Anda di halaman 1dari 11

1.

Pendahuluan Sosialisasi merupakan proses seseorang individu menempatkan dirinya dalam sesebuah masyarakat agar kehadirannya memberi makna dalam masyarakat tersebut. Kesan kewujudan dirinya itu bukan sekadar memberi nilai pada diri tetapi juga pada masyarakat. Justeru itu, proses sosialisasi boleh dianggap sebagai satu bentuk atau kaedah bagaimana seseorang individu menyesuaikan dirinya dengan nilai-nilai serta norma-norma yang ada dalam masyarakat. Sosialisasi menjadi satu mekanisme untuk berlakunya pemindahan sesuatu budaya atau peraturan bagi seseorang individu supaya ianya diterima dalam sistem yang sedia ada dalam masyarakat. Sosialisasi merupakan satu proses yang melibatkan hubungan antara pengetahuan, persekitaran dan pemikiran serta perlakuan manusia. Interaksi antara komponen-komponen ini akhirnya akan membentuk watak dan diri seseorang individu yang boleh disebut sebagai pembentukan identiti. Sosialisasi adalah proses sepanjang hayat yang perlu dilalui oleh seseorang individu, ia

bermula sejak individu itu dilahirkan dan individu tersebut akan mempelajari dengan menerima nilai, kemahiran, sikap dan menyatukannya ke dalam kelompok atau masyarakat. Sosialisasi dapat memberi kesan kepada pengalaman kebudayaan secara menyeluruh dan juga ia dapat membentuk imej yang ada pada individu itu sendiri dan seterusnya memberi kesan kepada pembentukan peribadi atau personaliti seseorang. Sosialisasi dapat membantu mengekalkan idea-idea, nilai-nilai dan pola-pola tingkah laku yang menyatukan masyarakat supaya terus kekal walaupun ahli-ahli masyarakatnya silih berganti. Melalui sosialisasi kebudayaan manusia dapat dipindah daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Misalnya seorang guru akan sedar dan tahu peranan dan tanggungjawab tentunya akan mengasuh dan menyayangi anak muridnya. Seorang anak dan pelajar juga akan tekun belajar jika dia sedar bahawa itu adalah tanggungjawabnya dan harapan ibu bapanya. Jadi, sosialisasi menyedarkan seseorang tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan. Peranan sosialisasi boleh dirumuskan sebagai satu proses penyempurnaan hidup manusia mengikut norma masyarakatnya. Dalam proses ini sosialisasi berperanan : mengajar asas-asas kehidupan dalam masyarakat memastikan aspirasi masyarakat terpelihara,

menyebarkan kemahiran-kemahiran yang penting dalam masyarakat, mengajar individu untuk memenuhi peranan sosial.

2. Peranan Agen Moral dan Pengaruhnya Dalam Proses Sosialisasi Individu Perwatakan dan tabiat kanak-kanak pada amnya dibentuk oleh masyarakat dan dikekalkan melalui proses sosialisasi. Proses sosialisasi berlaku dalam tiga jenis. Pertama sekali ialah sosialisasi primer yang berlaku pada peringkat awal kanak-kanak. Kanak-kanak mempelajari konsep diri, psikomotor, penaakulan dan kemahiran bahasa daripada keluarganya. Sosialisasi sekunder ialah jenis kedua di mana proses ini berlaku pada peringkat kanak-kanak , remaja dan dewasa. Dalam peringkat ini akan berlaku proses pengembangan konsep diri, menerima konsep baru, berlaku perubahan dan penyesuaian akibat daripada interaksi dengan rakan sebaya, media massa dan masyarakat. Jenis ketiga ialah sosialisasi semula. Sosialisasi semula ini berlaku akibat daripada perubahan secara drastik, mendadak, radikal atau terpaksa yang dialami oleh seseorang. Misalnya jika seseorang individu mengalami akibat dari kemalangan, revolusi, peperangan, perubahah kepercayaan, bencana dan sebagainya akan menyebabkan si mangsa mengubah konsep kendiri, sikap dan taakulan dengan cepat akibat daripada situasi di atas. Pembentukan moral individu berkait rapat dengan teori kognitif sosial, menurut teori kognitif sosial, latar belakang kebudayaan seseorang individu merupakan faktor utama dalam pembentukan tingkah lakunya. Bandura mengatakan bahawa pembelajaran secara peniruan melibatkan tiga unsur iaitu individu (kognitif), persekitaran dan tingkah laku itu sendiri. Albert Bandura dalam teori pembelajaran sosialnya juga ada mengatakan sesuatu tingkah laku dapat dipelajari menerusi interaksi dengan orang lain dan persekitaran. Semasa berinteraksi seseorang itu akan memerhatikan tingkah laku dan seterusnya meniru perbuatan tersebut. Proses ini dipanggil modelling iaitu pembelajaran melalui permodelan. Antara ciri-ciri teori pemodelan Bandura ialah unsur pembelajaran utama ialah pemerhatian dan peniruan.

Institusi sosial utama yang menentukan sosialisasi ialah keluarga, kepercayaan, pendidikan, ekonomi dan kerajaan. Manakala antara agen utama yang membentuk dan mempengaruhi sosialisasi ialah keluarga, sekolah, rakan sebaya, media massa dan komuniti atau masyarakat. Berikut adalah huraian tentang peranan agen-agen moral dalam proses sosialisasi individu dan pengaruhnya terhadap penbentukan moral individu: 2.1 Kekeluargaan Pembentukkan moral pada peringkat awal kanak-kanak amat penting dalam memperkukuhkan kemoralan diri anak-anak demi menyekat nafsu dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Ibu bapa merupakan individu yang paling penting dalam sebuah institusi keluarga. Ibu bapa bukan sahaja perlu menanggung tanggungjawab menyara kehidupan keluarga, malahan juga harus mendidik dan mengasuh anak supaya menjadi orang yang berguna. Anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapa yang menjadi pencoraknya, oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dan sempurna dari segi jasmani, rohani, emosi, mental dan intelek. Jean Piaget yang terkenal dalam bidang kajian tentang perkembangan moral kanak-kanak telah mengatakan bahawa perkembangan moral kanak-kanak dapat dipupuk melalui cara kanak-kanak menerima peraturan-peraturan permainan dan bertindak ke atas peraturan itu, keupayaan kanak-kanak menilai dan bertindak bagi memenuhi keperluan diri dan orang lain serta memahami konsep keadilan dan kebebasan iaitu idea saksama dan sama. Setelah memahami nilai moral dan struktur masyarakat maka kanak-kanak akan menunjukkan akhlak mulia seperti sikap bekerjasama, menghormati dan menghargai apa yang ada di sekelilingnya kepada masyarakat. Didikan yang paling awal diterima oleh seseorang anak bermula dari rumah. Sejak kecil lagi, ibu bapa harus menerap dan mendidik anak-anak tentang nilai-nilai murni seperti hormat menghormati, jujur dan amanah. Menurut Sufean (1989) perlakuan yang baik dapat dipupuk melalui nilai murni, oleh itu jika seseorang individu itu diterapkan dengan nilai murni, secara tidak langsung akhlak yang mulia dapat dibentuk dalam diri individu tersebut. Sebagai contoh

jika anak melakukan kesalahan, ibu bapa perlu mendenda anak supaya mereka dapat sedar dan insaf akan kesalahan sendiri. Sekiranya ibu bapa tidak membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh anak, maka nilai buruk seperti biadap, suka berbohong dan mencuri menjadi perhiasan diri seawal peringkat kanak-kanak kerana mereka menganggap bahawa perbuatan tersebut adalah betul. Lama-kelamaan, perbutan buruk itu menjadi tabiat anak, secara tidak langsung nilai-nilai buruk ini akan mewarnai dirinya sehingga dewasa.

2.2 Rakan sebaya Rakan sebaya juga merupakan agen sosialisasi utama. Definisi rakan sebaya menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 ialah sahabat yang sama umurnya. Rakan Sebaya juga ialah sahabat daripada lingkungan latar belakang yang sama dan suka bersama dalam pelbagai aktiviti dan matlamat atau dalam kata lain mempunyai minat yang sama. Walaupun pengaruh keluarga sangat kuat dalam pembentukan moral kanak-kanak, namun pengaruh tersebut menjadi semakin berkurangan apabila kanak-kanak menjangkau usia yang lebih tinggi untuk mempunyai rakan-rakannya sendiri. Menurut Mohd Rodzik (1998) nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, keberanian, kejujuran, kesabaran dan lain-lain pada seseorang individu terutamanya para remaja banyak dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan rakan sebaya dan pengaruh tersebut adalah lebih kuat daripada pengaruh ibu bapa mereka. Mazni Mustafa (1999) juga menyatakan remaja cenderung menuruti tingkah laku kumpulan yang mana dia berada di dalamnya. Remaja di peringkat awalan akan bersungguh-sungguh mencontohi tingkah laku seperti mana yang dilakukan oleh kumpulannya, mereka juga akan melakukan apa yang dilakukan atau dibuat oleh rakan-rakannya. Rokiah Ismail (2002) menyatakan dengan mencontohi rakan sebaya, para remaja akan dapat belajar satu tingkah laku baru yang cuba diserap dan disesuaikan pula ke dalam personalitinya. Remaja menghadapi pelbagai konflik apabila mereka berusaha merentasi jurang generasi (generation gap) antara pemikiran mereka dengan pemikiran ibu bapa mereka. Jika dibanding dengan peringkat kanak-kanak, segala nasihat dan teguran ibu bapa akan didengari dan

dipatuhi oleh anak-anak yang pergaulannya dengan rakan sebaya terhad. Akan tetapi apabila peluang bergaul dengan rakan sebaya diperluaskan, para remaja akan merasakan ibu bapa sebagai pengongkong kebebasan diri. Ibu bapa pula berasa keliru dengan tingkah laku dan tindak tanduk anak yang berusia remaja dan sebarang usaha untuk menegakkan identiti diri dianggap sebagai menentang. Kekeliruan ini memburukkan pengeseran antara anak dengan keluarga dan akhirnya akan menimbulkan masalah sosial. Apabila remaja menemui masalah seperti ini, dia memerlukan seorang sebagai tempat mengadu hal, mendapat panduan dan sokongan serta pertolongan. Kadang kala mereka merasa lebih selesa berbincang atau bercerita masalah mereka dengan rakan sebaya mereka. Rakan sebaya bukan sahaja mempengaruhi seseorang individu secara negatif melalui pujukan dan paksaan tetapi juga secara positif dengan memberi khidmat, sokongan dan peluang untuk membincangkan pandangan-pandangan yang bertentangan. Pengaruh kuat rakan sebaya boleh digunakan secara konstruktif untuk membentuk tingkah laku yang positif di kalangan mereka. 2.3 Sekolah dan Institusi Sekolah merupakan institusi penting untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta sahsiah terpuji. Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Norma ialah peraturan sosial yang menentukan tingkah laku seseorang yang boleh diterima dan tidak boleh diterima dalam sesuatu situasi. memberitahu Norma sosial atau peraturan sosial akan memainkan peranannya bagi seseorang individu apakah yang boleh, mesti, tidak boleh atau tidak

semestinya untuk dilakukan. Norma memberi panduan yang membolehkan individu tersebut mengaplikasikannya kepada tindak tanduk mereka agar sesuai dengan orang lain apabila terdapat situasi yang kurang jelas atau kabur. Norma juga menyediakan piawai di mana individu menilai orang lain dan membuat keputusan tentang bagaimana mereka berinteraksi dengan mereka. Kadang kala kawalan sosial digunakan oleh pihak sekolah dengan menetapkan peraturan-peraturan atau hukuman bagi mempengaruhi tingkah laku pelajar supaya mereka menghargai nilai-nilai norma dan mematuhinya.

Guru sebagai agen moral harus sedar bahawa sekolah merupakan sumber pembelajaran moral secara tidak langsung kepada seseorang individu. Suasana sosial di sekolah, cara sekolah itu ditadbir dan bagaimana guru-guru bertingkah laku akan memberikan pengaruh kepada pembelajaran moral individu di sekolah. Para guru harus menerima hakikat bahawa nilai-nilai moral sudah tertanam dalam diri individu, memperkembangkan pengetahuan moral anak-anak guru haruslah mengajar dan murid mereka dengan membimbing

mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Pentadbir yang efektif adalah penting untuk mewujudkan suasana mendorong pengajaran yang bermakna dan menyeronokkan. Pentadbit hendaklah berupaya membentuk satu struktur dan amalan yang mengintegrasikan maklum balas, membuat refleksi dan tindak balas yang diterima berlandaskan aspek-aspek seperti : Mengesan kecekapan pentadbiran sekolah Menilai budaya moral sekolah Menilai secara moral guru-guru di bawah pentadbirannya

Sebagai pentadbir sekolah pengetua atau guru besar perlu mempunyai sesitiviti terhadap bakat dan kemahiran guru-guru, berkongsi matlamat dan membuat keputusan, memberi latihan pembangunan profesionalisme kepada guru-guru dan interaksi yang tinggi terhadap guru-guru bagi tujuan mewujudkan iklim dan budaya sekolah yang sihat di kalangan pelajarpelajar. Iklim dan budaya sekolah merujuk kepada sejumlah nilai, budaya, amalan keselamatan dan struktur organisasi sekolah yang membolehkan sekolah berfungsi dan bertindak dengan cara-cara yang telah ditentukan. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam melahirkan individu yang berketerampilan, berakhlak mulia, seimbang dari segi rohani, jasmani dan emosi serta naturalis.

2.4 Masyarakat atau Komuniti

Masyarakat adalah sejumlah manusia yang merupakan satu kesatuan golongan yang berhubungan tetap dan mempunyai kepentingan yang sama. Beberapa faktor telah menyebabkan manusia hidup bermasyarakat, antaranya ialah : Hasrat bersosial Hasrat harga diri Hasrat berjuang Hasrat untuk mempertahankan diri

Teori pembelajaran sosial Bandura (1997) turut menekankan tentang peranan persekitaran dalam pembentukan moral individu. Menurut teori ini, masyarakat yang mendefinisikan tugas dan peranan ahli-ahli masyarakatnya serta norma-norma yang berkaitan dengan tingkah laku. Manusia pula akan membentuk perasaan, nilai dan tingkah laku melalui permerhatian terhadap apa yang dilakukan oleh ahli masyarakatnya. Bandura (1997) juga berpendapat, seseorang individu banyak belajar melalui peniruan. Menurutnya, tingkah laku pada remaja terhasil akibat daripada pengalaman pengasuhan pada peringkat kanak-kanak. Oleh itu, kebanyakan tingkah laku remaja adalah mengikut kehendak ibu bapa dan masyarakat. Tingkah laku yang menyeleweng pula adalah akibat pengasuhan dan proses sosialisasi yang kurang sempurna. Perubahan-perubahan dalam masyarakat seterusnya menghasilkan perubahan dalam persepsi terhadap masyarakat. Faktor-faktor persekitaran sosial boleh mempengaruhi pembentukan moral atau tingkah laku seseorang melalui pelbagai corak pembelajaran sosial seperti permodelan, maklum balas, dorongan dan halangan (Azhar 2006). Masyarakat atau komuniti adalah antara agen moral yang boleh membawa banyak kesan kepada personaliti seseorang, pelbagai nilai dan norma telah didirikan bagi tujuan menyekat atau menghalang tingkah laku yang tidak diingini. Moral merupakan satu nilai tetapi bukan semua nilai itu adalah moral. Nilai berperanan sebagai satu kriteria atau piawai (standard) yang konsisten agar individu atau masyarakat bertindak dengan baik, betul dan boleh diterima. Dari segi organisasi atau pertubuhan mengambil tempat bagi membantu masyarakat menyelesaikan konflik atau masalah sosial.

Melalui program-program yang dijalankan oleh organisasi-organisasi seperti Yayasan Salam, Peace Malaysia, Pertubuhan Buddhist Tzu Chi Malaysia dan sebagainya dapat membantu masyarakat melahirkan individu yang berinsan moral. Contohnya Program Khidmat Negara merupakan salah satu program yang dijalankan oleh kerajaan bagi mencapai objektif seperti meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni dan melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri. Ternyata sekali program ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat bagi melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia .

2.5 Media Massa Era globalisasi membawa pengaruh yang kuat dalam kehidupan masyarakat. Hal ini menyebabkan terjadinya perubahan-perubahan sosial baik secara positif mahu pun negatif. Media massa merupakan salah satu bentuk teknologi maklumat dan komunikasi. Melalui media massa sama ada media eletronik atau media cetak yang semakin banyak berkembang, maklumat dapat disebar dengan mudah ke seluruh masyarakat. Maklumat dalam bentuk apa pun dapat disebarluaskan dengan mudah dan cepat sehingga mempengaruhi cara pandang, gaya hidup serta budaya suatu bangsa. Contohnya akhbar-akhbar tabloid dan majalah seperti URTV, Mangga lebih banyak memberikan pendedahan seks negatif kepada pembaca remaja, akibatnya mereka lebih matang dalam aspek keseronokan seks daripada hal-hal kemanusiaan. Dengan sedar atau tidak sedar media massa telah menjadi sebahagian dari kehidupan kita. Arus informasi yang cepat menyebabkan kita tidak mampu untuk menapis maklumatmaklumat yang diperolehi. Akibatnya secara tidak sadar, maklumat tersebut sedikit demi Fungsi sedikit akan mempengaruhi pola tingkah laku dan budaya dalam masyarakat kita.

media massa sebagai tunjang perubahan sosial iaitu media massa sebagai pemberi maklumat, tanpa media massa sangat mustahil untuk maklumat disebarkan secara tepat dan cepat.

Media massa berperanan sebagai pengambilan keputusan yang mana kumpulan-kumpulan tertentu akan membuat keputusan berdasarkan maklumat dari media massa di samping itu diharapkan adanya perubahan sikap, kepercayaan, dan norma-norma sosial. Dengan kata lain media massa berperanan dalam menghantar maklumat sebagai bahan perbincangan, menyampaikan maklumat atau pesanan kepada masyarakat serta memperjelaskan sesuatu masalah. Media massa juga berfungsi sebagai pendidik. Dalam hal ini, media dapat meningkatkan ilmu pengetahuan ahli-ahli masyarakat. Media massa dapat memperlihatkan cara hidup yang standard dalam sesebuah masyarakat dan layak dialami oleh seseorang individu. Secara tidak langsung ini akan menyebabkan masyarakat menilai apakah persekitaran mereka sudah layak atau adakah persekitaran mereka telah memenuhi standard tersebut dan gambaran ini banyak dipengaruhi dari apa yang dilihat, didengar dan dibaca dalam media massa. Secara sosio-psikologi, arus informasi yang terus melanda kehidupan kita akan menimbul pelbagai kesan terhadap perkembangan moral, khususnya anak-anak dan remaja. Pola tingkah laku mereka sedikit demi sedikit akan dipengaruhi oleh apa yang mereka terima yang mungkin melencong dari tahap perkembangan moral mahupun norma-norma yang dibina. Hal ini terjadi apabila tayangan atau informasi yang hanya sesuai untuk tontonan orang dewasa sempat ditonton oleh anak-anak yang masih tidak tahu membeza baik buruknya.

3. Kesimpulan Sosialisasi merupakan satu proses untuk membentuk tingkah laku yang boleh diterima oleh masyarakat, institusi keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan dan media massa.. Dalam dunia yang begitu kompleks, di mana seorang individu menghadapi pelbagai cabaran dan pilihan dalam kehidupan mereka, maka adalah menjadi satu cabaran bagi setiap ahli dalam masyarakt terutama mereka yang digelar ibu bapa dan pendidik untuk mengalak dan membimbing seorang individu Rukun Negara kita. dalam domain moral supaya mereka dapat menjadikan seorang individu yang bermoral atau berakhlak mulia, sepertimana yang dihasratkan dalam

Rujukan Abdul Rahman Md. Aroff. (1984). Pendidikan Moral: Mengapa Diperlukan dan Dalam Bentuk Apa Patut Diperkenalkan , Jurnal Persidangan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia Ke-23

Abd. Rahim Abd. Rashid (2006). Menangani Perkembangan dan Masalah Tingkah Laku Remaja Dalam Keluarga. Universiti Malaya: Pusat Pembangunan Keluarga.

Azhar Ahmad.(2006). Strategi Pembelajaran Pengaturan Kendiri Pendidikan Islam dan Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah di Sarawak Mazni Mustapha. (1999). Potensi Kajian Remaja di Malaysia. Dalam Koleksi kertas kerja Psikologi Masyarakat Malaysia Semasa. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.

Mohd Rodzik Abd Razak. (1998). Hubungan Gaya Didikan Ibu Bapa Dengan Tingkah Laku Remaja. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda. TidakDiterbitkan.

Rokiah Ismail.(2002). Kawalan Sosial dan Pelbagai Dimensi Fungsinya dalam Strategi Menangani Masalah Jenayah dan Delinkuensi di Malaysia. Dlm Rahimah Abd. Aziz dan Mohamed Yusoff Ismail. Masyarakat, Budaya dan Pemodenan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sufean Hussin.(1989). Pengajaran Nilai dan Kurikulum . Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd

Internet

http://mynewshub.my/?p=100946 , Sept 11 2012

http://www.slideshare.net/cikgupaklong/kajian-sosial-budaya-dan-masyarakat

http://www.scribd.com/doc/35414929/kajian-sosial-Kawalan-Sosial-dan-Devians

Maznah Binti Abd. Samad, T.t. Peranan guru Pendidikan Moral di sekolah. Atas talian http://www.scribd.com/doc/ .