Telefon:019-8936033
Tugasan 1. Apakah kepentingan psikologi pendidikan dalam pendidikan? Pengenalan Pengertian Psikologi Pendidikan Bidang psikologi pendidikan merupakan salah satu bidang psikologi yang
menggabungkan dua bidang, iaitu psikologi dan pendidikan. Psikologi merupakan kajian tentang pemikiran dan tingkah laku individu dan kumpulan individu secara saintifik. Manakala, pendidikan pula merupakan proses untuk mengembangkan potensi dan kemahiran individu dalam bidang tertentu. Menurut Banks dan Thompson (1995), psikologi ialah ilmu yang mengkaji tingkah laku manusia. Pendidikan pula adalah profesion yang mengkaji dan membina metodologi atau pendekatan pengajaran pembelajaran untuk digunakan di sekolah. Ini dapatlah dikatakan bahawa Psikologi Pendidikan ialah kajian tentang perlakuan atau tingkah laku manusia dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Kajian psikologi pendidikan ini termasuklah kajian mengenai perkembangan manusia, pembelajaran, ingatan, motivasi, pengurusan bilik darjah dan pengujian serta penilaian pembelajaran. Borich dan Tombari (1997) mengatakan psikologi pendidikan ialah satu disiplin yang memfokuskan kajiannya kepada pengetahuan teoretikal dan pengetahuan emperikal mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Clifford, 1984 (dalam Henson dan Eller, 1999) mengatakan psikologi pendidikan sebagai applying the methods of psychology to studying the process of education. Grinder (1981) mengatakan psikologi pendidikan ialah mengaplikasi pengetahuan psikologi ke dalam situasi bilik darjah. Seseorang ahli psikologi berperanan penting untuk mengaplikasi prinsip psikologi kepada pendidikan dan di sepanjang kerjayanya, mengkaji pelajar, proses belajar dan strategi pengajaran untuk meningkatkan pembelajaran. Kesimpulannya, psikologi pendidikan ini amat berguna bagi guru-guru untuk tujuan memahami tingkah laku pelajar-pelajar dan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Tujuan Psikologi pendidikan Matlamat psikologi pendidikan ialah untuk memahami (memerihal dan menerangkan) tingkah laku pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran, seterusnya meramalkan tingkah laku gentian yang mungkin berlaku dan mengawal tingkah laku tersebut. Sebagai contoh, dengan merujuk kepada cara penyelesaian untuk masalah pelajar. Ini bermakna tingkah laku pelajar akan dapat dikawal oleh guru di mana tingkah laku negative boleh diganti dengan tingkah laku positif dengan cara menggalakkan pelajar melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Matlamat ahli psikologi tertumpu kepada empat bidang (Abd. Majid Mohd. Isa & Rahil Mahyuddin, 1997), iaitu memerihalkan (describe), menerangkan (explain), mengawal (Control) dan meramalkan (predict) sesuatu perlakuan. Apabila menemui sesuatu tingkah laku, seperti merokok di kalangan awal remaja (14 atau 15 tahun), ahli psikologi akan cuba memerihalkan perlakuan remaja itu, iaitu biasanya mereka mencuri untuk merokok. Mereka akan merokok
2
dalam tandas, dalam semak, di kompleks pasaraya atau rumah kosong. Selepas itu ahli psikologi akan cuba menerangkan sebab remaja berkelakuan begitu. Setelah menerangkan sebab terjadinya tingkah laku, ahli psikologi akan mencadangkan cara untuk mengawal tingkah laku dan meramalkan tingkah laku gentian untuk menggantikan tingkah laku buruk remaja tersebut. Contohnya, melalui aktiviti yang sihat seperti bermain badminton atau jogging pada waktu petang diramalkan akan dapat memberhentikan tabiat merokok remaja tersebut. Kepentingan Psikologi Pendidikan Matlamat pendidikan psikologi ialah untuk memahami tingkah laku murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui pemerhatian oleh guru. Dengan cara ini, guru dapat membina kebolehan membuat jangkaan tingkahlaku alternatif yang diperlukan untuk menggantikan tingkah laku yang tidak dikehendaki. Terdapat beberapa sebab mengapa guru-guru perlu memahami dan mempraktikkan psikologi pendidikan iaitu: a) Memberikan ilmu pengetahuan tentang teori dan prinsip psikologi kepada guru supaya mengamalkannya dalam bilik darjah. b) Menyedarkan guru terhadap perbezaan individu dari segi mental, fizikal, minat demi membolehkan mengajar murid-murid mengikut kebolehan mereka dengan menggunakan aktiviti kumpulan. c) Membekalkan ilmu pengetahuan tentang tingkah laku murid agar membolehkan guru mencegah masalah displin yang tidak diingini dalam bilik darjah dengan berkesan. d) Melengkapkan ilmu psikologi murid tentang sahsiahnya dapat membantu guru membentuk personaliti mereka yang sihat dan konsep kendiri yang positif dengan bimbingan yang wajar. e) Melengkapkan guru dengan teori dan prinsip psikologi akan membantunya meningkatkan kualiti pengajaran dalam bilik darjah. f) Memberikan guru kefahaman tentang naluri dan keperluan murid akan membantu guru penggunakan teknik motivasi yang berkesan serta mewujudkan hubungan baik di antara guru dan muridnya.
g) Psikologi pendidikan membekalkan guru dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap mengajar yang berguna dalam aktiviti pendidikan. h) Guru juga dapat memahami mengapa pelajar mempunyai tingkah laku tertentu, membantu pelajar lebih memahami diri sendiri, membantu guru merancang objektif dan matlamat pembelajaran yang sesuai dengan pelajarnya dan merumuskan langkah-langkah supaya pelajarnya dapat mencapai matlamat dan objektif pembelajaran yang telah ditetapkannya.
Rujukan: Kamarudin Hj. Husin (1993). Pedagogi 3. Penggunaan Psikologi dalam Bilik Darjah. Petaling Jaya: Longman Malaysia. Mahmood Nazar Mohamed (1990). Pengantar Psikologi Satu Pengenalan Asas kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia, Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Sharifah Alwiah Alsagoff (1987). Psikologi Pendidikan 1. Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Tugasan 2. Mengapakah penyelidikan penting untuk guru? Tujuan penyelidikan tindakan ialah untuk menyelesaikan masalah-masalah harian seseorang guru atau ahli-ahli profesion yang lain. Elliot (1981) telah mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai suatu kajian situasi sosial (seperti sesebuah sekolah) dengan tujuan memperbaiki mutu tindakan dalamnya. Penyelidikan tindakan dijalankan dengan tujuan meningkatkan lagi pemahaman mengenai satu-satu peristiwa, situasi atau masalah agar mereka dapat berfungsi dengan lebih berkesan lagi. Pada dasarnya, penyelidikan tindakan bilik darjah bersangkut paut dengan setiap orang guru yang ingin meningkatkan mutu pengajarannya. Dengan itu, guru itu sentiasa meneliti apa yang sedang berlaku di dalam darjahnya. Dia berusaha untuk memperoleh pemahaman lanjut mengenai satu-satu masalah dan bukannya mencari satu penyelesaian serta-merta kepada masalah itu. Setelah mengumpul maklumat yang mencukupi, dia akan memikir secara mendalam serta melakukan refleksi. Pendek kata guru berusaha untuk meningkatkan kesedaran kendiri tentang apa yang berlaku di dalam bilik darjah sebelum maju kearah penyelesaian masalah. Hasley (1972) mentafsir tindakan penyelidikan sebagai satu intervensi kecil dalam fungsi dunia nyata.. dan seterusnya pemeriksaan ke atas intervensi itu. Penyelidikan yang menuntut komitmen, ketelitian, ketekunan, keobjektifan, keterbukaan, ketahanan dan keyakinan diri yang tinggi sudah tentu akan membawa para penyelidik itu dan petugas penyelidikan itu kepada penemuan diri dan peribadi (personal self) yang sekali gus membolehkan mereka menilai kekuatan diri dan tahap profesionaliti masing-masing. Pensyarah, bakal guru dan guru-guru perlu diberikan pendedahan kepada pengendalian penyelidikan. Bengkel dan latihan khas sebagai latihan lanjutan kepada guru perlu diberi untuk meyakinkan dan meningkatkan iltizam terhadap penyelidikan. Harus diwujudkan mod insentif yang menarik dan wacana yang kondusif untuk mereka berkongsi hasil penyelidikan.
Dalam era masa kini masyarakat di sekeliling begitu peka dan sensitif dengan isu pendidikan dan keguruan di Malaysia. Masyarakat mempersoalkan profesionalisme keguruan itu
5
sendiri. Profesionalisme keguruan itu akan dilihat dari dua sudut penting. Pertama, ia akan membincangkan tentang kualiti apa yang guru lakukan, menurut perlakuan dan garis panduan yang mengawal perlakuan tersebut. Kedua, ia akan berkait rapat dengan bagaimana perasaan guru yang dilihat dari kacamata orang lain seperti statusnya, kedudukan dan tahap ganjaran di atas keprofesionalnya itu. Masyarakat akan membuat pemerhatian dan andaian sendiri terhadap profesionalisme keguruan yang selalunya akan mencetuskan kontroversi yang akhirnya terpaksa cuba disanggah oleh kalangan kita yang memikul dan menyandang gelaran seorang guru. Di dalam pembangunan profesionalisme keguruan itu, ia berakar umbi dari tindakan guru mencari jawapan yang sahih dan jitu menerusi kajian tindakan. Tanpa data yang sempurna dan berasaskan kajian yang sistematik akan menyukarkan kita untuk mempertahankan diri. Akibatnya, masyarakat lebih mudah mempercayai apa jua yang disogokkan oleh andaian yang dibuat menerusi pemerhatian sahaja, sesuatu yang kurang tepat untuk menggambarkan sesuatu isu. Akhir-akhir ini pelbagai isu pendidikan disajikan kepada kita melalui media massa. Kita akan dapat mengetahui dan menyelesaikan isu tersebut sekiranya terdapat data yang sistematik dikumpulkan (melalui penyelidikan) dan dengan ini dapat menangkis sebarang prasangka buruk terhadap profesion ini. Sekiranya kita tidak dapat mengemukakan bukti yang empirikal, akhirnya, secara umum profesionalisme keguruan itu sendiri dipandang rendah oleh masyarakat. Dan usaha untuk memartabatkannya akan mengambil masa yang panjang. Hasil dapatan pada hari ini mungkin akan menjadi usang atau tidak releven pada hari esok. Era sekadar membaca dan mengkaji sumber maklumat daripada dapatan orang lain, sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Warga pendidik negara ini harus berani mengkaji dan menyelidik bagi menghasilkan sesuatu dapatan yang baru seterusnya mengorak langkah menyerlahkan profesion perguruan negara. Pelbagai teori pendidikan yang dibekal kepada bakal pendidik semasa latihan di institusiinstitusi latihan adalah berperanan untuk membimbing para guru memahami sesuatu situasi dalam proses pendidikan. Ini adalah kerana; .. a theory was a set of interrelated constructs, definitions and propositions that presents a systematic view of phenomena by specifying relations among variables with the purpose of explaining and predicting phenomena. (Kerlinger, 1870) Hakikatnya, seseorang pendidik yang menjadikan penyelidikan sebagai budaya kerjanya merupakan seorang yang kaya dengan pengetahuan dan kemahiran hasil daripada pembacaannya yang meluas dan mendalam. Dengan kata lain, budaya menyelidik dan budaya
membaca adalah sinonim, bagaikan aur dengan tebing. Guru yang berciri dan berperibadi penyelidik dapat melahirkan warga guru yang yakin dengan tugas dan peranan mereka sebagai pengurus bilik darjah. Mereka juga mampu membuat diagnosis terhadap prestasi pelajar serta membuat penilaian kendiri dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Melalui peranannya sebagai penyelidik dan pengamal yang reflektif, seseorang pendidik berupaya menyelesaikan pelbagai isu yang dapat menyelesaikan masalah di bilik darjah. Bidang-Bidang Dalam Penyelidikan Pendidikan Empat domain asas yang menjadi rujukan kepada penyelidikan pendidikan ialah (Shumway, 1980);
Tingkah laku pengajaran Mata pelajaran Tingkah laku pembelajaran Penyusunan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
Penyelidikan pendidikan boleh juga diklasifikasikan sebagai suatu proses penyiasatan terhadap fenomena dalam pendidikan (phenomena investigated). Fenomena yang sering menjadi tumpuan penyelidikan pendidikan merangkumi bidang-bidang berikut;
Proses pengajaran Proses pembelajaran Aspek kognitif Kaedah pengajaran dalam bilik darjah Sahsiah pelajar Motivasi dalam pendidikan Kepimpinan dalam pendidikan Pengurusan kewangan sekolah Program untuk pelajar khas seperti kurang upaya dan gifted Perkembangan kurikulum Kokurikulum (sukan dan pasukan berunifom) Bimbingan dan kaunseling Pemulihan Penilaian program
7
Polisi dan dasar pendidikan Pengurusan bilik darjah Penggunaan TMK dalam pendidikan Pengurusan sumber pendidikan Teknologi Pendidikan (bidang yang luas seperti penggunaan dan penghasilan media, reka bentuk pengajaran dan sebagainya)
Isu gender dalam pendidikan Pendidikan Jarak Jauh Pendidikan Sepanjang Hayat Dan sebagainya...
Penyelidikan-penyelidikan ini penting dan berfaedah kepada guru kerana ia akan membantu guru menyelesaikan situasi bermasalah. Ia juga meningkatkan lagi pemahaman penyelidik (guru) tentang satu-satu masalah di dalam bilik darjah. Penyelidik juga dapat dibantu untuk memahami secara mendalam persekitaran dan keadaan di mana dia bertugas. Di samping itu, ia memerlukan masa yang lebih singkat untuk menjalaninya berbanding dengan penyelidikan tradisi. Selain daripada itu, perbelanjaan juga agak kurang. Penyelidikan tindakan juga dapat membekalkan maklumat, pemahaman dan fakta yang perlu untuk menyokong satu-satu cadangan. Contohnya, maklumat yang diperoleh daripada pihak guru dan orang ramai melalui temuduga menunjukkan masalah moral dalam kalangan muda-mudi perlu dikaji secara serius. Ia juga meningkatkan kesedaran kendiri seseorang, kesedaran tentang satu-satu masalah serta juga meningkatkan aras komitmen. Selain daripada itu, ia membantu kita aras keyakinan. Dengan adanya maklumat dan data, kita boleh menyampaikan satu dapatan dengan lebih tegas lagi.
Rujukan: Ee Ah Meng (1997). Pedagogi 2. Pelaksanaan Pengajaran. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. http://deriakacamata.blogspot.com/2008/10/penyelidikan-faedah-kepada-guru-sebagai.html Khadijah Rohani Mohd Yunus dan rakan (2007). Psikologi Pendidikan. Selangor: Open University Malaysia.
Tugasan 3. Apakah dia pengajaran yang berkesan? Dari segi bahasa, menurut kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) Perkataan Pengajaran adalah berasal dari satu kata dasar iaitu ajar yang bermaksud petunjuk yang diberikan kepada orang lain. Pengajaran bermaksud segala yang berkaitan dengan mengajar atau mengajarkan (seperti caranya, sistemnya dan lain-lain). Apa pula yang dimaksudkan dengan pengajaran berkesan? Banyak pendapat para sarjana tentang maksud pengajaran berkesan. Menurut Tuner, R. (2001) Pengajaran berkesan itu ialah pengajaran pakar dan cemerlang. Terdapat penggunaan istilah lain seperti mengajar dengan baik (Brown et al., 1993), mengajar dengan kreatif (Woods et al., (1996) dan Pengajaran Berkualiti (Stones, 1992). Pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang memberi pengalaman yang menyeronokkan ketika berlakunya proses pembelajaran. Keseronokan dapat diukur apabila murid mampu menumpukan perhatian sepenuhnya dalam kelas, mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan serta berjaya mencapai hasil pembelajaran seperti yang dirancang. Perancangan untuk sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) merupakan aspek yang penting sebelum pengajaran itu bermula. Malah ia boleh dianggap sebagai satu prosedur kerja untuk melaksanakan sesuatu misi yang akan menentukan kompetensi seseorang itu. Kecacatan pada prosedur kerja itu akan seterusnya membantut pelaksanaan tugasnya. Dalam hal ini guru harus berhati-hati serta memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap setiap komponen yang terdapat dalam perancangan tersebut.
Pengajaran juga sepatutnya berkualiti di mana guru berupaya untuk menyampaikan pengajaran atau konsep atau kemahiran yang mudah difahami oleh pelajar, mudah diingat dan menyeronokkan pelajar. Oleh itu, guru perlu menyampaikan isi pengajaran secara tersusun dan sistematik (Kallison, 1986); menggunakan bahasa yang jelas dan mudah (Land, 1987), penerangannya yang jelas, dan memberi contoh-contoh yang berkaitan (Mayer & Gallini, 1994); penekanan kepada isi-isi penting dan pelajaran itu cuba dikaitkan pula dengan pengetahuan dan pengalaman pelajar yang lalu dan yang sedia ada (King & Menke, 1992); dan menggunakan alat
10
bantu mengajar (ABM) bagi membantu menerangkan sesuatu konsep (Hiebert, Wearne & Taber, 1991; Kazna 1991). Selain itu, objektif pelajaran hendaklah jelas dan khusus, isi kandungan adalah mencukupi dan pada akhir sesuatu pelajaran, guru perlu mengadakan penilaian atau peperiksaan. Aras pengajaran yang sesuai bermaksud pengajaran mestilah sesuai dengan kebolehan dan keupayaan pelajar. Jika aras pengajaran guru tinggi, pelajar yang lemah tidak dapat mengikutnya, akhirnya mereka akan ketinggalan dalam pelajaran. Apabila aras pengajaran itu rendah, pelajarpelajar yang cerdik tidak akan memberikan tumpuan terhadap pengajaran guru. Ini akan merugikan pelajar yang cerdik, kerana guru terpaksa menumpukan lebih banyak masa kepada pelajar yang lemah. Salah satu cara untuk mengatasinya ialah guru perlu mengumpulkan pelajar yang cerdik ke dalam satu kumpulan dan pelajar yang lemah dalam satu kumpulan yang lain berdasarkan kebolehan dan penguasaan sesuatu kemahiran. Guru uga boleh mengadakan pengajaran secara individu (Slavin, 1989), namun pengajaran secara individu tidak dapat menunjukkan kesan yang positif terhadap pencapaian pelajar (Hartley, 1977; Horak, 1981). Satu cara pengajaran pembelajaran yang berkesan ialah melalui pembelajaran secara koperatif (cooperative learning group), yang mengumpulkan pelajar yang lemah dengan pelajar yang pandai, dan pelajar yang cerdik akan membimbing pelajar yang lemah dalam kumpulannya. Dengan itu, guru akan dapat mengajar dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran. Insentif bermaksud keupayaan guru untuk memberi motivasi kepada pelajar untuk terus belajar dan menyiapkan kerja-kerja yang di beri oleh guru. Terdapat dua cara untuk guru memberikan motivasi kepada pelajar supaya terus belajar (Slavin, 1994). Pertama, guru perlu menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan menyeronokkan pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pelbagai alat Bantu Mengajar (ABM). Kedua, guru boleh memberi insentif kepada pelajar dengan cara memberikan ganjaran atau pujian kepada pelajar yang dapat menguasai sesuatu kemahiran atau memberi dendaan kepada pelajar yang tidak dapat menguasai sesuatu kemahiran. Masa pengajaran-pembelajaran bermaksud masa yang cukup untuk pelajar mempelajari sesuatu konsep atau kemahiran. Pada kebiasaannya, pengajaran guru dipengaruhi oleh dua faktor masa iaitu masa yang diperuntukan (allocated time) oleh pihak sekolah kepada guruguru untuk mengajar sesuatu mata pelajaran, masa tugasan (timeon-task) atau engaged time yang bermaksud masa yang guru gunakan untuk mengajar dan masa yang pelajar gunakan untuk belajar bagi
11
mendapatkan ilmu pengetahuan atau kemahiran. Kajian oleh The Beginning Teacher Evaluation Study (1998) menunjukkan masa yang diperuntukan kepada sesuatu mata pelajaran tidak memberi kesan kepada pencapaian pelajar apabila masa itu diukur pada peringkat kelas (Marliave, Fisherdan Dishaw, 1978). Kajian tentang engaged time atau time-on-task menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di dalam pencapaian pelajar dalam bidang akademik (Kavweit, 1989).
Cadangan Untuk Meningkatkan Keberkesanan Amalan Pengajaran Guru Supaya Kecemerlangan Akademik Pelajar Meningkat Berikut ini merupakan beberapa cadangan untuk meningkatkan amalan pengajaran guru supaya kecemerlangan akademik pelajar meningkat. Guru mesti Merancang pengajaran terlebih dahulu, pelbagaikan kaedah pengajaran, gunakan ABM, kaitkan isi pelajaran baru dengan pengalaman pelajar. Selain itu, guru perlu mempastikan ketepatan isi pelajaran, dan menyampaikan isi pelajaran secara sistematik, jelas dan mudah difahami. Pengajaran guru juga mesti menarik minat dan menyeronokkan pelajar supaya akan terus belajar. Bukan itu sahaja, apabila mengajar guru perlu menggunakan pelbagai kemahiran berfikir seperti menganalisis, sintisis dan mencerakin di samping perlu banyak memberi latihan dan kerja-kerja rumah kepada pelajar. Guru juga perlu mengajar mengikut aras kebolehan pelajar. Selain itu, guru perlu meletakkan harapan yang tinggi terhadap pencapaian pelajar dan memberi semangat kepada pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh. Guru perlu memastikan ketepatan fakta dan mempunyai pengetahuan yang terkini mengenai isi kandungan mata pelajaran yang hendak diajar dan penguasaan bahan yang berkaitan. Kesimpulannya, tugas seorang guru adalah amat penting dan mencabar untuk mempastikan suasana pengajaran serta pembelajaran yang berkesan pada setiap masa. Rujukan:
Carroll, J. (1963). A model of school learning. Teacher College Record, 64, 723-73.
Carroll J. (1989). The Carroll model: A25 years restrospective and prospective view. Educational Reseacher, 18, 26-31.
12
http://ilmu.edublogs.org/2011/06/27/apakah-pengajaran-dan-pembelajaran-berkesan/ http://eduskkbsr.blogspot.com/2010/05/pengajaran-berkesan.html
13
Tugasan 4. Setiap jenis perkembangan (fizikal, kognitif, sosial dan peribadi (personal), beri 3 aplikasi dalam bilik darjah?
Menurut tokoh, perkembangan adalah suatu proses yang rencam (kompleks). Menurut Gallahue (1993), pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada tiga kategori asas. Perkembangan ini penting bagi pergerakan diri kanak-kanak tersebut atau untuk interaksi yang berkesan dengan dunia persekitaran mereka. Tiga kategori dalam perkembangan fizikal kanak-kanak ini adalah keseimbangan (stability), pergerakan (locomotion), dan manipulasi (manipulation). Suatu proses perkembangan juga melibatkan interaksi antara kematangan kanak-kanak dan aktiviti pembelajaran yang dilalui oleh kanak-kanak tersebut. Menurut Wright dan Sugden (1999) dalam model peralihan, mereka mengaitkan kematangan individu dengan proses pembelajaran dan pengalaman. Proses pembelajaran ini pula berlaku dalam ruang persekitaran serta perlu memenuhi kehendak khusus aktiviti yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut. Selain itu juga, perkembangan fizikal merupakan satu aspek yang menekankan asas pertumbuhan dan pembesaran kanak-kanak dalam keadaan sihat, selamat, dan ceria. Menurut Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003), perkembangan fizikal kanakkanak boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu kebersihan alam sekitar, keselamatan, kesihatan, dan psikomotor. Ia juga sering dikaitkan dengan kebolehan kanak-kanak menggunakan anggota badan, otot, dan koordinasi untuk menjalankan aktiviti harian.
Perkembangan Fizikal Justeru itu, dalam proses mendidik kanak-kanak, aspek perkembangan fizikal seharusnya diberi perhatian. Seorang kanak-kanak tidak akan dapat berkembang dengan baik sekiranya aspek ini diabaikan. Misalnya, seorang kanak-kanak yang cerdas tidak akan dapat mencapai kejayaan sekiranya kanak-kanak ini mengalami masalah kesihatan atau persekitarannya kurang sihat. Oleh itu, kanak-kanak ini perlu diberikan pendedahan dalam cara amalan dan langkah untuk menjaga kebersihan persekitaran kanak-kanak tersebut.
14
Di dalam bilik darjah, fizikal pelajar dapat dikembangkan secara positif dengan cara merancang pengajaran yang melibatkan permainan. Melalui aktiviti permainan, pelajar boleh mendapat kepuasan dan keseronokan. Selain daripada itu, aktiviti menjaga kebersihan diri juga boleh dilakukan kerana aktiviti ini dapat mendedahkan pelajar dengan penjagaan diri yang betul.
Perkembangan Kognitif IQ tinggi dianggap sebagai penunjuk yang kuat kejayaan dan kesejahteraan dalam segala bidang hidup. Namun demikian. kanak-kanak pintar cerdas menghadapi pelbagai masalah sosioemosi yang disebabkan oleh ciri-ciri unik dalam dirinya sendiri serta lingkungan faktor seperti kehidupan keluarga, persekitaran sekolah, dan salah faham dari orang lain. Faktor-faktor ini menghalang mereka daripada membangunkan potensi mereka sepenuhnya. Perkara ini menjelaskan mengapa tidak semua individu berbakat dapat mencapai produktiviti dan kreativiti dalam hidup mereka. Bagi membantu mencapai matlamat perkembangan kognitif yang betul ialah, guru perlulah menyediakan atau merancang pengajaran dan pembelajaran dengan teknik atau kaedah yang menarik agar pelajar tidak berasa bosan semasa proses P&P berlangsung. Apabila aktiviti P&P berlangsung dengan baik maka perkembangan kognitif mereka tentu akan berkembang dengan baik. Selain daripada perancangan yang baik, aplikasi lain yang boleh diguna pakai ialah dengan membentuk kumpulan yang terdiri daripada pelbagai kebolehan. Ini penting kerana pelajar yang pandai di dalam kumpulan itu boleh membantu kawan-kawan mereka yang agak lemah.
Perkembangan Sosial Aspek sosial pula berkaitan dengan pergaulan dan interaksi kanak-kanak dengan mereka yang berada di persekitarannya. Sesuatu tingkahlaku yang ditunjukkan kanak-kanak dipengaruhi oleh proses peneguhan, dendaan atau peniruan. Sesuatu tingkahlaku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak akan diulangi sekiranya kanak-kanak tersebut memperoleh ganjaran atau pujian akibat dari tingkahlaku yang ditunjukkan tersebut. Walau bagaiamanapun, ganjaran atau pujian biasanya adalah disebabkan suatu tingkahlaku yang mereka tunjukkan yang bersesuaian dengan
15
peraturan sosial mereka. Oleh itu, dalam perkembangan tingkah laku kanak-kanak, sesuatu tingkah laku akan diulangi jika model tingkah laku itu bersesuaian dengan diri kanak-kanak tersebut. Begitu juga jika tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut dikenakan dendaan maka tingkah laku itu akan cuba mereka elak atau tidak mengulanginya sama sekali.
Perkembangan sosial melibatkan interaksi sosial seseorang dengan seseorang yang lain. Interaksi sosial ini bermaksud keadaan di mana seseorang melakukan hubungan saling berbalas respon dengan orang lain. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah melibatkan interaksi sosial seperti saling melempar senyum, saling melambaikan tangan dan berjabat tangan, berbual, dan seterusnya bersaing dalam olahraga.
Seterusnya bagi perbezaan sosialisasi pula, boleh dikatakan bahawa pelajar adalah datang dari latar belakang yang berlainan dan juga memiliki taraf sosial yang berlainan iaitu sama ada golongan atasan, golongan pertengahan dan juga golongan bawahan. Oleh itu, guru perlu mengambil serba sedikit mengenai latar belakang pelajar bagi memudahkan guru mengendali karenah-kareneh pelajar yang berlainan. Bagi mengembangkan aspek sosial dalam diri pelajar, guru perlu mencampurkan pelajar di dalam kelas tanpa mengira kedudukan sosial mereka. Ini akan membantu pelajar yang berasal dari pelbagai taraf duduk sekumpulan menjalani pengajaran dan pembelajaran.
Perkembangan Peribadi (personal) Perkembangan peribadi seseorang biasanya melibatkan emosi. Emosi ialah gambaran perasaan pada wajah seseorang. The Oxford Dictionary Of Current English (1986) menyatakan emosi sebagai perasaan yang kuat dari dalaman terutamanya daripada aspek mental atau naluri, seperti kasih sayang ataupun takut. Justeru itu, bolehlah disimpulkan emosi sebagai salah satu daripada ciri jiwa manusia yang boleh mempamerkan perasaan yang kuat yang berpunca daripada psikologi atau mental seseorang dan emosi boleh berlaku secara naluri bergantung pada sesuatu situasi. Ibrahim Mamat (1997), menyatakan emosi ialah perasaan jiwa yang kuat yang dialami oleh seseorang dalam tidak balasnya terhadap sesuatu ransangan. Adakalanya ia boleh berbentuk
16
positif seperti riang, gembira, seronok dan kasih; adakalanya ia berbentuk negatif seperti sedih, marah, benci dan dendam.
Guru-guru perlu memahami teori Gesell dan Teori Havighurst supaya boleh mengetahui bahawa kanak-kanak reaksi yang berlainan semasa memasuki zaman persekolahan. Contohnya, kanak-kanak mungkin berasa gembira atau takut pada hari pertama bersekolah. Menurut teori Gesell, kanak-kanak akan berasa takut dan menangis apabila berada situasi asing. Manakala menurut teori Havighurst, kanak-kanak akan berasa gembira apabila bersekolah kerana mereka ingin berkawan dan bermain dengan kanak-kanak yang lain yang berada di sekitar tadikanya. Jika guru tidak memahami kedua-dua teori, maka guru akan kelam kabut apabila menghadapi keadaan ini. Sebaliknya jika guru memahami kedua-dua teori, mereka mengetahui cara yang sesuai dan tepat untuk mengatasi keadaan ini dengan hati yang tenang. Pada peringkat ini, kanak-kanak mula membentuk penilaian terhadap diri sendiri. Ini juga merupakan perkembangan moral peringkat awal kanak-kanak. Jika ibu bapa atau guru tidak mendidik kanak-kanak tersebut dengan baik, akibatnya dia akan menjadi insan yang tidak berakhlak pada masa akan datang. Menurut teori Havighurst, kanak-kanak berkelakuan baik untuk mengelakkan hukuman atau denda daripada ibu bapanya. (Suppiah Nachiappan, 2008) Jika kanak-kanak tidak berkelakuan baik, ini menunjukan ibu bapanya tidak mendidik anak mereka dengan sewajarnya. Sebagai contohnya, ibu bapa tidak pernah menghukum atau denda anak mereka walaupun mereka melakukan kesalahan yang besar. Secara tidak langsungnya, ini telah menyebabkan perangai kanak- kanak menjadi tidak baik. Dengan ini, guru tidak boleh menegur atau menghukum kanak- kanak tersebut apabila mereka melakukan sesuatu kesalahan. Jika guru menbuat demikian, kanak-kanak akan merajuk dan tidak mahu hadir ke sekolah. Untuk melicinkan proses pelajaran kanak-kanak, guru harus memberi nasihat kepada ibu bapa supaya mendidik anak mereka dengan sewajarnya. Dengan ini, dapat membantu perkembangan emosi kanak-kanak. Pada peringkat sekolah, kanak-kanak akan menonjolkan reaksi mereka sendiri dalam sesuatu masa melalui riak muka seperti ketawa, menangis, senyum, bermasaam muka dan
17
langsung tidak berkata apa-apa. Daripada situasi yang kita lihat, di sini dapat kita rumuskan bahawa kanak-kanak memiliki emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Mereka sangat sensitif dan mudah menangis apabila ditegur dengan nada yang kasar seperti dimarahi oleh bapa. Seterusnya, emosi mereka turut berubah apabila diberi pujian setelah berjaya menyelesaikan sesuatu perkara lebih-lebih lagi dalam bidang akademik. Secara tidak langsung, keadaan ini dapat meningkatkan tahap ekstim kendiri dalam diri kanak-kanak tersebut. Untuk mendapat persahabatan rakan sebaya, kanak-kanak akan belajar bekerjasama, toleransi, prihatin dan bertangguangjawab. Sebagai contohnya, kanak- kanak akan bersama dengan rakannya membuat sesuatu tugas yang diberi oleh guru. Sebagai guru yang bestari harus menjalankan aktiviti berkumpulan untuk membantu kanak-kanak belajar bersosialisasi. Selain daripada itu, pelajar juga cenderung untuk melakukan pelbagai perkara yang terlintas dalam fikiran mereka. Lazimnya, kanak-kanak ini akan menghadapi konflik dalam diri seandainya mereka gagal dalam melakukan sebarang bentuk tugas yang diberikan dan keadaan ini akan menimbulkan perasaan rendah diri dan wujud kekecewaan dalam diri sendiri. Namun begitu, rangsangan daripada individu yang berkenaan terutama guru dan sahabat dapat memadamkan spekulasi yang mereka lemparkan terhadap diri mereka sendiri. Sebagai guru yang prihatin harus memberi bimbingan yang sewajarnya kepada mereka supaya mereka tidak putus asa.
Selain daripada itu pelajar juga suka melakukan sesuatu untuk mendapatkan pujian atau pengiktirafan. Dengan ini, guru harus memuji atau memberi ganjaran kepada kanak-kanak jika mereka berprestasi baik. Hal ini kerana teori Havighurst menyatakan bahawa kanak-kanak pada peringkat ini boleh menilai diri sendiri dan orang lain. Oleh itu, guru tidak boleh berat sebelah terhadap kanak-kanak. Jika guru membuat demikian akan menimbulkan perasaan cemburu di kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir kanak- kanak yang begitu sensitif terhadap cemuhan. Ini menyebabkan mereka berasa jauh diri dan memisahkan diri daripada persekitaran mereka. Guru harus memberi bimbingan yang sesuai kepada kanak-kanak tersebut.
18
Rujukan: Mahani Razali, Mahzier Hamzah & Nor Junainah Mohd Isa (2009). Memahami tingkahlaku kanak-kanak. Selangor: YCR Distributors Sdn. Bhd.
Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004). Psikologi Pendidikan: pendekatan kontemperori. Kuala Lumpur: McGraw Hill Malaysia Sdn. Bhd. http://www.scribd.com/doc/17286479/Bagaimana-Pemahaman-Terhadap-an-Sosial-Dan-EmosiDiperingkat-Umur-Tertentu-Membantu-Guru-Menjalankan-Tugas-Pengajaran-DenganBerkesan-Di-Dalam-Bilik-Darjah
19