Anda di halaman 1dari 2

Ramadan bulan menggandakan ibadah

Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu kefarduan bagi seluruh umat Islam yang bergelar
mukalaf. Ini difahami daripada firman Allah s.w.t., “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan ke
atas kamu berpuasa sebagaimana telah difardukan ke atas mereka yang sebelum daripada kamu, mudah-
mudahan kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183) Antara budaya kita pada hari ini adalah terdapat sebilangan
umat Islam apabila hampir kedatangan bulan yang mulia ini, mereka pada kebiasaannya mulai sibuk pergi
membeli-belah khususnya bagi mendapatkan pakaian, langsir, kelengkapan rumah dan sebagainya untuk
digantikan dengan yang baru.

Pada hakikatnya tujuan utama mereka adalah bagi menyambut Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri dan
bukannya bulan Ramadan al-Mubarak. Walaupun begitu, budaya ini bukanlah salah 100 peratus, malah
ada kebaikan yang tersendiri. Apa yang menonjol adalah sambutan kemeriahan hari raya lebih
mendominasi daripada sambutan bulan Ramadan, sedangkan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya
menjadi impian orang mukmin untuk menjejakkan kaki mereka ke dalamnya dan bersungguh-sungguh
melipatgandakan amalan. Ini kerana bulan Ramadan sahaja yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda
berbanding bulan-bulan yang lain. Malah bulan ini juga menjanjikan keampunan daripada Allah s.w.t.
sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w.: Daripada Abi Hurairah, Nabi bersabda, solat lima waktu, solat Jumaat
sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadan sampai puasa Ramadan berikutnya adalah penebus
kepada dosa-dosa (kecil) yang dilakukan antara kedua-duanya bila dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat
Muslim)

Budaya sebegini juga diwarisi turun-temurun yang menyebabkan keghairahan menyambut ketibaan
Ramadan kurang dirasai. Ini jauh berbeza dengan sikap para sahabat yang amat ternanti-nanti kedatangan
bulan mulia ini dengan penuh keriangan dan pemergian bulan ini pula amat ditangisi.Selain itu juga, bulan
mulia ini juga dicemari dengan gambaran yang negatif seperti bulan yang letih, lapar, dahaga, tidak
produktif, kurang proaktif dan sebagainya. Pada hakikatnya bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya
menjadikan umat Islam agar lebih produktif, proaktif, aktif dan bertenaga berusaha menjanakan kekuatan
untuk memperbanyakkan ibadah dan mentaqarrubkan diri kepada Allah. Sejarah awal Islam juga telah
membuktikan bahawa banyak kemenangan dicapai pada bulan Ramadan. Antaranya peperangan Badar,
beberapa peperangan Tabuk, pembukaan Kota Mekah dan sebagainya. Jika dilihat dari sudut ini,
tercatatnya kemenangan ini mencerminkan kekuatan fizikal dan mental umat Islam. Oleh itu, tanggapan
negatif terhadap Ramadan wajar dihilangkan dengan memberi pemahaman yang tepat berkaitan bulan
ini.Bagaimanakah cara yang tepat bagi menyambut kedatangan Ramadan?

Antara bentuk persediaan terbaik ialah:


Pertamanya: Kita hendaklah sentiasa berdoa agar diberi peluang dan berkesempatan bertemu Ramadan
tahun ini. Di samping itu, hendaklah dipohon agar dikurniakan kesihatan tubuh badan supaya dapat
melakukan seberapa banyak ibadat pada bulan tersebut.
Kedua: Mengulangkaji serta mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadah puasa sama ada melalui
pembacaan, pertanyaan, menghadiri kuliah agama dan sebagainya. Antara ilmu-ilmu tersebut, dari segi
fikah merangkumi persoalan rukun puasa, syarat puasa, syarat sah puasa, perkara-perkara yang
membatalkan puasa dan sebagainya.
Hikmah
Aspek falsafah puasa termasuklah hikmah disyariatkan puasa. Selain itu, ilmu-ilmu berkaitan bentuk-
bentuk amalan yang sepatutnya dilipatgandakan
dalam bulan yang mulia ini juga patut diketahui untuk dijadikan pengisian utama selaras dengan sunah
Rasulullah s.a.w..
Ketiga: Mengetahui tahap orang yang berpuasa sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali.
Menurut Imam al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, tahap puasa diklasifikasi
kepada tiga iaitu puasa umum, puasa khusus, dan puasa khusus yang lebih khusus.
Puasa umum adalah tahap yang paling rendah iaitu menahan daripada makan, minum dan jimak pada
siang hari.
Puasa khusus, di samping menahan yang tiga tadi, ia juga memelihara seluruh anggota tubuh daripada
perbuatan maksiat atau tercela. Sedangkan puasa khusus yang lebih khusus adalah puasa hati daripada
segala kehendak hina dan segala fikiran duniawi serta mencegahnya memikirkan apa-apa yang selain
Allah.
Puasa tahap ketiga ini adalah puasa para nabi-nabi, siddiqin dan muqarrabin. Sedangkan puasa tahap
kedua adalah puasa orang-orang soleh.
Selanjutnya imam Al Ghazali menjelaskan enam hal untuk mencapai kesempurnaan puasa tingkatan kedua
itu.
Pertama, menahan pandangan daripada segala hal yang dicela dan dimakruhkan serta daripada tiap-tiap
yang mengganggu dan melalaikan daripada mengingat Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, Barang siapa
meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya Allah menganugerahkan padanya keimanan
yang mendatangkan kemanisan dalam hatinya.
Kedua, menjaga lidah daripada perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, berkata keji, dan
mengharuskan berdiam diri, menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah serta membaca al-Quran.
“Dua perkara merosakkan puasa,” sabda Rasulullah, “iaitu mengumpat dan berbohong.”
Ketiga, menjaga pendengaran daripada mendengar kata-kata yang tidak baik kerana tiap-tiap yang haram
diucapkan maka haram pula mendengarnya. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Yang mengumpat dan yang
mendengar, bersekongkol dalam dosa.
Keempat, mencegah anggota-anggota tubuh yang lain daripada perbuatan dosa. Seperti mencegah
tangan dan kaki dari berbuat maksiat dan mungkar, mencegah perut daripada memakan yang syubhat
dan haram.
Kelima, tidak berlebih-lebihan semasa berbuka sampai perutnya penuh makanan. Orang yang berbuka
secara berlebihan tentu tidak akan dapat merasai manfaat dan hikmah puasa.
Keenam, hatinya sentiasa diliputi perasaan cemas (khauf) dan harap (raja'), kerana tidak diketahui apakah
puasanya diterima atau tidak oleh Allah.
Sekiranya cadangan persediaan awal Ramadan ini dihayati, maka untuk membuahkan puasa yang
berkualiti akan lebih mudah dicapai. Pada masa yang sama, ia menjadikan semua gerak kerja kita seharian
sebagai ibadah.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda lagi, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh
keimanan dan ketaatan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari)
Inilah antara kemurahan Allah kepada umat Nabi Muhammad.
Sabda Rasulullah s.a.w., “Telah diberikan kepada umatku pada bulan Ramadan perkara yang belum pernah
diberikan kepada seseorang nabi sebelumku. Pertama, pada permulaan bulan Ramadan Allah melihat
kepada umatku, barang siapa Allah melihat kepadanya, maka dia tidak akan diazab selama-lamanya.
Kedua, bau mulut mereka pada waktu petang lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi. Ketiga, para
malaikat memohon ampun untuk mereka pada setiap hari dan malam. Keempat, Allah menyuruh kepada
syurganya serta berkata kepadanya bersiap sedialah kamu dan berhiaslah kamu untuk hamba-hamba-Ku,
mereka hampir beristirehat daripada kepayahan dunia menuju ke negeri-Ku dan kemuliaan-Ku. Kelima,
pada akhir bulan Ramadan Allah mengampuni semua dosa mereka, seorang lelaki daripada kalangan
sahabat bertanya: Adakah itu malam Lailatul Qadar, wahai Rasulullah? Nabi menjawab: Tidak, Apakah
engkau tidak melihat kepada pekerja-pekerja yang bekerja, apabila mereka telah selesai daripada
pekerjaan mereka, maka diberikan upah-upah mereka.” (Riwayat Ibn Abi al-Dunya).
- Muhammed Yusof ialah tutor di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti
Malaya.