Anda di halaman 1dari 17

Karangan STPM (Isu Laman Sosial) Soalan Karangan Percubaan STPM Negeri Selangor 2011 Pada masa ini,

penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Jelaskan implikasi penggunaan laman sosial ini terhadap masyarakat. Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti Facebook, My Space, Frienster, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia. Penggunaan laman sosial seperti Facebook yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti. Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol. Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada

prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti. Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti Facebook dan My Space diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti Black Metal, Punk, Gothic, dan Skin Head akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat. Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Karangan STPM - Isu Pembuangan Bayi Soalan Karangan : Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat membimbangkan masyarakat di negara kita.Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini. Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolaholah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja.

Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa. Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas. Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas. Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada mengubati. Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan

agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat. Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi. Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Karangan STPM Berformat Laporan Soalan Contoh Andaikan anda sebagai pegawai kanan di Kementerian Pengajian Tinggi dan anda diminta untuk menjalankan kajian tentang kesan pertumbuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, sediakan satu laporan tentang kesan pertumbuhan IPTS kepada rakyat dan negara ini. rangka Karangan 1.0 Pendahuluan - Dunia pendidikan penting dalam era moden kini - kemajuan dalam bidang pendidikan menyebabkan wujudnya IPTS 2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa

Pengerusi: Setiausaha: AJK : 3.0 Kesan Pertumbuhan IPTS Kesan positif 3.1 Peluang untuk melanjutkan pelajaran bertambah 3.2 Pelajar bebas membuat pilihan untuk belajar 3.3 Membantu negara mencapai matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu Kesan negatif 3.4 IPTS mementingkan keuntungan yuran yang mahal 3.5 Kemasukan pelajar asing bertambah timbul masalah lain 3.6 Terdapat sesetengah dasar IPTS yang tidak seiring dengan kehendak negara, contohnya penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. 4.0 Penutup - Pertumbuhan IPTS ternyata mendatangkan kebaikan dan keburukan - Usaha yang berkesan perlu dijalankan untuk memastikan penubuhan IPTS mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara Laporan disediakan oleh: ___________________ (Nama Jawatan Karangan Contoh LAPORAN TENTANG KESAN PERTUMBUHAN IPTS DI NEGARA INI 1.0 Pendahuluan Dalam era globalisasi kini, aspek pendidikan merupakan perkara penting yang diberikan tumpuan oleh setiap negara. Akibat kemajuan dalam bidang pendidikan ini, kewujudan IPTS ) Tarikh: __________

nampaknya semakin banyak di negara kita iaitu seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pertumbuhan IPTS itu telah banyak mendatangkan kebaikan dan keburukan terhadap negara kita. Setiap pihak dapat merasakan kesan pertumbuhan tersebut dan senario itu memang patut dipantau agar sebarang permasalahan dapat ditangani dengan berkesan. Sebagai pegawai yang telah diamanahkan untuk menjalankan kajian terhadap kesan pertumbuhan IPTS di negara ini, saya ingin membentangkan laporan tersebut. 2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa Pengerusi: Datuk Syazwan Munasir Setiausaha: Farahana Iqmal Ahli Jawatankuasa : Azuan Zainal Tharshini a/p Perumal Chin York Chow Mohamad Nawawi Ismail Halimah Nursalam Mahmud Zulkifli 3.0 Kesan Pertumbuhan IPTS Kesan pertumbuhan IPTS ini terbahagi kepada dua iaitu kesan positif dan negatif. Kesan positif: 3.1 Peluang untuk melanjutkan pelajaran bertambah Jawatankuasa kami mendapati bahawa kesan positif yang pertama ialah peluang unntuk melanjutkan pelajaran ke IPT semakin bertambah. Perkara ini telah memberikan peluang yang lebih banyak kepada pelajar-pelajar yang gagal mendapat tempat di IPT Awam. Oleh itu, pelajarpelajar tersebut boleh meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat, diploma dan ijazah. Dengan kata lain, mereka tidak tersekat setakat SPM kerana kekurangan tempat di IPTA. Hal ini bermakna bahawa semua pelajar mempunyai peluang yang sama sama ada yang cemerlang atau yang kurang cemerlang untuk melanjutkan pengajian. 3.2 Pelajar bebas untuk membuat pilihan untuk belajar Dengan adanya IPTS, pelajar-pelajar bebas untuk membuat pilihan tentang bidang pengajian yang hendak diikuti oleh mereka. Tempat yang terhad di IPTA telah digantian dan

disediakan oleh IPTS yang sama tarafnya dengan IPTA. Oleh itu, pelajar-pelajar dapat meneruskan bidang pengajian yang diminati oleh mereka tanpa sekatan oleh masalah tempat yang terhad. Hal ini demikian kerana, mereka boleh memilih IPTA yang disukai dan bersesuaian dengan bidang pengajian yang hendak diambil. 3.3 Pertumbuhan IPTS ini akan membantu negara kita mencapai matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini. IPTS yang berkualiti yang terdapat di negara ini telah menarik pelajar-pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pengajian di sini. Perkara ini disokong pula oleh kadar bayaran yuran yang berpatutan dan lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Jadi, dengan kawalan dan pemantauan yang ketat daripada kerajaan, kualiti IPTS dan graduan yang dihasilkan setanding dengan universiti ternama di dunia. Kesan negatif: 3.4 Berdasarkan kajian kami, terdapat IPTS yang mementingkan keuntungan semata-mata. IPTS tersebut mengenakan yuran yang mahal terhadap pelajar-pelajarnya. Pelajar-pelajar luar negara mungkin tidak menerima kesan buruk yang teruk kerana mereka yang datang ke sini sememangnya mampu untuk membayar yuran tersebut. Masalah ini memberikan kesan yang teruk terhadap pelajar-pelajar tempatan yang datang daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu untuk membayar yuran pengajian yang tinggi. Tambahan pula, bantuan kewangan yang diberikan oleh PTPTN juga tidak mencukupi. 3.5. Ahli jawatankuasa kami mendapati bahawa pertumbuhan IPTS ini menyebabkan kemasukan pelajar asing semakin bertambah di negara kita. Perkara ini telah menimbulkan masalah lain yang menjejaskan negara. Sebagai contohnya, terdapat pelajar asing yang suka bergaduh sesama mereka di samping suka mengganggu anak gadis tempatan. Kadar jenayah juga semakin meningkat kerana mereka turut terlibat dengan pelbagai sindiket jenayah seperti pemerdagangan manusia, pemalsuan dokumen perjalanan dan sebagainya. 3.6 Di samping itu, terdapat sesetengah dasar IPTS di negara ini yang tidak seiring dengan kehendak dan aspirasi negara. Sebagai contohnya, bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar di IPTS tersebut. Jadi, perkara ini menyebabkan usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia terbantut dan tidak mencapai matlamat seperti yang dihasratkan oleh negara kita. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar luar negara sudah tentu tidak mahu menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium perantaraan dan juga sebagai bahasa komunikasi. 4.0 Penutup Sebagai kesimpulannya, pertumbuhan IPTS ternyata mendatangkan kebaikan dan keburukan. Oleh itu, usaha yang berkesan daripada pelbagai pihak perlu dijalankan untuk memastikan penubuhan IPTS mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara. Jika perkara ini tidak diberikan perhatian, sudah tentu kesan buruknya akan menjejaskan imej dan kesejahteraan negara kita di mata dunia. Oleh hal yang demikian, kita berharap pertumbuhan IPTS ini akan

dapat membantu negara kita untuk mencapai matlamat sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini. laporan disediakan oleh _____Farahana_______ (FARAHANA IQMAL) Setiausaha Jawatankuasa IPTS Sektor Pengurusan IPTS Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Karangan Berformat Memorandum - Isu Filem Seram, Tahyul dan Ganas Soalan Contoh Pertubuhan yang anda wakili kurang bersetuju dengan trend syarikat pengeluar filem yang lebih cenderung untuk menghasilkan filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas pada masa ini. Perkara ini berlaku kerana sambutan yang diberikan oleh masyarakat di negara ini memang sungguh menggalakkan. Anda diminta untuk menyediakan memorandum yang berkaitan dengan bantahan terhadap lambakan filem seram, tahyul dan ganas ini di negara kita. Rangka Karangan Memorandum Kepada : Daripada : Tajuk : 1.0 Pendahuluan 2.0 Penyataan Masalah 3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut 3.1 Mempengaruhi emosi remaja 3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan 3.3 Tidak menyumbang ke arah kemajuan 3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai Tarikh : 29 MEI 2011

kepercayaan karut 4.0 Cadangan Tindakan 4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat 4.2 Membimbing anak-anak ketka menonton 5.0 Penutup - ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin perlu mencegah perkara ini. Karangan Contoh Memorandum Kepada : Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Daripada : Pertubuhan Pencinta Seni Tajuk : Bantahan Terhadap Lambakan Filem Seram, Tahyul dan Ganas di Negara Kita. 1.0 Pendahuluan Akhir-akhir ini wujud satu trend baharu iaitu kita disogokkan dengan filem yang berunsur seram, tahyul dan ganas. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan impak yang negatif terhadap remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, golongan yang suka menonton filem yang bercorak sedemikian ialah golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur seram, tahyul dan ganas yang terdapat dalam adegan filem tersebut. Kerjasama dan perhatian daripada pihak atau agensi yang bertanggungjawab amat penting untuk menangani permasalahan ini. 2.0 Penyataan Masalah Berhubung dengan masalah di atas, kami sebagai ibu bapa yang prihatin daripada Pertubuhan Pencinta Seni ingin melahirkan rasa kebimbangan kami ini agar mendapat perhatian dan pertimbangan yang wajar daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana kesannya akan mempengaruhi remaja yang akan menjadi pemimpin negara kita pada masa akan datang. Salah satu punca yang dikenal pasti menyebabkan remaja menggemari filem yang bercorak sedemikian ialah filem itu berupaya untuk menghiburkan dan memberikan kepuasan kepada mereka yang menontonnya. 3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut 3.1 Mempengaruhi emosi remaja

Kami, ahli-ahli Pertubuhan Pencinta Seni bersepakat dan bersatu hati ingin menyatakan bantahan kami terhadap filem-filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas yang sering disiarkan di pawagam dan di televisyen. Perkara ini tentunya akan mempengaruhi emosi remaja yang belum matang. Emosi mereka akan terganggu dan menyebabkan masalah ketidakstabilan emosi akibat pengaruh filem tersebut. 3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan Filem-filem yang bercorak sedemikian juga boleh menjejaskan akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama. Kemungkinannya mereka akan mempercayai unsur-unsur yang terdapat dalam filem itu melebihi kepercayaan mereka terhadap Allah. Perkara ini akan menghakis keimanan dan kepercayaan mereka terhadap keesaan Tuhan. Kesan seterusnya, pegangan mereka terhadap agama akan menjadi longgar dan mereka mungkin mempercayai kuasa lain yang melebihi kekuasaan Allah. 3.3 Tidak menyumbang ke arah kemajuan Unsur-unsur daripada filem yang bercorak sedemikian yang ditonton oleh remaja terutamanya tidak menyumbang ke arah kemajuan. Hal ini demikian kerana, pengaruh daripada filem itu tidak mendatangkan kesan atau impak yang baik untuk dicontohi, malahan mereka lebih cenderung untuk mencuba perkara yang negatif. Mereka akan percaya dan menyebabkan mereka leka dengan unsur-unsur yang terkandung dalam filem tersebut. Seterusnya, perkara ini mengundang bahaya kerana mereka mempercayai perkara-perkara mistik dan keganasan dalam kehidupan seharian. 3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut Pengaruh daripada filem itu berupaya atau berpotensi untuk membentuk masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut. Hal ini demikian kerana, para remaja mudah terpengaruh oleh unsur-unsur yang terdapat dalam filem-filem tersebut. Mereka yang masih belum matang akan meniru aksi, gaya, atau perlakuan pelakon-pelakon filem tersebut. Gaya atau aksi ganas dalam filem itu akan diaplikasikan terhadap rakan-rakan di sekolah. Seterusnya perkara ini akan berakar umbi dalam hati dan jiwa mereka hinggalah mereka dewasa. 4.0 Cadangan Tindakan 4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat Dengan berdasarkan impak negatif yang banyak daripada filem-filem tersebut, kami menyarankan pihak kementerian mengenakan syarat tapisan yang ketat terhadap produser filem. Perkara ini dapat menghalang impak negatif tersebut daripada menular dalam jiwa para remaja yang menontonnya. Pihak kementerian perlu menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak pengeluar filem agar tidak menjejaskan emosi dan kepercayaan remaja. Syarat tapisan

yang ketat itu perlulah dikaji terlebih dahulu dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkaitan dengan filem. 4.2 Mengenakan denda atau hukuman yang berat Kami mencadangkan pihak kementerian mengenakan denda atau hukuman yang berat kepada pengeluar filem yang gagal mematuhi garis panduan tersebut. Hal ini dirasakan penting untuk mengelakkan para remaja kita daripada impak negatif filem-filem tersebut. Denda dan hukuman yang berat itu sekurang-kurangnya akan menakutkan pengeluar filem yang lain untuk melanggar garis panduan yang telah ditetapkan itu. Sebagai contohnya, pengeluar filem yang melanggar peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori agar dia tidak dapat mengeluarkan filem yang sama. 5.0 Penutup Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin, kami perlu mencegah perkara ini daripada menjadi lebih serius. Perkara ini penting kerana filem seram dan ganas itu memberikan impak yang besar dalam pembentukan sahsiah, nilai-nilai murni dan jati diri para remaja. Oleh itu, kami menggesa semua pihak yang bertanggungjawab agar mempertimbangkan permasalahan ini dan bertindak dengan tegas terhadap pengeluar filem yang tidak mematuhi spesifikasi yang telah digariskan. Unsur-unsur seram, tahyul, dan ganas yang berlebihan perlulah ditapis terlebih dahulu oleh agensi yang bertanggungjawab dalam penapisan filem ini. _____Mohamad Haziq____ (MOHD HAZIQ SYAKIR) Pengerusi Pertubuhan Pencinta Seni Teluk Intan, Perak Karangan STPM dan SPM - Isu Pencemaran Bahasa Soalan: Masalah pencemaran bahasa semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat pada masa ini. Keadaan ini menyukarkan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Huraikan langkah untuk menangani masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat di negara kita. Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan bahasa rojak dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi kini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi lingua franca kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan Tarikh : 20 Januari 2012

bahasa Melayu. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan. Salah satu langkah untuk membendung masalah penemaran bahasa ialah peranan pihak sekolah. Di peringkat sekolah, para pelajar sering didedahkan dengan pelbagai kesalahan bahasa oleh guru-guru Bahasa Melayu. Apabila para pelajar melakukan kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi. Selain itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Sebagai contohnya, pihak sekolah mengadakan bulan bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pidato, syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang sesuai. Dengan penyertaan oleh para pelajar, secara tidak langsung mereka belajar tentang bahasa yang betul, bak kata pepatah Sambil menyelam minum air Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu. Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis di samping mengembalikan martabat bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kempen ini boleh dilancarkan melalui media massa kerana media massa merupakan satu komponen yang paling mudah untuk menyebarkan informasi. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat dijalankan dengan lancar. Dengan kewujudan kempen ini, diharapkan masalah pencemaran bahasa kalangan masyarakat dapat dielakkan. Pihak kerajaan juga perlu mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai dan kakitangan kerajaanakan menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat ataupun melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan, sesuai dengan peribahasa Melayu, Alah bisa tegal biasa. Dengan cara ini, masalah pencemaran bahasa dapat diminimumkan. Pencemaran bahasa yang sering kita lihat adalah di papan-papan tanda. Pihak kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa yang gramatis bagi papan-papan tanda. Hal ini perlu dipandang serius kerana bahasa menunjukkan bangsa. Jika pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan terpengaruh oleh penggunaan-penggunaan bahasa yang salah, seterusnyamasalah pencemaran bahasa menjadi lebih serius. Oleh itu, papan-papan tanda yang ingin dibuat perlulah mendapat kelulusan bahasa daripada pakar-pakar bahasa Melayu. Dengan ini, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dibendung. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada merawat.

Di samping itu, peranan ibu bapa juga penting dalam memperkasakan usaha mengatasi masalah pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan anak-anak mereka dengan budaya membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini mempengaruhi minat dan cara anak-anak menulis ayat dan bercakap. Dalam era dunia tanpa sempadan ini, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai perkataan dan istilah yang kurang baik dan digunakan sebagai bahasa percakapan harian mereka. Hal ini langsung tidak mendatangkan maslahat kepada anak-anak, ibu bapa, mahupun negara malahan semakin memburukkan keadaan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang berbentuk ilmiah di rumah di samping menekankan aspek-aspek penggunaan bahasa dengan betul kepada anak-anak sejak kecil kerana hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan perlu bekerjasama untuk menjalankan langkah yang pragmatik bagi menangani masalah pencemaran bahasa. Usaha yang berterusan dan efisien akan menyebabkan bahasa yang telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan ini semakin dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Jika tiada prakarsa daripada mana-mana pihak, maka pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa. Langkah untuk memprioritikan bahasa Melayu ini dilakukan agar generasi akan datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan bahasa ibunda mereka yang selama ini diperjuangkan agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas. KARANGAN LENGKAP Walaupun di negara yang maju dalam sektor pertanian, seperti Belanda, dan New Zealand, kajian bioteknologi telah berkembang pesat tetapi di negara ini bidang bioteknologi masih baharu dan memerlukan penekanan yang lebih. Bidang kajian ini ialah suatu bidang sains yang menggunakan bahan kajian bioteknologi untuk dimanfaatkan dalam pengeluaran industri. Sebagai contoh, penghasilan ubat-ubatan berasaskan hasil keluaran pertanian ialah daripada kajian dan penyelidikan dalam bidang bioteknologi. Memandangkan pertanian merupakan suatu bidang yang telah sekian lama kita usahakan maka peningkatan kajian bioteknologi memang bermanfaat bagi negara kita. Sumbangan kajian bioteknologi yang paling asas ialah penemuan baka ternakan dan benih tanaman yang lebih bermutu dan tahan rintang, yang dapat menghasilkan pengeluaran dengan lebih banyak, cepat, dan berkualiti tinggi. Banyak contoh yang dapat kita kemukakan dalam hal ini, misalnya hasil kacukan biri-biri Australia dengan kambing tempatan, hasil kacukan lembu tempatan dengan baka lembu dari New Zealand, dan penemuan benih limau dan belimbing madu, buah duku langsat serta buah-buahan yang lain. Penemuan baka dan benih baharu yang lebih baik membawa harapan yang cerah kepada pengusaha sektor pertanian untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam kegiatan ini. Perkembangan yang menggalakkan dalam sektor pertanian di negara ini akan dapat mengurangkan jumlah import bekalan makanan.

Hasil kajian bidang bioteknologi juga dapat membantu kita menemukan produk-produk baharu bagi sesuatu hasil pertanian. Kalau hasil daripada kelapa sawit dapat kita keluarkab produk seperti minyak, susu, lilin, mentega, dan vitamin E, maka tidak mustahil hasil-hasil pertanian lain juga dapat kita manfaatkan untuk menghasilkan produk akhir yang mempunyai nilai komersil yang tinggi. Dalam konteks ini, masih banyak lagi bahan pertanian did negara kita yang belum lagi kita kaji dengan mendalam, khususnya tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan. Banyak pokok herba yang tumbuh liar di hutan di negara ini dipercayai boleh dijadikan asas rawatan sesuatu penyakit jika diproses secara saintifik. Penemuan produk baharu yang bernilai akan memberikan satu dimensi baharu kepada ekonomi negara kita. Selain itu, teknik penanaman moden juga dapat dihasilkan melalui kajian bioteknologi. Kaedah hidroponik dan earoponik misalnya tidak lagi asing kepada kita, sebaliknya kaedah ini sudah dimanfaatkan dengan agak meluas dalam kalangan petani moden di negara ini. Kaedah ini dapat menjimatkan penggunaan tanah dan hasilnya pula bermutu. Pada masa ini, satu lagi teknik pertanian yang terkini telah kita import dari Belanda. Teknik itu dinamakan teknik fertigasi dan teknik ini telah pun digunakan dengan jayanya dalam penanaman rock melon. Dengan menggunakan teknik ini, saiz dan kemanisan buah dapat dikawal melalui bekalan nutrien yang disediakn untuk tanaman. Teknik penanaman ini hanya memerlukan plastik yang dibubuh dengan air serta baja disamping penyiraman tanaman sebanyak 2 hingga 3 jam sehari. Buahbuahan musim sejuk dapat ditanam dengan menggunakan teknik ini. Baja, racun makhluk perosak, hormon dan ubat-ubatan tidak dapat kita nafikan kepentingannya dalam kegiatan pertanian. Pokok memerlukan baja dan racun makhluk perosak untuk tumbuh subur, manakala haiwan ternakan pula memerlukan hormon dan ubat-ubatan untuk membesar. Semuanya ini dapat dipenuhi dengan jayanya jika kita memanfaatkan kajian bidang bioteknologi. Bidang kajian bioteknologi dapat mengenal pasti nutrien yang diperlukan khusus oleh sesuatu tanaman, begitu juga dengan cara mengelakkannya daripada dimusnahkan oleh serangga perosak. Demikian juga dengan pengawalan tumbesaran haiwan. Pemakanan dan perawatan khusus dapat dikenal pasti melalui kajian bidang bioteknologi. Satu lagi sumbangan yang tidak dapat dikesampingkan ialah teknologi pemprosesan hasil pertanian. Hasil mentah pertanian mungkin tidak mempunyai nilai yang menguntungkan, tetapi dengan ciptaan teknologi tertentu, bahan tersebut dapat diproses tanpa menjejaskan mutunya atau dijadikan produk hiliran yang mempunyai nilai komersil. Sebagai contoh, buah pisang jika tidak diproses dan dibungkus dengan menggunakan bahan kimia tertentu, akan cepat masak dan busuk. Tetapi, dengan kajian yang dijalankan, pisang dapat dibungkus dengan kaedah tertentu dan tempoh masaknya lebih lambat. Selain itu, pisang juga dapat diproses menjadi produk lain, seperti kek, dan perasa aiskrim. Kerajaan kini memang jelas cuba mengubah perhatian masyarakat agar tidak lagi memandang rendah terhadap sektor pertanian. Pendedahan yang berkaitan dengan usaha kerajaan itu secara meluas membuktikan hal tersebut. Usaha tersebut memberikan nafas baharu kepada pengusaha

sektor pertanian dan diharap kita dapat mengembalikan peranan sektor ini sebagaimana dahulu. Dengan demikian, usaha kerajaan itu perlu diberikan sokongan. Ini disebabkan negara kita memang pada asasnya ialah sebuah negara pertanian. Jika kita berjaya dalam bidang bioteknologi, bermakna masa hadapan kita bukan sahaja cerah dalam sektor pertanian malah juga dalam sektor hilirannya. Karangan 1Murid 1Sukan Soalan Contoh Program 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran banyak memberikan manfaat kepada murid. Huraikan manfaat tersebut kepada murid. Rangka Karangan Pendahuluan - Program 1Murid 1Sukan - pembangunan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah Isi i. Aktiviti sukan dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah - mengelakkan gejala negatif ii. Murid yang menceburkan diri secara serius dalam bidang sukan dapat mengharumkan nama sekolah dan negara iii. Mewujudkan budaya yang sihat - suka bersukan untuk kesihatan iv. Menggalakkan penyertaan murid dalam sukan - setiap murid berpeluang v. Memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum Penutup - Program ini banyak manfaatnya - perlu disokong oleh semua pihak Karangan Contoh Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.

Oleh itu, pelbagai manfaat tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan di bawah ini. Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah aktiviti sukan tersebut dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah. Selain itu, dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan, mereka dapat mengelakkan gejala negatif daripada mempengaruhi mereka. Hal ini demikian kerana, kebanyakan murid yang terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat selalunya dikaitkan dengan tindakan mereka yang suka membuang masa dengan sia-sia tanpa melakukan sesuatu aktiviti yang bermanfaat kepada mereka. Dasar ini membolehkan murid yang menceburkan diri secara serius dalam bidang sukan itu, dapat mengharumkan nama sekolah dan negara. Mereka dapat menyumbangkan bakat dan kemahiran mereka untuk mewakili sekolah dalam acara-acara tertentu dalam bidang sukan ini kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sebagai contohnya, mereka boleh menjadi pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, dan sebagainya. Dengan cara itu, mereka dapat menunjukkan bakat mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara. Manfaat lain program ini dapat mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan murid sekolah. Seterusnya, murid-murid yang sihat ini menjadikan mereka cerdas dalam pelajaran. Perkara ini akan turut menyuburkan budaya suka bersukan untuk kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Dengan badan yang sihat, murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Hal ini demikian kerana, otak yang cerdas itu ada pada badan yang sihat. Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan murid dalam sukan. Hal ini demikian kerana, setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang tidak berpeluang atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan yang diminatinya. Jadi, pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada dan mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan dengan sukan. Melalui dasar ini, usaha kerajaan untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum akan menjadi lebih mudah. Dengan melibatkan diri dalam sukan atau permainan tertentu, muridmurid akan mempelajari dan menghayati semangat kesukaan semasa dalam permainan. Selain itu, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum. Seterusnya, perkara ini akan membantu kerajaan untuk meningkatkan perpaduan kaum di negara ini. Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu dalam sistem pendidikan yang banyak manfaatnya. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni kerajaan ini. Sekiranya usaha ini tidak digerakkan dengan betul dan sempurna, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua

pihak perlu bekerjasama dalam hal ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap lebih banyak ahli sukan yang bertaraf dunia akan dilahirkan pada masa akan datang.