Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
3 Kesedaran Persekitaran Alam Alam sekitar merupakan hadiah sangat berharga yang dianugerahkan Tuhan kepada manusia dan setiap penduduk dunia mempunyai tanggungjawab terhadap alam sekitar kerana bumi merupakan satu-satunya tempat yang sesuai untuk dihuni oleh manusia. Sejak mencapai kemerdekaan, Malaysia telah menikmati pembangunan sosioekonomi yang memberangsangkan dan kejayaan ini telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Pencapaian ini adalah hasil komitmen dan daya usaha kerajaan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan termasuk pembinaan bandar, infrastruktur dan kemudahan awam. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Namun pembangunan yang tidak mengambil kira ataupun tidak diseimbangkan dengan kemampuan alam sekitar sudah semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan berterusan tidak dapat direalisasikan. Akibatnya bukan hanya generasi ini sahaja yang akan mengalami masalah tetapi generasi masa depan akan menwarisi masalah yang diwujudkan pada masa ini. Oleh itu, timbullah pelbagai isu dan masalah berkenaan kualiti alam sekitar yang semakin merosot. Isu-isu alam sekitar seperti pencemaran air, pencemaran udara, bunyi dan tanah tanih. Selain itu, penebangan hutan yang berleluasa dan pelbagai masalah pencemaran alam sekitar merupakan beberapa isu yang semakin meruncing dan meningkatkan cabaran dalam pengurusan alam sekitar. Isu-isu alam sekitar inilah yang merupakan antara cabarancabaran yang perlu dihadapi dan ditangani oleh kita semua. Memandangkan isu alam sekitar yang semakin meningkat dan meruncing, maka kerajaan perlulah meningkatkan kesedaran persekitaran alam kepada rakyat agar dapat melahirkan individu yang mempunyai tingkah laku yang lebih positif terhadap alam sekitar. Media massa sememangnya telah memainkan peranan penting dalam membentuk nilai, pengetahuan dan kehendak orang ramai dalam pelbagai isu dan
masalah. Di samping
meningkatkan kesedaran orang ramai. Isi kandungan media-media massa seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya dapat mengukur tahap kesedaran alam sekitar dalam kalangan orang ramai. Akhbar di negara kita juga berperanan penting dalam mendidik masyarakat dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan alam sekitar dan pengurusan alam sekitar. Akhbar juga boleh dianggap sebagai saluran pendidikan tidak formal. Melalui siaran-siaran akhbar, pendidikan alam sekitar secara tidak formal ini dapat membantu meningkatkan ilmu dan kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar. Selain media massa yang boleh meningkatkan kesedaran persekitaran alam , malah pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) juga menjalankan kempen alam sekitar bagi memupuk kesedaran penjagaan alam sekitar dalam kalangan rakyat. Antara pertubuhan alam sekitar yang aktif berkempen di Negara ini ialah Jabatan Alam Sekitar, Tabung Alam Malaysia (WWF Malaysia) dan Persatuan Pencinta Alam (MNS). Pelbagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar. Antaranya termasuklah pengisyiharan Minggu Alam Sekitar, Larian Hijau, Hari Hutan Sedunia, Hari Bumi, Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Ozan Sedunia. Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) disambut pada setiap tahun dengan objektif utamanya adalah untuk menyemai dan meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di Negara ini. Sebagai contohnya, pada 17 Disember 2012, majlis sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) 2012 Peringkat Negeri Kelantan telah dianjurkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli supaya dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar. Ruslan Mohamad (bekas pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan) berkata MASM disambut di peringkat kebangsaan dan negeri pada setiap tahun untuk memberi kefahaman dan meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta tanggungjawab orang ramai untuk menjaga alam sekitar.
Untuk meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar kepada masyarakat, pihak yang terlibat harus memainkan peranan. Sebagai contohnya pihak NGO seperti World Wide Fund for Nature (WWF) dan Persatuan Pencinta Alam, bank-bank perdagangan dan beberapa syarikat besar seharusnya menjadi penyumbang dana bagi
menganjurkan aktiviti kesedaran alam sekitar kepada masyarakat. Kebelakangan ini, Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Bintulu (AADK) dengan kerjasama Jawatankuasa CCH (Caring Community House) Assyakirin Bintulu dan Skuad 1 Malaysia telah menganjurkan program Penanaman Sejuta Pokok CCH Assyakirin. objektif program adalah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa usaha mengekalkan kawasan hijau adalah penting untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat.
Aktiviti itu juga untuk memupuk generasi muda berwawasan agar dapat memahami mengenai keseimbangan dari segi pembangunan serta pemeliharaan alam sekitar secara menyeluruh.
Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan perundangan termasuk peraturan-peraturan serta program bagi mengimbangi pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. Antara dasar-dasar ialah Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Perhutanan Negara, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, Dasar Mineral Negara dan Dasar Perubahan Iklim Negara. Manakala undang-undang termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling, Akta Perhutanan Negara dan Akta Perlindungan Hidupan Liar juga dikuatkuasakan. Dasar, perundangan dan garis panduan sedia ada ini memberi panduan kepada semua pihak termasuk agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, sektor industri dan masyarakat bagi memastikan sumber asli negara digunakan secara lestari, di samping memelihara alam sekitar kita.
Justeru, bagi meningkatkan lagi keberkesanan penguatkuasaan, Kerajaan dalam waktu terdekat akan memindah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi
memperkukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran. Namun begitu, kita perlu sedar bahawa penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sahaja tidak
mencukupi untuk membendung semua isu alam sekitar. Setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda, berpendidikan tinggi atau tidak, perlu berganding bahu dan bersatu tenaga untuk memulihara dan melindungi alam sekitar. Kita hidup dalam lingkungan alam sekitar yang sama, menghirup udara yang sama, berkongsi menggunakan sumber asli yang sama. Oleh itu, kita tidak ada tempat selain bumi ini. Jika bumi hancur, maka hancurlah manusia. Maka janganlah kita berpeluk tubuh membiarkan bumi menahan segala pencerobohan alam sekitar. Saya menyeru agar kita sama-sama berganding bahu memikul tanggungjawab menjaga bumi ini. Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar masih kurang walaupun pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan. Bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bersama-sama dengan jabatan-jabatannya menjalankan program dan kempen kesedaran alam sekitar yang melibatkan pelbagai kumpulan sasaran seperti pelajar, guru, masyarakat desa dan bandar, badan bukan kerajaan dan lain-lain. Selain itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah melancarkan Program Rakan Alam Sekitar untuk mempelbagaikan usaha menangani isu alam sekitar. Melalui program ini, pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi diberi peranan untuk menerajui usaha-usaha secara bersepadu dengan anggota masyarakat tempatan termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama dengan agensiagensi kerajaan dalam memulihara alam sekitar. Harapan saya agar semua pihak memainkan peranan yang lebih proaktif agar usaha-usaha penjagaan alam sekitar negara mencapai kejayaan. Mulakanlah dengan mengamalkan kehidupan harian kita berpandukan ciri-ciri kehidupan yang mesra alam seperti mengitar semula, menanam pokok, berkongsi kenderaan serta menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Konklusinya, kesedaran alam sekitar adalah suatu kewajipan bagi memastikan proses pembinaan Negara bangsa tidak membawa kesan yang terlalu serius dari segi alam sekitar yang boleh membawa ancaman kepada penduduk Negara dari segi kesihatan.