Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN SEMPENA PERASMIAN HARI ANUGERAH CEMERLANG SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI KECHIL 2013

Terima kasih Saudari/a Pengacara Majlis, Yang Berusaha Guru Besar SK Sungai Kechil, Nibong Tebal Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa Penolong-penolong Kanan, guru-guru Dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan. Alhamdulillah bersyukur saya kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya saya dapat hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan dalam satu lagi upacara penting iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil bagi tahun 2013. Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan, Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang hadir dalam majlis ini, khususnya kepada para pelajar dan ibu bapa yang telah menunjukkan keintelektualan dan sahsiah yang cemerlang. Tahniah dan terima kasih juga kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion peguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti baik dari segi akademik mahupun sahsiah. Semoga majlis yang amat bermakna ini dapat dijadikan asas permulaan anjakan paradigma menjana modal insan gemilang dan terbilang. Sehubungan dengan itu, saya berharap pihak sekolah dan PIBG dapat bekerjasama

mendepani segala cabaran dan permasalahan yang timbul. Pihak sekolah dan ibu bapa, sebaik-baiknya wujudkan suasana kolaboratif dengan sentiasa berbincang. Hindarkan sebarang perbalahan kerana ini tidak menguntungkan, malah merugikan semua pihak. Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan, Memandangkan pendidikan mampu menyuburkan kualiti kehidupan dan bersifat dinamik, guru-guru perlu mewujudkan tanggapan yang positif terhadap diri dan kerjayanya. Perkara ini penting kerana masyarakat akan membuat tanggapan terhadap guru berasaskan cara mereka berfikir, berpakaian, bercakap dan berinteraksi dengan pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Ibu bapa dan masyarakat pula, hendaklah bersifat rasional dan jangan cepat melatah menyalahkan pihak sekolah apabila timbul sesuatu masalah, terutama berkaitan masalah disiplin anak-anak. Saya percaya, Tuan Guru Besar merupakan seorang individu yang bertanggungjawab dan mahukan sekolah ini sentiasa berada dalam keadaan baik serta kondusif. Cuma kadangkala masalah disiplin berlaku tanpa disangka dan sebagai ibu bapa,keikhlasan Tuan Guru Besar mengurus sekolah perlu dilihat secara positif. Kita juga patut sedar, sistem pendidikan masa kini memerlukan perubahan selaras dengan keperluan semasa, memenuhi tuntutan zaman dan lingkungan. Walau bagaimanpun, kita mungkin perlu mengimbau sejenak dan menginsafi betapa bertuahnya kita berada di bumi Malaysia dengan menikmati pelbagai peluang pendidikan ditawarkan. Apa yang paling penting adalah kesungguhan dan keinginan kita mengejar setinggi mana pencapaian yang dikehendaki. Kita juga perlu membuat persiapan bagi menghadapi pelbagai cabaran yang sudah tentu tidak sama lagi dengan yang ada pada masa semalam,hari ini dan mungkin juga esok hari. Menginsafi hakikat ini, maka tidak syak lagi bahawa sistem pendidikan itu sebenarnya menuntut

kita untuk sentiasa memperbaharui diri dengan ilmu dan tekad yang baru pada setiap masa. Oleh hal yang demikian tuan-tuan dan puan-puan, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada ibu bapa agar senantiasa merebut peluang sebarang yang ada. Saya menyarankan para pelajar, guru-guru malahan ibu bapa sentiasa memberi nilai tambah kepada diri dengan terus belajar dan menambah ilmu supaya kita semua akan terus relevan dengan perubahan serta peredaran zaman. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa pendidikan yang mengutamakan aspek akademik semata-mata akan menyebabkan lahirnya generasi yang pintar tetapi tidak mampu menonjolkan kebestariannya dalam tindakan atau membuat keputusan. Oleh itu, aspek kemanusiaan tidak seharusnya diketepikan kerana melaluinya terdapat beberapa pertimbangan atau budi bicara bagi membolehkan pembentukan sahsiah yang seimbang. Lantaran itu, golongan pendidik, ibu bapa dan masyarakat hendaklah membuka minda dan mengemaskinikan pengetahuan sedia ada sambil meneruskan usaha untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi juga berakhlak mulia, berhemah tinggi, dan disegani pada peringkat global. Para hadirin yang saya muliakan, Sempena Majlis Hari Anugerah sekolah ini, saya secara peribadi mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga SK Sungai Kechil, PIBG, ibu bapa dan para pelajar cemerlang kerana komited sehingga dapat menjayakan program sekolah. Saya akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada pihak sekolah untuk melahirkan modal insan gemilang dan terbilang. Akhir kata kepada Tuan Guru Besar, Yang Dipertua dan ahli jawatankuasa PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil, guru-guru dan semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini saya ucapkan terima kasih, kerana sesungguhnya perpaduan dapat dibentuk melalui majlis seperti ini. Sehubungan itu saya buat kesekian kalinya berdoa semoga sekolah ini akan

terus mencapai kejayaan seperti mana yang mereka hajati dalam masa yang terdekat ini. Dengan lafaz

Saya merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil bagi tahun 2013. Sekian, terima kasih.