Anda di halaman 1dari 3

Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai peristiwa yang berlaku dalam negara

yang mula menggugat perpaduan dan keharmonian kaum yang dibanggakan selama ini. Senarainya semakin hari semakin panjang yang sekali gus mengundang seribu satu persoalan apakah peristiwa 13 Mei 1969 bakal berulang. Walaupun tahun ini genap 40 tahun tragedi malang itu menimpa negara kita, namun saya pasti masih ramai di kalangan kita yang boleh terbayangbayang apa yang berlaku pada tarikh keramat tersebut yang sekali gus menjadi titik hitam yang sukar untuk dipadamkan daripada lipatan sejarah negara ini dan ia tidak mustahil berulang jika tidak diambil langkah yang sewajarnya.

Satu demi satu peristiwa yang menyentap perpaduan kaum mula diperagakan untuk tatapan umum oleh pihak-pihak yang jelas mempunyai agenda dan kepentingan peribadi masing-masing. Dalang-dalang ini begitu licik memainkan peranan tanpa kita sedari akan rupa bentuknya dan natijah yang bakal dibawanya bersama. Mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa antara punca utama soal perpaduan kaum menjadi bahan perbualan dan perdebatan adalah akibat daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke12 (PRU 12) pada Mac 2008 yang jelas menukar landskap politik tanah air kita. Kesannya cukup mendalam dan meninggalkan implikasi yang sangat besar kepada kita semua.

Akibatnya juga sudah ada pihak yang begitu berani menyuarakan hak dan pelbagai tuntutan yang jelas tidak berasas dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pihak yang lain. Mereka yang sebelum ini tidak langsung dikenali oleh masyarakat sudah mula menjadi hero dan pejuang golongan tertentu. Mereka muncul umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan iaitu selepas PRU 12. Mempersoalkan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, mengadakan demonstrasi haram, mencabar pihak berkuasa dengan sengaja, menyebar pelbagai fitnah dan khabar angin yang boleh merobek perpaduan kaum serta meniup api kemarahan terhadap pihak kerajaan telah menjadi intipati dan agenda tetap perjuangan golongan ini.

Satu persoalan yang sukar untuk dirungkai adalah apakah tujuan sebenar golongan ini yang cuba melaga-lagakan rakyat kita yang hidup aman dan damai. Tidak cukupkah dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Kenapa mereka perlu bermain dengan api. Wajarkah keamanan yang kita nikmati selama ini dikorbankan demi untuk memuaskan hawa nafsu golongan yang mengejar kedudukan, kuasa dan pengaruh semata-mata. Peristiwa bantahan penduduk terhadap pembinaan kuil di Selangor baru-baru ini yang melibatkan perarakan dengan kepala lembu merupakan antara insiden yang sepatutnya tidak berlaku. Ia jelas mengguris hati dan perasaan rakan-rakan kita dari kalangan penganut agama Hindu. Kita percaya penduduk yang membuat bantahan ini tidak sedikitpun berniat untuk menghina agama rakan mereka namun ia jelas telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya mengambil kesempatan untuk bertindak sedemikian rupa. Akhirnya para penduduk itu secara khususnya dan umat Islam secara amnya dipandang serong kerana dikatakan telah menghina agama lain. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Insiden sedemikian rupa tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Andai kita leka maka dikhuatiri ia akan menular dengan cepat seperti wabak selesema babi Influenza A (H1N1) yang semakin sukar untuk dibendung kelak. Sudah semestinya kita tidak rela dan sanggup melihat peristiwa 13 Mei berulang kembali.

Justeru, besarlah harapan semua agar pihak berkuasa dapat membawa pihak yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan sekali gus menjernihkan kembali hubungan antara kedua-dua pihak yang terlibat dan seterusnya membersihkan juga nama baik umat Islam secara keseluruhannya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus memerangi golongan yang sebegini yang cuba mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara kita. Janganlah esok kita menyesal. Bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. Malaysia adalah rumah kita. Sebagai penghuni rumah ini kita wajib menjaga dan memelihara keselamatannya dan melindunginya sepanjang masa. Usahlah kita membenarkan anasir-anasir liar ini bermaharajalela dan mengambil kesempatan kerana

akhirnya mereka akan merobohkan rumah kita suatu hari nanti. Jelas itulah tujuan dan matlamat utama mereka selama ini.

Rakyat Malaysia seharusnya menghayati konsep 1Malaysia dengan sepenuh jiwa dan raga jika mahu melihat perpaduan dan keharmonian kaum terus subur di bumi bertuah ini. Gagasan ini merupakan ramuan yang cukup lengkap dan sempurna untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman bagi membina negara dan bangsa yang dicita-citakan. Ingatlah bahawasanya kita wajib mempertahankan kontrak sosial yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu agar kita dapat membekalkannya dalam keadaan yang sedia ada kepada generasi yang akan datang. Itu adalah tanggungjawab kita bersama.