Anda di halaman 1dari 4

PEMANASAN GLOBAL Artikel Oleh: Cik Siti Saliha bt Mohamed Said Bahagian Pembangunan Dan Pengurusan Koleksi Bumi

kini umpama sedang mengalami "demam panas" akibat pemanasan global yang mengakibatkan iklim dunia dan kehidupan penghuninya kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu ekonomi berbanding kesihatan dunia itu sendiri. Sebenarnya sesiapa saja boleh membantu mengurangkan pelepasan gas tersebut. Malah banyak perkara yang mudah dilakukan dalam kehidupan harian seperti mengurangkan penggunaan atau mematikan terus peralatan elektrik yang tidak diperlukan dan menggunakan mentol jenis jimat tenaga atau bertindak tidak membakar sampah di kawasan terbuka. Daripada ilmuwan hinggalah orang kebanyakan bagaikan sepakat bahawa gejala pemanasan global boleh mengundang kemudaratan. Hakikatnya pemanasan global adalah kesan daripada aktiviti manusia. Lebih menjelikkan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) adalah penyumbang utama kepada pemanasan global. Meningkatnya emisi gas rumah kaca adalah punca terjadinya pemanasan global. Namun kita sendiri tertanya-tanya bagaimana gejala pemanasan global terjadi. Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang meningkatkan jumlah gas-gas karbon (wap air, karbon dioksida, karbon monoksida) yang turut dikenali sebagai gas rumah hijau di dalam atmosfera bumi. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi makin meningkat. Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk daripada biasa.Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam gelombang haba di Eropah yang menyebabkan beratus atau mungkin beribu kematian sejak tahun 2000.

Gelombang 'kepanasan' ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi daripada kebiasaan. Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah beriklim tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini sementara negara seperti AS dilanda ribut salji dan ribut taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada 2005. Para pengkaji telah menjalankan kajian mengenai pengaruh pemanasan global terhadap lautan beku di sekitar kutub. Hasil kajian menunjukkan sekiranya tingkat pelepasan emisi gas rumah kaca berterusan, besar kemungkinan kita tidak akan menemui ais di wilayah Kutub Utara pada tahun 2040. Disebabkan pemanasan global, pengurangan ais pada dekad akan datang akan menjadi lebih dramatik. Apabila ais mencair, samudera akan mengirim lebih banyak haba kepada Kutub Utara dan air yang luas terbuka itu akan menyerap lebih sinaran matahari yang seterusnya mempercepatkan proses pencairan ais. Bagaimanapun kecairan ais laut tidak meningkatkan paras air laut kerana air pepejal berada dalam air cecair. Tetapi jika ais dan salji pada negeri Greenland mencair, paras air laut dijangka meningkat sebanyak tujuh meter. Sesungguhnya kajian terbaru ini memberi ramalan bahawa dalam tempoh 30 tahun saja fenomena itu akan berlaku gara-gara pemanasan global yang tidak terkawal. Lebih membimbangkan fenomena pemanasan global ini akan mengakibatkan krisis makanan dunia yang telah berlaku sekarang akan memburuk pada masa akan datang.Kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia tidak kira di mana mereka berada. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas kepada yang tidak bernasib baik. Sama ada kita suka atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000, sama ada secara langsung ataupun tidak.Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah meninggal dunia itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk.

Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan 800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun. Perbandingan dengan bencana pada 1950 oleh beberapa pertubuhan antarabangsa menunjukkan peningkatan dua kali ganda kejadian ribut taufan sementara kejadian banjir, gelombang haba dan kemarau pula telah meningkat sebanyak empat kali ganda. Pelbagai kempen telah diadakan untuk menyelamatkan bumi iaitu Kempen Earth Hour. Pada 28 Mac lepas pukul 8.30 malam hampir seluruh dunia termasuklah monumenmonumen seperti Menara Eiffel di Perancis, jambatan Sydney Harbour dan Opera House di Sydney, jambatan Golden Gate di San Francisco, bangunan tertinggi Amerika Syarikat, Menara Sears di Chicago hinggalah Menara Kuala Lumpur dan bangunan Angkasapuri bergelap selama sejam bersempena dengan kempen Earth Hour yang masuk tahun ketiga tahun ini. Banyak bangunan mercu tanda di 75 negara lain turut serta menjayakan pergerakan Earth Hour itu. Tujuan utama Earth Hour ialah bagi menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu tindakan proaktif bagi menangani isu pemanasan global. Earth Hour mengajak penduduk seluruh dunia untuk bergelap dengan memadamkan semua lampu yang menggunakan tenaga elektrik tepat pukul 8.30 mlm. Kempen yang mula digerakkan oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) Australia itu telah dilaksanakan pertama kali melibatkan hanya bandar raya Sydney pada Mac 2007. Sasaran kempen ini ialah mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekali gus mengawal fenomena pemanasan global. Kesimpulannya, setiap agama di dunia tidak menolak pembangunan hatta kemodenan bahkan ia dituntut demi kesejahteraan manusia itu sendiri. Tidak mungkin manusia mampu untuk memenuhi keperluan prasarana segenap populasi manusia yang semakin berkembang tanpa digerakkan pembangunan itu sendiri. Hari ini kita sudah dapat melihat kesan tersebut seperti masalah kesihatan, perubahan cuaca dunia dan pencemaran alam. Kesemuanya berkait rapat antara satu sama lain dan pada dasarnya berpunca daripada perbuatan tangan manusia sendiri. Hakikatnya

isu pemanasan global berpotensi mencetuskan kesan kemusnahan yang mengancam kelangsungan hidup manusia di muka bumi jika kita tidak bertindak dari sekarang. Mungkin hari ini fenomena sedemikian masih belum jelas kelihatan dan memerlukan kajian mendalam di peringkat global bagi mengesahkan kesan pada skala besar terhadap segala macam pencemaran alam yang berlaku. Namun ia seharusnya mampu membuka mata kita betapa pentingnya usaha memelihara dan memulihara alam sekitar agar bumi ini sentiasa selamat dan sejahtera untuk didiami oleh manusia pada zaman ini mahupun generasi seterusnya.

Sumber: Mingguan Malaysia


http://www.ppas.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=139%3Apemanasanglobal&catid=25%3Asains&Itemid=105&lang=en