dalam pengukuran bahawa maklumat yang diperoleh itu mestilah benar atau sah. Oleh sebab pengukuran hanyalah sebagai satu penunjuk, dari itu, sesiapa yang hendak mengguna sesuatu pengukuran perlulah ia terlebih dahulu memastikan alat ukur atau instrumen itu adalah objektif, sah dan boleh dipercayai. Jika alat ukur telah melalui proses-proses ini, alat ukur tersebut akan dapat mengukur hampir tepat apa yang hendak diukur. Jadi, seorang guru itu haruslah jelas akan tujuannya menguji di dalam bilik darjah dan cuba mendapatkan suatu ujian yang tepat yang dapat memenuhi tujuan itu.

10

Biasanya, kita mewakilkan sesuatu pengukuran berbentuk angka kepada prestasi seseorang individu untuk menggambarkan keupayaan individu tersebut. Contohnya, Ramli mendapat 80 peratus dalam ujian Sejarah. Kita tidak menyatakan prestasi Ramli sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita hanya mengukur pencapaian pengetahuannya tentang sejarah tanpa memberikan nilai kepada ukuran yang diperoleh. Justeru, pengukuran hanya menentukan tahap prestasi atau ciri tertentu seseorang individu atau murid mengikut alat yang digunakan. Pengukuran boleh juga dibuat tanpa menggunakan pengujian. Sebagai contoh, kemahiran melukis seseorang murid boleh diukur melalui pemerhatian atau pencerapan, sementara pengetahuan dan sikapnya boleh diukur melalui temubual. Justeru, kita boleh menganggapkan pengukuran sebagai proses untuk mendapatkan sesuatu ukuran dengan menggunakan kaedah tertentu, manakala pengujian pula merupakan salah satu daripada kaedah tersebut. Pengukuran tidak bersifat mutlak, misalnya, pengukuran keupayaan mental seseorang sudah tentu lebih sukar diukur secara tepat berbanding ketinggian fizikalnya. Ketinggian fizikal seseorang boleh diukur secara tepat dengan menggunakan alat ukur yang tepat seperti penggunaan pembaris. Seterusnya, seseorang murid yang mendapat skor 90 tidak boleh dianggap mengetahui dua kali ganda daripada murid yang mendapat skor 45, walaupun skor 90 itu dua kali ganda 45. Seseorang murid yang mendapat skor sifar pula tidak juga boleh dianggap sebagai tidak belajar atau tidak mengetahui tentang sesuatu pembelajaran yang diajar oleh guru. Ini jelas menunjukkan ukuran aspek-aspek berkenaan bukanlah petunjuk yang tepat sebagaimana ukuran ketinggian fizikal murid menggunakan pembaris. Justeru, seseorang guru perlu menggunakan alat yang tepat bagi menghasilkan ukuran yang tepat. Jika alat yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah ukuran yang diperoleh juga tidak tepat.

11

2.4 Perkaitan antara Konsep Pengujian, Penilaian dan Pengukuran.

PENGUJIAN

PENILAIAN PENGUKURAN

Berdasarkan rajah di atas, kita dapati ketiga-tiga konsep berkenaan mempunyai perkaitan rapat dalam proses mendapatkan tahap keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Tujuan atau objektif sesuatu penghakiman produk pengajaran dan pembelajaran membabitkan ketiga-tiga aspek bekenaan. Kesimpulannya, keberkesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Setiap komponen di atas memerlukan alat untuk melaksanakannya. Alat yang digunakan itu hendaklah mempunyai ciri-ciri yang boleh mengesahkannya seperti kebolehpercayaan, ketekalan dan lain-lain. Pemarkahan yang menepati standard juga perlu disediakan bagi mengelaskan pelajar mengikut tahap yang telah ditentukan.

12

Anda mungkin juga menyukai