Anda di halaman 1dari 2

Abai keselamatan diri

Oleh SOPI SAMAILE utusansarawak@utusan.com.my

KUCHING 3 Feb. Sudah menjadi kelaziman kesesakan trafik akan berlaku pada waktu pagi di Jalan Astana berdepan dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Encik Buyong dan persimpangan jalan masuk ke Kampung Lintang, di sini. Apa tidaknya, pada waktu itu ibu bapa sibuk menghantar anak ke sekolah tersebut dan pada masa yang sama penduduk sekitar akan mula keluar bekerja.

SIKAP sambil lewa sesetengah ibu bapa yang tidak memakai topi keledar ketika mengambil anak mereka pulang dari sekolah di SK Encik Buyong, Jalan Astana, Kuching, semalam, mampu mengundang padah.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas malah situasi yang sama turut berlaku pada sebelah tengah hari sewaktu ibu bapa mengambil pulang anak masing-masing. Bagi penduduk di kawasan tersebut, kesesakan lalu lintas di Jalan Astana, iaitu laluan utama di situ bukan perkara baru tetapi tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang serius memandangkan ia tidak berlanjutan bagi tempoh yang lama. Mungkin paling lama pun kira-kira 30 minit hingga satu jam, namun alah bisa tegal biasa, tiada rungutan serius di kalangan ibu bapa berhubung kesesakan tersebut. Sememangnya kesesakan lalu lintas bukan persoalan utama tetapi apa yang mahu ditekankan adalah berhubung keselamatan para pengguna laluan tersebut terutama murid-murid sekolah berkenaan. Tidak dinafikan terdapat segelintir ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak masing-masing di sekolah ini kurang mengambil berat mengenai keselamatan diri dan anak-anak mereka apabila tidak mengenakan topi keledar ketika menunggang serta membonceng motosikal. Alasan yang diberikan, jarak perjalanan antara rumah dan sekolah itu tidak jauh, namun dalam keadaan kesesakan seumpama itu, pelbagai musibah boleh berlaku jika keselamatan dipandang remeh, kata peniaga, Abang Abdul Rahman Abang Ridzuan, 41, kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abang Abdul Rahman yang menjual kuih di hadapan sekolah terbabit memberitahu, seharusnya ibu bapa yang menghantar anak masing-masing dengan motosikal mengutamakan aspek keselamatan. Pada masa yang sama katanya, pihak berkuasa juga perlu meletakkan papan tanda yang lebih jelas supaya pengguna jalan raya lebih peka dan berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut. Pihak berkuasa juga perlu melakukan rondaan di kawasan tersebut dan mengambil tindakan kepada mereka yang melanggar peraturan terutama yang tidak memakai topi keledar walaupun apa juga alasan. Jangan sampai sudah ada yang membujur kaku di atas jalan raya, maka barulah hendak menuding jari menyalahkan pelbagai pihak sedangkan masa itu sudah tiada makna lagi ibarat nasi sudah menjadi bubur, ujarnya. Seorang buruh, Japdi Yabi, 26, bersetuju bahawa soal keselamatan dan peraturan lalu lintas tidak boleh dikompromi kerana sesungguhnya malang itu tidak berbau. Katanya, adalah tidak wajar ibu bapa mengambil mudah soal keselamatan meskipun belum terdapat sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kerana mencegah itu adalah lebih baik. Ibu bapa perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan pada masa sama, pihak bertanggungjawab juga harus mencari jalan mengatasi masalah kesesakan di laluan ini termasuk melebarkan lagi jalan raya di sini jika perlu, katanya. Dalam pada itu, Siti Azlina Goh Abdullah, 28, memberitahu, pihak sekolah juga diminta membuka lebih banyak pintu masuk supaya tidak bertumpu kepada satu laluan masuk sahaja hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Mengenai soal keselamatan, Siti Azlina bersetuju bahawa perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan dan ibu bapa perlu mengutamakan langkah keselamatan anak masing-masing semasa menghantar dan mengambil mereka di sekolah. Memang ada ibu bapa yang membawa anak masing-masing dengan motosikal tidak guna topi keledar dan situasi tersebut begitu bahaya sekali dalam keadaan kenderaan banyak di atas jalan ketika itu. Menyiapkan perlindungan untuk keselamatan perlu dimulakan dengan segera bukannya setelah berlaku kemalangan atau sebagainya, seperti pepatah Melayu menyebut, Sudah terhantuk baru tengadah , ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_S arawak&pg=wb_01.htm#ixzz2fOAQwmMj Utusan Melayu (M) Bhd