Anda di halaman 1dari 8

1.

PERISTIWA ATAU MASALAH YANG DIFOKUSKAN Masalah yang akan saya fokuskan pada minggu ini ialah penulisan karangan murid-murid kelas 4 Anggerik. 2. PERKEMBANGAN PERISTIWA YANG DIFOKUSKAN Masalah ini telah saya perhatikan semasa saya mengajar mereka menulis karangan berkaitan surat kiriman rasmi. Semasa PdP dijalankan, saya telah menerangkan kepada murid-murid tentang cara penulisan karangan jenis ini dengan betul. Malah saya juga telah memberikan format penulisan surat rasmi kepada mereka. Kemudian, saya telah memberi tugas kepada mereka untuk menulis surat tunjuk sebab mereka lambat hadir ke sekolah. Hasil daripada analisis yang dibuat, saya mendapati tahap penguasaan murid dalam penulisan agak lemah. Mereka tidak dapat menulis surat rasmi yang betul walaupun berpandu dengan format yang diberikan. Selain daripada penulisan karangan berformat, murid-murid juga dilihat mengalami masalah dalam menulis ayat berpandukan gambar sama ada gambar bersiri mahupun gambar tunggal. Ayat-ayat yang mereka tulis tidak berkaitan dengan gambar yang diberi. Walaupun telah diberi pendedahan tentang cara untuk menulis ayat berpandukan gambar, terdapat segelintir murid yang masih menghadapi masalah ini. Masalah yang dihadapi oleh murid-murid ini tidak boleh dipandang ringan sahaja kerana kemahiran ini terkandung dalam huraian sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian. Satu usaha perlu dilakukan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid. 3. ANALISIS MASALAH SECARA TERPERINCI a) PUNCA/ MASALAH/SEBAB/PERISTIWA YANG DIFOKUSKAN Antara punca yang mendorong kepada masalah ini ialah muridmurid tidak diberi pendedahan untuk kemahiran ini. Sebelum melakukan PdP, saya ada bertanya kepada murid-murid sama ada mereka pernah diajar atau tidak. Hasil dari maklum balas, saya mendapati mereka telah diajar. Namun apabila mereka diberi latihan, mereka tidak dapat melaksanakan tugasan tersebut.

Selain daripada itu, masalah ini juga berpunca daripada kurangnya membaca sumber-sumber bacaan seperti surat khabar dan bukubuku ilmiah. Melalui pembacaan, kita dapat meningkatkan kemahiran bahasa kita di samping dapat meningkatkan kosa kata yang kita miliki. Malah murid-murid juga dapat menguasai kemahiran berbahasa. Murid-murid juga dapat menjana idea berkaitan dengan isu-isu terkini. Maklumat ini dapat membantu mereka untuk mengolah penulisan mereka. b) KEMUNGKINAN PENYEBAB KEPADA ISU/MASALAH Masalah ini mungkin disebabkan oleh kurang latihan. Pepatah Inggeris ada menyatakan practice makes perfest. Guru-guru yang sering memberikan latihan yang berulang kepada murid dapat membantu murid untuk meningkatkan kemahiran mereka terhadap penulisan tentang sesuatu topik sama ada secara berformat ataupun tidak berformat. Murid akan lebih terdedah dengan bentuk penulisan dan menjadikan mereka lebih mahir dengan karangan tersebut. Latihan yang kurang akan menyebabkan murid-murid lupa cara untuk menjawab soalan-soalan seperti ini. Selain daripada itu, murid-murid sukar untuk menguasai kemahiran ini kerana mereka kurang memberikan tumpuan semasa guru memberikan penerangan di dalam kelas. Semasa saya menjalankan pengajaran, saya mendapati murid-murid tidak memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap penerangan yang diberikan. Mereka bercerita di belakang dan membuat aktiviti lain seperti membuat kerja rumah untuk mata pelajaran lain dan melukis. Kemungkinan ini juga mendorong kepada masalah ini. Seterusnya masalah ini juga mungkin disebabkan oleh murid-murid tidak membuat tugasan yang diberikan. Selepas melaksanakan PdP, saya telah meninggalkan kerja rumah kepada mereka. Kerja rumah ini adalah sebagai pengukuhan kepada mereka. Namun saya mendapati separuh daripada murid-murid tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dan tidak menghantar kerja rumah mereka. Sikap ini

juga menjadi kemungkinan mengapa mereka tidak dapat menguasai kemahiran ini. c) KELEMAHAN ISU/MASALAH Kelemahan dalam kemahiran penulisan karangan akan menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan merkah yang baik dalam kertas penulisan. d) KEKUATAN ISU Umumnya masalah ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan dan manfaat sama ada kepada guru, murid mahupun pihak sekolah. e) MERAMAL KESAN DAN AKIBAT Jika masalah ini dibiarkan berlarutan, murid-murid tidak dapat skor yang baik untuk kertas 2 iaitu penulisan. Seperti mana yang kita tahu, kertas 2 menyumbang markah yang banyak iaitu 60 markah. 4. KAJIAN LAMPAU BERKAITAN ISU Berdasarkan kepada rujukan dalam kajian mengenai keberkesanan Kaedah Koperatif dalam Pengajaran Menulis Karangan Fakta dan Naratif dalam Kalangan Pelajar Bukan Melayu yang ditulis oleh Simah binti Mamat, saya dapat mengenal pasti punca masalah dan juga jenis-jenis karangan. Berikut ialah sebahagian daripada laporan kajian yang ditulis oleh beliau.

Keberkesanan Kaedah Koperatif Dalam Pengajaran Menulis Karangan Fakta Dan Naratif Dalam Kalangan Pelajar Bukan Melayu Latar Belakang Kajian Proses menulis karangan merupakan kemahiran yang paling sukar untuk dikuasai (Nik Safiah Karim, 2004; Abdul Shukor Shaari, 2001) berbanding dengan kemahiran-kemahiran bahasa yang lain dan banyak orang tidak mahir menulis (Ahmad Khair Mohd. Nor, 2005). Kemahiran mengarang juga dikatakan kemahiran tertinggi dalam peringkat kemahiran bahasa dan paling sinonim dengan mata pelajaran Bahasa Melayu (Nawi Ismail, 2002). Oleh yang demikian, proses menulis memerlukan aktiviti pemikiran iaitu pemikiran sebelum menulis karangan, semasa menulis karangan, dan proses pemikiran yang dialami selepas karangan dihasilkan (Suppiah Nachiappan,

2006). Ismail Ahmad (2004) menegaskan bahawa penulisan adalah aktiviti kognitif yang dilakukan oleh orang yang berilmu serta menekankan penyebaran ilmu. Untuk menguasai tujuan tersebut, pengajaran bahasa memerlukan masa dan peluang yang sesuai bagi menjadikan murid penulis terbaik. Dalam penghasilan penulisan karangan, murid-murid mengalami dua proses iaitu proses dalaman dan proses luaran (Siti Zaleha M. Hashim, 2005). Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis seharusnya dilaksanakan dengan berkesan (Roselan Baki, 2003). Penguasaan kemahiran menulis bukan hanya bergantung kepada bakat semata-mata malah dipengaruhi juga oleh pengajaran menulis yang bersistem dan berkesan (Yahya Othman, 2005; Ahmad Khair Mohd. Nor, 2005). Oleh itu, dalam pengajaran kemahiran menulis, penguasaan peringkat asas adalah dimulakan dengan menulis huruf, perkataan, ayat dan akhirnya sebuah wacana yang dapat difahami apabila dibaca (Yahya Othman, 2005). Dalam penghasilan sesebuah penulisan, pengarang juga perlu menyampaikan idea secara jelas, tepat, dan berkesan. Pemilihan kata perlu disesuaikan dengan tujuan karangan sama ada untuk tujuan perbahasan, memujuk, memberi pendapat, atau untuk bercerita. Perkembangan isi dan huraian juga dibuat dalam bentuk perenggan yang mencirikan kesatuan sesebuah karangan. Oleh itu, murid perlu mendapat pendedahan dan mengetahui teknik menulis yang baik semasa di bangku sekolah. Penguasaan kemahiran menulis juga dapat membantu memantapkan penggunaan bahasa yang mengandungi nilai estetika seperti yang terdapat dalam penulisan karangan fakta, naratif, sajak, pantun dan sebagainya. Namun, kegagalan dalam menguasai kemahiran menulis mengakibatkan pelajar sukar hendak menyatakan mesej dalam bentuk tulisan. Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Semakan (2003), menegaskan bahawa tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia (BM) ialah supaya murid dapat menggunakan BM secara berkesan dalam kehidupan harian, bidang pekerjaan dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup. Selain itu, dalam pengajaran bahasa khususnya penulisan, guru juga perlu mempertimbangkan pelbagai gaya pembelajaran, minat dan kecerdasan yang berbeza antara satu sama lain dalam kalangan murid dengan menggunakan strategi berpusatkan murid. Pernyataan Masalah Dalam proses penulisan, masalah yang sering dihadapi oleh seseorang ialah untuk memulakan penulisan. Memulakan penulisan bukanlah sekadar persoalan kebolehan semata-mata atau soal pengetahuan tentang sesuatu kerana pakar yang berpengetahuan dan berkemahiran pun turut menghadapi masalah yang serupa (Flower, 1985 dalam Roselan Baki, 2003).

Kelemahan dalam menulis karangan adalah salah satu punca murid gagal mencapai keputusan yang baik dalam peringkat Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) mahupun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Penguasaan bahasa yang lemah dalam kalangan murid Cina menyebabkan pencapaian mereka dalam bidang akademik rendah kerana mereka tidak dapat menyatakan sesuatu dengan baik dan berkesan melalui tulisan. Penutur bahasa Melayu keturunan Cina adalah yang paling banyak menghadapi masalah gangguan bahasa ibunda dan pengaruh dialek tempatan dalam penguasaan bahasa (Abd. Aziz Abd. Talib, 2000). Hal ini disebabkan struktur bahasa Cina berbeza dengan Bahasa Malaysia. Selain itu, terdapat juga murid yang lemah dan berada pada tahap minimum dalam penulisan. Murid kurang mampu untuk mengarang dengan baik tanpa bantuan guru. Ini berlaku terutamanya bagi karangan berbentuk fakta dan karangan berbentuk naratif. Pemeriksaan terhadap beberapa buah karangan yang ditulis oleh murid dalam ujian di sekolah memperlihatkan bahawa pencapaian dalam penulisan karangan muridmurid tersebut tidak mencapai tahap yang memuaskan. Mereka kekurangan idea untuk menghasilkan karangan. Kemahiran penulisan dalam kalangan murid bukan Melayu kurang memuaskan dari segi ejaan, pemilihan kata (diksi), kosa kata, struktur ayat, jenis ayat dan sebagainya. Kelemahan murid dalam penulisan karangan juga tidak dapat dinafikan dengan kaedah yang digunakan oleh guru semasa mengajar menulis dalam kelas. Kaedah pengajaran yang digunakan dalam kelas menjadi salah satu faktor yang membuatkan murid menjadi pasif dan kurang berinteraksi sesama rakan dalam melakukan tugasan (Roselan Baki, 2003). Cara dan gaya pengajaran guru dalam kelas lebih kepada memberi pendedahan secara menyeluruh tentang sesuatu tajuk dan mengamalkan pendekatan membincangkan isi untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Tambahan pula, suasana dalam kelas lebih berorentasikan peperiksaan iaitu memberi penekanan kepada pencapaian akademik semata-mata. Kebanyakan guru memainkan peranan utama dalam pengajaran kemahiran penulisan khususnya dalam memberikan isi-isi karangan. Muridmurid kurang dilatih untuk meneroka maklumat sendiri melalui pelbagai bahan sumber. Selalunya guru mengawal dari segi isi, bukan berperanan membantu menyaring dan menyusun maklumat yang telah diterokai oleh mereka. Kawalan begini sebenarnya akan mendorong murid terlalu banyak bergantung kepada guru. Keadaan ini seterusnya menyebabkan murid kurang berkemahiran untuk mengarang. Ciri-ciri Karangan yang Bermutu Sesebuah karangan dianggap baik jika memenuhi sekurang-kurangnya 3

aspek dalam penulisan iaitu isi yang cukup, logik, huraian yang tepat, penyusunan yang baik dan gaya bahasa yang menarik (Lembaga Peperiksaan, 2008). Tema haruslah dapat dikembangkan secara teratur dalam perenggan yang bersepadu dan adanya peratutan dengan baik. Gaya bahasa menarik dari segi ayat yang gramatis, berkesan dan pelbagai gaya Dari segi perspektif guru, karangan yang dianggap bermutu mestilah mempunyai ciri-ciri berikut (Abdul Hamid Ahmad, 1998). Antara ciri tersebut ialah isi karangan bertepatan dengan kaedah soalan atau tajuk, isi karangan dihurai dengan tepat dan diberi contoh yang sesuai. Selain itu, idea dijalin mengikut urutan kepentingan dengan menggunakan penanda wacana, pemilihan perkataan mestilah tepat, isi karangan menepati mod wacana penulisan, gaya bahasa menarik dan mempunyai kepelbagaian. Di samping itu, ayat digunakan hendaklah gramatis, berkesan dan tidak ada kesalahan tata bahasa. Unsur peribahasa diselitkan secara berkesan, penggunaan tanda baca yang tepat serta setiap perenggan hanya mempunyai satu isi sahaja. Laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi SPM 2002 (Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003) menggariskan maksud karangan yang cemerlang sebagai karangan yang dapat memberi takrif kepada tajuk dengan baik, menyertakan contoh yangs sesuai, mengemukakan isi lebih daripada tiga dan menghuaraikan serta mengembangkan isi dengan jelas. Isu-isu yang diutarakan dapat dikupas secara matang dan dikaitkan setiap isu dengan keadaan semasa. Ideaidea yang dikemukan pula matang, jelas dan teratur. Dari aspek bahasa pula, karangan ditulis dengan bahasa yang memuaskan, lancar, terdapat kepelbagaian dan keragaman dalam struktur ayat, gramatis dan pemilihan diksi yang sesuai mengikut tajuk yang dibincangkan. Kesalahan bahasa pula kecil dan tidak ketara. Pengolahan, penyampaian dan pemerengganan menarik dan berkesan. Menurut Lembaga Peperiksaan lagi, sesuatu karangan dinilai sebagai sederhana apabila karangan yang dihasilkan agak samar dengan tajuk yang diberi, kurang jelas dan gagal mengemukakan isi yang tepat. Isi dalam karangan kurang dan bercampur aduk, kurang sesuai, kurang berkembang, idea dan contoh yang diberikan kurang matang. Bahasa kurang memuaskan dan kadangkala salah penggunaannya. Kepelbagaian dan keragaman ayatnya juga kurang. Pengolahan kurang menarik dan kurang berkesan. Karangan dinilai sebagai lemah apabila murid gagal menulis mengikut kehendak soalan, memberi takrif yang kurang tepat kepada tajuk, memberi

isi yang tidak jelas, kabur dan tidak berkaitan. Huraian isi kurang, tidak berkembang atau lemah, contoh kurang tepat, bahasa yang digunakan tidak lancer dan banyak melakukan kesalahan tatabahasa sehingga sukar memahamimaksud ayat. Struktur ayat lemah dan tiada keragaman serta kurang daripada 100 patah perkataan. 5. CADANGAN MENGATASI Bagi mengatasi masalah ini, saya akan cuba menggunakan kaedah B2T (Bulat, Tarik dan Tulis). Kaedah ini merupakan kaedah yang telah diperkenalkan oleh saudara Thornlief (PISMP Bahasa Melayu ambilan Januari 2009). Saya mendapati kaedah ini sangat sesuai digunakan untuk mengajar murid dalam penulisan karangan gambar bersiri dan juga tunggal. Selain daripada itu,kaedah ini juga dapat digunakan untuk mengajar murid-murid menjawab soalan bahagian C dalam kertas 2. Selain daripada itu, saya juga akan menggunakan kaedah 5W1H dan peta minda untuk membantu murid menulis karangan. Kaedah ini dapat membantu murid mengeluarkan pendapat dan menyusun idea mereka mengikut prioriti. Kaedah ini pernah digunakan oleh guru bahasa Melayu saya semasa di sekolah rendah dan menengah. Berikut ialah contohpeta minda.

Untuk mendapatkan ilmu

Mencapai cita-cita

Dapat menambah kenalan

Kebaikan ke sekolah

6. TEMPOH MENGATASI MASALAH Bagi mengatasi masalah ini, saya akan menetapkan tempoh untuk membetulkan masalah ini selama 3 minggu. 7. TINDAKAN SUSULAN PERANCANGAN Saya telah melaksanakan keadah B2T kepada murid-murid. Saya mendapati kaedah ini berkesan dan dapat membantu murid-murid untuk menulis karangan bagi gambar tunggal dan juga gambar bersiri. Separuh daripada murid-murid dapat memperoleh markah 10 dalam penulisan ini. 8. REFLEKSI Secara keseluruhan, kemahiran menulis karangan sangat penting dalam semua murid. Kehidupan kita hari ini berhadapan dengan pelbagai bentuk penulisan. Malah kita juga berdepan dengan pelbagai bentuk permohonan setelah kita selesai bersekolah. Penguasaan ilmu yang kurang dalam kemahiran penulisan akan menyebabkan murid-murid terus tercicir. Berpandukan kepada kaedah yang telah dipilih, saya mendapati bahawa kaedah ini dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Selepas melaksanakan pemulihan sebanyak 2 kali, saya dapat melihat perubahan murid-murid dalam penulisan mereka khususnya dalam penulisan karangan gambar bersiri dan juga gambar tunggal. Oleh yang demikian, penggunaan kaedah yang betul dapat membantu meningkatkan dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid.

TANDATANGAN GURU PELATIH .................................... (NOOR AMALINA ABDULLAH)

TANDATANGAN GURU PEMBIMBING ................................... (PN BEDA ANAHONG) (

TANDATANGAN GURU BESAR .............................. )

TANDATANGAN PENSYARAH PEMBIMBING .................................. (EN AGUS YANUL)