Anda di halaman 1dari 3

Antara rasa bersalah dan masa berlengah-lengah

Oleh Coretan Marhaen DIAM tak diam, Syawal - bulan penuh keriangan bagi meraikan kemenangan umat Islam menempuh cabaran sebulan Ramadan, sudah pun berlalu. Di Malaysia, telah menjadi tradisi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, budaya rumah terbuka dianjurkan oleh orang perseorangan, orang politik, orang korporat, persatuan, kelab, pejabat, kejiranan malah apa jua kumpulan rasmi mahupun tidak rasmi. Pendek kata seolah-olah tidak cukup 30 hari Syawal untuk mengadakan rumah terbuka sampaikan ada yang terlajak mengadakan jamuan hari raya sehingga semalam. Ini semua menggambarkan kemewahan rakyat Malaysia yang situasinya sukar ditemui di tempat-tempat lain di dunia. Alhamdulillah. Tulisan penulis minggu ini bagaimanapun tidak ada kena-mengena dengan rumah terbuka. Cuma insiden yang hendak dikongsi kebetulan berlaku ketika penulis dalam perjalanan menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) di Bangunan Sri Utusan di Bangi, Selangor pada Rabu lalu. Sejurus melepasi tol Kajang dan sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat menuju ke Sri Utusan, penulis yang sedang leka membaca tanda arah dalam suasana hujan renyai-renyai dikejutkan dengan bunyi hon kuat kereta di belakang. Di hadapan mata, dua buah motosikal, sebuah daripadanya dengan pembonceng sedang menyamun beg tangan pemandu wanita yang diletakkan di bahagian kaki kerusi penumpang hadapan. Semuanya berlaku sekelip mata dan sepantas kilat. Tahu-tahu, cermin tingkap hadapan sebelah kiri kereta Volkswagen putih itu sudah pecah berderai, dua penunggang motosikal dengan seorang pembonceng sudah menyambar beg tangan wanita malang itu dan meloloskan diri ketika kereta mangsa, kereta penulis dan kereta pemandu belakang serta kereta-kereta lain yang melihat kejadian jenayah itu masih menunggu lampu hijau. Satu lagi kejadian ragut atau samun berlaku di siang hari, di tempat awam. Sehingga kini, penulis tidak pasti adakah pelakunya sudah ditangkap atau masih bebas mencari peluang mengulangi jenayah. Apabila penulis paparkan kejadian tersebut di laman facebook, ramai yang berkongsi pandangan dan pengalaman. Rupa-rupanya ini bukan kejadian pertama berlaku di tempat tersebut malah sudah beberapa kali dengan modus operandi yang sama iaitu menyasarkan pemandu wanita yang memandu berseorangan dan meletakkan beg tangan di kerusi atau ruang kaki sebelah penumpang hadapan. Penulis enggan mengulas soal kecuaian pemandu meletakkan beg di tempat yang mengundang peragut, penyamun dan penyangak sebab sudah banyak kali diperkatakan dan diperingatkan oleh pihak berkuasa. Cuma penulis kurang bersetuju dengan pandangan yang mempersoalkan kenapa anggota polis tidak berkawal di persimpangan lampu isyarat berkenaan. Tidak mungkin anggota polis hendak terpacak di situ sepanjang masa. Lagipun ia tidak menyelesaikan masalah sebaliknya mungkin hanya memindahkan jenayah ke tempat lain atau persimpangan lampu isyarat yang tidak ada anggota polis berkawal.

Penulis ucap syabas kepada komuniti di Bangi yang mewujudkan buletin online mereka sendiri untuk saling memperingat tentang kejadian jenayah yang berlaku. Namun nampaknya usaha itu sahaja belum mencukupi untuk membanteras jenayah berkenaan. Penulis setuju sangat dengan beberapa cadangan bernas antaranya supaya pihak berkuasa tempatan meletakkan papan tanda amaran besar, Awas! Peragut!" sebagai peringatan supaya orang ramai lebih berhati-hati apabila melalui kawasan berkenaan. Jika kawasan hitam yang sering menjadi lokasi kemalangan maut boleh diletakkan tanda amaran, tidak salah rasanya peringatan seumpamanya diletakkan di lokasi-lokasi yang menjadi sasaran penjenayah termasuk persimpangan lampu isyarat berkenaan. Dosa Kalau belum ada kamera litar tertutup (CCTV) pula, eloklah dipasang. Hakikat yang kejadian ragut dan samun itu sudah beberapa kali berlaku di tempat sama dan kawasan itu menjadi hot spot, bermakna belum ada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa sehingga kini. Justeru meletakkan papan tanda amaran dan CCTV adalah langkah yang sewajarnya diambil untuk membanteras jenayah berkenaan. Lagipun mencegah lebih baik daripada mengubat. Kepada tiga anak muda yang meragut dan menyamun beg tangan mangsa tanpa rasa bersalah pada Rabu lalu, penulis tertanya-tanya masih adakah ubat untuk mereka? Hakikat yang mereka berusaha menunggang motosikal dalam hujan renyai-renyai, mengekori kereta mangsa, memecahkan cermin tingkap kereta, merampas beg tangan dan meloloskan diri di celah-celah kereta lain pada siang-siang buta, menunjukkan yang mereka ini tak kenal dosa. Penulis tertanya-tanya ke mana mereka selepas mendapat hasil rompakan ? Enjoy atau joli dengan makan mewah atau beli barang terlarang bagi melepas gian? Jika mereka pulang ke rumah dengan membawa hasil rompakan , tidakkah keluarga mereka bertanya atau menyoal atau buat tak kisah? Bagaimana dengan jiran tetangga dan pemimpin setempat? Adakah yang ambil tahu atau terlalu sibuk untuk ambil kisah? Jumaat lalu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang merupakan dokumen rasmi signifikan untuk pembangunan negara bagi melahirkan pelajar berpengetahuan dan mempunyai kemahiran bertaraf global, bersahsiah terpuji serta berkeperibadian tinggi. Penulis yakin anjakan bestari sistem pendidikan yang disasarkan itu mampu dicapai dalam tempoh 12 tahun yang dirancang. Penulis yakin sangat akan kemampuan anak-anak kita golongan pelajar untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar dari negara lain, dalam mencipta kecemerlangan. Cuma penulis berharap penekanan terhadap kemahiran yang turut termaktub di dalam dokumen tersebut akan juga mengambil kira perancangan bagi golongan pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik. Berilah mereka ruang untuk mengasah kemahiran dalam bidang yang diminati dan berpotensi untuk menjadi punca pendapatan. Dalam pada itu, penulis percaya kerajaan juga pasti sedang merancang pelan pembangunan untuk belia dan golongan muda lepasan sekolah termasuk aktiviti yang boleh diceburi mereka pada masa lapang, agar tidak terbuang dengan aktiviti tidak berfaedah atau yang menjerumus mereka ke lembah yang memudaratkan.

Program Satu Murid Satu Sukan mungkin boleh dikembangkan menjadi Satu Belia Satu Sukan atau Satu Komuniti Satu Sukan dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dengan bersukan dalam kalangan masyarakat. Baru-baru ini kita marah apabila pasukan sepak takraw kita tewas kepada pasukan Korea Selatan dalam kejohanan anjuran Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di India. Kita persoalkan macam mana regu kita boleh tewas kepada regu Korea Selatan itu sedangkan kita yang mula-mula kenal sepak takraw. Kita bernostalgia dengan kegemilangan silam sedangkan orang lain sudah lebih maju ke hadapan. Bagi peminat K-Pop macam penulis memang tahu yang regu Korea Selatan itu bukan calang-calang. Mereka pernah muncul dalam program realiti televisyen Cool Kidz on the Block terbitan SBS dan menunjukkan kehebatan membuat servis, melibas dan merejam bola dengan bulu tangkis. Sebenarnya mereka berlatih menggunakan bulu tangkis untuk mencapai ketepatan. Tidak ada masalah untuk regu sepak takraw mereka mengangkat bulu tangkis hasil smash pasukan badminton. Difahamkan sukan tersebut sudah semakin popular di negara itu. Sedangkan di negara kita, semakin ramai kalangan anak muda yang tidak lagi mengenal permainan sepak takraw apatah lagi mencubanya. Memetik kata-kata Benjamin Franklin: You may delay, but time will not." Masa akan tetap berlalu walaupun kita berlengah-lengah. Masa untuk mengimbau kegemilangan silam sudah lepas. Sekarang adalah masa untuk merangka pelan bagi mengejar orang lain yang sudah jauh meninggalkan kita. Penulis percaya ianya masih belum terlambat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130908/re_09/Antara-rasa-bersalah-dan-masaberlengah-lengah#ixzz2emlKQ29E Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai