Anda di halaman 1dari 14

Perkembangan fetus - persenyawaan

Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Adakah anda bersedia? Ramai wanita, ketika mahu hamil, bertindak untuk tidak mengambil minuman keras, tidak merokok atau mengambil sebarang ubat - termasuk ubat yang dijual tanpa preskripsi - agar badan mereka berada dalam keadaan yang paling sihat untuk menghasilkan bayi. Walaupun agak aneh, doktor anda akan mengira tarikh jangka lahir (dan umur gestasi bayi anda) dengan menghitung balik ke hari pertama haid terakhir anda. Oleh sebab sukar untuk mengetahui dengan tepat bilakah masa ovulasi dan juga bila sperma mensenyawakan telur anda, pakar perubatan sering menggunakan tarikh haid terakhir sebagai titik permulaan bagi sembilan bulan berikutannya. Ini bermakna secara "rasmi" minggu pertama kehamilan anda ialah minggu haid terakhir anda bermula. Sebab itu, umur sebenar bayi ialah dua minggu terawal dari umur gestasinya. Semasa minggu kedua - dan setiap bulan sepanjang tempoh penantian ketibaan nyawa baru hormon estrogen merangsang uterus anda untuk menyediakan lapisan tisu yang subur dan sarat darah. Peningkatan tahap hormon progesteron menyediakan uterus untuk menyara telur yang disenyawakan. Pada masa yang sama, ovari mematangkan telur-telur dalam sak-sak penuh cecair yang bergelar folikel. Dalam tempoh masa singkat badan anda membuat persediaan ini, konsepsi boleh berlaku, asalkan sperma berjaya bertemu telur. Menjelang minggu ketiga, beberapa perkara akan berlaku. Di pertengahan kitaran (hari ke-14 dalam kitaran biasa 28 hari), anda akan mengovum - satu daripada telur anda ditarik dan dimasukkan ke dalam tiub falopio. Dalam 12 hingga 24 jam berikutan, telur ini akan disenyawakan jika satu daripada 350 juta sperma (jumlah dalam pancutan mani biasa) berjaya berenang dari vagina, melintasi uterus, terus menuju ke tiub falopio, lalu menembusi telur.

Setelah disenyawakan, telur itu, sekarang bergelar zigot, dengan serta-merta menutup membran luarnya untuk menyekat 250 sperma lagi yang juga berjaya membuat perjalanan itu. Kemudian ia mula membahagi kepada sel-sel yang serupa sambil membuat perjalanan turun dari tiub falopio ke uterus, di mana ia akan terus berkembang. Anda mungkin tidak sedar yang anda hamil untuk beberapa minggu lagi, walaupun setengah wanita percaya yang mereka tahu saat-saatnya konsepsi berlaku.

Perkembangan fetus - hamil 4 minggu


Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Terdapat bebola sel - yang kini bergelar embrio - sedang membesar dalam uterus anda dan ia telah mencapai saiz sebesar biji kuaci. Ia mempunyai tiga lapisan yang kemudiannya akan bertukar menjadi organ-organ dan tisu-tisu. Di bahagian bawah di sisi kepalanya, terdapat dua lipatan tisu yang akan menjadi telinga bayi. Video meninjau kehamilan: (sari kata Bahasa) tontonan animasi 3D mengenai bayi di minggu kehamilan ini. Lihatlah! Tiub saraf - dari mana otak, tulang belakang dan korda spina akan tumbuh - kini membesar di lapisan atas. Jantung dan sistem peredaran mula menjelma di lapisan tengah. Lapisan ketiga mula menempatkan paru-paru, usus dan sistem urinari yang awal. Dalam pada itu, versi awal plasenta, iaitu vilus korioni dan tali pusat, yang menghantarkan makanan dan oksigen kepada bayi anda, sudah mula berfungsi.

Jika anda belum lagi mencuba ujian kehamilan rumah, mengambilnya sekarang akan dapat mengesahkan kehamilan anda. Ada tanda-tanda yang lain yang menunjukkan yang anda itu hamil. Lihatlah kalkulator tarikh jangka lahir kami untuk mengetahui bilakah bayi anda akan lahir. Sesudah akan mendapat pengesahan, bolehlah anda menghubungi doktor anda dan membuat janji temu. Penjagaan antenatal yang baik dan konsisten adalah antara cara yang terbaik untuk memastikan yang anda dan bayi anda sihat sepanjang kehamilan anda.

Perkembangan fetus - hamil 8 minggu


Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Tahniah - embrio anda sekarang bergelar fetus, yang bermakna "zuriat". Uterus anda meregang untuk memuatkan penghuni baru ini, yang sekarang berukuran sekitar 0.6 inci / 1.6 sentimeter. Banyak perubahan berlaku pada minggu ini - ekor embrio telah hilang, dan semua organ, otot dan saraf mula berfungsi. Sekarang tangan boleh dibengkokkan di pergelangannya, dan jari kaki yang berselaput dahulu beransur hilang. Kelopak mata mula menutupkan mata. Kehamilan anda mula menukar bentuk badan anda juga. Payudara anda mungkin membesar sehingga anda memerlukan bra yang boleh menyangga dengan lebih kuat daripada bra lama. Anda akan menyedari yang ukuran pinggang anda mula bertambah, sehingga anda terpaksa

menyimpan jean kegemaran anda sehingga tahun depan. Jika anda banyak meminum air mengandungi flourida - lapan gelas atau lebih sehari - anda sudah tentu mendapat cukup flourida dan ini akan mengintegrasikan kalsium dan fosforus dengan kukuh ke dalam gigi dan tulang bayi anda yang sedang berkembang itu.

Perkembangan fetus - hamil 12 minggu


Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Muka bayi anda lebih mirip rupa manusia, walaupun panjangnya dari mercu kepala ke punggung hanya sekitar 2 inci / 5.5 sentimeter dan beratnya kurang sedikit dari setengah auns / 14 gram. Matanya, yang pada mulanya muncul di sisi kepala, telah berganjak dan lebih rapat. Telinga hampir sampai ke posisi normal di sisi kepala. Hati mengeluarkan hempedu dan ginjal mengalirkan kencing ke dalam pundi kencing.

Jika abdomen anda ditusuk-tusuk, fetus akan bergeliang-geliut, walaupun anda tidak akan terasa pergerakan ini. Sel-sel saraf fetus sedang giat membiak dan sinaps-sinaps (penghubung saraf dalam otak anda) sedang terbina. Fetus telah memperolehi lebih banyak refleks: jari tutup jika tapak tangan disentuh, jari kaki bergulung ke bawah jika tapak kaki disentuh dan jika disentuh kelopak mata, otot mata akan menggenggam. Pada masa ini, doktor anda sudah dapat merasakan bahagian atas uterus, juga dikenali sebagai fundus yang terletak rendah di bawah abdomen. Apabila anda memasuki trimester kedua, anda akan mula memakai baju yang lebih longgar yang tidak menghalang pergerakan. Tak lama lagi, pakaian biasa anda tidak muat dan tak dapat dipakai lagi. Anda mula menyedari bahawa selera anda pun kembali semula setelah perasaan "mabuk" menghilang. Rujuklah bagaimana hendak makan secara baik pada minggu-minggu berikutan.

Perkembangan fetus - hamil 16 minggu


Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Saiz bayi anda sekarang lebih kurang sebiji avokado (panjang dari mercu kepala ke punggung sekitar 5 inci / 11.6 sentimeter dan berat sekitar 4 auns / 100 gram). Dalam tiga minggu ke hadapan ini ia membesar secara memecut, menambahkan beratnya dua kali ganda dan panjangnya beberapa inci. Di dalam atau di luar rahim, bayi merupakan mahluk yang suka bermain. Bayi anda mungkin telah menjumpai mainan pertamanya - tali pusat - yang dia suka menarik dan mencekau. Kadangkala ia akan menggenggamnya begitu kuat menyebabkan jumlah oksigen yang lalu masuk berkurangan, tapi jangan khuatir - dia tidak memegangnya terlalu lama untuk memudaratkan. Sistem peredaran dan trek kencing sudah berfungsi sepenuhnya, dan dia menyedut masuk dan mengeluarkan cecair amnion melalui paru-parunya. Kadangkala, apabila anda bergerak secara serta-merta, anda akan terasa sakit sedikit di sisi anda. Ligamen-ligamen di kedua belah uterus anda dan dinding pelvis sedang meregang ketika bayi anda membesar. Anda sudah tentu merasakan sakit-sakit ringan, tetapi sekiranya ia berlanjutan atau bertambah kuat, beritahu doktor anda.

Perkembangan fetus - hamil 20 minggu


Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Bayi anda berukuran lebih kurang 6.5 inci / 16.5 sentimeter dari mercu kepala hingga ke punggung dan terus-menerus menambahkan berat badannya. Satu lapisan bahan yang licik dan putih bergelar verniks kaseosa mula membalut bayi anda dan melindungi kulitnya semasa dia berendam lama dalam cecair amnion. Ianya juga akan menyenangkan pelahiran. Pada minggu ini, bayi lebih banyak menelan dan ini merupakan latihan yang baik untuk sistem pencernaannya. Setelah bayi anda menelan cecair amnion, badannya akan menyerapkan air yang terkandung di dalamnya dan menyalurkan selebihnya ke dalam usus besar. Anda mungkin mahu mengikuti kelas antenatal jika anda belum lagi berbuat demikian. Samada anda ibu buat pertama kali atau hanya mahu mengulang kaji, anda akan mendapat manfaat apabila mengikuti kelas berstruktur. Apapun falsafah di sebaliknya, kelas antenatal boleh menyediakan anda bagi menghadapi semua kesukaran dan kesakitan kelahiran. Anda harus merancang untuk menamatkan kelas menjelang 37 minggu kehamilan, sebab pada masa itu anda dianggap sudah cukup bulan dan pelahiran boleh bermula bila-bila masa. Berhati-hatilah dalam memastikan anda mendapat zat besi yang mencukupi. Bayi anda memerlukannya bagi pembuatan sel-sel darah merah, antara lain. Sebenarnya, adalah sukar untuk anda mendapatkan jumlah yang terlalu banyak dari makanan semata-mata, kecuali

dengan memakan secara berlebihan. Makanan yang kaya dengan zat besi adalah antara lain, daging merah tanpa lemak, ikan, kekacang lentil, bayam dan bijirin yang diperkuatkan dengan zat besi. Lihatlah panduan makan secara baik kami untuk melengkapkan semua maklumat yang anda perlu ada.

Perkembangan fetus - hamil 24 minggu


Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Berat bayi anda lebih dari 1.3 paun / 600 gram. Walaupun dia mempunyai hanya sedikit lemak badan dan kulitnya nipis dan mudah pecah, dia sekarang sudah mempunyai bentuk badan yang sempurna. Otaknya tumbuh dengan pantas, dan dia semakin memenuhi ruang dalam rahim anda. Dari mercu kepala ke tumit dia berukuran 11.8 inci / 30 sentimeter. Sekiranya pelahiran anda nampak seakan-akan hendak bermula, sudah pasti pakar obstetrik dan doktor akan melakukan segala-galanya untuk menghentikan perjalanan kelahiran pramatang supaya bayi anda boleh terus-menerus matang. Anda mungkin kelihatan jalur-jalur merah atau coklat yang malap yang merupakan tanda perut meregang, bergelar stria kehamilan yang terdapat di abdomen, punggung dan payudara anda. Krim tidak boleh menghilangkannya, tetapi, memakai bra yang menyokong boleh menghindarkan atau mengurangkan jalur-jalur ini di payudara anda. Jalur-jalur ini memang

terjadi di tahap kehamilan ini - lebih kurang 90 peratus wanita mendapatnya. Sesudah anda melahirkan, pigmen kemerahan atau kecoklatan pada jalur-jalur itu akan mula hilang, dan menjadi lebih pudar dari di kulit kelilingnya. Juga, mata anda akan menjadi sensitif kepada cahaya dan akan terasa kering dan seakan-akan berpasir. Ini merupakan simptom kehamilan yang biasa bergelar "mata kering". Untuk meredakan ketidakselesaan anda, gunakanlah larutan "airmata tiruan" untuk menambahkan kelembapan. Diet yang sihat adalah penting pada tahap kehamilan ini, jadi lawatilah bahagian makan sempurna kami di minggu 25-28.

Perkembangan fetus - hamil 28 minggu


Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Anda sekarang berada di penggal terakhir. Trimester ketiga lazimnya bermula pada 29 minggu kehamilan dan berakhir pada 40 minggu kehamilan, kadang kala lebih lanjut dari itu. (Jangan bimbang - maksimumnya ialah 42 minggu! Lebih dari itu, wanita lazimnya dicetuskan untuk melahirkan.) Kebanyakan wanita menambah berat badan sebanyak 11 paun / 5 kilogram semasa semester ini.

Menjelang minggu ini, berat bayi anda ialah sebanyak 2.3 paun / lebih sedikit dari 1 kilogram dan mungkin berukuran 14.8 inci / 38 sentimeter panjang dari atas ke jari kaki. Sekitar masa ini, bayi anda yang di dalam rahim itu sudah boleh membuka matanya dan memalingkan kepalanya jika dia ternampak cahaya terang yang memancar terus menerus dari luar. Lapisan lemaknya sedang terbentuk dan kuku jari mula timbul. Anda mungkin mengalami perasaan berbolak-balik apabila mengenangkan sakit bersalin dan melahirkan. Menyediakan senarai perkara-perkara yang perlu dibuat dan meraitkannya satupersatu akan membantu. Mulalah memilih nama-nama bayi yang sesuai dan mulalah memikirkan tentang kehidupan selepas kelahiran juga. Anda juga mungkin berjumpa dengan doktor anda dengan lebih kerap lagi di minggu-minggu terakhir ini.

Perkembangan fetus - hamil 32 minggu


Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Berat bayi anda sekarang lebih kurang 3.75 paun / 1.7 kilogram dan panjangnya lebih kurang 17 inci / 42 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Walaupun paru-parunya belum akan matang sepenuhnya sehingga hampir dekat masa dilahirkan, anak kecil anda menyedut cecair amnion untuk menguatkan paru-parunya dan berlatih untuk bernafas.

Bagi sesetengah bayi, rambut sudahpun memenuhi kepala, tetapi ada juga bayi hanya mempunyai beberapa gumpal rambut sahaja. Rambut lebat semasa lahir tidak bermakna rambut lebat di kemudian hari, namun begitu, lazimnya kanak-kanak yang mempunyai rambut halus di zaman kanak-kanak akan mempunyai rambut yang jarang semasa dewasa. Jika bayi anda lelaki, testikel sepatutnya turun dari abdomen dan masuk ke dalam skrotum. Namun kadangkala, satu testikel atau kedua-duanya tidak akan turun masuk ke tempatnya sehingga selepas kelahiran. Bagi dua per tiga bayi lelaki yang mempunyai testikel tak turun semasa lahir, keadaan ini memulih dengan sendirinya menjelang umur satu tahun. Anda mungkin menambahkan berat badan anda sebanyak satu paun / 450 gram setiap minggu, sebab dalam masa tujuh minggu sebelum lahir, bayi anda akan menambahkan lebih dari setengah berat lahirnya. Pastikan anda makan secara sempurna dalam minggu-minggu terakhir.

Perkembangan fetus - hamil 36 minggu

Ditulis untuk BabyCenter Malaysia

Bayi anda masih menambah berat badannya - lebih kurang 28 gram sehari. Beratnya hampir 6 paun / 2.7 kilogram dan panjangnya 19 inci / 45 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Anda mula merasakan tekanan di bahagian bawah abdomen anda dan juga sedar yang bayi anda sudah mula menurun. Ini diberi nama lightening iaitu peringanan, atau engagement iaitu penurunan kepala bayi; dengan ini paru-paru dan perut anda terasa lebih lapang - bernafas dan bermakan-makan akan menjadi lebih selesa. Namun begitu, perjalanan anda semakin kurang selesa - sebilangan wanita melaporkan yang mereka merasakan seakan-akan bayi hendak terkeluar. Juga, anda akan terasa seakan-akan sentiasa hendak ke tandas. Sediakan nutrisi yang diperlukan di masa penghujung ini dengan panduan makanan sempurna kami. Berita baik ialah bahawa menjelang akhir minggu ini, kehamilan anda sudah cukup bulan dan anda akan melahirkan bila-bila masa. (Bayi antara 37 minggu dan 42 minggu dianggap cukup bulan - bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu ialah pramatang dan selepas 42 minggu ialah lewat waktu atau post-term.) Semasa janji temu mingguan anda, doktor akan memeriksa anda untuk melihat samada anda sudahpun mendilitasi (apabila serviks membuka) dan mengembang (apabila serviks menjadi nipis). Doktor juga akan memeriksa apakah posisi bayi untuk menentukan sejauh mana bayi

sudah jatuh ke dalam pelvis. Informasi ini akan dimasukkan ke dalam nota materniti anda supaya doktor anda maklum akan posisi bayi apabila tiba masa untuk melahirkan.

Anda mungkin juga menyukai