Anda di halaman 1dari 7

Laporan Aktiviti Perkhemahan Gabungan Unit Beruniform PISMP Ambilan Januari 2012 IPGKBL Semester 4 2013 Pada 2 September

hingga 5 September 2013 yang lepas, satu perkhemahan telah diadakan bertempat di Kem Alapong, Lundu, Sarawak. Perkhemahan ini melibatkan gabungan tiga unit beruniform yang utama iaitu Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Pandu Puteri Islam Malaysia (PPIM). Para peserta terdiri daripada para guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ambilan Januari 2012 yang juga merupakan penuntut semester empat di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak. Perkhemahan ini merupakan salah satu syarat wajib dalam kursus GERKO Unit Beruniform WAJ3110. Kesempatan selama empat hari tiga malam semasa perkhemahan juga digunakan oleh para pensyarah pembimbing unit beruniform masing-masing untuk melakukan ujian dan penilaian terhadap para guru pelatih. Sebelum perkhemahan ini, seperti biasa satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi unit beruniform TKRS untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan perkhemahan seperti kertas kerja, pengangkutan, peralatan, kebajikan dan keselamatan, makanan serta hal-hal yang melibatkan majlis penutupan pada hari terakhir perkhemahan. Pembentukan jawatankuasa ini telah melicinkan lagi perjalanan aktiviti perkhemahan ini. Hari Pertama (Isnin 02 September 2013) Seawal jam 7.00 pagi, para guru pelatih telah berkumpul di hadapan bangunan Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA). Kemudian para guru pelatih dengan bimbingan pensyarah UB mengambil barang-barang makanan dan peralatan yang akan digunakan sepanjang perkhemahan dari bangunan stor BIG. Barang-barang dan peralatan tersebut telah dibahagikan mengikut unit beruniform masing-masing beberapa hari sebelum itu. Sebelum berangkat masuk ke dalam bas, sedikit taklimat ringkas telah diberikan oleh beberapa orang pensyarah sebagai panduan kepada para guru pelatih berkaitan perjalanan pada hari tersebut. Sebanyak tiga buah bas

digunakan. Kami bertolak pada jam 7.30 pagi dan berhenti di pekan Lundu selama setengah jam untuk mengisi perut dan membeli keperluan yang diperlukan sepanjang perkhemahan tersebut. Kami meneruskan perjalanan dan tiba di Kem Alapong sekitar jam sembilan pagi. Setibanya di sana kami bergerak terus ke dewan serbaguna Kem Alapong untuk mendengar taklimat daripada pengurus kem tersebut berkenaan dengan tapak perkhemahan, kawasan larangan dan peraturan-peraturan yang perlu kami patuhi di kem tersebut. Selesai taklimat, kami bergerak mengikut unit beruniform ke tapak perkhemahan masing-masing untuk aktiviti seterusnya iaitu menyiapkan tapak perkhemahan. Dalam aktiviti ini, kerjasama para guru pelatih dapat dilihat apabila semua menghulurkan tangan dalam pemasangan khemah dan pembinaan gadjet. Bagi para pegawai kadet Tunas Kadet Remaja Sekolah, kami diberikan tempoh sehingga jam 12.30 tengahari untuk menyiapkan tapak perkhemahan. Kemudian, kami meneruskan aktiviti dengan makan tengahari. Aktiviti kemudiannya disambung pada jam 2.00 petang dengan ujian bantu mula. Ujian ini melibatkan semua pegawai kadet TKRS bagi menguji tahap pemahaman dan kemahiran dalam penggunaan kain anduh dalam bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan. Aspek yang dinilai ialah kemahiran dalam membuat balutan menggunakan kain anduh. Jenis-jenis balutan anduh yang dinilai pula ialah, balutan anduh besar, anduh kecil, balutan bahu, balutan tangan dan balutan kepala. Dalam ujian ini, semua pegawai kadet telah berjaya lulus. Setelah selesai ujain yang pertama ini, para pegawai kadet dibenarkan untuk balik ke khemah masing-masing untuk membersihkan diri. Ada yang menyambung kerja-kerja membina gadjet. Selepas makan aktiviti ujian yang seterusnya bersambung iaitu ujian ikatan dan simpulan yang dimulakan pada jam 8.00 malam. Ujian ini dijalankan untuk menilai sejauh mana kemahiran para pegawai kadet dalam membuat ikatan dan simpulan serta pengetahuan terhadap fungsi-fungsi dan kegunaan ikatan-ikatan tersebut dalam kehidupan seharian. Antara jenis-jenis ikatan dan simpulan yang telah dinilai ialah, simpulan manok, simpulan pengail, simpulan buku sila, simpulan tindih kasih,

angka lapan dan lilit balak. Aktiviti ujian ini berjaya ditamatkan dengan jayanya dan difahamkan semua pegawai kadet telah lulus dalam ujian ini. Aktiviti untuk hari pertama tamat pada jam 11.00 malam. Semua pegawai kadet bergerak ke khemah masing-masing untuk merehatkan diri. Pegawai kadet yang bertugas menjadi sentri pada malam itu pula meneruskan tugas berkawal di sekitar khemah untuk tujuan keselamatan. Tugas menjadi sentri dilakukan secara bergilir-gilir mengikut senarai yang telah disediakan oleh ahli jawatankuasa bahagian keselamatan. Hari Kedua (Selasa 03 September 2013) Aktiviti hari kedua dimulakan dengan slot kerohanian kemudian diteruskan dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan dan bendera negeri sambil diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu negeri Ibu Pertiwiku. Kemudian diteruskan lagi dengan slot senaman Malaysia Cergas yang dikendalikan oleh Pegawai Kadet Erwin Medan menggantikan Encik Amy Dusin iaitu ketua Unit GERKO yang tidak dapat turun kerana terlibat dengan penilaian praktikum bagi pelajar senior yang sedang menjalani praktikum. Ujian bagi unit beruniform TKRS masih lagi diteruskan pada hari kedua dengan sesi yang ketiga iaitu ujian kawat. Untuk melaksanakan ujian ini, para pegawai kadet telah dibahagikan kepada tujuh kumpulan kecil. Setiap kumpulan dipanggil secara bergilir-gilir ke tapak ujian. Penilaian dilakukan oleh Mejar Mahadi. Aspek yang dinilai ialah dari segi pakaian, kemahiran mengikut arahan, dan kemahiran dalam bahasa hukuman. Setiap pegawai kadet dikehendaki memberikan arahan kepada ahli lain dalam kumpulan kecil. Aktiviti ini amat menguji para pegawai kadet terutamanya dalam menggunakan bahasa hukuman dalam kawat kaki. Pastinya ramai dalam kalangan pegawai kadet yang sebelum ini hanya mengikut arahan semasa berkawat. Ini pastinya merupakan suatu pengalaman baru yang boleh digunakan apabila menjadi guru kelak. Bagi menjimatkan masa dan untuk berlaku adil kepada kumpulan pegawai kadet yang sedang dinilai dalam ujian kawat, enam kumpulan yang lain pula menjalani ujian jahitan pada masa yang sama. Hal ini kerana,

dikhuatiri masa yang ada mungkin tidak mencukupi untuk menjalankan kedua-dua ujian dalam masa yang ditetapkan. Dalam ujian jahitan pula, aspek yang dinilai sudah pastinya kemahiran dalam melakukan jahitan. Aspek kekemasan dan teknik yang betul juga menjadi kriteria penilaian. Antara jenis jahitan yang telah dinilai ialah jahitan jelujur kasar, jelujur halus, jahitan kia, jahitan insang pari dan jahitan sembat. Ujian jahitan ini dikendalikan dan dinilai oleh Cik Agatha iaitu salah seorang pensyarah pembimbing TKRS kami. Kedua-dua ujian ini berjaya ditamatkan sekitar jam 4.00 petang dengan lancar. Sementara itu, kami juga telah diberikan soalan untuk aktiviti pada waktu malam iaitu pembentangan keusahawanan yang dikendalikan oleh Encik Chali Ungang. Soalan yang telah diberikan memerlukan kami untuk mencipta satu produk yang dapat meningkatkan bidang pelancongan di sesebuah kawasan. Produk yang dihasilkan mestilah diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi dan tidak memudaratkan alam semula jadi. Dalam aktiviti ini, lima buah kumpulan telah membentangkan hasil idea dan produk yang telah dicipta masing-masing. Melalui aktiviti ini, guru pelatih berpeluang mengeluarkan idea masing-masing secara kreatif dan berfikir secara rasional dalam pemilihan produk yang dipilih. Walaupun cuba dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu, masing-masing tetap teguh dan percaya dengan produk yang dihasilkan serta cuba sedaya upaya untuk mempertahankan idea mereka. Semasa pembentangan, penilaian dilakukan oleh pensyarah untuk melihat kreativiti idea dan keyakinan para pegawai kadet dalam pembentangan. Aktiviti pembentangan keusahawanan ini berakhir pada jam 10.30 malam menandakan aktiviti pada hari kedua telah tamat. Para Pegawai kadet kembali ke tapak khemah untuk berehat dan seperti biasa pegawai kadet yang bertugas sebagai sentri pula meneruskan tugas mereka. Hari Ketiga (Rabu 04 September 2013) Seperti pada hari kedua, hari ketiga dimulakan dengan slot kerohanian diikuti dengan upacara menaikkan bendera serta nyanyian lagu kebangsaan dan lagu negeri. Kemudian senaman pagi dilakukan yang juga dikendalikan

oleh saudara Erwin Medan. Pada hari ketiga perkhemahan ini, Aktiviti unit beruniform iaitu slot enam, tujuh dan lapan melibatkan ketiga-tiga unit beruniform. Slot keenam iaitu khidmat masyarakat merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang dalam slot pagi. Sebelum memulakan aktiviti ini, kesemua guru pelatih daripada ketiga-tiga UB dikumpulkan di tepi pantai untuk mendengar sedikit taklimat berkenaan dengan pembahagian tugas dan pembahagian kawasan-kawasan yang akan dibersihkan. TKRS telah ditugaskan untuk memungut sampah di sekitar kawasan pesisir pantai. Di samping dapat menceriakan lagi kawasan pesisir pantai di sana, para guru pelatih juga dapat menikmati keindahan tepi pantai. Secara tidak langsung aktiviti ini dapat menumbuhkan kecintaan kepada alam ciptaan Tuhan serta budaya pembersih. Pada sebelah petangnya pula, aktiviti yang telah dijalankan ialah pertandingan memasak antara unit-unit beruniform. Tema pertandingan masakan ini ialah masakan ala rimba. Pertandingan ini memberi peluang kepada para guru pelatih untuk menunjukkan bakat masing-masing dalam menyediakan makanan berasaskan rimba. Para juri dan pensyarah kelihatannya menyukai dan sangat berpuas hati dengan masakan yang telah dihasilkan oleh semua unit beruniform. Pada sebelah malamnya pula, slot terakhir iaitu slot malam kebudayaan pula diadakan. Dalam slot ini terdapat dua bahagian iaitu persembahan terbuka dan pertandingan fesyen berasaskan rimba. Kesemua penonton yang ada nyata terhibur dengan setiap persembahan yang telah dilakukan oleh para guru pelatih dari setiap unit beruniform. Seperti biasa, selesai sahaja aktiviti untuk slot malam, para guru pelatih bergerak semula ke khemah masing-masing untuk berehat dan sentri yang telah ditugaskan pula meneruskan tugasa mereka. Hari Keempat (Khamis 05 September 2013) Hari ini merupakan hari terakhir perkhemahan ini berlangsung. Seperti hari-hari sebelum ini, aktivit dimulakan dengan slot kerohanian diikuti dengan upacara menaikkan bendera dan senaman pagi. Selepas bersarapan, aktiviti diteruskan pula dengan mengemas tapak perkhemahan. Majlis pentauliahan pangkat secara ringkas pula diadakan oleh unit beruniform TKRS selepas itu.

Pada jam 10.00 pagi, majlis penutupan dan penyampaian hadiah bagi pemenang-pemenang pertandingan yang telah dijalankan diadakan. TKRS telah menjadi juara keseluruhan dalam perkhemahan pada kali kali ini apabila menjadi johan dalam dua daripada tiga pertandingan yang dijalankan iaitu, pertandingan masakan dan persembahan malam kebudayaan. Unit beruniform BSMM pula memperoleh naib johan secara keseluruhan diikuti oleh PPIM. Majlis perasmian penutupan perkhemahan pada kali ini telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar iaitu Encik Ahmad Daud selaku wakil kepada Tuan Pengarah dan Timbalan pengarah yang tidak dapat hadir ke majlis tersebut atas urusan rasmi di tempat lain. Selepas makan tengahari pula, istiadat penurunan bendera dan break camp dilakukan sebagai simbolik tamatnya aktiviti perkhemahan pada kali ini. Para guru pelatih melaksanakan tugas terakhir di kem ini dengan membersihkan kawasan-kawasan tapak perkhemahan. Para guru pelatih juga telah membantu pihak pengurusan Kem Alapong untuk menyusun batang-batang buluh yang telah digunakan ke tempat yang telah disediakan. Selesai semuanya, kami bersiap sedia untuk balik. Barang-barang dan peralatan yang telah digunakan juga disemak bagi memastikan tiada kehilangan yang berlaku. Sekitar jam 2.00 petang, kami bergerak dari Kem Alapong menggunakan bas balik ke kampus. Kami tiba di kampus pada jam 4.00 petang. Sesungguhnya, perkhemahan pada kali ini telah memberikan suatu pengalaman yang tidak ternilai harganya kepada para guru pelatih yang terlibat. Semoga pengalaman dan ilmu baru yang telah diperoleh tersebut akan dapat digunakan dan dipraktikkan apabila menjadi guru kelak.

Disediakan oleh, ............................. (HILARY JAINOL) Ahli Tunas Kadet Remaja Sekolah, Institut pendidikan Guru,

Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak.

Anda mungkin juga menyukai