Anda di halaman 1dari 2

PELAKSANAAN PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN: Di mana dan Ke Mana?

Oleh : M.Dzul Khairi M.Noor


[dzulkhairimnoor@yahoo.com]
Tarikh: 28 Januari 2007

Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi ke medan perang. Mengapa
sebahagian dari setiap golongan antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan
agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya (generasinya) apabila mereka
telah kembali (ke rahmatullah) agar mereka dapat menjaga dirinya. Dipetik dari Surah At-taubah
ayat 122.

Seperti yang telah dimaklumi kerajaan Malaysia telah pun melancarkan Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP) 2006-2010 pada 16 Januari 2007 yang lalu. Pelan baru yang cuba diketengahkan
oleh pihak kerajaan itu telah berjaya menarik perhatian segenap masyarakat terutama para
intelektual yang rata-ratanya berprofesion sebagai seorang guru ataupun pensyarah. Tidak kurang
juga respon yang baik daripada golongan belia yang diketahui sebagai generasi yang akan
meneruskan misi yang dibawa oleh pihak kerajaan. Atas kesedaran itulah Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya mengambil peranan untuk menganjurkan satu seminar
bagi membincangkan dengan lebih terperinci berkenaan halatuju dan keberjayaan pelan tersebut.

Seminar Pendidikan 2007 yang telah diadakan pada 27 Januari 2007 sedikit sebanyak berjaya
mendedahkan masyarakat tentang harapan kerajaan untuk menggarap seluas mungkin kejayaan di
dalam sektor pendidikan bukan sahaja di kalangan negara anggota ASEAN tetapi juga di mata
dunia. Enam teras strategik yang menjadi kayu ukur kejayaan pelan ini merupakan antara yang
menjadi fokus utama perbincangan. Menurut Pro Canselor Universiti Teknologi Mara dan bekas
Ketua Pengarah Pelajaran, YBhg. Tan Sri Datuk Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, keenam-enam
teras yang cuba diketengahkan merupakan antara cita-cita yang juga diteraskan di dalam pelan-
pelan pendidikan yang turut diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu secara tidak
langsung. Persoalan membina integrasi nasional yang cuba dilaksanakan melalui kewujudan
Kompleks Sekolah Wawasan, pembangunan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaaan,
merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profession keguruan, dan melonjakkan
kecemerlangan institusí pendidikan. Kesemua ini sudahpun menjadi antara agenda perbincangan
sejak dahulu lagi. Buktinya Laporan Razak 1956 yang juga menghighlightkan tentang pembangunan
negara bangsa, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pendidikan 1996, usaha merapatkan jurang
antara masyarakat bandar dan luar bandar yang menjadi dasar utama DEB, dan pelbagai lagi.

Namun apa yang menjadi perhatian saya ialah tentang persoalan pembinaan modal insan. Sejauh
mana kita sebagai masyarakat mampu berfikir sebagaimana pimpinan hari ini berfikir dan sejauh
mana kita memandang misi ini sebagai sesuatu yang mampu menganjakkan paradigma. Apa yang
cuba saya kongsikan di dalam catatan saya ini ialah berkenaan soal aspek nilai keagamaan dan
moral yang pada hemat saya kurang diterapkan di dalam pendidikan anak-anak dewasa ini. Menurut
Tan Sri Anuar Ali, Presiden Universiti Terbuka Malaysia, kurangnya perhatian kepada pelajar-pelajar
lepasan sekolah merupakan antara faktor utama kewujudan masalah-masalah sosial seperti gejala
mat rempit dan sebagainya. Jika kita lihat dari sudut pandangan yang berbeza, penerapan nilai-nilai
agama di kalangan anak-anak Islam dan penerapan nilai-nilai moral serta spiritual di kalangan
anak-anak bukan Islam secara langsungnya mampu untuk melahirkan modal insan di samping
penekanan terhadap aspek akademik. Sudah tentu menjadi peranan dan tanggungjawab ibubapa
untuk menerapkan nilai-nilai tersebut di dalam diri anak-anak mereka. Kesedaran inilah yang akan
melahirkan generasi baru sama ada yang mampu berperanan sebagai modal insan ataupun
penyumbang kepada masalah sosial negara. Firman ALLAH seperti yang tertulis pada awal catatan
saya juga menyuruh kepada perkara yang sama. Pertingkatkan ilmu agama dan berilah peringatan
kepada kaumnya (generasinya).
Justeru saya berpendapat bahawa kita mungkin boleh melahirkan lebih ramai generasi yang cerdik
pandai. Namun untuk melahirkan generasi yang benar-benar berkualiti yang mempunyai
keseimbangan akademik dan moral yang secara tidak langsung dapat merealisasikan modal insan
masih lagi belum berjaya.

Oleh itu saya akhiri catatan saya ini dengan persoalan sejauh mana keberjayaan sesuatu misi atau
visi itu dapat dilaksanakan tanpa penghayatan penuh daripada masyarakat itu sendiri? Adakah
berkemungkinan misi dan visi yang sama akan dibawa oleh pihak kerajaan kelak lantaran sikap kita
yang sambil lewa? Fikirkanlah.