Anda di halaman 1dari 1

UNIT 1 PENGENALAN KEPADA KONSEP ASAS MORAL TAJUK 1 Konsep Asas Moral

Pengenalan Terdapat pelbagai pendapat yang bertentangan dalam menerangkan konsep moral. Pemahaman konsep asas moral akan mempengaruhi kandungan dan kaedah mengajar Pendidikan Moral seseorang guru. Seseorang guru moral perlu dilengkapi dengan pengetahuan tentang teori etika sebagai asas memahami peranan nilai sebagai piawai yang asas dalam mempengaruhi dan mencorakkan penaakulan dan perlakuan murid-murid. Pengetahuan dan kefahaman teori perkembangan moral dari segi psikologi juga akan memperkukuhkan kefahaman dan pendekatan guru dalam penyampaian nilai-nilai moral kepada murid-murid. Dalam memperkatakan konsep asas moral, kita pastinya mengaitkannya dengan konsep nilai, etika dan akhlak. Amat penting bagi kita memahami konsep-konsep yang saling berkaitan ini untuk mencari pengertian moral dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Definisi Konsep Dalam memperkatakan konsep asas moral, kita patut meneliti konsep-konsep berikut: moral, etika dan akhlak. Tidak dapat dinafikan adalah penting kita memahami konsep-konsep ini yang saling berkaitan untuk mencari pengertian terhadap aspek moral dalam kehidupan sesebuah masyarakat. 1.1 Konsep Moral Perkataan moral berasal daripada perkataan mores - bahasa Yunani yang membawa erti: tingkah laku yang sejajar dengan tatasusila dan peraturan masyarakat. Oleh itu, moral merupakan nilai-nilai murni seperti baik hati, merendah diri, belas kasihan dan berkait dengan beberapa peraturan seperti tatahukum, tatasusila, tatatertib, nilai tradisi, kepercayaan, undang-undang, norma dan adat dalam mana-mana masyarakat yang dimaksudkan. Contohnya, sepasang suami isteri menemui seorang bayi di tepi sebuah balai raya ketika pulang ke kampung orang tuanya. Kebetulannya pasangan itu tidak mempunyai anak setelah 10 tahun berkahwin. Mereka bercadang untuk membawa bayi comel itu balik ke rumah dan membelanya tanpa mengikut peraturan undang-undang. Akhirnya setelah berbincang mereka akur bahawa undang-undang negara perlu dipatuhi. Mereka membawa bayi comel itu ke balai polis untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang ditentukan.