Anda di halaman 1dari 3

PERKAUMAN DAN PERPADUAN DI MALAYSIA: SUATU ANALISIS KRITIS Hari ini, masyarakat kita dihidangkan dengan pelbagai isu

semasa yang kadang kala membingungkan dan merunsingkan kita. Antara isu yang tidak pernah henti-henti diulang tayangkan ialah sentimen perkauman. Realitinya, perpaduan masih lagi belum berlaku sepenuhnya di negara ini. Sebagai negara yang melaung-laungkan perpaduan antara kaum, adalah amat memalukan apabila masih lagi timbul permasalahan sebegini di kalangan masyarakat. Setiap kali berlakunya permasalahan ini, seluruh dunia akan melihat kepada kita. Kecelaruan kecil yang timbul di antara dua pihak bertelagah akan bertukar kepada pergeseran yang akhirnya membawa kepada perpecahan kaum. Setiap kali kita ingin disatukan, pasti ada pihak yang cuba memecahkan kembali penyatuan kaum yang murni ini. Halangan-halangan inilah yang terus-menerus menggagalkan usaha merapatkan jurang perkauman di Malaysia. Melihat kepada sejarah bermulanya perpaduan kaum dan tercetusnya sentimen berkaitan perkauman di Malaysia, kita perlu kembali ke era kolonial. Pada awal abad ke-19, buruh-buruh dari China terutamanya mereka yang berasal dari Kwangtung, Kwangsi dan Fukien telah dibawa masuk ke Tanah Melayu bagi menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah. Dari sinilah bermulanya penempatan kaum Cina di negara kita. Kaum India pula dibawa masuk oleh pihak British untuk membantu kegiatan ekonomi di estet-estet getah. Ketika itu, orang Melayu mampu menerima kedatangan mereka kerana tidak terdapat ancaman dari mana-mana aspek walaupun orang Melayu ketika itu tidak lagi terlibat secara keseluruhan dengan aktiviti ekonomi bersifat komersial. Kebanyakan komuniti Melayu ketika itu mula meninggalkan kawasan-kawasan estet dan lombong yang telah didiami kaum Cina dan India dan meneruskan kehidupan mereka di kawasan kampung dan perdalaman dengan aktiviti yang lebih bersifat sara diri. Punca tiadanya ketidakpuasan hati di kalangan orang Melayu walaupun tidak lagi terlibat dengan ekonomi komersial ketika itu adalah kerana bangsa Melayu telah diomongkan sebagai Tuan kepada Tanah Melayu, ditambah pula mereka dibenarkan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan pentadbiran dan politik. Di sinilah bermulanya juga fahaman Ketuanan Melayu yang masih lagi menjadi sebutan dan punca perbalahan yang wujud kini. Pada era prakemerdekaan, landskap negara telah mula berubah. Orang-orang Cina dan India tidak lagi hanya terlibat dengan aktiviti perlombongan dan pertanian. Mereka ketika itu telah pun mula terlibat dengan perniagaan, dan tidak keterlaluan untuk dikatakan, mereka ini, terutamanya kaum Cina lebih maju ekonominya dari kaum Melayu sendiri. Hal ini berlaku kerana kerajinan kaum tersebut ditambah lagi dengan kecekapan kaum ini sendiri dalam selok belok perniagaan. Ketika inilah, telah bermulanya sedikit pergeseran kaum disebabkan perasaan iri hati dan salah faham, namun, tidak ketara kerana ketika itu, masyarakat tempatan lebih menumpukan perhatian kepada isu penjajahan British, dasar kolonialisasi, dan perjuangan ke arah kemerdekaan. Pada era ini jugalah, di sebalik pergeeseran antara kaum itu, telah wujud beberapa pergerakan yang menjurus ke arah perpaduan kaum iaitu wujudnya pakatan politik antara gabungan PUTERA-

AMCJA yang menuntut kemerdekaan disamping lantang menentang Malayan Union dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun Persekutuan Tanah Melayu ialah acuan awal pembentukan negara kita kini, punca PUTERAAMCJA menentang pembentukannya kerana ia membeza-bezakan kaum. PUTERA-AMCJA ketika itu telah pun mengeluarkan suatu cadangan perlembagaan mereka iaitu Perlembagaan Rakyat yang lebih bersifat perpaduan secara total berbanding Perlembagaan Persekutuan milik UMNO yang masih membezakan komposisi kaum. Jika ketika itu Perlembagaan Rakyat yang diusulkan PUTERA AMCJA diterima pakai, mungkin hari ini, tidak timbul lagi isu perkauman kerana menurut perlembagaan tersebut, semua kaum di Tanah Melayu akan dikenali sebagai Melayu. Ini secara langsung akan menghakis perbezaan kaum antara kita kini. Namun, perlembagaan ini tidak diterima pakai kerana bercanggah dengan kehendak British ketika itu. Setelah mencapai kemerdekaan, tiada lagi wujud persoalan mengenai perbezaan kaum kerana ketika itu, masyarakat sedang menikmati sepenuh-penuhnya kemerdekaan yang baru dikecapi. Pada era pasca-merdeka, setelah lama berbulan madu, akhirnya keharmonian kaum di Malaysia mulai retak apabila berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Latar belakang peristiwa ini ialah rentetan dari kejayaan DAP-GERAKAN yang berjaya menafikan majoriti 2/3 milik Perikatan(UMNO-MIC-MCA) dalam pilihanraya ketika itu. Akibat dari perarakan oleh DAP-GERAKAN untuk meraikan kejayaan mereka itu, orang Melayu mula terkesan dengan tindakan mereka yang turut menggantungkan penyapu di kenderaan mereka sebagai simbolik kepada menyapu bersih kerusi di Parlimen. Namun, orang Melayu turut menganggap perbuatan penyokong DAP-GERAKAN itu sebenarnya bertujuan menghina kaum Melayu iaitu ingin menyampaikan mesej menyingkir kaum Melayu. Ekoran dari itulah, timbulnya perasaan marah orang Melayu lantas mengambil tindakan menyerang balas dengan berkumpul pada 13 Mei 1969 di hadapan kediaman Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato Harun Idris dan bersenjatakan parang dan pedang. Dua orang lelaki berkaum Cina dikatakan telah dipancung pada jam 4.00 petang oleh puak Melayu dan setelah tersebar berita itu, maka bermulalah pertumpahan darah antara Melayu dan Cina di sekitar Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, kawasan-kawasan di luar Kuala Lumpur seperti Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Perak tidak terjejas dan tidak mengalami rusuhan kaum ini. Akhirnya, negara diisytiharkan berada dalam keadaan darurat dan undangundang ISA untuk mencegah keganasan telah diguna pakai. Kini, setelah 16 Mei 1969 menjadi lipatan sejarah, kita masih lagi dihidangkan dengan isu-isu perkauman. Masih lagi berkaitan dengan fahaman politik, namun tidak lagi selantang dahulu. Telah ada kesedaran dari semua pihak tentang pentingnya sikap toleransi antara kaum, namun yang demikian, pergeseran tetap wujud. Permainan kata berbaur perkauman masih lagi meniti di bibir pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai kefahaman sempit dan tidak menyedari betapa pentingnya perpaduan dan sikap toleransi antara kaum. Hampir berlaku pergolakan kaum apabila sedikit masa dahulu, seorang pemimpin politik dengan lantangnya menggelarkan kaum Cina sebagai pendatang. Terdapat juga penulis blog yang ditahan di bawah akta ISA kerana mengeluarkan

pernyataan yang dianggap menggugat keharmonian kaum. Namun, diatas inisiatif dan tindakan pantas pemimpin ketika itu, keadaan mampu dikawal. Kini, banyak perubahan mampu dilihat. Parti-parti politik seperti DAP misalnya, tidak lagi memainkan isu perkauman. Wujud juga parti politik yang ditubuhkan bukan berdasarkan perkauman. Perkembangan sebegini adalah sangat positif. Setelah lebih separuh abad kita merdeka, secara jujurnya, perpaduan sebenarnya dilihat masih belum dapat dicapai sepenuhnya. Sering menjadi persoalan, mengapa setelah sekian lama merdeka, masih lagi belum dapat kita melihat masyarakat kita mampu bertutur dalam ketiga-tiga bahasa utama di negara kita; Bahasa Melayu, Mandarin, dan Tamil. Alangkah indahnya jika ia mampu berlaku. Walau yang demikian, masyarakat kini dilihat semakin positif ke arah itu. Mungkin, suatu hari nanti, kita mampu melihat perpaduan sebenar dalam kalangan masyarakat. Perpaduan yang datangnya ikhlas dari hati, dan tidak memerlukan slogan ataupun retorik untuk menggerakkan perpaduan. Masih banyak usaha yang perlu dilakukan kearah sifar sentimen perkauman. Masyarakat sendiri perlu menghormati hak sesama kaum. Toleransi antara kaum perlu dimantapkan. Syak wasangka antara kaum perlu dikikis jika ingin mencapai perpaduan kaum. Generasi-generasi lama seharusnya memainkan peranan yang lebih positif. Realitinya, jika kita ke kawasan-kawasan kampung, golongangolongan tua masih lagi seolah-olah berdendam dengan kaum lain. Misalnya, orang-orang tua sering kali mengungkapkan kata-kata seperti Kamu jangan kawan dengan Cina tu. Jahat!. Ada pula yang berkata, Alah, itu Melayu, bodoh pun boleh masuk universiti!. Hal-hal sebeginilah yang meracuni minda generasi baru dari mengenali kemanisan perpaduan antara kaum itu. Semoga, suatu hari nanti, kita benar-benar mampu berbangga sebagai sebuah negara yang harmoni dan berbilang bangsa. Mungkin, perpaduan sebenar hanya akan berlaku apabila suatu hari nanti, perkataan perkauman tidak lagi wujud dalam kalangan masyarakat.
Posted by AdamAdli at 5:53 AM