Anda di halaman 1dari 3

TASBIHKU

Bismillah. Ya Allah. Kau tenangkan lah hati ku ini. Sungguh aku tiada upaya melainkan dengan bantuan Mu. Sungguh hati kecil ku gusar dan risau ya Allah andai kau tarik nikmat di Jalan Cahaya. Kekalkanlah aku di dalamnya, Ya Rabbi. Ku raup perlahan wajahku. Ku tekap wajahku sambil ku hirup nafas dalam-dalam. Lalu ku hembuskan nafas yang telah berlegar sekonyong-konyong dalam dadaku.Alhamdulillah. Berkurang sedikit rasa kurang selesa di dada. Aku melihat di luar jendela. Jendela bilik yang menghubung ke dunia. Indah. Sungguh indah. Langit malam dihias bintang-bintang. Berkerlip bersungguh-sungguh. Memancar dan terus memancar sehingga habis hidrogen yang dipendam dalam zarah mereka. Mereka, walaupun hanya bintang, berusaha sedaya upaya menunjukkan mereka merupakan sebahagian daripada sejarah semesta. Dan mereka melakar bukti kewujudan mereka dengan tasbih yang takkan mungkin aku faham. Tasbih memuji Pencipta mereka. Tasbih ku pula? Tertunduk pandangan ku. Rasa malu menghinggap diri. Aku terlihat sekumpulan manusia. Berjalan pada ragam yang tidak menentu. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Kemudian berpusing ke belakang pula. Melompat terkinja-kinja lalu terjelepok ke tar jalanan. Ketawa. Menjerit. Ketawa kembali. Hilai ketawa bergema pada jalanan Western Road. Aku cuma terpaku memerhati. Tidak tahu apa yang harus buat. Ingin ku marah, tapi ini bukan Malaysia. Ini adalah Ireland; atau sebagaimana yang aku sering gelar sebagai Negara Tanah Ire. Berbeza budaya. Berbeza rukun hidup. Berbeza paksi teras atau central tenet dalam kehidupan kami. Apa yang aku mampu cuma memerhati. Kelakar bukan? Aku adalah pelakon dalam layar kehidupan. Mereka juga sama. Tapi hidup kami seolah tiada kaitan. Seolah tiada titik temu dalam persoalan matlamat hidup mahupun akhlak diri. Aku beristighfar. Mohon aku dijauhkan dari hedonisme yang baru sahaja aku perhatikan tadi. Lantas fikiran aku kembali melayang ke sebuah perbualan maya dengan seorang rakan seberang. Rakan di tanah yang sama; tanah UK Eire! Clubbing fee 4-5 euro je . Dengan selamba dia menjawab pertanyaanku di medan maya Muka Buku. Eh dia ni. Lain yang aku tanya lain yang dia jawab. Rasa risau menjalar dalam hatiku. Apa dia mengerti apa yang dia bicarakan ini? Kalau sekadar gurauan aku tidak endah. Tapi aku merasakan seolah-olah kenyataannya itu bukan gurauan. Bahkan, satu jemputan! Haha. Ambik course apa kat sana?. Aku menaip kembali papan kekunci. Membalas mesej di Muka Buku. Sengaja aku buka topik baru. Aku enggan berlegar lama dalam topik itu. Takut aku menzalimi dia secara tidak sengaja dalam perbualan kami, kalau-kalau aku bercakap perkara yang mungkin menyakiti hatinya.

Ya. Dia adalah punca kepada rasa kurang tenteramku pada hari ini. Mengapa? Kenapa?Bagaimana? Allah lebih tahu. Dia memberikan rasa hati ini kerana Dia ingin membuka pintu hikmah. Pintu kepada ilmu yang tidak terjangkau pada manusia. Dan segalanya bertitik tolak kepada rasa hati. Hati yang mampu menguasai minda. Hati yang mampu menggerakkan kudrat. Hati yang mampu merobah lanskap perilaku. Kalaupun manusia punya akal tapi tiada hati, maka dunia ini akan menjadi sungguh bosan. Tiada orang akan menangis, tiada orang akan ketawa, tiada orang yang akan geram atau tiada orang yang akan berasa sedih. Namun persoalan yang lebih penting adalah ke mana harus rasa hati ini ditala? Ke manakah hala tujunya? Masih segar dalam ingatanku sharing dari abang Faiq. Tak guna ada hati! Tegas Abang Faiq. Tak guna ada hati kalau kita tak gunakan hati untuk memahami ayat Allah. Dan kita semua jelas, bahawa memahami dengan hati membuahkan amal. Kita menzahirkan kefahaman pada kehidupan harian kita. Dan kini kita lebih faham, bahawa hati adalah penggerak paling utama dalam diri; bak kata Rasulullah, hati ini penentu kepada baik atau buruknya diri kita , dengan bersungguh-sungguh dia menyambung ayatnya sebelum itu. Aku faham kini. Rasa hatiku yang gundah gelana adalah kerana aku faham di hadapanku terdapat manusia yang sedang dilanda masalah kronik. Mereka sedang menderita kesakitan namun mereka menyangka mereka di puncak kehidupan. Mereka tersenyum sambil menunjukkan iman rongak,takwa rapuh dan akidah yang retak pada dada. Ya, mereka merupakan manusia yang sedang ditipu dan tertipu! Tertipu dengan apa?? Tertipu dengan permainan duniawi. Hasilnya, sebuah umat keliru sedang dibikin tanpa henti. Saban tahun dihasilkan tanpa jemu. Allah. Kefahamanku sedang diuji kini. Apa yang harus aku lakukan untuk membantu saudara seagamaku ? Kami lahir dari rahim keimanan yang sama, namun dia umpama tersesat dari jalan Cahaya. Jalan Cahaya ini sarat dengan kehangatan kasih sayang dan kemesraan petunjuk dari Tuhan. Tetapi aku melihat rakan ku menutup matanya kerana silauan Jalan Cahaya ini. Lalu dalam keadaannya itu, dia tanpa ragu terus menyambut sapaan licik yang mengasyikkan dari denai-denai kegelapan. Allah. Pandulah aku pada jalan-Mu ini. Hidupkan dan segar bugarkanlah islam dalam hatiku, agar islam di sekelilingku juga akan bangkit bersama. Kuatkan lah aku dengan kekuatan para nabi. Lengkapkanlah aku dengan kesabaran para rasul. Bimbinglah aku dengan Al-Quran dan Al-hadis. Kerana sesungguhnya aku sangat memerlukan semua ini. Aku sangat memerlukan semua ini untuk menghidupkan kembali hati manusia. Aku akan tuai, siram dan tanam di hati mereka dengan pohon-pohon keimanan. Dan pada masa pohon itu sudah teguh, kekeliruan mereka akan lenyap. Tiada lagi saat-saat yang membingungkan. Yang ada, hanya rasa tenang yang mendamaikan mereka. Kemudian, pohon-pohon itu akan membuahkan amal yang berterusan, yang kemudiannya akan menghasilkan dan membikin

pohon-pohon yang baru. Lingkaran ini akan berterusan dan terus sehingga ke penghujung waktu yang ditetap Allah Azza wa Jalla. Aku sudah pasti tiada waktu itu. Kewujudan ku sudah semestinya takkan diingati. Aku hanya setitik kecil dalam sejarah peradaban manusia. Namun bukti kewujudan ku terlakar dalam setiap pohon-pohon yang dibina. Aku yakin ini adalah bukti kukuh kewujudanku di alam semesta ini. Aku pernah wujud, dan kewujudanku hanya untuk Dia. Mengagungkan nama-Nya dalam setiap hati manusia. Dengan serta merta, aku bingkas bangun dan terus bersiap. Ribuan manusia sedang menungguku di luar sana. Kekeliruan mereka perlu diubati. Dan siapa lagi untuk mengubatinya melainkan mereka yang mengerti keindahan di Jalan Cahaya?? Ya. Inilah jihadku. Inilah bukti kefahamanku akan Jalan Cahaya. Aku melangkah keluar dari bilik dengan langkah yang pasti. Saudara-saudaraku memerlukan aku sekarang. Mereka dalam keadaan yang genting. Rasa cemas dan urgensi membuak di dada. Aku toleh ke langit dan memandang langit malam. Indah. Sungguh indah. Para bintang dengan tasbihnya. Dalam hatiku berkumandang jeritan yang sangat kuat sehingga bergema; Wahai para bintang! Saksikanlah bahawa ini adalah tasbihku pada Tuhan! Dengan bekal keimanan. Tanpa rasa ragu. Aku mengorak langkah untuk memacu perubahan manusia.

Anda mungkin juga menyukai