Bahasa halus digunakan dengan meluas dalam ungkapan bertatasusila. Bahasa halus ini digunakan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain semasa berkomunikasi.
Contoh:
Terima kasih, selamat datang, sila masuk, jemput duduk, tolong hulurkan bantuan, minta kerjasama
Kesantunan bukan verbal merupakan bahasa komunikasi bukan lisan yang melibatkan isyarat tangan, air muka dan gerakan badan. Kesantunan bukan verbal mampu menggambarkan personaliti, tujuan dan status sosial seseorang individu. Komunikatif lisan yang disepadukan dengan bahasa tubuh akan lebih berkesan dan maksud yang disampaikan lebih jelas. Gerakan anggota badan kita mampu menyampaikan mesej yang akan difahami oleh orang lain. Contohnya, gerakan mata
ke sana dan ke mari menunjukkan seseorang itu tidak berminat melihat dan mendengar sesuatu yang disampaikan kepadanya. Mata dan dahi berkerut menunjukkan seseorang itu berminat tetapi tidak percaya. Mata berkelip lebih laju daripada biasa menunjukkan seseorang tersebut sedang berdusta dan sekiranya seseorang itu tidak memandang mata seseorang yang berbual dengannya, ini menunjukkan bahawa dia sedang malu. Mimik muka mempunyai pelbagai maksud yang tersirat yang dapat diterjemahkan maknanya dalam komunikasi bukan lisan. Air muka boleh menggambarkan emosi, perasaan, harapan, menambat hati seseorang atau perasaan kurang senang. Jalinan komunikatif yang mesra bermula dengan air muka yang jernih.