Anda di halaman 1dari 1

Petua memelihara ikan hiasan

Judul: Penyediaan dan Penjagaan Akuarium Tropika Penulis: Nazila Sham Penerbit: Green Zone Aquatic Supply Harga: RM20

MEMELIHARA ikan hiasan di dalam akuarium merupakan hobi yang semakin mendapat perhatian dan bilangan peminat juga telah meningkat. Namun sering kali pemelihara ikan hiasan merungut mengenai masalah penjagaan akuarium. Buku ini mengandungi panduan asas penyediaan dan penjagaan akuarium tropika yang dijelaskan secara terperinci. Penyediaan akuarium bermula dengan memilih reka bentuk dan lokasi yang bersesuaian. Tujuh jenis sistem penapisan berserta gambar rajah dihuraikan dengan jelas merangkumi kesesuaian, penggunaan dan cara ia berfungsi. Bahan hiasan yang bersesuaian dengan jenis ikan hiasan yang akan dipelihara seperti pasir, batu, kayu dan tumbuhan akuatik hidup turut dibincangkan di dalam buku ini. Langkah-langkah penyediaan akuarium diterangkan dengan jelas bersama gambar rajah untuk kefahaman pembaca dan seterusnya memudahkan pembaca mempraktikkannya. Petua penjagaan akuarium seperti penjagaan ikan hiasan dan tumbuhan akuatik, amalan pemakanan yang sihat dan pembajaan tumbuhan akuatik turut dijelaskan. Untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada peminat hobi ini, diterangkan juga prinsip memilih ikan dengan memerhati anggota badan ikan hiasan seperti cara anggota badan bekerja, jenis makanan dan tabiat kehidupan ikan. Buku ini adalah pengalaman penulis yang sudah berkecimpung dalam perniagaan ikan hiasan sejak lebih sepuluh tahun. Semua idea berdasarkan pengalaman dan perkongsian idea dengan peminat hobi yang lain. Penerangan, petua dan langkah penyediaan dan penjagaan akuarium adalah bersesuaian dengan keadaan dan cuaca di negara kita. - NOOR AZILA ABDUL RAZAL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1012&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2X69 GaEzD