Anda di halaman 1dari 15

1.0 PENGENALAN Malaysia ialah sebuah Negara berbilang kaum.

Kaum-kaum yang ada di Malaysia telah hidup bersama secara aman dan tenteram dan dapat menikmati kekayaan Negara secara bersama kerana adanya sifat tolak ansur yang tinggi di kalangan rakyat. Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefiniskan tolak ansur sebagai bersikap toleransi yang merujuk kepada sedia menghormati atau menerima pendapat atau pendirian orang lain yang berbeza dengan pendirian atau pendapat sendiri. Manakala menurut Longman Dictionary Comtemporary English (2003), perkataan tolak ansur bermaksud: Willingness to allow people to believe what they want without being criticized or punishment. Ertinya kemampuan untuk membenar dan menerima apa yang dipercayai oleh individu tertentu tanpa mengkritik atau menghukum. Tolak ansur menjurus kepada sikap keterbukaan untuk menerima sesuatu perkara atau agenda dengan baik untuk seseorang individu atau kumpulan tanpa ada syak wasangka buruk. Dalam bahasa Arab ia bermaksud tasamuh. Dalam Kamus Dwibahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada memberi erti kesabaran; tasamuh. Menurut pendapat Dr. Abd Monir Yaacob, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (2003), tolak ansur sebagai satu sikap pegangan kehidupan dalam masyarakat memberi erti tidak idealisme, tidak fanatik, tidak mementingkan diri sendiri; mempunyai sikap keterbukaan, realistik, muafakat, toleransi, sabar dan menghormati hak orang lain. Orang yang mengamalkan sikap tolak ansur berupaya menanggung sesuatu tekanan atau berupaya menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk orang lain dan bersikap terbuka dan lapang dada. Ciri-ciri tersebut adalah penting dihayati dalam masyarakat majmuk supaya keharmonian dapat dicapai. Keharmonian tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa sikap tolak ansur dan dengan
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 1

buruk sangka. Bagi melahirkan keharmonian yang berterusan memerlukan ``kejinakan hati'' antara lapisan masyarakat. Perlu ada keserasian dalam kehidupan dengan menghindar ``buruk sangka dan kesangsian''. Dalam sebuah rumah tangga memerlukan kejujuran, keikhlasan dan amanah. Mewujudkan suasana kasih sayang dan kemesraan. Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, masyarakat yang perlu dibina mestilah bermoral dan beretika, iaitu sebuah masyarakat bersatu padu yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh serta bersikap tolak ansur. Justeru, sukatan Pendidikan Moral KBSM (2000) memasukkan nilai tolak ansur dalam Bidang Pembelajaran 1: Nilai Berkaitan Dengan Perkembangan Diri. Menurut buku sukatan ini, tolak ansur didefinisikan sebagai kesanggupan bertoleransi, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup. Kenyataan di atas juga berkaitan dengan nilai hormat, keadilan, kebebasan, dan semangat bermasyarakat seperti yang tertera dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Dalam KBSM, pemupukan nilai ke 16, iaitu semangat bermasyarakat bertujuan menggariskan kesediaan melakukan sesuatu dengan semangat kekitaan demi kepentingan bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup dalam bermasyarakat. Untuk mempastikan kejayaan nilai ini disemai dalam kalangan pelajar, nilai tolak ansur perlulah diperkukuhkan. Pada tahun 1991, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengemukakan Wawasan 2020 yang menggariskan sembilan cabaran. Cabaran kelima menjurus kepada pentingnya tolak ansur iaitu mewujudkan masyarakat liberal dan bertoleransi, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan idea, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan kepada negara.
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 2

Wan Zahid (1988) dalam Dr. Tajul Ariffin dan Dr. Nor Aini (1992) menegaskan sistem pendidikan merupakan wadah utama untuk membentuk identiti anak bangsa, menjadi alat terpenting untuk menjayakan pembangunan negara, berfungsi sebagai wahana yang kukuh untuk mencapai perpaduan serta kesejahteraan bangsa dan negara. Pendidikan yang mampu menghadapi cabaran dan tuntutan harus mempunyai paksi atau teras yang kukuh. Justeru, Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1961 serta berasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang mengutamakan perpaduan sebagai matlamat utama pendidikan telah mengalami beberapa kali kajian semula untuk mempastikan matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, hidup berharmoni, dan berdisiplin tercapai. Dan, untuk mencapainya, nilai tolak ansur perlu diperkukuhkan kerana ia melibatkan gabungan budaya serta agama masyarakat majmuk Malaysia. Sehubungan itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mensasarkan agar dapat melahir dan memperkembang potensi individu secara menyeluruh serta bersepadu berharap agar rakyat Malaysia kelak dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sinonim dengan Islam Hadhari telah menggariskan sepuluh prinsip utama Islam Hadhari. Pembangunan ekonomi yang seimbang (prinsip kelima), kehidupan berkualiti (prinsip keenam) dan kekuatan pertahanan serta perpaduan (prinsip kesepuluh) memerlukan tolak ansur antara kaum untuk mencapainya. Tanpa tolak ansur, kuasa ekonomi tidak akan dapat dibahagi sama rata. Kepincangan keseimbangan ekonomi akan menggugat kehidupan yang berkualiti dan ini boleh menghancurkan kekuatan pertahanan serta perpaduan. Akibat ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum maka wujudlah pelbagai spekulasi, iri hati, dan kurang senang yang berterusan di kalangan masyarakat dan
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 3

akhirnya berlakulah peristiwa hitam 13 Mei. - Dewan Siswa, September 2005 Jelasnya, nilai tolak ansur berkaitan dengan sikap toleransi serta sikap liberal individu dalam masyarakat bagi menjamin keharmonian dan kemakmuran negara. Merujuk kepada kupasan umum di atas, dapatlah dikatakan bahawa tanpa nilai tolak ansur yang kukuh matlamat KBSM, KBSM, Wawasan 2020, dan Dasar Pendidikan Kebangsaan mungkin tidak akan tercapai.

Berdasarkan beberapa dasar kerajaan yang disebutkan di atas dapatlah disimpulkan nilai tolak ansur yang menjadi pemangkin perpaduan dipahat sejak awal usia warganegara Malaysia. Dewasa ini, kita boleh berkongsi raya, berkahwin campur, menghantar anak-anak ke sekolah kaum lain dan seumpamanya yang menggambarkan keterbukaan dan keutuhan perpaduan masyarakat Malaysia menuju era pembangunan mahupun globalisasi. Menurut Prof. Dato Dr. Khoo Kay Kim dalam Dewan Budaya ( Mac 2004 ) menyatakan sejumlah 60 000 pelajar Melayu bersekolah di sekolah Cina. Malah gabungan MIC, MCA dan UMNO dalam Barisan Nasional yang mewakili tiga kaum utama Malaysia memberi impak kepada tolak ansur dalam perkongsian pentadbiran negara dan kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2004 lalu membuktikan tolak ansur antara kaum telah kukuh wujud. Tanpa mengira siapa calon dan agamanya, pengundi di Malaysia tetap mengundi calon yang dinaungi oleh Barisan Nasional. Malah filem Mahligai Gading yang menyaksikan gabungan tiga kaum utama di Malaysia memberi impak kepada perpaduan negara yang memerlukan tolak ansur antara kaum.

Berdasarkan huraian di atas, tolak ansur di Malaysia nampak ampuh kerana berupaya mengekalkan perpaduan dan kestabilan politik negara hingga ke hari ini. Namun jika dilihat kajian Identiti Nasional dan Etos Bangsa oleh Nor Hashimah et al., (2004)

ELM3101 PENDIDIKAN MORAL

Page 4

menampakkan satu isu yang perlu dikawal agar tolak ansur yang telah dan sedang disemai sentiasa tersemat dalam jati diri masyarakat Malaysia.

ELM3101 PENDIDIKAN MORAL

Page 5

2.0 PERANAN GURU PENDIDIKAN MORAL DALAM MEMUPUK PERPADUAN KAUM

Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.

Meninjau kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, telah memberikan penekanan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan ialah satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.

Dalam situasi sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat tolak ansur antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menimbulkan perpaduan kaum serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Maka, semangat perpaduan perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 6

Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C), dan SRJK(T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin, dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin, dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi.

Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Di luar sistem akademik, para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar.

Selain itu, dalam mata pelajaran Pendidikan Moral pendekatan yang lebih baik digunakan agar pelajar dapat memahami tentang keperluan moral, sosial, agama dan kepercayaan kepada tuhan serta menjadi warga negara yang baik. Pelajar-pelajar juga sering bergaul antara pelbagai etnik secara lebih dekat semasa diadakan kegiatan kokurikulum, kerja luar dan juga semasa belajar dalam kelas. Dengan cara kegiatan tersebut agak mudah untuk guru memupuk semangat bekerjasama antara etnik dan saling faham dan memahami antara satu dengan lain. Program Patriotisme melalui aktiviti-aktiviti yang boleh membina jati diri serta semangat kecintaan kepada bangsa dan negara seperti Kuiz Bina Bangsa/budaya, Debat Perpaduan, Kempen Kibar Jalur Gemilang, Pertandingan Lagu Patriotik, Kem Padu Anak Malaysia, Mantor-mentee, Kawat kaki (Kelab dan Persatuan), Homestay, Perhimpuan/nyanyian dan Lawatan Integrasi/anak Angkat/Pesta.
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 7

Dalam merealisasikan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara, guru Pendidikan Moral sememangnya memainkan peranan yang amat penting kerana mereka adalah guru yang mengajar secara langsung tentang amalan murni dan nilai patriotik di sekolah, tidak seperti guru-guru lain yang hanya menggabungjalin nilai-nilai ini ke dalam mata pelajaran teras. Prinsip pertama dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan. Faktor kepercayaan kepada agama merupakan perkara utama yang harus ditekankan oleh guru Pendidikan Moral kepada murid-murid. Ibu bapa mengharapkan agar pihak sekolah dan juga guru dapat meningkatkan kepercayaan anak-anak mereka kepada Tuhan dan agama. Perkara ini menjadi lebih kritikal dalam era globalisasi. Hal ini kerana, kehidupan yang begitu mementingkan materialistik, teknologi dan hiburan dapat menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan. Dalam kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian melalui pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan melahirkan akal yang sihat, jasmani yang cergas dan sahsiah yang terpuji dalam kalangan murid. Pembinaan kekuatan dalaman ini akan lebih mudah dilaksanakan jika guru melaksanakan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan modal insan. Prinsip kedua Rukun Negara ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan cirri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatupadu kerana Raja adalah payung negara yang menaungi seluruh rakyat di Negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidakwajar dipolitikkan sama sekali. Guru sebagai penyampai ilmu (Muallim), perlu mendedahkan kepentingan mengenali dan hormati institusi raja dengan memberi pendedahan tentang SejarahKesultanan Melayu, sistem
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 8

Raja Berpelembagaan dan Majlis Raja-Raja. Guru perlu menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan nilai-nilai murni tersebut dengan menyampaikan isi kandungan pendidikan dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni dalam menyampaikan apa juga disiplin ilmu. Contohnya, menimbulkan perasaan kasih sayang terhadap pemimpin, raja dan negara dan kesan-kesan negatif andainya perasaan tersebut diabaikan seperti berlakunya rusuhan dan negara tidak akan aman sekiranya perasaan sayang pada negara tidak wujud. Murid-murid juga perlu memikirkan kesan terhadap dunia ini sekiranya mereka tidak menyayangi dan taat kepada negara, raja dan pemimpin. Demi memberi kesan yang lebih baik, guru boleh membuat lawatan sambil belajar ke Muzium Negara dan Perpustakaan Negara bagi mencari maklumat. Di samping itu, murid dapat merehatkan fikiran dengan menyaksikan barang-barang bersejarah agar dapat menimbulkan perasaan bangga dengan sistem pemerintahan yang terdapat di Malaysia. Guru juga perlu membimbing murid membuat peta minda tentang peranan dan fungsi raja dalam sistem pemerintahan negara supaya mereka sedar besarnya peranan pemerintahan raja pada kerajaan Melayu lama. Dengan demikian, murid-murid akan mengenali dan menghormati institusi raja yang terdapat di Malaysia. Prinsip ketiga adalah Keluhuran Perlembagaan. Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru itu, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara ini. Sebagai guru Pendidikan Moral, guru perlu menegaskan tentang kepentingan kesepaduan antara kaum yang sentiasa menjadi perkara asas dalam membina kerukunan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa. Antara perkara yang boleh dipraktikkan oleh guru ialah menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pertuturan seharian. Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling wajar
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 9

digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Prinsip keempat ialah Kedaulatan Undang-undang. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, gender mahupun kedudukan. Dalam mendidik murid untuk sentiasa menjadi warganegara yang sentiasa mengamalkan peraturan dalam kehidupan seharian, guru Pendidikan Moral boleh memulakannya dengan perkara yang kecil dan mudah sahaja contohnya sentiasa menggalakkan murid-murid untuk mengikuti peraturan sekolah seperti hadir ke sekolah tepat pada masanya dan tidak membuang sampah merata-rata. Walaupun hal ini kedengaran tidak penting, namun apabila kita menerapkan murid dengan asas yang kukuh maka tidak mustahil jika ia berkembang ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.Guru juga haruslah sentiasa meningkatkan amalan pedagogi dalam pengajaran, sesuai dengan ragam murid yang pelbagai. Kepelbagaian dalam cara mengajar membolehkan murid terus fokus dan tidak bosan serta objektif pembelajaran yang dirancang juga dapat dicapai. Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah akibat pengajaran guru yang tidak memberangsangkan, secara tidak langsung murid-murid sendiri dapat mengamalkan peraturan sekolah dengan lebih berintegriti. Prinsip kelima ialah Kesopanan dan Kesusilaan. Guru sentiasa menjadi perhatian umum dari hujung rambut ke hujung kaki. Apa sahaja yang dipakai, diperkatakan, dilakukan atau ke mana sahaja guru pergi, mereka tetap menjadi perhatian masyarakat. Guru muaddib adalah guru yang mengajarkan adab dan budipekerti. Dalam hal ini, guru berusaha memastikan adab dan budi pekertinya adalah ditahap yang cemerlang. Ini adalah kerana guru merupakan model kepada murid-murid dan masyarakat sekelilingnya. Guru tidak seharusnya umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul. Guru Muaddib bukan sahaja perlu mengajar nilai-nilai murni tetapi mesti mengamalkan nilai-nilai murni tersebut. Melalui aktiviti main peranan, guru bolehlah memainkan
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 10

peranannya sebagai Muaddib iaitu sebagai pendidik adab dan budi pekerti dalam aktiviti ini. Guru mewujudkan situasi perayaan Deepavali. Guru mengarahkan beberapa murid memainkan peranan sebagai tuan rumah dan tetamu yang datang ke rumah untuk beraya bersama-sama. Dalam aktiviti ini akan memainkan ramai pelajar bagi mewujudkan suasana sebenar sesuatu perayaan. Penerapan adab budi pekerti melayan tetamu dan hormat menghormati amat ditekankan dalam aktiviti main peranan. Cara meminta maaf ketika hari perayaan agama juga akan ditekankan agar murid memahami pentingnya saling memaafkan antara satu sama lain.

ELM3101 PENDIDIKAN MORAL

Page 11

3.0 PENUTUP Secara keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa corak hubungan tolak ansur rakyat Malaysia banyak bergantung kepada sejauhmanakah situasi dan keadaan semasa di negara kita memerlukan kerjasama. Sikap dan tindakan yang tidak mendatangkan mudarat dan berbahaya kepada orang lain boleh membawa kepada suasana yang harmoni dalam masyarakat. Jika warna-warna itu sesuai dan elok kombinasinya maka akan lahirlah keharmonian. Apabila masyarakat hidup ramah mesra, tolong menolong, belas kasihan, bertegur sapa, prihatin terhadap jiran, nasihat menasihati serta menjaga kepentingan dan hak orang lain sudah pasti masyarakat itu akan hidup dalam suasana harmoni. Guru Pendidikan Moral mempunyai tanggungjawab yang penting. Selain daripada perlu menyampaikan pelajarannya dengan berkesan beliau perlu menjadi contoh kepada pelajarnya. Guru Pendidikan Moral bukan sahaja mengajarkan nilai-nilai moral kepada murid-murid tetapi harus menghayati serta mengamalkannya. Mereka ialah Role Model yang merupakan kayu ukur kepada perkembangan moral pada pandangan pelbagai pihak, khususnya pelajar-pelajar di sekolah tersebut. Sehubungan itu, tugas menyemai dan memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar kita adalah tanggungjawab guru Pendidikan Moral. Dengan menjalankan tugas penuh dedikasi sebagai seorang pendidik, adalah diharapkan bahawa matlamat pendidikan kebangsaan dapat dicapai, iaitu menghasilkan pelajar-pelajar yang bertanggungjawab dan mempunyai akhlak yang bermoral tinggi serta mulia. Pelajar-pelajar yang berlainan kaum perlu didedahkan kepada nilai-nilai bersama seperti perasaan kasih saying, hormat menghormati, saling bantu membantu, berbudi bahasa, cintakan keamanan, bencikan kekejaman, jujur, bertanggungjawab dan sebagainya. Dengan ini, sekolah akan melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu dan mempunyai semangat perpaduan yang kuat walaupun berlainan kaum.
ELM3101 PENDIDIKAN MORAL Page 12

Dasar yang dimainkan oleh pendidikan amatlah penting dalam proses integrasi dan pembangunan sesebuah negara. Dengan perkembangan ekonomi yang cepat menyebabkan keadaan mobiliti masyarakat terus berubah . Dalam masa yang sama, kita harus terus mempertahankan nilai-nilai perpaduan yang diasaskan sebelum ini. Bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi menjadi alat perpaduan antara kaum. Hanya menerusi pendidikan saja, rakyat malaysia yang berbilang kaum dapat disemai rasa semangat kekitaan dari sejak kecil hinggalah dewasa. Oleh itu segala dasar dalam pendidikan yang dapat memupuk integrasi antara kaum haruslah disokong sepenuhnya oleh setiap rakyat malaysia. Sesuai dengan perubahan masa, pelbagai dasar yang telah diwujud sejak dari kita merdeka hinggalah sekarang perlulah sering disemak bagi memastikan setiap dasar yang di rancang dapat melaksanakan proses integrasi antara kaum di sekolah dengan berkesan. Sekolah merupakan unit yang terpenting dalam sistem pendidikan kita bagi mewujudkan integrasi di antara kaum. Kegagalan proses integrasi di sekolah, khasnya di peringkat rendah akan menyebabkan juga gagalnya proses integrasi peringkat menengah dan seterusnya universiti. Ini seterusnya akan menghasilkan masyarakat Malaysia bukan saja berlainan kaum tetapi tidak bersatu padu dan berlainan kefahaman. Oleh itu pelbagai cara harus digunakan bagi memupuk integrasi antara kaum di sekolah. Sekolah adalah tempat bermula segalanya dan ia harus dijaga dengan baik dan sempurna. Sekolah juga harus relevan dengan kehendak semasa yang sentiasa berubah. Tetapi walaupun perubahan yang berlaku, sekolah sebagai pusat integrasi kaum terpenting jangan sesekali hilang upayanya. Ini adalah supaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum atau kaum dapat hidup bersatupadu, harmonis dan berjiwa Malaysia.

ELM3101 PENDIDIKAN MORAL

Page 13

4.0 BIBLIOGRAFI Abdul Rahman Aroff (1986) Pengenalan Pendidikan Moral. Petaling Jaya : Siri Pendidikan Fajar Bakti. Dr. Tajul Ariffin bin Nordin dan Dr. NorAin bte Dan (1992) Pendidikan Dan Wawasan 2020 Falsafah, Perguruan dan Persekolahan. Kuala Lumpur : Arena Ilmu Sdn. Bhd. Ee Ah Meng (1996) Pendidikan Moral (Elektif) Edisi Kedua. Shah Alam : Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. Joginder Singh Jessy (1979) Sejarah Tanah Melayu (1400 1959). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Ranjit Singh Malhi (1985) Panduan Peperiksaan Am Kerajaan. Petaling Jaya : PKS Sdn. Bhd.

ELM3101 PENDIDIKAN MORAL

Page 14

Rohani Ab. Ghani dan Zulhaimi Paidi (2002) Kenegaraan Malaysia Isu Isi dan Perkembangan. Pahang : PTS Publication & Distributors Shahril @ Chairil Marzuki dan Habib Mat Som (1999) Isu Pendidikan Di Malaysia, Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Tam Yeow Kwai (1996) Pendidikan Moral 1 Konsep dan Pengajaran Pendidikan Moral. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Tang Chee Yee (1993) Negara Kita Untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd. Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka Dewan Budaya Mac, April dan Ogos 2004 Dewan Masyarakat Oktober 2005 Dewan Siswa September 2005 Internet www.islamhadhari.net/v2/seminar/seminar_detail.php%3Fnkid %3D9&w=identiti+nasional+bangsa+malaysia&d=KnwCl21aMJ1N&icp=1&.intl=mye

ELM3101 PENDIDIKAN MORAL

Page 15

Anda mungkin juga menyukai