Anda di halaman 1dari 1

Peritnya Mencari Sesuap Nasi

Mop di tangan kanan. Timba merah terisi air sabun di tangan kiri. Bau
Fabuloso menyucuk hidung. Peluh terpercik pada wajah perempuan tua berbaju
kurung saga. Sudah dua hari aku lihat dia tekun mencuci dan mengemop lantai.
Sejak Ketua Jabatan baru menghuni kerusi panas di bangunan yang aku tumpang
ini, sudah dua tiga muka baru yang aku lihat. Pekerja Am baru agaknya. Bisik
aku pada diri. Sedikit pun tidak terluah pada bibir.

Pagi ini, aku jeling dari pintu pejabat yang terbuka sedikit. Aku lihat dia
tekun membongkok mengemop lantai. Seperti kekok dan perlu ditunjuk ajar.
Mungkin sebelum ini dia tidak pernah bekerja seperti ini. Sekejap-sekejap
dia berhenti. Memegang pinggang. Mengetuk-ngetuk pinggangnya sambil mengaduh
kecil.

2.15 petang. Ketika aku mahu ke surau membayar tunai suruhan Tuhan, aku
terperasan kelibatnya dari jauh. Masih tekun dengan kerjanya mengemop
lantai. Ketika itu, seorang lelaki lalu tanpa sedikit pun permisi. Lantai
yang dimopnya kembali kotor dengan tanah merah. Dia tetap diam meneruskan
kerja. Entah bagaimana kehendak Tuhan, lelaki itu tersandung timba terisi
Fabuloso di tepi lorong. Basah kasut kilatnya. Marahnya tak bertepi. Maki
hamun sesuka hati. Sedikitpun tidak ada hormat kepadanya. Perempuan tua itu
tetap tunduk sambil mulutnya tidak kering ucap maaf tanda akur itu mungkin
kesalahannnya. Masakan perempuan itu bersalah, mata ini menjadi saksi. Timba
itu elok terletak di tepi. Bukan mengganggu jalannya.

Di tengah lorong aku berselisih dengan lelaki itu. Assalamualaikum aku


hulurkan. Biar amarahnya sejuk. Oh! Mukanya tetap bernyala api marah.
Sedikitpun dia tak menjawab salam. Aku ke hujung lorong. Melihat perempuan
tua itu terkocoh-kocoh mengelap lantai. Yang basah seboleh-bolehnya
dikeringkan. Aku sapa ramah. Soalan mudah, sudah makan ke belum. Berbahasa
basi, sambil mataku menyulam matanya. Ada air jernih tergenang.

"Minta maaf, saya tumpang lalu, mak cik"


Sambil senyumku meleret tanda simpati. Aku harap hatinya berbunga-bunga.
"Lalulah nak. mak cik izinkan"
Bibirnya mula menguntum senyum. Hilang mendung wajah tuanya.

Aku juga manusia. Tahu peritnya mencari sesuap nasi. Sedikitpun aku tidak
pandang rendah kerjanya. Kerja itu halal. Tapi aku terkilan. Bilamana hormat
sesama manusia (lebih-lebih lagi kepada warga tua daripada yang muda)
seperti sudah hilang.

--