Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN Puan Salmah binti Mohd Yassin (Pengetua Cemerlang SMK Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor)

Majlis Ambang Merdeka Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Kali ke-56

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia Yang dihormati saudara/i pengerusi majlis, Yang Berusaha Tuan Haji Ishak bin Itam. Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik, Yang Berusaha Puan Zariah binti Kasdi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Yang Berusaha Encik Zulkifli bin Kamaruddin Penolong Kanan Kokurikulum, Yang Berusaha Pn. Masidah bt Jamhari Penolong Kanan Tingkatan Enam, Ketua-ketua Bidang, Guru-guru Cemerlang, Guru-guru serta anak-anak didik SMKSAA yang dikasihi.

Terlebih dahulu marilah kita mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana telah memberi keizinan kepada kita untuk berhimpun pada hari ini bagi menjayakan Majlis Ambang Merdeka, SMK Sultan Abdul Aziz sempena sambutan bulan kemerdekaan buat kali ke-56 pada tahun ini. Hadirin dan Hadirat yang Dihormati, Tema Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku diambil sempena kemerdekaan kali ke 56 pada tahun ini. Tema ini lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan patriotik dan kesatuan negara bangsa. Kita sebagai rakyat

Malaysia haruslah memahami konsep kepentingan bersatu mempertahankan negara di samping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara. Selain itu juga konsep sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini lebih menjurus kepada perpaduan, patriotik, kedaulatan, dan keselamatan negara. Masa depan Negara sememangnya ditentukan oleh perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan bukannya kuasa asing. Perpaduan antara kaum tidak mungkin tercapai dari perspektif dan kepentingan sesuatu kaum tertentu kerana setiap kaum sememangnya mempunyai peranan masing-masing dalam usaha membentuk bangsa Malaysia bersatu.

Hadirin sekalian, Setelah 56 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembanggunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdekaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil. Para pelajar sekalian, Sebagai generasi muda, para pelajar juga perlu insaf bahawa dalam ledakan era globalisasi ini, mereka perlu mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi cabaran yang membabitkan penjajahan minda oleh pengaruh asing. Semua pelajar perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik. Negara Malaysia tidak akan terbina tanpa adanya pengorbanan, rasa syukur dan perasaan berterima kasih rakyat daripada pemimpin dan rakyat.

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan Majlis Ambang Merdeka, SMK Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor pada hari ini. Sekian Terima Kasih.