Anda di halaman 1dari 3

DOA SOLAT HAJAT UNTUK PEPERIKSAAN _________________________________

1. Mulakan setiap doa dengan isti3azah dan basmalah (A'uzubillah dan Bismillah) 2. Jangan lupa untuk berselawat ke atas Baginda Rasulillah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wa Sallam 3. Bacalah pula doa memohon keampunan dosa diri sendiri dan kedua ibu bapa 4. Kemudian bacalah doa solat hajat yang masyhur dibaca dalam solat hajat biasa 5. Bacalah apa-apa sahaja doa yang anda tahu 6. Seterusnya bacakanlah doa ini dalam bahasa Melayu yang difahami oleh orang Melayu keseluruhannya:

Ya Allah Ya Tuhan kami, Ampunilah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa guru-guru kami, dosa anak-anak kami, dosa anak didik kami dan dosa seluruh muslimin muslimat samada yang masih hidup atau yang telah mati.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami menadah tangan kepadaMu, berkatilah segala ilmu yang telah kami pelajari, berkatilah segala ilmu yang telah kami ajarkan kepada anak didik kami, keluarkanlah kami daripada lembah kejahilan dan kegelapan kepada daerah cahayaMu dan ilmu pengetahuan.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Hanya Engkau yang mampu memberi taufik dan hidayah kepada hambaMu, maka anugerahkanlah kepada kami taufiq dan hidayahMu, agar kami menjadi guru yang amanah menjalankan tanggungjawab mendidik, agar kami menjadi ibu bapa yang dihormati dan dicontohi oleh anakanak kami, tambahkanlah kasih sayang diantara kami, jauhkanlah rasa benci hasad dan iri hati, hiasilah diri kami seperti peribadi Nabi, serta lindungilah kami dari syaitan yang dilaknati.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Ikhlaskan hati anak didik kami dalam menuntut ilmu, kekalkan semangat yang tinggi untuk mereka terus belajar tanpa ada rasa jemu, janganlah Engkau palingkan hati mereka dan hati kami, lindungilah kami dari menuntut ilmu hanya kerana segulung sijil, hanya untuk harta, hanya untuk wanita, dan hanya untuk tahta, lindungilah kami dari sifat tamakkan dunia.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami berlindung kepadaMu daripada ilmu yang tidak memberi manfaat kepada diri dan agama kami, jadikanlah kami orang yang beramal dengan ilmu yang telah Engkau pinjamkan kepada kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami memohon kepadaMu, mengharap kepadaMu, bertawakkal kepadaMu, berilah kejayaan kepada anak didik kami dalam peperiksaan yang bakal mereka tempuhi, tenangkan hati mereka, lapangkan dada mereka, luaskan fikiran mereka, kuatkan ingatan mereka, dan janganlah Engkau jadikan mereka tergolong dalam golongan yang menggunakan ilmu untuk merosakkan agama.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Kami hamba yang lemah hina dan dina ini memohon seribu rahmat dan keberkatan dariMu, golongkanlah kami dalam golongan yang Engkau redhai, tanpa redhaMu, tiadalah ertinya kehidupan kami, maka kepadaMu kami memohon, redhailah kami dalam apa jua yang kami kerjakan.

7. Setelah itu, bacalah beberapa doa penutup dan diakhiri dengan selawat keatas Baginda Rasulillah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wa Sallam dan puji-pujian kepada Tuhan Pencipta sekalian alam.

Anda mungkin juga menyukai