Anda di halaman 1dari 2

Kemajuan sains dan teknologi merupakan satu anjakan dalam kemodenan dunia hari ini.

Penggunaan bioteknologi sebagai alat pemacu kemajuan dapat membangunkan negara. Dengan adanya kemajuan dalam bidang bioteknologi, sektor pertanian negara mampu memberikan natijah yang baik dengan meningkatkan pengeluaran hasil dan mutu makanan. Bidang pertanian dijangka menjadi enjin penjana ekonomi di bawah Rancangan Malaysia ke Sembilan yang menjadi teras penting dalam meneroka pembangunan bioteknologi di Malaysia. Menerusi teknologi seperti kejuruteraan genetik, negara akan memperolehi hasil tanaman yang tinggi dan nilai pemakanan yang baik. Ruang lingkup bioteknologi yang luas ini menyaksikan wujudnya perkembangan terkini termasuklah makanan ubahsuai genetik (GMF). Pengasingan gen daripada satu organisma dan memindahkannya kepada organisma lain akan menghasilkan makanan ubahsuai genetik (GMF) yang menyebabkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian atau makanan ditingkatkan. Namun yang menjadi kebimbangan ramai pihak sekarang adalah berkenaan isu halal dan keselamatan GMF tersebut. Adakah ia mempunyai kesan sampingan sama ada kepada kesihatan, alam sekitar, keselamatan dan agama? Oleh itu, kita perlu menimbal balik hal ini dari pandangan Islam yang menjadi pegangan kita. Kajian mengenai GMF ini terus berjalan dan kesinambungannya akan menampakkan hasil kepada kita sama ada baik atau buruk. Islam telah menggariskan kepada kita dua ciri utama yang perlu kita nilai dalam memilih makanan iaitu halal dan baik (halalan tayyiban) sepertimana yang telah disebut oleh al- Quran dalam Surah Al Baqarah ayat 168. Umat Islam perlu peka dalam konsep halalan tayyiban dalam memilih makanan. Ini kerana makanan, merupakan unsur yang penting dalam mempengaruhi kesihatan dan pertumbuhan diri manusia. Hakikatnya, agama Islam amat mengambil berat tentang kebersihan dan kesucian terutama perkaraperkara yang berhubung dengan pembentukan jasmani dan rohani. Intipati daripada konsep halalan tayyiban tersebut adalah untuk menjamin kebaikan makanan yang diambil di samping memelihara kesihatan manusia. Dalam ertikata lain, umat Islam perlu memastikan makanan yang diambil adalah halal. Setelah dipastikan ia halal, maka hendaklah dipastikan pula makanan tersebut baik dan selamat. Bertepatan dengan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam at- Tabarani, "Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak baginya". Oleh kerana itu, perkara halal dan keselamatan sesuatu makanan menjadi keutamaan masyarakat kita pada hari ini. Makanan yang halal adalah selamat untuk dimakan tetapi makanan yang selamat tidak semestinya halal. Oleh itu, dalam rangka GMF, selagimana punca atau sumber yang menghasilkan sesuatu makanan itu halal, ia adalah selamat untuk dimakan. Pandangan Islam mengenai GMF ini perlu dilandaskan dengan beberapa perkara di mana Islam menekankan soal halal dan haram sesuatu jenis makanan adalah secara jelas dan turut menekankan soal "tayyib" iaitu kebaikan makanan yang dimakan. Dalam kita membahaskan berkenaan dengan GMF ini, sekalipun makanan tersebut adalah daripada sumber gen haiwan yang halal dimakan dalam Islam, tetapi jika ia diketahui mempunyai kesan sampingan, mengundang kemudaratan kepada kesihatan manusia, maka ia perlu dielakkan. Ia merupakan pendekatan maqasid syariah yang menekankan perlindungan terhadap agama, nyawa, akal, zuriat dan harta benda. Jika GMF itu ternyata membawa bahaya kepada perkara- perkara tersebut, maka sudah pasti ia tidak wajar dimakan. Dekan Universiti Filipina, Institut Pengajian Islam, Dr Carmen Abu Bakar menyatakan bioteknologi ataupun makanan ubahsuai genetik adalah harus bagi setiap orang Islam selagi pemprosesan setiap barang keluaran dilabelkan sebagai "bebas daripada elemen bahaya". Di sini telah nampak satu keperluan bagi umat Islam tentang pelabelan sesuatu GMF sama ada ia mengandungi unsur yang mudarat atau sebaliknya. Keperluan pelabelan GMF ini penting sepertimana keperluan dilabelkan halal seperti yang telah diamalkan di negara kita sekarang. Ia mempamerkan suatu perubahan dalam kehidupan kita sebagai pengguna kerana selain kita mementingkan dari sudut halal, kepentingan dari segi kebaikan dan kesan sampingan sesuatu makanan juga tidak diabaikan. Persidangan Islam yang diadakan di Rabat, Morocco di mana Islamic Academy of Science menyatakan selagi GMF ini adalah bermutu baik, tiada risiko kepada manusia dan alam sekitar, umat Islam boleh menggunakannya. Oleh itu, kita sebagai umat Islam perlu peka dan selagi kita berpegang kepada konsep halalan tayyiban, kita dapat menilai dan memilih sendiri apakah sesuatu makanan itu halal dan selamat untuk dimakan. Yang menjadi persoalan sekarang, masih belum ada lagi pelabelan makanan

yang menyatakan sesuatu makanan itu mengandungi unsur pengubahsuaian genetik ataupun tidak. Dalam isu perbincangan makanan ubahsuai genetik ini, satu perkara yang kita tidak boleh pandang enteng ialah persoalan mengenai wujud atau tidak keperluan untuk mengubahsuai genetik semua benda dalam keadaan hidup kita sekarang. Adakah perlu kita mengubah semua benda dengan sewenang- wenangnya tanpa ada suatu kepentingan? Allah telah mengingatkan kepada manusia supaya tidak membuat kerosakan di muka bumi. Jika diketahui bahawa kaedah mengubahsuai genetik ini membawa kerosakan kepada alam sekitar, maka sudah pastilah Islam tidak mengharuskan kaedah ini digunakan. Ia sebenarnya bergantung kepada keadaan semasa. Hanya di dalam keadaan tertentu sahaja kita boleh gunakan kaedah tersebut iaitu apabila timbul keadaan yang memerlukan contohnya kes di negara yang rakyatnya kekurangan sesuatu vitamin. Oleh itu, apabila adanya GMF, makanan tersebut diperkaya dengan vitamin tersebut dan ini boleh mengatasi masalah yang dihadapi oleh negara tersebut. Umar Anggara Jenie (2006) dalam kertas kerjanya yang bertajuk "Agrobiotechnological in The Context of Bioethics- Islamic Perspective" menyatakan penggunaan teknologi untuk tujuan bermanfaat seperti makanan, perubatan, kesihatan dan pertanian dan lain- lain dibolehkan di dalam Islam. Oleh itu, dalam ruang lingkup GMF, selagi ia dibenarkan menurut konsep syariah dan masih berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan dalam ajaran Islam serta tidak mendatangkan apa-apa keburukan dan kemudaratan, kita boleh menggunakan makanan tersebut. Kesedaran tentang GMF di negara kita masih lagi di takuk tidak memberangsangkan. Oleh itu, perlu diambil beberapa langkah bagi meningkat kesedaran orang ramai tentang GMF ini. Ini termasuklah memaklumkan kepada orang ramai tentang GMF dan kesan- kesannya kepada kesihatan. Kerjasama yang sepadu daripada pelbagai agensi kerajaan diperlukan agar fakta yang tepat dan menyeluruh dapat disampaikan kepada masyarakat awam agar kekeliruan dapat dielakkan. Penyelidikan yang berterusan dari institusi penyelidikan amatlah dialu- alukan agar kajian boleh dilakukan untuk memantau kesan sampingan yang wujud disebabkan oleh GMF ini. Dan yang paling penting perlu ada pemuafakatan antara ulama dan saintis mengenai GMF ini agar dapat memperhalusi sama ada teknologi ubahsuai genetik ini diharuskan dalam Islam atau sebaliknya dengan mengambil kira pandangan pakar- pakar sains dari segi prosedur, teknikal, perubatan dan kesihatan berkenaan isu tersebut. Hakikatnya, umat Islam perlu peka dalam hal ini dan perlu mendepani dalam meneroka bidang ilmu yang semakin berkembang kini terutamanya bioteknologi agar kita mampu bersedia menghadapi cabaran dan dapat mempertahankan diri daripada serangan- serangan berbentuk baru kerana bioteknologi boleh dijadikan senjata oleh musuh Islam dalam memerangi umat Islam itu sendiri. Oleh itu, menjadi kewajipan kita mengikuti perkembangan ilmu terkini agar diri kita menjadi kian mantap dan menguasai pelbagai cabang ilmu.

Anda mungkin juga menyukai