Anda di halaman 1dari 2

PERKARA : TUGASAN WAJ 3106 HUBUNGAN ETNIK UNTUK PERHATIAN : PUAN NORAIZAH BINTI DAMIRI (JABATAN KAJIAN SOSIAL)

) PELAJAR : AZRIZAL BIN AHMAD 760416-01-7087 PPG AMBILAN FEBRUARI 2012 KUMPULAN SAINS 1 TUGASAN 2 : Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Terangkan matlamat DEB dan strategi pelaksanaan yang telah dirangka bagi mencapai kadar pertumbuhan ekonomi negara dengan mengambil kira implikasi terhadap hubungan etnik .

Kerjasama dan penyatuan kaum merupakan matlamat utama yang perlu dicapai dalam usaha pembentukan sebuah negara bangsa. Selepas Malaysia dibentuk pada tahun 1963, pelbagai usaha dilakukan untuk menyatukan penduduk yang berbilang kaum di bawah satu simbol kebangsaan dan payung perlindungan yang sama. Namun, usaha pihak kerajaan tercabar setelah berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 akibat ketidakseimbangan tahap pembangunan politik, sosial dan ekonomi antara etnik dan wilayah di Malaysia. Menyedari pentingnya keseimbangan politik, sosial dan ekonomi antara etnik dan wilayah di Malaysia, maka atas usaha gigih yang dilaksanakan oleh berbagai-bagai pihak di Malaysia dan melalui pelbagai saluran seperti pembangunan politik, penyatuan penduduk melalui pendidikan dan kebudayaan serta mengurangkan jurang perbezaan dalam sektor ekonomi, hari ini negara kita telah dapat menikmati kestabilan politik, malah sedang menuju ke arah perkembangan ekonomi yang seimbang dan keadaan sosial yang harmoni antara berbagaibagai etnik di Malaysia. Keadaan ini membantu menyatukan penduduk berbilang kaum dan meletakkan landasan asas bagi Malaysia menuju ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang unggul dan disanjung tinggi. Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua ( 19711975) yang merupakan Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama ( 1971-1990) dengan bertujuan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi yang tidak seimbang antara kawasan dan kaum yang dianggap sebagai punca pencetus Peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan siri pertama dalam rancangan pembangunan DEB. Matlamat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara yang dilaksanakan melalui strategi serampang dua mata iaitu pertama mengurangkan dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan menambahkan pendapatan dan memperbanyak peluang pekerjaan untuk semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kaum dan kedua mempercepat proses penyusunan semula masyarakat Malaysia bagi memperbaiki kedudukan ekonomi yang tidak seimbang antara kaum dan mengharapkan usaha ini dapat mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Antara usaha yang diambil untuk membasmi kemiskinan adalah seperti mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor untuk diisi oleh semua kaum bagi mengurangkan

kadar penggangguran, mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum dan wilayah, meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan dengan menambahkan kemudahan untuk semua golongan miskin di bandar dan luar bandar melalui peluang latihan, tanah dan modal, memperbaiki taraf dan kualiti kehidupan melalui pelajaran,, latihan, kesihatan dan kemudahan infrastruktur dan mewujudkan suasana pekerjaan yang menggambarkan komposisi kaum. Dasar Ekonomi Baru (DEB) menetapkan pelbagai program dalam beberapa sektor ekonomi seperti perdagangan, perindustrian, pertanian, perlombongan, pembinaan, pengangkutan, perumahan dan pelajaran. Melalui usaha ini, setiap kaum akan mendapat faedah dan agihan ekonomi yang lebih adil. Di samping itu juga,, DEB menetapkan matlamat untuk mewujudkan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian dalam kalangan kaum Bumiputera. Dari segi pembahagian ekuiti dalam sektor korporat, DEB menetapkan matlamat agihan pada kadar 30:40:30, iaitu penyertaan Bumiputera sebanyak 30%, bukan Bumiputera sebanyak 40% dan baki 30% dikhususkan untuk pelaburan asing. Bagi memodenkan kehidupan masyarakat di luar bandar, pusat pertumbuhan ekonomi diwujudkan melalui pembukaan rancangan tanah yang bersepadu seiring dengan penubuhan agensi pembangunan wilayah seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA). Beberapa agensi ditubuhkan untuk mempercepat pencapaian matlamat DEB seperti Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun-pekebun Kecil Perusahaan Getah ( RISDA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Kesimpulannya, strategi pembangunan yang digariskan dalam DEB bertujuan untuk memberi faedah kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan yang mana matlamat dasar ini adalah untuk mencapai perpaduan negara melalui program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.