Anda di halaman 1dari 15

Konsep Siri dan Penggunaan Ungkapan dan Syair dalam Adat Perkahwinan Bugis-Makasar di Sabah Oleh Asmiaty Amat

dan Lokman Abdul Samad

Asal Usul Etnik Bugis Sabah Suku kaum Bugis yang kadang kala disebut sebagai Bugis-Makasar merupakan salah satu etnik yang terdapat dalam kelompok penduduk pelbagai etnik di negeri Sabah. Sejarah asal usul orang Bugis berasal dari Kepulauan Sulawesi, di Indonesia. Di Sulawesi, Bugis dan Makasar dianggap dua suku yang berbeza. Namun apabila mereka telah berhijah ke Malaysia khususnya negeri Sabah, Bugis dan Makasar adalah merujuk suku bangsa yang sama. Penghijrahan suku kaum Bugis-Makasar ke Sabah dikatakan seawal abad ke-17 (Goodlet, 2010). Mereka datang ke Tawau bersama-sama orang Bolongan. Mereka membuka petempatan di pinggir pantai dan menjalankan aktiviti menanam getah dan abaka di syarikat-syarikat kepunyaan orang British. Orang Bugis-Makasar pada masa itu juga ramai tinggal di BAL Plantation seperti di Ladang Table, Ladang Imam, Ladang Tiger, dan Merotai. Pada masa itu, mereka hanya bercadang untuk bekerja sementara di Sabah. Namun demikian mereka telah mengubah fikiran dan menetap serta memohon kerakyatan Malaysia. Mereka berinteraksi, berasimilasi, dan berakulturasi dengan rakyat tempatan dan menggunakan bahasa Melayu loghat Bugis (slang Bugis). Golongan ini merupakan suku kaum paling ramai mendiami daerah Tawau dan Lahad Datu (termasuk Kunak dan Semporna). Mereka juga menduduki daerah, Sandakan, Kota Kinabalu dan Keningau. Pada masa kini, orang Bugis bertebaran di seluruh kawasan di negeri Sabah mengikut kegiatan ekonomi yang mereka jalani. Adat kebudayaan khususnya perkahwinan masyarakat Bugis-Makasar, sama dengan budaya perkahwinan masyarakat lain yang ada di Malaysia. Terdapat upacara-upacara dalam pelaksanaan adat yang membezakan antara adat perkahwinan masyarakat Bugis dengan masyarakat lain di Sabaht. Namun, pada masa kini hampir keseluruhannya sudah menyerupai perkahwinan orang Melayu dan orang Bugis juga telah ramai yang berkahwin campur dengan pelbagai suku kaum yang ada di negeri Sabah. Proses perkahwinan campur, 1

asimilasi budaya sedikit sebanyak turut menghilangkan perbezaan pelaksanaan adat yang dianggap berbeza. Sungguhpun demikian, bagi masyarakat Bugis yang masih mahu menekankan pelaksanaan adat dalam majlis perkahwinan, mereka tetap melaksanakannya bedasarkan konsep siri yang mereka pegang dan patuhi. Konsep Siri Konsep, siri dalam masyarakat Bugis berkait rapat dengan kehormatan dan nilai diri yang begitu disanjung tinggi. Siri telah sebati dalam diri seseorang Bugis dan ia melambangkan keutuhan keperibadian yang mencakupi segala kewajipan sebagai seorang individu dalam masyarakat. Siri dijadikan landasan hidup masyarakat Bugis keseluruhannya, supaya martabat mereka tetap dipandang tinggi oleh masyarakat setempat. Dalam memartabatkan konsep siri dalam masyarakat Bugis, ia bukan sahaja dapat diperhatikan melalui tatacara kehidupan mereka sehari-hari. Siri juga dapat dimanifestasikan melalui syair atau ungkapan-ungkapan yang diucapkan dalam upacara adat atau dalam kehidupan sehari-hari. Selain menjadi satu bentuk kesusasteraan etnik Bugis, syair atau ungkapanungkapan seperti peribahasa dalam masyarakat Bugis-Makasar digunakan untuk meluahkan hasrat, hajat dan perasaan. Pada masa kini, syair disampaikan dalam upacara adat seperti perkahwinan, majlis kesyukuran, atau dalam kehidupan sehari-hari misalnya semasa seorang ibu mendodoikan anak, mendidik dan memantapkan konsep siri dalam jiwa generasi muda masa kini. Penggunaan Syair atau ungkapan dan penekanan terhadap Siri Dalam Masyarakat Bugis-Makasar. Secara tradisionalnya, masyarakat Bugis-Makasar membimbing dan menatar anak teruna atau anak gadis mereka dengan ilmu dan bekalan dalam menjalani kehidupan di masa hadapan. Masih terdapat keluarga Bugis-Makassar yang menuntun anak mereka (secara intensif) berdasarkan latar belakang pekerjaan ibu bapa mereka. Sebagai contoh, sekiranya kedua-dua ibu bapa bergiat dalam perniagaan, anak-anak mereka digalakkan untuk mengikuti jejak langkah atau meneruskan tradisi keluarga. Perkara ini berkaitrapat dengan tradisi masyarakat Bugis semasa nenek moyang mereka masih di Sulwesi Indonesia lagi. Pada masa dahulu, ibu bapa yang cenderung dalam bidang yang berkaitan dengan lautan, akan melatih anak mereka untuk menguasai ilmu mengenai perahu, berdagang, dan 2

menjadi seorang nelayan. Anak-anak gadis pula didedahkan dengan kemahiran menenun, menjahit dan memasak. Mereka juga dilengkapkan dengan kemahiran mengurus rumahtangga. Pendedahan ini bertujuan untuk memudahkan teruna dan gadis dalam urusan rumahtangga, berdikari dan bertanggung jawab terhadap rumahtangga yang akan didirikan. Secara tradisi, jika seorang anak teruna dalam masyarakat Bugis-Makasar jatuh hati pada seorang gadis, seboleh-bolehnya dia berusaha untuk tidak meluahkan isi hatinya secara langsung kepada gadis tersebut. Sikap malu ini dikaitkan dengan konsep siri yang diistilahkan juga sebagai malu untuk mengungkapkan rahsia hati. Konsep Siri juga berkaitan dengan maruah dan harga diri. Masyarakat Bugis-Makasar menghalang anggota masyarakat daripada bersikap serakah atau mangowa. Sikap serakah atau berbuat perkara tanpa berfikir menurut budaya masyarakat Bugis, perlu dijauhi kerana sikap ini menunjukkan sikap tamak dan rakus yang akan membawa kerugian pada diri sendiri. Sikap ini juga dianggap akan membuat keluarga malu atau digelar sebagai Mapakkasiri-siri. Anakanak muda orang Bugis dijaga agar tidak sampai memalukan keluarga dengan membawa lari anak dara orang atau menjadi anak dara yang dilarikan oleh lelaki. Sedikit masa dahulu, orang Bugis sanggup berbunuh atau mati akibat mahu menebus malu atau siri akibat anak atau adik perempuan mereka dilarikan lelaki lain. Perasaan masiri-siri atau malu wajar dipasakkan ke dalam diri anak muda demi menjaga maruah dan kehormatan keluarga kedua-dua belah pihak. Sikap ini menjadi pegangan hidup masyarakat Bugis-Makasar kerana dikhuatiri berlaku peristiwa yang memberi aib kepada keluarga seperti mengandung sebelum berkahwin. Kebiasannya, dalam masyarakat Bugis-Makasar di Sabah yang masih mengamalkan adat tradisi, apabila anak-anak telah dewasa, ibu bapa akan mengutarakan syair yang berbentuk sindiran atau kiasan untuk menyelami naluri atau hasrat anak terhadap perkahwinan. Syair yang biasa digunakan untuk menguji hati teruna adalah seperti berikut; magau ko la Bacho oi mu ondro temabbawinei lao mo ga wae oi leleanna rakka laei 3

Maksudnya; Apa yang kau perbuat bujang, (apa kau lakukan) Kenapa kau tinggal tidak beristeri, Pergila engkau, Mendapatkan apa yang kau hajatkan.

Bagi anak gadis, syair yang digunakan untuk bertanya samada mereka telah mempunyai pasangan atau sudah sampai masa untuk berumahtangga, syair yang dilagukan adalah seperti berikut; magau ko la Becche oi mu ondro temelllakkai lo moga wae oi syerrekkhena lawida ei Maksudnya; Apa yang kau perbuat kau gadis (apa kau lakukan) Apa kau tinggal-tinggal tidak mahu kahwin Jalan sahajala (Jangan terlalu memilih) Bagi anak terutama anak lelaki yang telah mempunyai pasangan yang dianggap secocok dengan dirinya, dia akan menyatakan hasrat hati kepada ibu bapa. Secara tradisi, anak muda juga menggunakan syair untuk memaklumkan bahawa mereka telah mempunyai kekasih. Perkara ini dikaitkan lagi dengan konsep siri-siri atau malu sebagaimana masyarakat Melayu yang ada di Semenanjung Malaysia atau masyarakat peribumi Sabah. Berterus terang tentang pilihan hati dianggap sebagai satu perbuatan yang kurang manis. Oleh hal yang demikian, masyarakat Bugis-Makasar menggunakan syair sebagai cara untuk mengungkapkan persoalan tersebut. Bait syair pengganti bicara adalah seperti di bawah: indo rekkokeng sanga ota duana rekko telluna rekko marajani unawanawae pekkeni simpolonna mappadadani arona Maksudnya; Ibu, kering sudah sirih pinang kita Dua lembar, tiga lembar Besar sudah gadis yang kuidamkan

Tinggi sudah sanggulnya Besar juga sudah dadanya (akil baligh) Luahan hati yang dipaparkan melalui syair adalah dianggap lebih bermakna dan difahami oleh ibu bapa. Anak meluahkan hasrat hati dengan menggunakan kiasan daun sirih mereka yang telah kering layu kerana tidak digunakan. Selain itu, gambaran tentang gadis yang dihajatkan itu juga digambarkan melalui perubahan pada perkembangan bentuk fizikalnya. Sungguhpun ia dianggap sebagai kiasan, gambaran yang digunakan oleh masyarakat Bugis tersebut jelas dan tepat berkenaan sesuatu hajat yang ingin disampaikan. Jika ibu bapa telah mendengar anak lelaki mereka berkata demikian, mereka akan memainkan peranan untuk melaksanakan hajat hati anak mereka. Sehubungan dengan itu, bermulalah rentetan proses perkahwinan masyarakat Bugis-Makasar secara adat atau Botting-ade. Sungguhpun demikian, pada masa kini, syair yang dalam erti kata sebenarnya tidak lagi diungkapkan oleh anak muda untuk menyatakan hasrat hati mereka kepada ibu dan bapa. Generasi Bugis di negeri Sabah tidak lagi memahami atau arif dalam mengungkapkan syair apatah lagi menyatakan hasrat hati mereka untuk berkahwin dalam bentuk syair. Jika ada pun syair yang diutarakan berkenaan isu sedemikian, ia hanya diungkapkan oleh ibu ataupun bapa yang masih menjadikan bahasa Bugis sebagai bahasa pertama mereka. Walaupun kebanyakan daripada generasi muda sudah tidak mahir berbahasa Bugis, mereka memahami ungkapan-ungkapan sebagai sindiran atau nasihat yang ditujukan kepada mereka. Rentetan Perkahwinan dan Penggunaan Syair Masyarakat Bugis-Makasar Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, urusan perkahwinan masyarakat Bugis-Makasar tidak banyak berbeza dengan adat dan budaya masyarakat lain. Namun pelaksanaan adat tradisi ada kalanya menyukarkan generasi masa kini untuk mengikutinya.

Mapuce-puce (Merisik)

Madduta Masuro (Meminang)

Maduppa- Mappaisseng (Jemputan)

Mappaaenre Balanca (Hantaran)

Menre alena (Pihak lelaki ke upacara nikah)

Agaukeng (Majlis Keramaian)

Mapparola (Berkunjung ke rumah pihak suami) Urutan Perkahwinan Masyarakat Bugis-Makasar ] Mapuce-puce (Merisik) Peringkat mapuce-puce merupakan kunjungan dari pihak lelaki kepada keluarga gadis untuk mengetahui status gadis sama ada masih belum berpunya atau sudah dimiliki orang lain. Tanggunjawab untuk merisik disandangkan kepada orang-orang tua yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti Petta atau Daeng. Gelaran ini merupakan warisan turun temurun dan dihormati dalam masyarakat Bugis-Makasar sejak di Indonesia sehingga mereka bermastautin di negeri ini. Gelaran tersebut menunjukkan lambang keturunan bangsawan, walaupun sebenarnya darah bangsawan itu sudah terlalu cair. Setelah wakil pihak lelaki mengetahui status gadis tersebut, peringkat kedua yang perlu dilaksanakan ialah peringkat Madutta Masurro Madduta Massuro (Meminang) Peringkat madduta massuro untuk membincangkan hantaran, penetapan tarikh hantaran dan masa majlis perkahwinan akan dilangsungkan. Kebiasannya balanca (belanja kahwin) dibebankan kepada pihak lelaki untuk membiayai sepenuhnya sesebuah majlis perkahwinan. Sementara sompa atau sundreng (wang mahar/mas kahwin) akan diikuti menurut kebiasaan dan darjat keluarga gadis bersesuaian dengan kedudukan keluarga

menurut susun lapis masyarakatnya. Sebagai tanda ketinggian budaya masyarakat BugisMakasar, syair yang penuh dengan penggunaan bahasa kiasan akan digunakan. Ungkapan pembukaan untuk peminangan kebiasaannya dimulakan seperti berikut; Enggka karo pole messibawa lao tuppui ana denetta akatta Madeceng, yanaritu maelokka medeppe-deppe maccinong ripassirim bolata Mammuare bare taporenuka (tatarimaka.) Maksudnya; Ada di situ datang bersama mendaki anak tangga Dengan baik, yang itula kita mahu dekatkan, duduk di tepi rumah kita mau menjadi keluarga (diterima juga kah?) Maksudnya: Kedatangan kami bersama rombongan datang ke rumah tuan membawa hajat besar untuk anak kami. Kami memohon kepada tuan dan keluarga supaya anak kami dapat diberi menumpang kasih walaupun sekadar di serambi rumah. Mudah-mudahan hajat kami dapat diperkenankan. Melalui ungkapan tersebut, pihak lelaki dengan merendah diri menyatakan hasrat kedatangan mereka untuk menumpang kasih. Mereka secara berkias mengandaikan tujuan utama untuk mengeratkan silaturrahim. Istilah itu juga dikaitkan denagn duduk di tepi rumah (serambi) yang menggambarkan kiasan bermadah pihak lelaki tentang penerimaan pihak perempuan. Setelah ungkapan tersebut dibaca, perbincangan akan bermula dan berakhir apabila kata sepakat berkenaan tarikh dan waktu berlangsung perkahwinan dicapai. Maddupa atau Mappaisseng (Jemputan) Jemputan (Maddupa atau mappaisseng) akan dilakukan jika tarikh dan waktu perkahwinan telah ditetapkan. Seiring dengan itu, semua kaum kerabat dan jiran tetangga akan dimaklumkan mengenai tarikh dan waktu berlangsungnya majlis perkahwinan (jemputan). Jemputan dibuat secara undangan mulut atau menggunakan kad. Bagi keluarga terdekat, jemputan ini mempunyai erti yang simbolik kerana ia menggunakan dua orang wanita yang datang menjemput dengan membawa satu bungkusan yang mengandungi pinggan kecil dan rokok. Mappaenre Balanca (Hantaran)

Pada peringkat mappaenre balanca, hantaran daripada pihak lelaki kepada pihak gadis akan diiringi oleh rombongan yang terdiri daripada teruna dan dara. Kedatangan mereka bersama dengan wang belanja perkahwinan dan segala macam jenis buah-buahan, kuihmuih, dan kelengkapan diri untuk gadis yang dipinang. Pihak gadis akan menerima rombongan dengan menjamu mereka dengan makan palopo, iaitu pulut dengan air sirah (gula merah yang dicampur santan). Pihak gadis bagi masyarakat Bugis-Makasar sebenarnya tidak wajib membalas hantaran daripada pihak lelaki tetapi peredaran masa telah mengubah proses ini. Pada masa kini, disebabkan penyerapan budaya setempat yang memperlihatkan wujudnya amalan berbalas-balas hantaran maka masyarakat Bugis di Sabah juga akhirnya mengikuti amalan tersebut. Majlis mappaenre balanca diisi dengan syair untuk memeriahkan suasana. Di sinilah penggunaan syair dilihat agak meriah kerana dihadiri oleh orang yang arif tentang syair berbahasa Bugis. Syair akan dilafazkan secara berbalas balas antara pihak lelaki dengan pihak perempuan untuk memeriahkan majlis. Berikut adalah contoh syair yang dinyatakan oleh pihak lelaki dan pihak perempuan; dega pasa ri lipumu balanca ri kampommu mulinco mabela? Maksudnya : Tak adakah pasar di tempatmu Belanja di kampungmu Kau datang jauh? Maksudnya: Tidak adakah pasar di tempatmu Tempat berbelanja di kampungmu Sehingga engkau datang jauh begini? Pihak yang satu pula akan menjawab dengan syair berikut: engka pasa ri lipuku balanca rikampokku nyawami kusappa Maksudnya : 8

Ada pasar di tempatku Tempat berbelanja di kampungku Hanya jiwa yang kucari. Syair tersebut mempunyai maksud tersirat yang menggambarkan bagaimana pihak perempuan seolah-olah bertanya secara berlapik atau berkias tentang rasa terharunya mereka dikunjungi oleh rombongan lelaki yang sanggup datang untuk membawa sejumlah wang hantaran. Pihak lelaki pula tidak menjawab dengan langsung malah menjawab dengan merendah diri bahawa keinginan mereka untuk bermenantukan perempuan tersebut adalah kerana budi bahasa yang dimilik oleh pihak perempuan, berbanding hal-hal yang lain. Syair ini dungkapkan dengan andaian seolah-olah pihak lelaki dan wanita masih lagi bertanyatanya tentang status masing-masing sedangkan syair ini diluahkan semasa proses menghantar duit belanja dan bukannya masih meminang. Ia menggambarkan perasaan malu masih tebal dihayati oleh kedua-dua belah pihak. Selain daripada syair di atas, syair berikut merupakan syair yang biasa digunakan dalam majlis mappaenre balanca adalah seperti berikut: I) enreki mai ribola tejali te perre banna mase-mase Maksudnya: Naikla di rumah Tidak ada tikar (serba kekurangan) Kasihan susah (sungguh kasihan) 2) dua toto tellu toto iasiribu toto manrasa-rasae Maksudnya: Dua nasib tiga nasib (pelbagai dugaan) Beribu-ribu nasib (pelbagai rintangan) Derita sungguh kurasakan (puasku menanggung derita) 3) Idi pale matunae maddoe padang-padang tenriang melleri

Maksudnya: Kamu rupanya orangnya melekat seperti rumput semalu Tidak dihiraukan Syair tersebut menyatakan bahwa sungguhpun pelbagai halangan yang datang, mereka mampu mengharungi cabaran tersebut demi memperjuangkan nasib pasangan pengantin yang bakal diijabkabulkan. Sikap malu atau siri masih tebal dalam pemahaman kedua belah pihak dan masih berkias dengan syair yang menyatakan perasaan mereka yang diibaratkan orang miskin, orang susah, orang yang sering menghadapi cabaran dan dugaan. Selain itu, kedua-dua pihak mengaku susah dan sanggup hidup susah dan serba kekurangan bersama. Syair tadi dibalas pula oleh wakil pihak lelaki : 1)mau luttu malumppaja uki sipuntanra-E silongan mui Maksudnya : Mahu terbang menelentang Tulis tandanya Bertemu juga akhirnya Maksudnya: Walau apapun rintangan Jodoh telah tertulis ia takkan ke mana. 2) Ininnawa sabarakki lolongan deceng tau sabbarae Maksudnya : Menahan sabarla kita (Orang yang Sabar) Akan dapat kebaikan (mendapat kebaikan) Orang yang sabar ni (Berkat kesabarannya) Syair tersebut menunkukkan kata-kata perangsang yang diberikan oleh pihak lelaki kepada perempuan bahawa orang yang sabar pasti akan mendapat balasan yang setimpal. Syair yang ditunjukkan tersebut memberi pengertian tentang kedua-dua belah pihak yang saling merendah diri tentang kedudukan masing-masing. Mereka tidak menggunakan perkataan atau ayat berterus terang bagi menyampaikan hasrat hati dengan niat yang tulus ikhlas. Penggunaan bahasa yang penuh dengan kiasan dalam syair hanya difahami dan 10

dikuasai oleh golongan tua masyarakat Bugis-Makasar. Golongan muda hanya bertindak sebagai pendengar setia. Generasi muda masyarakat Bugis-Makasar yang telah mengikuti sistem pendidikan di Malaysia juga lebih terdedah kepada adat budaya masyarakat setempat dan sudah tidak memahami apa yang terkandung dalam syair yang disampaikan oleh orang tua-tua tersebut. Menre alena (Pengantin Lelaki ke Upacara Nikah) Pada peringkat menre alena, pengantin lelaki akan diarak secara besar-besaran dengan penuh adat ke rumah pengantin perempuan. Perarakan ini akan membawa bersama sompa atau sundreng. Pembawa sompa atau sundreng hendaklah daripada kalangan orang-orang yang mempunyai kedudukan tanpa mengira usia. Upacara akad nikah akan dilangsungkan sebaik sahaja pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan. Sebelum bakal pengantin lelaki meninggalkan rumah, ibu bapa memberikan pesanan dalam bentuk syair yang mengandungi kata-kata nasihat sebagai bekalan untuk anak yang disayangi. Syair tersebut seperti berikut: akkelu peppeko lao muabulu rompe lisu mulolongeng bua-bua jali anre-anre teppajinna Maksudnya: Botak gondol ketika pergi (pergi tidak memiliki apa-apa) Ada bulu ketika pulang (balik memiliki sesuatu) Mudah-mudahan dapat sesuatu yang dihajatkan Makanla hingga tidak bosan (Dapat anak/rezeki yang tidak membosankan) Syair ini juga ada kalanya dibacakan ketika pengantin ingin naik ke rumah pengantin perempuan. Ayah atau ibu pengantin lelaki bermaksud bahawa pengantin hadir ke rumah pengantin perempuan dengan tidak memiliki apa-apa dan harap dapat memperolehi apa yang dihajatkan, seperti anak yang menghiburkan hati dan hidup aman damai. Agaukeng (Majlis Keramaian) Pada peringkat agaukeng, upacara keramaian biasanya berlangsung di rumah pihak perempuan. Namun terdapat juga pihak pengantin lelaki yang melaksanakan upacara agaukeng setelah upacara di rumah pihak perempuan selesai. Upacara keramaian boleh juga 11

digabungkan dalam satu majlis keramaian pada satu waktu dan tempat Dalam upacara ini, hadirin yang terdiri daripada keluarga dan sahabat handai akan menyampaikan hadiah perkahwinan atau soloreng. Pelbagai rentetan acara akan disaksikan pada peringkat ini. Atur cara adalah seperti berikut; i. ii. iii. iv. Mappacci ( Berinai ) Mappanre Temme ( Khatam al-Quran ) Silukka ( Membatalka Wudhu ) Tudang Botting ( Bersanding )

Hiburan untuk hadirin; i. ii. iii. iv. Maggambusu - mendengar orang main alat muzik gambus sambil menyanyi lagu bugis. Makkacapi - mendengar orang menyanyi sambil main kecapi. Mamenca - bersilat. Maddomeng - main domino.

Mapparola (Berkunjung ke Rumah Pengantin Lelaki) Upacara Mapparola melengkapkan pelaksanaan adat perkahwinan masyarakat BugisMakasar. Adat ini adalah kunjungan pengantin ke rumah ibu bapa pihak lelaki . Mereka akan menginap beberapa hari di rumah ibu bapa suami. Semasa kunjungan, pihak isteri akan membawa hadiah untuk semua anggota keluarga suaminya yang merupakan hadiah daripada pihak keluarga isteri. Hadiah ini berbentuk kain sarung atau pakaian. Setelah tinggal selama tiga hari menurut kebiasannya, pasangan suami isteri akan kembali ke rumah keluarga isteri. Sebelum meninggalkan rumah mertua, isteri akan dihadiahkan barang kemas atau warisan pusaka keluarga oleh pihak keluarga suami. Setelah semua selesai, pengantin akan memulakan hidup baru secara berdikari yang dikenali sebagai nalaoanni alena. Suami isteri akan mencorak kehidupan mereka pada masa akan datang menurut acuan mereka berdasarkan ilmu pengetahuan yang telah dibekalkan oleh ibu bapa.

12

Masyarakat Bugis-Makasar kaya dengan adat dan budaya yang tersendiri. Masyarakat ini amat mementingkan penggunaan bahasa yang penuh dengan kiasan, berinti kesopanan untuk memelihara dan menjaga adat serta budaya itu sendiri. Penggunaan syair dalam budaya masyarakat Bugis-Makasar paling ketara dalam upacara perkahwinan. Syair yang digunakan itu bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, tetapi ia turut melambangkan budaya dan adat yang menjadi pedoman hidup masyarakat itu sendiri. Penggunaan syair juga memperlihatkan betapa masyarakat Bugis-Makasar sangat patuh dan hormat kepada orang tua mereka. Penghormatan terhadap orang tua harus diamal dan diteruskan untuk menunjukkan betapa seseorang itu mendapat didikan yang penuh kesopanan dengan nilai-nilai budaya yang dipandang tinggi oleh masyarakat BugisMakasar. Namun begitu, penggunaan syair semakin tidak difahami malah tidak diamalkan oleh masyarakat Bugis Sabah secara keseluruhannya. Transisi penghijrahan mereka memisahkan masyarakat daripada adat dan amalan yang sebelum ini diamalkan oleh orang tua. Selain itu, sub etnik Bugis yang bertebaran di Sabah dan memiliki cara yang turut berbeza akhirnya melenyapkan sedikit sebanyak amalan yang dianggap hanya diamalkan oleh sebilangan kecil sub etnik. Penyerapan budaya setempat, sistem pendidikan yang diterima oleh generasi muda serta cubaan untuk menjadikan diri mereka diterima oleh masyarakat setempat menjadi faktor kuat yang menyebabkan masyarakat Bugis-Makasar meninggalkan sedikit demi sedikit tradisi bersyair tersebut. Kesannya, sukar untuk kita melihat adat perkahwinan Bugis-Makasar yang betul-betul menurut adat pada masa kini, kecuali perkahwinan yang dilangsungkan di kampung-kampung yang manoriti penduduknya orang Bugis yang belum terdedah dengan dunia luar. Demikian halnya dengan pelaksanaan adat perkahwinan masyarakat Bugis itu sendiri. Sungguhpun mereka masih mengikuti segala langkah-langkah sebagaimana yang telah dibincangkan, ia telah diubah mengikut keperluan semasa dan bercampur baur dengan adat setempat. Oleh hal yang demikian, amalan perkahwinan masyarakat BugisMakasar sudah hampir menyerupai adat perkahwinan Melayu setempat. Contohnya, amalan berbalas-balas hantaran adalah amalan masyarakat setempat yang sudah dituruti oleh masyarakat Bugis-Makasar. Demikian juga dengan pakaian pengantin yang sudah hampir keseluruhannya tidak lagi mahu dipakai oleh generasi muda Bugis. Pakaian 13

pengantin yang menggunakan baju bodo dengan solekan tradisi hanya digunapakai dalam perkahwinan yang dilangsungkan di ladang-ladang yang diduduki oleh majoriti orang Bugis dan belum terpengaruh dengan masyarakat setempat.

KESIMPULAN Masyarakat Bugis-Makasar adalah etnik yang telah lama mendiami negeri Sabah. Mereka adalah suku kaum yang kaya dengan adat dan budaya yang tersendiri. Namun sebagai perantau yang memiliki siri yang tebal, mahu bangsa mereka diterima oleh masyarakat tempatan, mereka rela melenyapkan sedikit demi sedikit adat tradisi dan milik mereka untuk menjadikan diri mereka dapat diterima oleh masyarakat tempatan. Oleh hal yang demikian, penggunaan syair ataupun pengekalan adat tradisi dalam perkahwinan masyarakat Bugis sudah mula ditinggalkan lebih-lebih lagi bagi generasi muda BugisMakasar di Sabah.

BIBLIOGRAFI Amran Kasimin, 1989. Istiadat Perkahwinan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Andi Moein Mg., 1988. Menggali Nilai-nilai Budaya Bugis Makasar dan Sirik Na Pagge. Jakarta: Yayasan Mapress.
Goodlet, Ken. 2010 Tawau: The Making of A Tropical Community. Kota Kinabalu: Opus Publication.

H. A. Mattulda, 1985. Latoa. Yogjakarta: Gadjah Mada University Press. __________. Sejarah Perkembangan Masyarakat dan Kebudayaan Dalam Pembangunan Sulawesi Selatan. Sulawesi Selatan: A. Mappasissi Peta Awang. Harun Mat Piah, 1997. Puisi Melayu Tradisional Satu Perbicaraan Genre dan Fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Syed Alwi Sheikh al-Hadi, 1986. Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

14

Temuramah: Mohd. Arifin Mangkona @ Daeng Manessa, Kg. Kongsi 10 Tawau, Sabah pada 26 Julai 2001 (Koleksi dan dendangan syair daripada tokoh ini). Tuan Haji Marzuki Tahir, Kg. Muhibbah Raya Tawau, pada 28 Julai 2001. Puan Hajjah Rappe, Taman Ria 6 Tawau, Sabah pada 27 Julai 2001.

15