Anda di halaman 1dari 2

PENULISAN JURNAL Minggu : 1 (15 Julai 19 Julai 2013)

1. Masalah Pada minggu pertama saya di Sekolah Kebangsaan Batu Yon ini, saya berhadapan dengan masalah perancangan gerak kerja. Hal ini berkaitan perancangan Rancangan Pengajaran Harian untuk persediaan saya memulakan sesi pengajaran.

2. Analisis Masalah ini timbul kerana saya belum membuat persediaan sepenuhnya dalam membuat perancangan pengajaran. Selain itu, saya masih belum mendapat buku panduan mengajar guru yang boleh saya jadikan sebagai rujukan saya dalam menyediakan rancangan pengajaran

3. Cadangan Untuk Memperbaiki i. Langkah pertama yang saya lakukan ialah berjumpa dengan guru pembimbing saya di sekolah tersebut untuk mendapatkan bahan-bahan atau rujukan yang boleh saya jadikan panduan. ii. Mengadakan perbincangan dengan guru pembimbing dalam menghasilkan sebuah rancangan pengajaran yang baik dan menepati kriteria yang telah digariskan. iii. Di samping itu, saya akan membuat rujukan semula segala nota yang pernah diberikan oleh pensyarah saya. Hal ini penting untuk membantu saya memantapkan lagi pengetahuan saya dalam menyediakan sebuah rancangan pengajaran yang baik.

4. Tempoh Masa Saya akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin. Hal ini bagi memastikan segala kesilapan dan kelemahan saya dalam membuat rancangan pengajaran dapat diperbaiki dan diatasi dengan segera supaya sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas tercapai objektifnya.

5. Penilaian Kejayaan Untuk membuat penilaian ke atas kejayaan saya, saya akan merujuk kepada guru pembimbing dan pensyarah pembimbing saya dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama saya akan meminta pandangan daripada rakan sebaya.

6. Tindakan Susulan Dalam membuat rancangan pengajaran, saya akan meneliti aspek-aspek yang perlu ditekankan dalam sesebuah rancangan pengajaran terutamanya dari aspek fokus utama, fokus sampingan, dan objektif pembelajaran murid. Ukuran sejauh mana tercapainya objektif pengajaran guru akan saya nilai setiap kali tamat sesi P & P.