Anda di halaman 1dari 4

PELBAGAI penyelidikan telah dibuat untuk membentuk dan menyusun strategi pembelajaran yang lebih berkesan terhadap pelajar-pelajar.

Pembelajaran secara hafalan memerlukan daya ingatan yang kuat, tetapi ianya tidak dapat membentuk insan yang kritis dan kreatif malah ianya tidak sesuai di zaman yang serba maju ini.Sebagai seorang insan, Allah telah mengurniakan kepada kita pancaindera yang mempunyai pelbagai fungsi. Pancaindera ini amat peka serta amat responsif terhadap apa-apa rangsangan yang berkaitan dengannya. Mata adalah merupakan salah satu pancaindera yang amat penting bagi seseorang insan. Sebagai contoh, mata yang berfungsi untuk penglihatan akan merangsangkan tindakan seseorang itu apabila ianya melihat sesuatu yang dapat memberi sesuatu makna kepada dirinya. Seorang kanak-kanak yang masih kecil dan belum mengenal huruf dapat memahami sesuatu keadaan melalui penglihatan dan pemerhatian. Objek yang dilihat melalui mata akan menghasilkan sesuatu mesej melalui interpretasi yang dibuat di bahagian otak. Mesej yang dihasilkan akan menjadi mudah dan jelas sekiranya kita dapat merangsangkan pancaindera yang ada pada seseorang individu itu dengan cepat.Oleh sebab itu, dalam proses pembelajaran seseorang itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran yang diperolehi dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah. Beberapa elemen yang dapat merangsangkan fungsi otak dan memudahkan pemahaman kita adalah Teks. Teks yang ringkas dan mudah difahami serta saiznya yang tidak begitu kecil dapat mengelakkan mata berasa letih serta seterusnya mengelakkan diri seseorang itu berasa bosan untuk membacanya. Kedua Grafik. Bahan grafik seperti garisan anak panah, segi empat dan bulatan dapat digunakan untuk membentuk jaringan bagi memudahkan pemahaman bagi satu-satu topik. Ketiga Gambar. Gambar-gambar yang dilukis bagi melambangkan sesuatu isi pada teks dapat menjelaskan lagi pemahaman serta mengukuhkan daya ingatan dengan cara mencerdaskan daya gambaran mental yang ada pada setiap individu. Nota ringkas dalam bentuk peta minda adalah penting kerana dapat memberi satu gambaran menyeluruh terhadap satu-satu topik. Peta minda membantu pemahaman dan pelajar dapat mengingat satu-satu topik dengan lebih cepat.

Pelbagai cara dapat dibuat peta minda ini. Bagi pelajar-pelajar sekolah rendah, peta konsep, pengurusan grafik adalah sesuai digunakan. Peta minda yang telah siap harus disimpan dalam satu fail. Kebiasaannya peta minda dilakar pada topik-topik yang susah diingati. Peta minda juga boleh ditampal di dinding dalam bilik belajar agar ianya mudah dilihat dengan segera dan dapat diingat dengan cepat. Dalam hal ini penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan pembacaan serta memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna. Bagi menghasilkan satu peta minda yang baik dan mantap,terdapat beberapa langkah-langkah dalam membina peta minda. Antaranya, tulis tajuk utama di tengah-tengah kertas. Sesuatu lakaran mestilah dimulakan dengan tajuk utama. Bagi mendapatkan ruangan isi-isi penting yang banyak, tajuk utama digalakkan ditulis di tengah-tengah kertas bergantung pada kekreatifan seseorang. Kemudian kurungkan tajuk utama dengan menggunakan bentuk, simbol atau gambar yang sesuai. Hal ini dapat mengelakkan isi-isi penting atau sub-topik bercampur-aduk dengan tajuk utama. Bentukkan cabang-cabang besar dari tajuk utama. Satu cabang untuk satu isi utama atau sub-topik. Tulis dengan huruf besar kata kunci atas setiap cabang dan lakar cabang-cabang kecil yang kecil sedikit dari cabang utama bagi membezakan cabang utama dan cabang kedua. Kemudian, gunakan gambar, lambang atau simbol untuk menjelaskan butiran. Hal ini dapat menyenangkan lagi kita untuk mengingati isi-isi tersebut. Langkarkan lagi cabang-cabang yang kecil dan halus dari cabang tambahan. Tuliskan maklumat tambahan di atasnya. Jika terdapat sesuatu idea atau isi -isi baru dari seseorang, ruangan tambahan tersebut menjadi bahagian untuk ditulis. Dalam melakar peta minda atau pengurusan grafik, beberapa strategi perlu dibuat agar ianya dilakukan secara sistematik. Pertama, memahami isi petikan. Sekiranya sesuatu lakaran peta minda itu hendak dilakukan berdasarkan daripada bahan bacaan, maka bahan bacaan itu perlulah dibaca dan difahami secara keseluruhan terlebih dahulu. Kedua, mengenalpasti isi dan huraian yang berkaitan. Ianya dapat dilakukan dengan cara menggaris isi-isi serta huraian-huraian yang dianggap ada kaitan dan relevan dengan topik bahan bacaan tersebut.Ketiga, melakar simbol. Idea yang utama akan bermula pada satu titik permulaan dan ianya disimbolkan dengan satu bulatan. Dari sinilah idea ini akan berkembang. Pelbagai cara dapat dilakukan untuk perkembangan idea ini. Pada saya melalui pengalaman

yang telah saya alami, pemetaan minda ini lebih sesuai dibuat dalam bentuk pengurusan grafik dan jaringan klasifikasi. Oleh sebab itu penggunaan beberapa simbol berserta dengan warna-warna tertentu dapat digunakan sebagai satu teknik memetakan minda kita ke arah memudahkan pemahaman. Keempat melukis gambar atau lambang. Gambar merupakan salah satu media yang dapat memberi rangsangan yang begitu cepat daripada teks. Gambar juga dapat memberi pelbagai interpretasi yang dapat mencetuskan pemikiran yang lebih kritis dan kreatif. Gunakan gambar atau lambang yang sesuai dengan diri, minat, persekitaran dan sejarah kita. Kelima tulisan, tulisan memainkan peranan penting kepada seseorang. Tulisan yang kemas dapat menarik minat seseorang malahan menarik minat orang lain untuk membaca nota tersebut. Saiz tulisan atau gambar semakin mengecil dari isi utama ke semua isi tambahan berikutnya dan cabang semakin mengecil dari cabang utama ke semua cabang-cabang tambahan berikutnya. Keenam, nombor. Gunakan nombor jika perlu untuk menentukan keutamaan. Hal ini dapat mengingati seseorang bilangan isi yang terdapat dalam peta minda tersebut. Gunakan anak panah / warna untuk menunjukkan perkaitan antara isi-isi atau cabang-cabang. Bagi menghasilkan sesuatu peta minda, ia mesti mengandungi bahan untuk melakukannya. Antaranya pen atau pensel dan kertas. Pen atau pensel yang berbagai warna dapat menambahkan lagi daya ingatan seseorang palajar. Kertas berwarna putih amat digalakkan untuk digunakan kerana dengan menggunakan kertas putih,seseorang pelajar dapat mencorakkan mengikut kekreatifan pelajar tersebut dengan pelbagai warna. Malahan senang untuk dilihat dan dihafal. Proses membuat peta minda dapat memberi faedah yang bukan sahaja dapat dilihat pada zahirnya tetapi juga sesuatu yang tersirat di sebaliknya. Antaranya Latihan dalam pasukan. Peta minda dapat dilakukan melalui satu pasukan. Ini dapat menggalakkan pelajar-pelajar belajar secara kaloboratif dan koperatif. Pencetusan idea. Lakaran yang dibuat yang merangkumi teks, grafik dan gambar dapat mempergiatkan lagi kreativiti seseorang individu ke arah pencetusan idea. Perkembangan potensi. Lakaran grafik dan gambar dapat memperkembangkan potensi kemahiran motor yang ada pada pelajar-pelajar. Kemahiran menganalisis. Setiap fakta yang dibaca terlebih dahulu perlu di analisis dan kemudian menyusunkannya untuk membentuk satu lakaran. Latihan ini seumpama ini adalah amat diperlukan ke arah pembentukan sikap yang analitikal.

Penganalisisan data melalui pemetaan minda ini adalah merupakan salah satu ciri-ciri aktiviti yang terdapat dalam pembelajaran sekolah bestari. Oleh sebab itu,guru seharusnya memahirkan diri serta berusaha memperkenalkan aktiviti ini kepada pelajar-pelajarnya mulai sekarang. Mengikut seorang penulis Dilip Mukerjea (1996) dalam bukunya bertajuk "Superbrain", melalui pemetaan minda seseorang itu dapat... "learn MORE, remember MORE, use LESS paper, invest LESS effort..." yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga. Beberapa contoh peta minda yang terbaik dalam menyusun isi-isi penting dan berguna untuk menjawab soalan-soalan yang keluar dalam peperiksaan. Antaranya, pata minda jenis aliran, peta minda jenis tulang ikan, peta minda jenis pokok, peta minda jenis blok, peta minda jenis kitaran, peta minda jenis bergambar, peta minda jenis cabang, dan sebagainya. Peta minda yang banyak membantu pelajar bagi mengingati sesuatu ialah peta minda bergambar. Peta minda ini memberi keimaginasian terhadap seseorang yang teramat tinggi.