Anda di halaman 1dari 2

AJAR BAHASA GUNA PENDEKATAN BARU (Bukan Guna PPSMI)

Oleh Nazmi Yaakub


nazmi@bharian.com.my

Kaedah yang diguna pakai dalam sistem pendidikan negara ini sudah lapuk

KEMENTERIAN Pelajaran dicadangkan merangka pendekatan baru dalam pengajaran bahasa


Melayu dan Inggeris dengan menggunakan teori terkini kerana kaedah yang diguna pakai pada
masa ini sudah lapuk.

Cadangan berkenaan dikemukakan mantan Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Diraja
Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, ketika membentangkan ucaptama Pendekatan Demi Rungkaian
Dilema Dasar Pembangunan Bahasa di Malaysia.

“Sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa kita berpandukan pendekatan berasaskan teori
yang dipelajari pentadbir kementerian dan universiti ketika mereka melanjutkan pengajian
ijazah doktor falsafah (PhD) di luar negara pada 20 tahun lalu.

“Mereka lupa apa yang dipelajari dulu sebenarnya sudah pun diubah oleh sarjana luar sehingga
sekiranya kita ke universiti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis, teori
lapuk sudah digantikan dengan pendekatan terkini,” katanya pada Kolokium Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta Implikasinya Terhadap
Pembangunan Modal Insan Murid.

Kira-kira 150 pengetua dan pendidik dari seluruh negara menghadiri kolokium anjuran
Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) yang berlangsung di Bangunan Umno Bahagian
Shah Alam, Shah Alam, baru-baru ini.

Prof Diraja Ungku Aziz berkata, pengetahuan baru dalam teori dan pendekatan pengajaran
bahasa Melayu dan Inggeris, hanya boleh diperoleh sekiranya pentadbir memperluaskan
hubungan dengan pengkaji dan sarjana masa kini.

“Pengajaran bahasa sewajarnya menggunakan pendekatan didaktif iaitu berasaskan prinsip


bahasa terlebih dulu kerana setiap bahasa seperti Melayu, Inggeris dan Arab mempunyai nahu
serta tatabahasa tersendiri.

“Saya lihat di sekolah, buku teksnya mengandungi ratusan perkataan sehingga pelajar
mengambil langkah menghafaznya untuk mendapatkan gred A, tetapi pada masa sama tidak
memahami tatabahasa,” katanya pada kolokium yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif
Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Baginya, pendekatan yang menganggap pelajar dapat mengenal ribuan perkataan itu dengan
sendirinya mengenal tatabahasa adalah salah dan perlu diubah dengan menekankan kerangka
bahasa terlebih dulu.

“Bagi saya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
tidak berupaya meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa itu. Pendekatan baru perlu
membabitkan penambahan masa untuk kedua-dua subjek itu pada semua peringkat
persekolahan dan universiti.

“Masa untuk belajar sama ada bahasa Melayu atau Inggeris perlu ditambah kepada sekurang-
kurangnya tiga jam seminggu bermula daripada peringkat sekolah rendah hingga menengah,”
jelasnya.

Baginya dengan cara itu pelajar yang mencapai usia 17 tahun boleh bercakap dalam kedua-dua
bahasa terbabit dengan menggunakan tatabahasa betul, tanpa perlu merojakkannya seperti
yang berlaku pada masa ini.

“Pelajar di sekolah perlu diberi masa yang cukup untuk mencapai kematangan dalam berbahasa
sehingga berupaya menggunakan ayat yang canggih dan kompleks bagi mendorong minda
mereka lebih terbuka,” katanya.

Selain itu, Prof Diraja Ungku Aziz turut menekankan penguasaan sekurang-kurangnya dua
bahasa dengan bahasa Melayu sebagai bahasa tunggal bagi tujuan perhubungan dan perpaduan
dalam masyarakat majmuk, manakala bahasa Inggeris untuk memperoleh ilmu.

“Sebagai warga negara, mesti ada satu bahasa agar semua orang boleh berhubung hanya
dalam bahasa Melayu kerana perpaduan tidak mungkin dicapai melalui penggunaan dua tiga
bahasa. Bagaimanapun, peluang untuk belajar bahasa lain perlu diberikan semua warganegara,”
ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak boleh
dibuat secara terburu-buru dan menggunakan masa yang singkat, sebaliknya memerlukan
pembabitan ramai pihak khususnya daripada kalangan sarjana dan pakar bahasa serta
pendidikan.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, pula
berkata peruntukan masa untuk pengajaran bahasa Inggeris pada peringkat rendah mesti
ditambah dan menggunakan kaedah pengajaran bahasa alternatif yang lebih berkesan.

“Kajian kami menunjukkan penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains gagal
untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi murid dalam mata pelajaran terbabit dan
penggunaan bahasa Inggeris untuk kedua-dua subjek itu bukan cara untuk meningkatkan
penguasaan bahasa Inggeris pelajar,” katanya ketika memperincikan Kajian Kesan Dasar PPSMI
di Sekolah Rendah dan Menengah.

Anda mungkin juga menyukai