Anda di halaman 1dari 9

Faktor-faktor berlakunya jenayah pemerdagangan manusia dan langkah-langkah yang harus diambil untuk menanganinya Era globalisasi yang

sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu masalah yang kian membimbangkan masyarakat dunia iaitu jenayah pemerdagangan manusia. Isu yang semakin berleluasa ini sering melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak. Namun begitu, pendedahan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) baru-baru ini menunjukkan bahawa golongan remaja turut dijadikan mangsa jenayah pemerdagangan manusia. Hal ini sungguh membimbangkan kerana situasi tersebut mampu menyebabkan gejala negatif yang lain turut menjadi serius. Misalnya, mangsa jenayah pemerdagangan manusia sering dijadikan sebagai pelacur, buruh paksa, hamba seks dan pengemis upahan. Malah, menurut Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, sebanyak dua puluh tujuh sindiket pemerdagangan manusia yang bergiat aktif di Malaysia berjaya ditumpaskan sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Penumpasan sindiket-sindiket tersebut telah menyelamatkan ratusan individu yang menjadi mangsa mereka. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa jenayah pemerdagangan manusia sememangnya semakin serius dan perlu diatasi dengan segera. Hakikatnya, jenayah pemerdagangan manusia hanya boleh diatasi jika kita memahami faktor-faktor berlakunya jenayah tersebut. Pertama sekali, kewujudan korupsi dan unsur rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan menyebabkan jenayah ini sukar ditangani. Sindiket pemerdagangan manusia sering memanfaatkan kewujudan pegawai kerajaan yang mudah dirasuah untuk memudahkan pelaksanaan modus operandi mereka. Misalnya, pegawai imigresen yang menjaga sempadan negara boleh dilepasi dengan mudah oleh ejen-ejen sindiket pemerdagangan manusia bersama mangsa mereka hanya dengan menghulurkan beberapa helai wang kertas lima puluh ringgit kepada mereka. Keadaan kini bertambah keruh apabila pegawai-pegawai kerajaan sendiri bertindak membantu sindiket pemerdagangan manusia. Contohnya, mereka mencari individu yang berpotensi untuk diperdagangkan dan menyerahkan insan-insan yang tidak berdosa itu kepada ejen pemerdagangan manusia. Hal ini amat menyedihkan kerana pihak yang patut memainkan peranan untuk mengatasi jenayah pemerdagangan manusia bertindak sebaliknya ibarat kata pepatah harapkan pagar, pagar makan padi. Maka, jenayah tersebut pasti sukar ditangani jika wujud pegawai-pegawai kerajaan yang berkorupsi. Selain itu, jurang ekonomi antara negara-negara jiran turut menjadi faktor jenayah pemerdagangan manusia. Rakyat negara yang miskin sudah tentu ingin menambah baik taraf hidup mereka dengan apa jua cara yang mudah. Oleh itu, mereka memilih untuk bekerja di negara jiran yang lebih kaya tetapi kekurangan tenaga kerja. Namun begitu, terdapat pihakpihak tertentu yang mengambil kesempatan terhadap mereka dengan menaburkan janji-janji manis seperti pekerjaan, tempat tinggal dan kehidupan yang lebih baik. Malangnya, selepas individu-individu tersebut dibawa ke luar negara, mereka dijual kepada pihak lain dan dijadikan hamba seks dan buruh paksa. Situasi ini terbukti berlaku apabila statistik Jabatan Siasatan Jenayah PDRM menunjukkan hampir kesemua individu yang berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia berasal dari negara-negara jiran yang berpendapatan rendah seperti Myanmar, Vietnam dan Laos. Keadaan ini membuktikan bahawa jurang ekonomi antara negara-negara serantau turut menjadi faktor wujudnya jenayah pemerdagangan manusia.

Di samping itu, tahap kesedaran masyarakat terhadap isu pemerdagangan manusia yang rendah juga menyebabkan jenayah tersebut terus berleluasa. Masyarakat yang bersikap seperti katak di bawah tempurung menjadi punca yang memangkin kewujudan pelbagai jenayah merentasi sempadan. Masyarakat kini sering bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan tidak peka terhadap situasi di sekeliling mereka. Umpamaanya, terdapatkah individu pada hari ini yang melihat pengemis kanak-kanak cacat sanggup bersikap proaktif dan membawanya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat? Keengganan masyarakat untuk mengambil tahu tentang isu semasalah menyebabkan situasi seperti ini berlaku. Lebih membimbangkan lagi apabila masyarakat mendiamkan diri meskipun tahu tetang kewujudan sindiket pemerdagangan manusia di kawasan tempat tinggal mereka. Misalnya, pihak PDRM berjaya menangkap seorang lelaki di sebuah rumah bersama tiga puluh orang wanita warganegara Vietnam yang dikurung di dalam sebuah bilik. Siasatan lanjut mendapati lelaki itu terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia sejak lima tahun yang lalu dan menjadikan rumahnya sebagai tempat menjalankan urusan sindiketnya itu. Sekiranya masyarakat di kawasan perumahan itu bersikap proaktif, pasti sindiket tersebut terbongkar lebih awal. Malangnya, sikap mereka yang kurang peka terhadap situasi di sekeliling memudahkan lelaki itu untuk menjalankan sindiketnya selama separuh dekad. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang mendiamkan diri akan menyebabkan jenayah pemerdagangan manusia terus melarat. Faktor-faktor jenayah pemerdagangan manusia sememangnya sukar diatasi. Walau bagaimanapun, jika pihak kerajaan mewujudkan undang-undang yang dapat menjatuhkan hukuman yang lebih berat terhadap dalang sindiket pemerdagangan manusia, pasti jenayah tersebut dapat ditangani. Kejayaan Akta dadah Berbahaya dalam mengekalkan jumlah kes penyeludupan dadah pada tahap yang rendah harus dijadikan contoh untuk mewujudkan mekanisme yang sama demi mengurangkan kes pemerdagangan manusia. Hukuman penjara sahaja tidak memadai buat pesalah yang sanggup menjalankan urusan jual beli manusia. Hukuman mati mandatori patut dikenakan terhadap mereka supaya dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat. Pada masa yang sama, pihak kerajaan perlu mewujudkan mekanisme yang tepat untuk menyifarkan kes rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan. Jika kes rasuah dapat disifarkan, sudah tentu pelaksanaan undang-undang menjadi lebih berkesan sekali gus mengurangkan kes pemerdagangan manusia. Seterusnya, pemimpin-pemimpin negara serantau perlu bekerjasama untuk mengurangkan jurang ekonomi. Komuniti ASEAN yang bakal diwujudkan pada tahun 2015 patut dizahirkan kerana langkah tersebut diyakini mampu mengurangkan jenayah merentasi sempadan apabila negara-negara di Asia Tenggara menjalin kerjasama politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya negara-negara serantau membangun secara serentak, keperluan rakyat sesebuah negara untuk bekerja di negara jiran akan berkurang. Secara tidak langsung, keadaan ini seterusnya akan mengurangkan pemerdagangan manusia. Selain itu, masyarakat pula perlu bersikap proaktif dan melaporkan gerak-geri yang mencurigakan di sekeliling mereka. Mereka harus bekerjasama dan memastikan kawasan tempat tinggal mereka tidak dijadikan sebagai markas pemerdagangan manusia. Contohnya, Persatuan Rukun Tetangga perlu sentiasa menjalankan pelbagai langkah untuk membanteras perlakuan jenayah di kawasan perumahan mereka. Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan jenayah pemerdagangan manusia kepad pihak berkuasa kerana identiti mereka akan dirahsiakan. Maka, sekiranya rakyat Malaysia bersikap proaktif, pasti jenayah pemerdagangan manusia mampu diatasi dengan mudah.

Tuntasnya, sememangnya terdapat pelbagai faktor berlakunya jenayah pemerdagangan manusia dan pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi jenayah tersebut. Namun begitu, langkah-langkah tersebut hanya akan membuahkan hasilnya jika pihak kerajaan dan masyarakat berganding bahu kerana sesungguhnya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Semoga dengan penyifaran jenayah pemerdagangan manusia, kita dapat menzahirkan Wawasan 2020 dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negaranegara lain di dunia.

1 MALAYSIA TERAS PERPADUAN NEGARA Dalam kerancakan penduduk jagatraya berjalan bersama-sama bayang-bayang keharmonian, riang berlagu gembira, pemimpin diumpamakan sebagai jantung sesebuah negara. Pemimpin perlu bijak mengorak langkah proaktif untuk mengekalkan kestabilan keharmonian dan keamanan negara.. Umum mengetahui, keunikan Malaysia adalah bersandarkan kesejahteraan hidup kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa dan agama namun masih mampu mengekalkan keamanan sejagat. Perpaduan menjadi elemen penting dan merupakan cerucuk dominan dalam mengekalkan keamanan. Oleh hal yang demikian, idea yang dilontar dan dilemparkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke lima, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib dalam mengetengahkan gagasan 1 Malaysia merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi oleh tampuk kepimpinan yang lain. 1 Malaysia mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan YAB Perdana Menteri Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan. 1 Malaysia dikatakan membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia menjalinkan perpaduan yang lebih erat. Sekadar memetik kata-kata Datuk Seri Najib, beliau berbicara saya berharap semua rakyat Malaysia melihat hari muka dengan lebih optimis dan keazaman untuk membina satu Malaysia yang lebih kukuh dan dinamik. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Konsep 1 Malaysia telah menjadi asas pegangan dalam menjaga keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Umum mengetahui, perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset yang patut dibanggakan. Disini jelas menunjukkan bahawa negara mengekalkan keadilan setiap kaum tanpa mengubah pegangan dan cara hidup mereka. Rakyat diberi kebebasan dalam menentukan pegangan hidup masing-masing tanpa sebarang halangan. Memetik kata-kata daripada seorang peguam di Indonesia, beliau berkata keadilan yang hakiki hanya ada disyurga, tetapi kita di dunia cuba hampiri ke tahap itu. Justeru, kelebihan yang diperoleh apabila menjadi warga Malaysia seharusnya diiringi dengan rasa syukur kerana diberi peluang untuk hidup dalam suasana harmoni tanpa sebarang diskriminasi. Seterusnya, 1 Malaysia ialah satu gagasan bagi memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Tidak kira sama ada Melayu, Cina, mahupun India, sikap ini perlu disemat kukuh dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara. Kita tidak mahu negara gah dengan kemodenan berkelas pertama tetapi masyarakat masih mengamalkan gaya hidup berkelas ketiga lantaran ketempangan sikap saling menghormati. Masyarakat Melayu misalnya, perlu menghormati pegangan dan kepercayaan bangsa lain dan begitu juga sebaliknya kerana setiap bangsa mempunyai amalan dan kepercayaan yang tersendiri . Kita tidak boleh bersikap serperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dengan mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain. Di sinilah pentingnya sikap hormatmenghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila hidup di bawah satu bumbung bersama tiga kelompok berbeza adalah suatu perkara yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang enteng kerana setiap perlakuan dan tutur kata perlu dijaga rapi. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan masyarakat amat diperlukan

dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan. Pemimpin perlu bijak dalam memainkan peranan untuk membina rumpunan bangsa Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan dan keharmonian negara. Apakah ikatan dan jalinan ini akan berterusan jika ada rakyat yang tidak tahu menilai perpaduan negara?. Oleh yang demikian, konsep 1 Malaysia yang diketengahkan mampu menyemai sikap saling bekerjasama sesama rakyat. Sekadar mengambil contoh daripada persekitaran sekeliling, rakyat Malaysia mampu menjalankan urusan perniagaan secara perkongsian walaupun berbeza bangsa. Selain itu, jika dinilai dari alam persekolahan, sekolah-sekolah Cina tidak lagi hanya didiami oleh bangsa tersebut semata-mata, malahan anak-anak Melayu dan India turut menuntut di sekolah yang sama. Begitu juga dengan bangsa India, mereka tidak hanya tertumpu kepada sekolah jenis kebangsaan tamil atau SJK(T) sahaja. Di sini jelas menunjukkan bahawa sikap kerjasama tidak hanya wujud dalam golongan profesional sahaja, anak-anak di bawah umur mahupun belia-belia harapan bangsa turut mampu mengamalkan sikap saling bekerjasama antara satu sama lain. Oleh hal yang demikian, konsep 1 Malaysia membantu memepertingkatkan lagi sikap tersebut seterusnya perpaduan negara lebih mudah dicapai. Ketulusan dan keterbukaan sikap rakyat Malaysia hidup dalam kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa sering menjadi buah mulut masyarakat seantero dunia yang kagum dengan perpaduan yang dikecapi. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia. Teras perpaduan yang diterapkan iaitu penerimaan. Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif iaitu dengan menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan dan kadangkala diterima dengan tidak jujur. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa sahaja perkara baik dan mendapat persetujuan secara kesepakatan. Penerimaan semua kaum mendapatkan apa yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Justeru, perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini. Tuntasnya, konsep satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama-sama memajukan negara. Rakyat perlu menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada negara sebagaimana setianya Hang Tuah kepada sultan. Kerajaan khususnya perlu menagih komitmen dan pengertian menyeluruh semua pihak terhadap kepentingan perpaduan negara dan peranan gagasan 1 Malaysia dalam membantu merealisasikan impian dalam membentuk sebuah negara bangsa. Keharmonian negara yang dikecapi dan keamanan menyirup udara segar hasil kemerdekaan perlu dikekalkan supaya keaman dan perpaduan ini tetap berterusan hingga generasi akan datang. Mantan Perdana Menteri Indonesia ada menyatakan, jika ingin melihat generasi pada masa akan datang, lihatlah generasi pada hari ini.

KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM

Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat Merdeka pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.

Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negaranegara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat

memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.

Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.

Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-

Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuhmusuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.

Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.