Anda di halaman 1dari 1

KUALA LUMPUR 12 Sept.

- Persidangan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) di Koh Samui, Thailand kagum dengan pencapaian Melaka dalam melaksana pelbagai program yang dipersetujui badan serantau itu terutama berkaitan teknologi hijau. Dalam persidangan empat hari itu yang bermula kelmarin hingga esok, Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron dipilih sebagai Ketua Delegasi Malaysia bagi menyertai Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) yang diadakan sempena persidangan tersebut. Beliau membentangkan pelaksanaan Pelan Induk 2012-2016 yang dicapai pada CMGF kesembilan di Port Dickson, Negeri Sembilan, September tahun lalu membabitkan Inisiatif Bandar Raya Hijau. Menurut Idris, Melaka, Medan dan Songkla menjadi tiga bandar pertama membangunkan Unit Pengurusan Tenaga (EMU) termasuk projek lampu jalan yang dapat menjimatkan kos infrastruktur dan bil elektrik. "Sebanyak 400 delegasi terdiri daripada ketua-ketua eksekutif negeri dan wilayah dari tiga negara berkenaan hadir menghadiri CMGF kali ini yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan peringkat Kerajaan Pusat masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Dalam pada itu, Idris menjelaskan, kerajaan Melaka mencadangkan sembilan bangunan utama di negeri itu untuk program Keberkesanan Tenaga Tinggi antaranya Kompleks Seri Negeri, Melaka Mall, Wisma Negeri, Graha Maju, Menara PKNM, Digital Mall, Melaka Sentral dan Putra Specialist Hospital. Menurut beliau, Projek RORO (Roll On-Roll Off) antara Melaka-Dumai yang dicadangkan di Kuala Linggi juga akan diperhalusi berikutan projek itu masih belum siap sepenuhnya kerana masalah teknikal dan terpaksa ditukar ke Pelabuhan Bruas, Perak. Katanya, mesyuarat itu turut menyentuh kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka dengan PLN Indonesia bagi melaksana projek Melaka-Pekan Baru Inter-Connection di bawah Pelan Pembangunan IMT-GT yang dijangka siap pada 2017.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130913/dn_16/Teknologi-hijau-Melakadikagumi#ixzz2ejX37UpX Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai