Anda di halaman 1dari 11

PENAAKULAN MORAL: KEPENTINGAN TERHADAP CALON GURU PENDIDIKAN MORAL

Norzihani Saharuddin (norzihani@yahoo.com), Nur Surayyah Madhubala Abdullah, Samsilah Roslan Jabatan Pendidikan Bahasa & Kemanusiaan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia

ABSTRAK: Penaakulan moral merujuk kepada satu sistem perlakuan yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang dianggap benar, baik dan patut dilakukan (Abdul Rahman Aroff & Chang Lee Hoon, 1994). Tahap penaakulan moral yang tinggi haruslah dipunyai oleh bakal guru yang akan ditempatkan untuk mengajar di sekolah kelak. Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang amat penting dengan mengambil kira peranan guru di sekolah sebagai agen moral. Tumpuan perbincangan pada kali ini adalah berkenaan keperluan untuk menyelidik kepentingan aspek penaakulan moral dalam kalangan calon guru Pendidikan Moral. Selain itu kertas ini akan membincangkan tentang pandangan teori perkembangan moral kognitif terhadap aspek penaakulan moral calon guru yang bakal ditempatkan di sekolah. Turut disentuh dalam kertas ini adalah beberapa kajian di dalam mahupun luar negara yang menunjukkan bahawa penaakulan moral merupakan suatu elemen terpenting yang perlu dititikberatkan dalam program pendidikan calon guru.

Pendahuluan Pendidikan siswazah di Eropah dilihat sebagai sesuatu yang bertanggungjawab untuk membentuk kemahiran penaakulan moral dan tingkahlaku etika di kalangan pelajar mereka (McClellan, 1999). Secara tradisi, atribut ini dilihat sebagai hasil terbaik daripada program pendidikan. Walaubagaimanapun pada masa dan ketika ini, pemerolehan kemahiran penaakulan moral sering sahaja dikaitkan dengan isu moral tertentu atau kursus etika professional dan amat jarang sekali dianggap sebagai hasil utama pembelajaran di kalangan pelajar siswazah kolej dan universiti. Menurut Derrik Bok (2006), walaupun penawaran etika dalam bentuk subjek adalah biasa, tetapi mereka jarang menggunakannya. Hasilnya, "Majoriti pelajar bergraduat tanpa mempunyai kemahiran penaakulan moral atau dalam subjek yang diperlukan untuk menyediakan mereka menjadi rakyat berpengetahuan dalam sebuah negara demokrasi ... "(2006, ms 147, 311-12). Dalam usaha untuk memperkembangkan kemahiran penaakulan moral pelajar dengan efektif, proses yang dilakukan dalam institusi pendidikan tinggi perlulah secara berfokus dan secara holistik. Jika kita hanya bergantung kepada pengagihan kursus mengikut keperluan atau kelas etika terpencil untuk menghasilkan siswazah dididik dengan moral, maka kita bakal berdepan dengan kegagalan (Hersch & Schneider, 2005). Pengajaran telah disifatkan Chang (1994) sebagai bermoral secara semulajadi. Turut dijelaskan oleh (Sockett, 1993) bahawa tingkahlaku moral adalah perkara yang terkandung dalam pengajaran. Menurut Goodlad, Soder dan Sirotnik (1990), pengajaran adalah asas kepada kemoralan di mana orang dewasa bertanya dan mengkehendaki kanakkanak berubah arah kepada apa yang telah dipilih oleh orang dewasa. Memahami pengajaran dalam sudut sebegini akan membuat mereka dihunjam oleh persoalaan yang tidak ada akhirnya seperti :
1

1. Menurut autoriti apa saya akan paksa perubahan dalam hidup kanak-kanak ini? 2. Apakah nilai terhadap kebebasan dan autonomi mereka? 3. Di manakah tanggungjawab saya terhadap mereka akan bermula dan berakhir? 4. Bagaimana saya akan berhadapan dengan dilema moral? 5. Bagaimana kesakitan mahupun ketidakselesaan yang sanggup saya tanggung bagi pihak pelajar saya? 6. Bagaimana perwatakan saya akan memberi kesan terhadap hidup orang lain? Tindakbalas dan respon terhadap persoalan sebegini akan membuat guru melakukan pertimbangan moral yang melibatkan mengenalpasti apa sebenarnya isu moral tersebut, bagaimana konflik ini ingin diselesaikan dan rasional pemilihan tindakan tersebut (Rest, Thoma & Edwards, 1997). Walaupun persoalan tentang domain moral dalam pengajaran telah ditimbulkan sejak 20 tahun yang lalu, namun hanya sedikit perhatian diraih dalam melaksanakan pendekatan saintifik untuk mengkaji penaakulan moral dan tingkahlaku calon guru mahupun guru yang sedang berkhidmat. Guru PM seharusnya mampu untuk melihat lebih jauh, melangkaui kepentingan diri dan mengambil pandangan yang lebih luas terhadap aspek kemoralan yang mengambil kira perspektif kesemua pelajar tanpa mengira bangsa, kaum, budaya dan mengiktiraf hak untuk dihargai sebagai manusia.

Konsep-Konsep Utama Antara konsep yang ingin diketengahkan dalam kertas ini adalah, pertama penaakulan moral. Penaakulan moral merujuk kepada satu sistem perlakuan yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang dianggap benar, baik dan patut dilakukan (Abdul Rahman Aroff & Chang Lee Hoon, 1994). Berkowitz (1964) menyatakan bahawa ia merujuk kepada kelakuan yang melibatkan pertimbangan atau penaakulan yang mematuhi norma sosial yang ditetapkan sebagai tingkah laku yang betul. Penaakulan moral bermaksud proses seseorang individu mencapai keputusan tentang apa yang patut dilakukan dalam sesuatu dilema moral (Rest 1976). Selain itu penaakulan moral turut didefinisikan sebagai sebab-sebab atau justifikasi yang dipegang oleh individu untuk menghasilkan sesuatu keputusan moral (Gibbs, Basinger dan Fuller, 1992). Mengikut sukatan pelajaran Pendidikan Moral Malaysia penaakulan moral merupakan hasil yang penting dalam pengajaran Pendidikan Moral (Pusat Perkembangan Kurikulum 1988). Pengetahuan Moral yang diuji di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar tingkatan 5 juga adalah berasaskan penilaian penaakulan moral (Jeevajothi 1997). Konsep kedua adalah pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral. Dalam sukatan pelajaran terdahulu, P&P dalam PM menekankan aspek-aspek kerohanian, kemanusiaan, sosial dan pembentukan nilai individu. Ia menekankan pemupukan dan penghayatan nilai-nilai murni yang terdapat dalam masyarakat Malaysia, berdasarkan pelbagai tradisi agama dan budaya, masyarakat yang berbeza dan juga sejajar dengan nilainilai sejagat. Objektif am PM di sekolah rendah dan sekolah menengah adalah pembentukan individu yang mengiktiraf, menerima, dan mengenalpasti peranan mereka sebagai pembuat keputusan yang bertanggungjawab mengenai nilai-nilai moral dalam masyarakat yang demokratik. Sebagai contoh sebarang tindakan mereka dalam semua keadaan adalah dikawal oleh prinsip-prinsip moral. Kurikulum pertama untuk PM terdiri daripada 16 nilainilai yang diperhatikan dan dipelihara oleh individu dan masyarakat. Nilai-nilai ini adalah
2

penting untuk memastikan interaksi yang sihat di antara individu bersama keluarga, rakanrakan, masyarakat dan institusi-institusi lain (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2000).

Latar Belakang Sejak berdekad yang lalu kajian yang pernah dijalankan telah mendapati bahawa tahap penaakulan moral guru merupakan antara faktor yang terpenting dalam perkembangan moral pelajar (turiel et al., 1969 & Kohlberg 1975). Dapatan kajian yang dijalankan oleh Rahman dan Chang (1994), mendapati bahawa pemahaman tentang perkembangan moral pelajar akan membantu guru-guru memilih kandungan dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan peringkat perkembangan moral yang telah dicapai oleh pelajar di sekolah. Kaedah ini juga dapat memberi satu sumbangan yang signifikan terhadap PM di sekolah. Ini kerana melalui pengetahuan dan pengenalpastian peringkat-peringkat penaakulan moral pelajar, guru mampu merangsang proses meningkatkan perkembangan moral pelajar ke satu peringkat seterusnya yang lebih tinggi melalui dilema moral yang dibincangkan di dalam bilik darjah. Justeru membawa maksud bahawa kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan peringkat perkembangan moral pelajar mungkin dapat merangsangkan pemikiran yang rasional. Namun sebelum itu seharusnya para guru turut mempunyai tahap penaakulan moral yang tinggi demi merangsang pelajar dengan pengajaran yang mendorong pemikiran kritikal. Namun ironinya daripada kajian yang pernah dijalankan mendapati bahawa pelajar jurusan perguruan rata-ratanya mempunyai tahap penaakulan moral pada tahap yang sederhana sahaja. Hal ini dilihat sebagai sesuatu yang perlu difikirkan semula. Ini kerana, dapatan kajian OKeefe & Johnson (1989) mendapati bahawa secara spesifiknya, guru yang mempunyai tahap penaakulan moral yang tinggi mampu untuk lebih empati terhadap para pelajar, lebih bertoleransi dalam melontarkan pandangan dan lebih fleksibel dalam pengajaran mereka. Dapatan ini seterusnya disokong oleh Beyer (1997) yang mendapati bahawa kemampuan guru untuk memahami dimensi moral dalam pengajaran adalah amat penting dalam berhadapan dengan masyarakat demokratik yang wujud di sekolah. Hal ini disokong pula oleh Guthrie, King & Palmer (2000) yang menyatakan bahawa guru-guru ini adalah berada pada tahap perkembangan kognitif yang tinggi di mana mereka lebih berupaya untuk bersikap toleransi terhadap kumpulan minoriti. Manakala guru yang menaakul pada tahap yang rendah dikatakan sebagai seorang guru yang kurang efektif, cenderung untuk membuat penilaian yang kurang tepat terhadap pelajar yang menaakul pada tahap yang tinggi, dan menggunakan pendekatan yang kurang pelbagai dalam pengajarannya (Thies,Sprinthall,1894; Reiman & Peace, 2002). Sprinthall dan Bernier (1979) telah mengkaji berkenaan perkembangan moral di kalangan guru di sekolah dengan mengalakkan mereka untuk melibatkan diri dengan aktiviti secara individu seperti menjalani temuduga dan mempelajari modifikasi tingkahlaku kendiri. Pengkaji lain seperti (Oja & Sprintall, 1978; Thies-Sprintall, 1980, 1984; Reiman & ThiesSprinthall, 1993) telah menggunakan refleksi berpandu untuk meningkatkan pengambilan peranan sosial, penaakulan moral dan kebolehan konsepsual dikalangan guru mentor yang bekerja bersama guru pelatih. Hasil yang signifikan telah ditemui pada DIT dan Hunt Peragraph Completion Test dalam kajian yang dijalankan oleh Miller (1981) untuk mengkaji kerumitan kognitif. Berikutan daripada kajian berikut, para pengkaji mencadangkan bahawa adalah menjadi suatu keperluan untuk mewujudkan satu program pendidikan guru yang lebih berasaskan teori yang menekankan aspek perkembangan konsep
3

kognitif dan prinsip penaakulan moral di kalangan guru pelatih. Hal ini dilihat sebagai suatu perkara yang amat penting kerana PM merupakan sebuah matapelajaran yang unik dan memerlukan kaedah pengajaran yang tersendiri yang perlu dikuasai oleh calon guru-gurunya sebelum benar-benar bersedia untuk mengajar di sekolah. Bagi mengukuhkan lagi kajian dan kepentingan tentang penaakulan moral terhadap pengajaran dan pembelajaran PM, Chang (1994) telah menerangkan beberapa karakteristik guru-guru yang berada pada tahap penaakulan moral pos-konvensional. Antara elemen yang dikenalpasti adalaha guru-guru ini mampu untuk menerima pendapat yang pelbagai dan sedaya upaya akan berusaha untuk membantu para pelajar mereka memahami dan menaakul tentang sesuatu peraturan atau undang-undang dari perspektif yang berbeza. Kajian dari luar negara oleh Conroy (1987) mendapati bahawa guru-guru yang berada pada penaakulan moral pos-konvensional mempunyai pandangan humanistik-demokratik terhadap disiplin pelajar. Tambahan pula guru-guru ini menganggap peranan mereka sebagai seorang yang demokratik dan pemudahcara (Johnston & Lubomudrov, 1987). Bukan itu sahaja, malahan guru yang berada pada tahap penaakulan moral pos-konvensional ini juga dikatakan lebih berupaya untuk memastikan hubungan yang akrab bersama pelajar (Johnston & Lubomudrov, 1987). Guru-guru yang berada pada tahaap penaakulan moral yang tinggi dikatakan mampu mencipta iklim bilik darjah yang berasaskan saling menghormati (Holt, Kauchak & Person, 1980). Chang (1994) turut menambah bahawa guru-guru tersebut memahami konsep pendidikan daripada perspektif pelajar sebagai seorang individu dan dalam pengertian yang lebih luas. Ini kerana menurut Chang (1994) juga, guru dengan tahap penaakulan moral yang tinggi mampu untuk lebih empati terhadap keperluan pelajar dan lebih bersedia untuk memudahkan perkembangan pelajar, menghormati hak pelajar, dan lebih objektif dalam mengendalikan masalah yang ditimbulkan oleh pelajar. Secara jelas, guru yang berada pada tahap penaakulan moral pos-konvensional mampu untuk lebih berpusatkan pelajar dengan lebih bertimbangrasa, bersikap demokratik dan professional.

Pandangan Teori Perkembangan Moral Kognitif Menurut Abdul Rahman dan Chang (1994), pemahaman tentang perkembangan moral pelajar akan membantu guru-guru memilih kandungan dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan peringkat perkembangan moral yang telah dicapai oleh pelajar di sekolah. Kaedah ini juga dapat memberi satu sumbangan yang signifikan terhadap PM di sekolah. Ini kerana melalui pengetahuan dan pengenalpastian peringkat-peringkat penaakulan moral pelajar, guru mampu merangsang proses meningkatkan perkembangan moral pelajar ke satu peringkat seterusnya yang lebih tinggi melalui dilema moral yang dibincangkan di dalam bilik darjah. Ini membawa maksud bahawa kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan peringkat perkembangan moral pelajar mungkin dapat merangsangkan pemikiran yang rasional. Namun sebelum itu seharusnya para guru turut mempunyai tahap penaakulan moral yang tinggi demi merangsang pelajar dengan pengajaran yang mendorong pemikiran kritikal. Pandangan berkenaan kemoralan telah dibangkitkan oleh Kohlberg (1981), di mana teori perkembangan moralnya mengandaikan bahawa wujud hubungan diantara perkembangan kognitif dan kemampuan penaakulan moral. Kohlberg melalui penyelidikannya telah mengenalpasti tiga tahap perkembangan moral dan setiap tahap dibahagikan pula kepada dua peringkat. Tahap-tahap dan peringkat-peringkat perkembangan moralnya adalah seperti berikut:
4

I. Tahap Prakonvensional Peringkat 1: Orientasi hukuman dan kepatuhan - Pada peringkat ini, seseorang itu mementingkan diri sendiri. Mereka mematuhi sesuatu autoriti yang lebih berkuasa kerana takut kepada hukuman atau denda. Peringkat 2: Orientasi Instrumental Relativis - Pada peringkat ini, seseorang itu mengambil berat tentang orang lain tetapi mempunyai kepentingan diri. Motif utama seseorang adalah untuk memuaskan keperluan diri sendiri dan tidak mempedulikan keperluan orang lain. II. Tahap Konvensional Peringkat 3: Orientasi Persetujuan Antara Individu - Pada peringkat ini, seseorang itu mengambil berat tentang orang lain dan mengikuti norma-norma mereka. Motif mereka ialah untuk menjadi seorang yang baik seperti yang diharapkan oleh orang lain. Kasih sayang dan sikap prihatin memainkan peranan yang penting. Peringkat 4: Orientasi Undang-undang dan Peraturan - Seseorang itu mengambil berat tentang ketenteraman dalam sesebuah masyarakat. Seseorang itu mempunyai tanggungjawab untuk memelihara peraturan-peraturan dalam masyarakat. Fokus utama adalah untuk memelihara masyarakat dan mengelakkan perpecahan dalam sistem tersebut. III. Tahap Poskonvensional Peringkat 5: Orientasi Contract-Legalistic sosial - Pada peringkat ini, seseorang itu mempunyai obligasi terhadap undang-undang disebabkan kontrak sosialnya untuk mematuhi undang-undang demi menjaga kebajikan orang ramai dan melindungi hak mereka. Undang-undang dibuat untuk kebaikan semua. Walau bagaimanapun, nilainilai seperti kebebasan dan nyawa harus dipertahankan dalam mana-mana masyarakat tanpa mempedulikan pendapat majoriti. Peringkat 6: Orientasi Prinsip Etika Sejagat - Pada peringkat ini, seseorang yang rasional percaya validiti prinsip-prinsip moral sejagat dan mereka mempunyai komitmen peribadi terhadapnya. Prinsip-prinsip sejagat tersebut adalah seperti keadilan, persamaan dan hormat kepada kemuliaan orang ramai sebagai seorang individu. Sesuatu undang-undang atau persetujuan sosial social agreement tertentu pada kebiasaannya adalah sah kerana ia adalah berdasarkan kepada prinsipprinsip tersebut. Apabila sesuatu undang-undang itu dilanggar, seseorang itu akan bertindak mengikut prinsip tersebut. Menurut Kohlberg, peringkat-peringkat perkembangan moral itu mempunyai beberapa ciri. Antaranya ialah: a) Peringkat-peringkat ini adalah bersifat hierarchial integrations. Ini bermaksud, apabila seseorang individu didapati berada di satu peringkat yang lebih tinggi, ini bermakna bahawa ia telah melalui peringkat-peringkat moral yang lebih rendah. b) Peringkat-peringkat itu adalah structured wholes kerana ia merupakan sistem pemikiran yang berterusan. Cara seseorang menganalisis dan menginterpretasikan data serta membuat keputusan mengenai masalah moral dan peribadi merupakan perkara yang sangat penting dalam perkembangan moral secara keseluruhan.
5

c) Urutan dalam peringkat-peringkat itu adalah tidak varian, iaitu pergerakan dalam peringkat penaakulan moral selalunya adalah ke depan dan tidak pernah berundur. Kohlberg (1981) telah menyebut tahap pos-konvensional sebagai tahap penaakulan moral berprinsip. Teori Kohlberg ini telah dikritik oleh beberapa pengkaji lain antaranya Gilligan (1982) mengkritik teori ini sebagai bias kepada jantina lelaki. Walau bagaimanapun Kohlberg tetap meneruskan usaha dalam membongkar isu berkenaan penaakulan moral dan hasilnya ia turut memberi impak terhadap pemikiran tentang kemoralan dan perkembangan moral (Wygant & Williams, 1995). Teori ini turut mendapat gelaran sebagai pasak teras dalam mempelajari kemoralan dari sudut dalam, dan ia adalah tugas utama dalam pertimbangan moral (Rest et al., 1997, ms 6). Tahap penaakulan moral pos-konvensional akan diperlukan untuk guru menjalankan peranan pemimpin sebagai agen moral di sekolah. Chang (1994) mencadangkan bahawa tahap penaakulan moral guru akan membawa kesan terhadap persepsi pelajar terhadap atmosfera bilik darjah dan juga disebut bahawa guru yang mempunyai tahap penaakulan moral yang tinggi adalah lebih mudah untuk memotivasikan pelajar dan mewujudkan perkembangan sosial yang sihat berbanding guru yang berada pada tahap penaakulan moral yang rendah. Beyer (1997) juga pernah menegaskan bahawa kemampuan guru dalam mengambilkira dimensi moral dalam amalan bilik darjah adalah amat penting lebih-lebih lagi dalam masyarakat demokratik. Jika para guru memandang serius terhadaap tanggungjawab sebagai agen moral, maka mereka sewajarnya mampu untuk menaakul tentang isu moral mahupun dilema yang dihadapi pada tahap pos-konvensional justeru mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab etika dan moral diri mereka sendiri. Hal ini mungkin tidak akan berlaku melainkan tenaga pengajar kepada calon guru mengambil serius terhadap tanggungjawab dan tugas mereka dalam menitikberatkan dimensi moral dalam pengajaran mereka. Walau bagaimanapun, John Dewey merupakan salah seorang penyelidik yang mulamula mencadangkan Teori Perkembangan Moral Kognitif. Teori ini bercorak kognitif kerana ia mengakui bahawa pendidikan moral mempunyai asas dalam merangsangkan pemikiran aktif pelajar terhadap isu-isu dan membuat keputusan yang berkaitan dengan moral (Kohlberg, 1975). Dalam kajiannya, Dewey telah mengenal pasti tiga peringkat perkembangan moral iaitu: (1) Peringkat Pramoral (prakonvensional) di mana sesuatu perlakuan itu dimotivasikan oleh dorongan biologikal dan sosial yang mengakibatkan moral. (2) Peringkat Konvensional di mana seorang individu menerima standard atau normanorma masyarakatnya tanpa banyak tentangan. (3) Peringkat autonomous di mana perlakuan seseorang itu adalah dibimbing oleh pemikiran dan pertimbangannya tentang sama ada sesuatu matlamat itu baik atau pun tidak. Teori ini semakin berkembang dari masa ke semasa. Menurut Mosher (1980), selepas menjalankan penyelidikan, Piaget telah menjelaskan semula peringkat-peringkat penaakulan moral Dewey kepada peringkat-peringkat berikut: (1) Peringkat Pramoral di mana seseorang itu tidak mempunyai obligasi terhadap peraturan. Pada peringkat ini, pelajar belum lagi memahami fungsi sesuatu peraturan.
6

(2) Peringkat Heteronomos iaitu sesuatu yang betul itu merupakan ketaatan kepada peraturan. Seseorang itu sudah mula menerima peraturan dan mempunyai obligasi dan kepatuhan terhadap kuasa dan hukuman. (3) Peringkat Autonomos di mana seseorang itu mempunyai keupayaan untuk menimbang di antara tujuan dan kesan-kesan sesuatu peraturan. Obligasi terhadap peraturan adalah berasaskan kepada amalan timbal balik dan pertukaran. Berdasarkan kepada kajian-kajiannya yang dijalankan dibeberapa negara seperti Amerika Syarikat, Taiwan, Turki, Mexico dan Yucatan, Kohlberg (1973) mendakwa bahawa teori perkembangan moralnya itu adalah sejagat dan merentas budaya iaitu;

All individuals in all cultures use the same thirty basic moral categories, concepts or principles and all individuals in all cultures go through the same order or sequence of gross stage development, though they vary in rate and terminal point of development. Kohlberg (1973)

Dalam aspek perkembangan PM di Malaysia pula, penyelidik-penyelidik tempatan (Chuah, 1989; Azian, 1990 & Loganathan, 1995) telah mengesahkan kesejagatan teori perkembangan moral Kohlberg melalui kajian-kajian mereka.

Penaakulan Moral Dalam Kalangan Calon Guru Berdasarkan kepada beberapa kajian yang meninjau tentang tahap penaakulan moral dikalangan calon guru, kebanyakan program pendidikan guru dilihat sebagai belum lagi menggabungkan aspek moral dalam pengajaran ke dalam kurikulum mereka. Keputusan yang diperolehi daripada beberapa kajian tentang penaakulan moral yang dilakukan di luar negara mendapati bahawa tahap penaakulan moral di kalangan calon guru khususnya adalah lebih rendah daripada pelajar-pelajar pada bidang lain (Lampe, 1994; McNeel, 1994; Yeazell & Johnson, 1988). Amat memeranjatkan apabila terdapat kajian yang mendapati bahawa calon guru yang pada mulanya berada pada tahap penaakulan moral berprinsip di awal tahun pengajian menunjukkan penurunan yang signifikan terhadap tahap penaakulan moral mereka pada akhir pengajian (Lampe, 1994; McNeel, 1994). Oleh kerana hanya sedikit sahaja kajian yang dijalankan untuk mengenalpasti penaakulan moral dikalangan calon guru, maka seharusnya kajian selanjutnya perlu dilakukan untuk menentukan sama ada calon guru benar-benar menaakul pada tahap yang lebih rendah daripada pelajar pada bidang lain. Kajian terkini yang lebih terperinci dalam bidang ini adalah sesuatu yang amat penting bagi menilai dan mengenalpasti tingkahlaku moral dan etika para guru (Beyer, 1997; Hostetler, 1997; Piddocke, Magsino, & Manley-Casimir, 1997; Sockett, 1993; strike & soltis, 1998; Strike & Ternasky, 1993; Yost, 1997). Antara kajian penaakulan moral di kalangan guru pelatih yang pernah dijalankan adalah oleh Hurt (1977) yang mengkaji tahap penaakulan moral guru pelatih melalui kemahiran kaunseling dalam memupuk sikap empati melalui aktiviti kaunseling sebaya dan analisis kendiri. Hasil yang signifikan diperolehi melalui ujian DIT yang dijalankan
7

sebelum dan selepas sesi. Kajian oleh Shafer (1978) melibatkan 57 guru pelatih pendidikan sains dalam membincangkan dilema moral seperti yang dicadangkan oleh Kohlberg (1981, 1984). Skor DIT yang diperolehi pada ujian sebelum dan selepas adalah signifikan. Keduadua pengkaji mencadangkan bahawa intervensi yang memberi impak positif terhadap kognitif, ego dan perkembangan moral guru pelatih seharusnya menjadi matlamat dalam program pendidikan guru. Dalam kajian yang dijalankan oleh Reiman (2001), guru pelatih didedahkan kepada kurikulum inovatif yang menggalakkan pengambilan peranan sosial dengan refleksi berpandu. Min skor P yang diperolehi adalah 12.54 dengan saiz (d=.73). Justeru semua guru khasnya guru pendidikan moral seharusnya mempunyai tahap penaakulan moral yang lebih tinggi bagi memastikan pengajaran berkualiti mampu disampaikan kepada para pelajarnya. Seterusnya daripada kajian longitudinal yang telah dijalankan oleh King & Mayhew (2005) telah menemukan beberapa dapatan yang penting berkenaan taakulan moral calon guru. Antara yang hangat diperbincangkan adalah perkembangan moral dikatakan sebagai matlamat utama sesebuah program pengajian tinggi khususnya program perguruan di Eropah. Kajian berkenaan antara lainnya cuba untuk membongkar keperluan taakulan moral yang tinggi di kalangan pelajar calon guru dengan cara meneroka bagaimanaa strategi pedagogi pengajaran mempengaruhi perkembangan tahap taakulan moral. Dalam kajian ini turut ditemukan bahawa kandungan moral dalam kurikulum merupakan salah satu faktor yang menggalakan perkembangan moral. Ini kerana dengan memberi pelajar peluang berbincang tentang isu yang melibatkan dimensi moral mampu menggalakkan mereka untuk mengambil perspektif sekaligus menyediakan mereka ruang untuk terlibat dalam membuat keputusan moral. Kajian ini turut mendapati bahawa persepsi pelajar tentang bagaimana pensyarah menstrukturkan kelas mereka serta membincangkan tentang kandungan moral mampu memberi kesan terhadap kualiti perbincangan isu moral. Penemuan penting kajian ini juga antara lainnya menyatakan bahawa pembentukan persekitaran pembelajaran yang selamat dan menyokong pelajar untuk bertanya mahupun menyuarakan pandangan berkenaan isu moral dikatakan sebagai amat penting dalam menggalakkan pertumbuhan taakulan moral. Selain itu elemen interaksi pelajar bersama rakan-rakan yang pelbagai dikatakan mampu mengganggu-gugat perkembangan taakulan moral pelajar seandainya tidak diberi perhatian. Menurut kajian ini juga pihak fakulti atau institut pengajian bertanggungjawab untuk menyediakan tenaga pengajar yang efektif, termasuklah memupuk kemahiran untuk mencipta ruang di mana para pelajar berasa selamat untuk berbual secara jujur berkenaan isu bangsa antara satu sama lain serta belajar untuk menghormati keterbezaan masing-masing. Ini adalah kerana menurut pengkaji, mengelak dari membincangkan isu ini akan menyebabkan perkembangan taakulan moral terbantut seterusnya sedikit sebanyak akan mencacatkan keberkesanan pensyarah sebagai seorang pengajar yang bertanggungjawab untuk membantu pelajar mengenalpasti potensi diri menjadi warga yang bertanggungjawab. Kajian ini sedikit sebanyak telah memberi celik akal terhadap proses mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang disatukan dengan pembangunan penaakulan moral pelajar perguruan. Tanpa diduga sebenarnya terdapat segelintir dapatan kajian yang menyatakan bahawa skor penaakulan moral bagi kebanyakan guru yang sedang berkhidmat dan calon guru masih lagi belum berada pada tahap pos-konvensional. Sorotan daripada 30 kajian yang meneroka aspek penaakulan moral di kalangan guru yang sedang berkhidmat dan calon guru seperti yang dinyatakan Diessner (1990) melaporkan bahawa kebanyakan guru yang sedang berkhidmat hanya menaakul pada tahap konvensional. Dalam membuat kesimpulan
8

terhadap dapatan ini, Chang (1994) kemudian merumuskan bahawa walaupun mengajar adalah sesuatu yang bersifat moral secaraa semulajadi dan guru membuat keputusan moral berterusan, namun para guru dilihat sebagai belum bersedia terhadap aspek tugas ini. Keputusan daripada beberapa kajian yang meninjau berkenaan penaakulan moral di kalangan bakal guru menyatakan bahawa pertama, skor penaakulan moral mereka adalah lebih rendah daripada pelajar dalam bidang lain-lain, kedua, tahap penaakulan moral bakal guru ini dilihat sebagai tidak meningkat daripada tahun pertama hingga ke tahun akhir pengajian dan ketiga, skor penaakulan moral pelajar senior bidang pendidikan tidak banyak bezanya dengan pelajar junior dalam bidang lain (Cummings, et. al, 2001; McNeel, 1994; Yeazell & Johnson, 1988). McNeel (1994) turut menyuarakan kebimbangannya dengan menyatakan bahawa skor penaakulan moral yang rendah dikalangan pelajar bidang pendidikan mempunyai implikasi yang maha besar, ini kerana kepentingan profesyen pendidikan terhadap kehidupan masyarakat dan sesebuah negara tidak dapat dinafikan. Para pengkaji lain turut menyatakan kegusaran mereka terhadap isu ini. Antaranya, Yeazell and Johnson (1988) yang menyatakan kebimbangan bahawa dikhuatiri bakal guru ini menjadi guru yang mempunyai tahap pertimbangan moral yang kurang daripada pelajar mereka. Beliau turut menyatakan bahawa kemampuan penaakulan moral yang rendah bukan hanya menimbulkan keraguan serius terhadap kemampuan bakal guru ini untuk memahami dan mengajar prinsip etika dan memudahcara perkembangan panaakulan moral pelajar, namun turut membangkitkan persoalan serius tentang bagaimana bakal guru ini membuat keputusan di dalam aktiviti bilik darjah yang melibatkan situasi moral seperti keadilan, penggurusan kekurangan masa dan sumber dan segala proses berkenaan disiplin kelas.

Kesimpulan Dalam melaksanakan program Pendidikan Moral di sekolah banyak perkara yang perlu dititikberatkan antaranya bagaiamanakah tahap penaakulan guru itu sendiri. Hal ini kerana melalui perbincangan di atas sedikit sebanyak telah menunjukkan bahawa terdapat perbezaan di antara guru yang menaakul pada tahap penaakulan pos-konvensional dengan konvensional. Ia dapat dilihat melalui beberapa aspek terpenting seperti gaya dan cara pengajaran mereka, tanggapan terhadap pelajar, malahan kaedah dan cara yang digunakan dalam menangani isu dan dilemma moral. Hal ini amat penting kerana sedikit sebanyak mampu untuk mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan moral pelajar. Ini adalah kerana perkembangan moral pelajar bukan hanya bertumpu pada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas semata-mata, bahkan ia berkait secara langsung dengan individu di mana mereka berinteraksi terutamanya ibu bapa, guru, juga komuniti dewasa di sekelilingnya. Dapat disimpulkan bahawa guru mempunyai pengaruh yang besar kepada pelajar, mereka bukan sekadar menjadi role-model yang baik, namun perlu juga di lihat dari aspek kebolehan guru untuk menghargai perspektif pelajar serta keupayaan untuk membantu pelajar membentuk pemikiran moral. Justeru guru seharusnya mempunyai kemampuan untuk menaakul pada tahap penaakulan moral yang tinggi. Selain itu, turut dipaparkan tadi bahawa jika kandungan kurikulum pendidikan guru dilihat sebagai suatu medium untuk menangani pembangunan etika dan moral pelajar, maka usaha perlu dibuat untuk memasukkan kandungan kursus yang bertepatan untuk memenuhi matlamat penghasilan calon guru PM yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran malahan mampu menaakul pada aras yang tinggi dalam membuat sesuatu pertimbangan moral.
9

BIBLIOGRAFI Rest, J. R., Thoma, S. & Edwards, L. (1997) Designing and validating a measure of moral judgment: Stage preference and stage consistency approaches. Journal of Educational Psychology, 89(1), 5-28. Schlaefli, A., Rest, J., and Thoma, S. (1985) Does moral education improve moral judgment?: A meta-analysis of intervention studies using the defining issues test. Review of Educational Research, 55(3), 319 352. Kohlberg, Lawrence. (1981). The meaning and measurement of moral development. Worchester, MA: Clark University Press. Gilligan, C. (1982). In a different voice: Psychological theory and womens development. Cambridge, MA: Harvard University Press. Good, J. & Cartwright, C. (1998) Development of moral judgment among undergraduate university students. College Student Journal, 32, 270-276. Bok, D. (2006) Our underachieving colleges: A candid look at how much students learn and why they should be learning more. Princeton, NJ: Princeton University Press. Kohlberg, L. (1984) Essays on moral development: the philosophy of moral development. Moral stages and the idea of justice (vol.1) (San Francisco, CA, Harper & Row). Mayhew, M. J. (2005) Curricular content and pedagogical practices that influence the development of moral reasoning in undergraduate students, Dissertation Abstracts International, 65(10), 3720, (AAT 3150033) King, P.M. & Mayhew, M. J. (2002) Moral judgement development in higher education: insights from the Defining Issues Test, Journal of Moral Education, 31(3), 247-270 Vishalache, B. (2004a). Project work in teaching Moral Education: A Malaysian review. Paper presented at Association for Moral Education International Conference, Dana Point, California. Hutchings, P. (Ed.). (2000). Approaching the scholarship of teaching and learning. Opening lines: Approaches to the scholarship of teaching and learning. Menlo Park, CA: The Carnegie Foundation for the Advancement of Teaching, 1-10. Curriculum Development Centre. (1988). Curriculum Development Centre of Malaysia Report. Kuala Lumpur: Government Printers. McNeel, S. (1994) College teaching and student moral development, in: J. Rest & D. Narvaez (Eds) Moral development in the profession: psychology and applied ethics (Hillsdale, NJ, Lawrennce Erlbaum), 26-47 Bebeau, M. (2002) The Defining Issues Test and the Four Component Model: contributions to professional education, Journal of Moral Education, 31(3), 271-295 Astin, A.W. 1977. Four critical years. San Francisco: Jossey-Bass.
10

Centra, J. 1981. Research Productivity and Teaching Effectiveness. Princeton, N.J.: Educational Testing Service. Feldman, K. 1987. Research productivity and scholarly accomplishment of college teachers as related to their instructional effectiveness: A review and exploration. Research in Higher Education 26(3): 227-298. Kantor, R.M. 1977. Men and women of the corporation. New York: Basic Books. Pascarella, E.T. and P.T. Terenzini. 1991. How college affects students: a third decade of research San Francisco, CA, Jossey-Bass. Mukherjee, H. (1983). Moral education in a plural society: Malaysia. Journal of Moral Education, 12(2), 125130.

11

Anda mungkin juga menyukai