Tidak Ada Ketenangan Hati Jika Tiada Iman
Tidak Ada Ketenangan Hati Jika Tiada Iman
Tidak diragui lagi bahawa ketenangan hati adalah sebab utama untuk hidup bahagia. Tetapi ketenangan hati tidak dapat dicapai dan dihasilkan oleh kekayaan, kemasyhuran dan kekuatan fizikal. Ketenagan hati hanya akan diperolehi dengan satu sumber iaitu IMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT.
Ketenangan hati adalah nikmat Allah yang Allah anugerahkan kepada hamba-hambaNya yang terpilih sahaja, supaya mereka berhati teguh dikala orang lain goyah. Yakin dikala orang lain ragu. Sabar dikala orang lain keluh kesah dan berlapang dada semasa orang lain panik.
Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman. Supaya keimanan mereka makin bertambah dari keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi. Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. (Al-Fath : 4)
" Dan siapa yang hendak dibiarkan sesat oleh Allah, dijadikan Allah dadanya sesak dan sempit seperti orang yang naik ke tempat yang tinggi" (al An'am : 125)
Jawapannya ialah:
1. Hanya orang beriman sahaja yang akan menikmati ketenangan hati disebabkan Orang beriman menyahut panggilan fitrah.
Hidupnya sesuai dengan fitrahnya. Fitrah manusia yang tidak dapat dipenuhi dengan ilmu peradaban dan falsafah. Tetapi hanya dapat dipenuhi dengan keimanan kepada Allah. Fitrah manusia yang sentiasa lapar dan dahaga hanya akan dapat dipuaskan dengan mengenali Allah dan menghadapkan hidup kepadaNya. Apabila fitrah itu telah dipenuhi dengan keimanan dan rasa puas maka manusia akan hidup gembira, riang dan aman daripada ketakutan.
Orang yang tidak mahu belajar mengenali Allah dan lupa diri sendiri maka Allah akan membiarkannya hidup menderita.
Hati manusia selalu berbisik " Siapakah Pencipta alam serba teratur dan dirinya yang banyak misteri? Apakah tujuan penciptaan kedua-duanya ?"Ada yang telah menghabiskan masa berpuluh-puluh tahun hanya untuk mencari jawapannya. Orang beriman hatinya tenang dan puas kerana soalan ini telah pun dijawab oleh Allah.
" Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu dan sesungguhnya Allah ilmuNya meliputi segala sesuatu. " (At- Thalaq: 12)
Mereka tidak teraba-raba. Mereka bebas daripada semua kebimbangan kerana hidupnya terus ditujukan kepada matlamat mencapai redha Allah.
" Dialah (Allah) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman." (Al-Fath : 4)
Mereka tidak merasa bersendirian atau kesepian dalam hidup ini. Mereka berasa sangat dekat dan erat hubungan dengan Allah SWT.
Orang beriman juga selalu berbisik dan berdoa kepada Allah dalam solat dan ibadahnya. Oleh itu dia berasa tenang dan gembira kerana tidak keseorangan.