Anda di halaman 1dari 4

BAB I

PENDAHULUAN

1.1

PENGENALAN

Semenjak tiga dekad yang lalu, Malaysia telah bergantung kepada buruh asing sama ada yang masuk secara sah ataupun tidak sah (Azizah Kassim 2001: 113). Jika dilihat sejak zaman British lagi, kemasukan buruh asing telah menjadi satu kemestian untuk memberikan hasil bumi Tanah Melayu kepada British. Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam (2008), pada tahun 2006 jumlah pekerja asing di Malaysia ialah seramai 1.9 juta orang. Mereka datang dari 22 buah negara. Lima negara penyumbang utama buruh asing ialah Indonesia seramai 1.2 juta orang, Nepal, India, Vietnam dan Bangladesh (New Straits Times. 2006. 25 September). Manakala mengikut Unjuran Jam Populasi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2008), seorang migran akan masuk ke Malaysia setiap 5 minit dan 15 saat. Hal ini bermakna secara purata, hampir 12 orang migran masuk ke Malaysia dalam masa satu jam. Tidak dinafikan bahawa pekerja asing memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masa kini. Walau bagaimanapun, terdapat kesan dari segi sosial yang wujud dengan kehadiran pekerja asing. Kewujudan mereka sering dikaitkan dengan peningkatan masalah sosial (Rudnick 1996: 41). Manakala media massa pula seringkali mengaitkan pertambahan kadar jenayah di Malaysia yang dipengaruhi oleh peningkatan bilangan pekerja asing di Malaysia (New Straits Times 1993 dalam Rudnick 1996: 41). Walaupun tidak terdapat bukti yang kukuh tentang laporan media tersebut, orang ramai secara umumnya terpengaruh dengan laporan di media massa (Pillai dalam Rudnick 1996: 44).

Selain itu, kehadiran pekerja asing ke Malaysia turut menimbulkan persoalan interaksi, integrasi, dan asimilasi dalam masyarakat Malaysia (Ishak bin Saat 2005: 5). Jika dilihat dalam kawasan Putrajaya, buruh asing rata-ratanya bekerja dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan. Kehadiran pekerja asing kini dilihat sebagai satu ancaman kepada rakyat tempatan, bukan sahaja dari segi perebutan pekerjaan malah juga dari segi kestabilan sosial masyarakat. Latar belakang hidup yang berbeza akan mengundang ketidakselesaan rakyat tempatan. Justeru hal ini boleh mengundang pelbagai masalah dari segi sosial dan budaya. Hal ini kerana pekerja asing banyak terlibat dalam sektor perkhidmatan seperti bekerja sebagai pembantu kedai, pelayan restoran, pengawal keselamatan dan atendan pam minyak. Penerimaan atau kurang penerimaan pekerja tempatan terhadap pekerja asing dilihat misalnya dalam bidang pekerjaan dan interaksi sosial seharian. Terdapat pekerja tempatan yang menerima kehadiran pekerja asing terutamanya dari segi pekerjaan. Hal ini kerana pekerja asing sanggup mengisi ruang-ruang pekerjaan yang tidak mahu diisi oleh pekerja tempatan. Contohnya pekerja asing sanggup melakukan pekerjaan yang bersifat kotor, berbahaya dan berat seperti bekerja sebagai buruh binaan, tukang kebun dan pencuci. Justeru kehadiran pekerja asing bukanlah semata-mata atas dasar keuntungan, sebaliknya pekerja asing turut terlibat dalam pembangunan kawasan setempat. Manakala daripada segi kehidupan sosial seperti pergaulan, keselamatan di tempat tinggal, khidmat yang diberikan oleh pekerja asing dan penggunaan kemudahan awam, sesetengah pekerja tempatan berpendapat pekerja asing turut membawa pengaruh buruk ke dalam masyarakat tempatan. Pekerja asing dikatakan gemar berkelompok, membuat bising dan mereka terlibat dalam masalah jenayah. Hal ini menimbulkan perasaan curiga yang seterusnya membawa kepada kurang penerimaan warga tempatan terhadap pekerja asing.

1.2

PERMASALAHAN KAJIAN

Kebimbangan pekerja tempatan terhadap kadar jenayah yang melibatkan pekerja asing dan cara hidup pekerja asing yang dikatakan berbeza daripada penduduk tempatan memberi kesan terhadap kesanggupan rakyat tempatan menerima kehadiran pekerja asing. Kesannya lahir beberapa stereotaip tertentu yang bersifat positif dan negatif dalam diri masyarakat tempatan hasil daripada interaksi dengan pekerja asing. Pengalaman sosial pekerja tempatan terhadap pekerja asing merupakan isu utama dalam kajian ini. Tumpuan diberikan kepada bentuk reaksi pekerja tempatan terhadap pekerja asing dalam segmen pekerjaan kerana buruh asing turut bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti di restoran dan pusat membeli-belah. Kajian ini menilai reaksi sosial pekerja tempatan terhadap pekerja asing di tempat kerja dan pengalaman mereka apabila bersama atau berinteraksi dengan pekerja asing di kawasan tempat tinggal dan dalam menggunakan kemudahan awam yang terdapat dalam kawasan tempat tinggal. Reaksi sosial pekerja tempatan terhadap pekerja asing boleh bersifat sama ada menerima atau tidak menerima pekerja asing. Persoalannya dalam kajian ini adalah sejauh mana kehadiran pekerja asing di kawasan kajian yang dalam bidang pekerjaan tertentu memerlukan tenaga buruh asing tidak mendatangkan masalah besar bagi pekerja tempatan atau sebaliknya.

1.3

TUJUAN KAJIAN

Kajian ini bertujuan menilai reaksi sosial pekerja Putrajaya terhadap pekerja asing. Reaksi sosial dapat dilihat daripada segi penerimaan mereka, iaitu kesudian, keselesaan dan sikap positif pekerja tempatan terhadap kehadiran pekerja asing. Dengan kata lain, keselesaan dalam pekerjaan, keselesaan menggunakan kemudahan awam dan kesudian untuk menerima khidmat daripada pekerja asing diteliti dalam kajian ini. Berlawanan dengan keadaan menerima, reaksi sosial pekerja tempatan boleh bersifat kurang menerima pekerja asing. Justeru dalam kajian ini perkara-perkara yang mempengaruhi keadaan sedemikian juga dikaji. Misalnya dengan melihat sikap prejudis, streotaip tertentu, dan tindakan mendiskriminasi pekerja asing. Kajian ini juga bertujuan melihat cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat

tempatan dengan kebanjiran pekerja asing di kawasan kajian. Cabaran-cabaran yang

dimaksudkan termasuklah dalam mendapatkan pekerjaan dan dalam menggunakan kemudahan awam.

Anda mungkin juga menyukai