Anda di halaman 1dari 6

Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad

Oleh Mohd Isa Abd Razak

Pautan yang berkaitan: Kaedah Fonik Versi Nik Eliani dan Othman Senario Dalam filem Pendekar Bujang Lapok terdapat episod Cikgu Ros mengajarkan huruf Jawi kepada sekumpulan pelajar dewasa termasuk tiga orang bujang lapuk, iaitu P. Ramlee, Aziz Satar dan S. Shamsudin. Apakah kaedah bacaan asas yang digunakan oleh Cikgu Ros? Konsep Kaedah ini berfokus pada penghafalan abjad, pembentukan suku kata dan aktiviti mengeja. Oleh sebab usaha menghafal abjad dan membentuk suku kata itu bertujuan untuk membolehkan murid mengeja perkataan, maka kaedah ini dinamakan juga kaedah mengeja. Kaedah ini merupakan kaedah tradisional yang digunakan oleh guru untuk mengajarkan bacaan asas dalam bahasa Melayu sejak sekian lama, iaitu lebih kurang tujuh abad lamanya dengan menggunakan tulisan Jawi dan lebih kurang seabad pula lamanya

dengan menggunakan tulisan Rumi. Jadi, dari segi kekerapan penggunaan, kaedah ini merupakan kaedah yang terunggul dan telah terbukti berjasa mencelikhurufkan jutaan manusia di negara kita dan yang

sebahagiann

ya kini bergelar cendekiawan dan profesor.

Secara umum, susunan pelaksanaan kaedah ini bersifat binaan. Gambaran binaannya adalah seperti dalam rajah di sebelah. Prosedur Pelaksanaan Abjad Murid diperkenalkan dengan nama semua huruf yang terdapat dalam sistem ejaan semasa. Mereka perlu menghafal nama semua huruf yang diperkenalkan itu. Menurut Abdul Aziz Abdul Talib (2000), biasanya, huruf besar diperkenalkan terlebih dahulu sebelum huruf kecil diajarkan. Menurut Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam (1985) pula, kedua-dua bentuk huruf kecil dan huruf besar didedahkan serentak. Setelah murid menghafal semua nama huruf, pengajaran difokuskan pula pada nama dan bunyi huruf vokal a, e, i, o, dan u.

Suku Kata Setelah murid menghafal nama semua huruf dan mengenal huruf vokal serta bunyinya, pelajaran diteruskan dengan pembentukan suku kata secara berturutan. Murid dilatih tubi membaca suku kata itu. Perkataan Daripada suku kata itu dibentuk perkataan seperti baba, baca, bola, buku, dada, dan cucu. Latih tubi mengeja perkataan diadakan. Lazimnya pengejaan dilakukan dengan menyebut nama huruf pada sesuatu suku kata diikuti dengan penyebutan suku kata itu. Misalnya untuk perkataan buku, mula-mula disebut nama huruf bi dan yu diikuti penyebutan bunyi suku kata bu; kemudian disebut nama huruf ke dan yu dikuti penyebutan bunyi suku kata ku, dan akhir disebut perkataan buku.

Kemahiran Berfikir: Klip video ini dipetik daripada filem Pendekar Bujang Lapok. Adakah kaedah yang terdapat dalam klip video ini menepati kaedah abjad?

Kekuatan Penekanan terhadap nama abjad dan bunyi suku kata sesuai dengan sistem ejaan bahasa Melayu. Kecuali bentuk dwihuruf (digraf) seperti konsonan ng dan diftong ai, umumnya satu huruf dalam bahasa Melayu melambangkan satu bunyi sahaja. Setiap perkataan pula mesti terdiri daripada sekurang-kurangnya satu suku kata. Suku kata itu terhasil dengan menggabungkan satu atau lebih daripada satu konsonan dengan satu vokal atau diftong. Dengan perkataan lain, struktur suku kata bahasa Melayu bersifat tetap dan mudah dikenal pasti. Hal ini memudahkan murid mengingat dan menyebut suku kata. Apabila murid menguasai suku kata, mereka dapat membentuk perkataan. Seterusnya, murid dapat membentuk apa-apa sahaja perkataan baharu dengan suku kata itu walaupun mereka tidak memahami makna perkataan itu. Rumusannya, kaedah ini menyediakan asas yang kukuh kepada murid untuk membaca.

Kaedah ini mudah dikendalikan dan tidak memerlukan alat bantu belajar yang banyak. Berbekalkan pengalaman belajar membaca dengan menggunakan kaedah ini dan dengan menggunakan sumber yang minimum seperti buku, ditokok dengan kesungguhan dan kesabaran, sesiapa sahaja dapat mengajarkan bacaan kepada manamana kumpulan sasaran dengan menggunakan kaedah ini. Guru sekolah rendah dapat melaksanakan kaedah ini berpandukan buku dan dengan menggunakan carta abjad, carta suku kata dan kad perkataan. Kaedah ini sesuai digunakan untuk mengajar orang dewasa seperti yang dilakukan oleh Cikgu Ros. Mungkin Cikgu Ros merupakan salah seorang guru dalam pembasmian buta huruf pada tahun 60-an. Kelemahan Hasil kaedah ini hanya dapat dilihat setelah pembelajaran berlaku lebih kurang enam bulan. Tempoh ini sangat lama. Bacaan murid mungkin kurang lancar. Hal ini disebabkan murid terlazim dengan proses mengeja, iaitu menamakan huruf dan menyebut suku kata sebelum menyebut sesuatu perkataan. Ada kemungkinan murid keliru antara nama huruf dengan bunyi huruf. Implikasinya, kesilapan dapat berlaku apabila mereka silap memecahkan perkataan kepada suku kata. Ada juga kemungkinan mereka tidak memahami apa-apa yang dibaca kerana terlalu mementingkan ejaan. Kebolehan murid berbeza-beza. Bagi murid yang bermasalah pembelajaran, mereka berasa terbeban dan cepat bosan jikalau diajar dengan kaedah ini. Kaedah yang bersifat binaan ini bertentangan dengan pandangan ahli psikologi yang mengatakan bahawa kanak-kanak menguasai sesuatu daripada keseluruhan membawa kepada bahagian-bahagiannya. Perhatian untuk Guru Pemulihan Guru pemulihan khas dan kelas intervensi awal membaca dan menulis (KIA2M) mesti memastikan sama ada murid yang akan dipulihkan pernah diajar dengan menggunakan kaedah ini atau tidak. Jikalau murid yang akan dipulihkan itu pernah diajar dengan kaedah ini sedangkan guru pemulihan menggunakan kaedah yang lain, ada kemungkinan murid akan keliru dan proses pemulihan bertambah sukar. Penutup Kaedah ini masih digunakan oleh kebanyakan guru prasekolah dan Tahun 1. Dalam filem "Berlari ke Langit", seperti dalam klip video di bawah, Cikgu Yasmin juga menggunakan kaedah ini.

Kemahiran Berfikir Apakah kekuatan dan kelemahan kaedah abjad selain yang dinyatakan di atas? Pada bulan Mac tuan ditukarkan dari sekolah A ke sekolah B. Guru besar menugaskan tuan mengajarkan bahasa Melayu di kelas Tahun 1. Apakah pendekatan atau kaedah yang akan tuan gunakan? Bibliografi Abdul Aziz Abd. Talib, 2000. Pedagogi Bahasa Melayu: Prinsip, Kaedah dan Teknik. Kuala Lumpur: Utusan Publications. Idris Mohd. Radzi dan Dahlia Janan, 2006. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu: Penyerapan Kemahiran Bernilai Tambah. Tanjong Malim: Penerbit UPSI. Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam, 1985. Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti. Marzuki Nyak Abdullah, 1994. Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Anda mungkin juga menyukai