Anda di halaman 1dari 7

Cabaran dan Hala Tuju Pendidikan di Malaysia dalam abad ke 21; Huraian

PENGENALAN Tahun 2000 menandakan titik mula kontinum abad ke 21 yang dianggap sebagai abad yang penuh cabaran dari pelbagai aspek kehidupan khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Ledakan maklumat pada abad ini dimulakan dengan kekhuatiran terhadap pengkucar- kaciran sistem angka dalam komputer akibat virus Y2K. Namun begitu, dengan pelbagai persediaan dan pelan yang telah dirangka pada peringkat global, keraguan tersebut dapat dirungkaikan. Ledakan maklumat ini juga menjadi titik tolak dalam tercetusnya cabaran sosial umat manusia, khususnya rakyat Malaysia. Pelbagai wadah diambil dalam menangani cabaran dalam abad ke 21 di Malaysia dan pendidikan dilihat sebagai wahana paling berkesan kerana medium ini dapat menyentuh sekaligus membantuk anak- anak pewaris bangsa.

ISI Sistem pendidikan di Malaysia telah berevolusi secara dinamik sejak sebelum tanah ini merdeka dan disatukan di bawah nama Malaysia. Dalam konteks nasional, sistem pendidikan telah diberi garis panduan yang merangkumi pelbagai sudut dan didasari dengan satu asas yang sama iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2008), antara cabaran yang akan muncul dalam bidang pendidikan pada abad ke-21 ialah revolusi teknologi maklumat yang akan terus berkembang pesat dengan ledakan ilmu, permasalahan disiplin pelajar dan masalah sosial yang meningkat, pengurusan sekolah yang semakin tercabar, persaingan kemasukan ke IPTA dan IPTS yang semakin sengit yang berasaskan sistem meritrokrasi, perubahan dalam pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran kepada yang terkini, keperluan kepada pendidikan peringkat prasekolah, dan keperluan kepada penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran selaras dengan keperluan peringkat antarabangsa. Revolusi teknologi maklumat sebermula dari tahun 2000 menjadi faktor tunjang dalam ledakan ilmu. Cabaran perdana ini memerlukan keupayaan adaptasi oleh pendidik agar tidak

ketinggalan dalam proses kesinambungan maklumat terkini dan seterusnya menyampaikan maklumat tersebut kepada anak didik agar mampu menghadapi cabaran dalam dunia yang penuh persaingan. Adaptasi di sini bermaksud para pendidik perlulah berkemahiran dalam penggunaan gajet-gajet seperti internet, komputer dan perisian komputer asas. Sistem pendidikan di Malaysia tidak terkecuali dari permasalahan disiplin pelajar. Masalah disiplin seperti vandalisme, merokok dan ponteng memberikan impak negatif kepada guru, pelajar lain, dan pelajar pelaku itu sendiri. Terdapat pelbagai teori yang memberi penjelasan punca salah laku pelajar atau devian. Teori Anomie mengatakan devian beerpunca daripada kekecewaan seseorang mencapai hasrat mereka. Amir Hasan Dawi(2008) yang merujuk kepada Merton (1938) mengatakan mereka yang gagal mencapai matlamat kehidupannya akan mengalami anomie. Apabila anomie berlaku, tindakan devian akan menjadi salah satu pilihan untuk dilakukan. Oleh itu, devian merupakan suatu cara menghadapi kekecewaan. Sebagai contoh, pelajar yang mengalami kekecewaan kerana mendapat markah paling rendah dalam kelas akan cuba meniru semasa peperiksaan. Permasalahan disiplin pelajar juga memberi kesan kepada masyarakat luar sekolah sekiranya pelaku yang sama terlibat dalam kes jenayah seperti samseng, merompak, merogol dan membunuh. Amalan sistem meritrokrasi dalam sistem pendidikan di Malaysia menjadikan persaingan untuk masuk ke Institusi Pengajian Awam, IPTA dan Institusi Pengajian Swasta, IPTS semakin sengit. Meritrokrasi dapat dilihat dengan jelas melalui pengaliran pelajar berasaskan keputusan peperiksaan nasional. Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi kriteria kepada kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah berasrama penuh, sekolah sains, sekolah teknik atau vokasional, mahupun kemasukan ke matrikulasi, tingkatan enam atau pengajian diploma di IPT. Berdasarkan sistem meritrokrasi, hierarki kemasukan pelajar ke IPTA dan IPTS adalah berdasarkan keputusan peperiksaan awam pelajar yang paling baik kemudian menurun dengan penurunan gred pencapaian dalam peperiksaan awam. Oleh itu, untuk menghadapi cabaran ini, pelajar harus berusaha bersungguh- sungguh dalam bidang akademik pada setiap peringkat agar tidak tercicir, seterusnya mensia-siakan potensi yang ada dalam diri mereka yang boleh dikembangkan. Transformasi gaya pengajaran merupakan satu cabaran bagi guru dan juga pelajar. Penambahbaikan dapat dilihat apabila pembelajaran secara konstruktivisme diperkenalkan 2

dalam sistem pendidikan kebangsaan sebagai alternatif kepada amalan pengajaran yang dipengaruhi fahaman behaviorisme. Pembelajaran secara konstruktivisme dilihat sebagai satu pendekatan yang lebih sesuai dalam konteks dunia tanpa sempadan di mana tahap capaian ilmu menghampiri nilai infinit. Dalam proses penyampaian ilmu, pelajar menyesuaikan kemahiran baru yang diterima dengan pengetahuan yang sedia ada. Menurut Nik Azis Nik Pa (1999), konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Ini bermakna bahawa sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut, dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif dari luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada pemikran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih. Oleh itu, persepsi yang beranggapan bahawa pelajar yang datang adalah seperti bekas kosong yang perlu diisi dengan ilmu pengetahuan oleh guru mungkin perlu diubah. Seharusnya pelajar dianggap seperti sebuah kalkulator saintifik yang telah diprogram di mana kawalan input kalkulator berada dalam tangan guru. Selain itu, penyampaian isi pengajaran perlu bersesuaian dengan pengetahuan sedia ada pelajar. Seperti juga kalkultor saintifik, jika nilai satu (1) dibahagi dengan kosong (0) akan menghasilkan analisis math error (kesalahan matematik). Cabaran pendidikan seterusnya adalah keperluan pendidikan pada peringkat prasekolah. Fokus kurikulum yang menekankan pembudayaan pembelajaran secara masteri membantu pelajar pada peringkat kanak- kanak dalam proses sosialisasi mereka. Teori perkembangan kendiri Erikson menyatakan bahawa peringkat umur ini merupakan peringkat di mana proses pembentukan sifat kanak-kanak terbentuk. Kanak-kanak bertindak mengikut kehendak diri mereka. Oleh itu, didikan dan dorongan yang betul diberi penekanan pada peringkat ini agar pelajar dapat konsisten dalam meneroka dan mencuba, seterusnya menyedari keupayaan dan potensi diri mereka. Penggunaan bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran, P&P mendapat reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dilihat sebagai satu cabaran besar apabila kedudukan pelajar Malaysia telah jatuh bagi kedua-dua subjek tersebut. Laporan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) 2007 menunjukkan pencapaian murid Malaysia merosot dari tempat ke 10 pada tahun 3

2003 ke 20 bagi mata pelajaran Matematik dan bagi mata pelajaran sains dari tempat ke 20 pada tahun 2003 ke 21 pada tahun 2007. Setelah mengambil kira pelbagai kekangan yang timbul akibat PPSMI, Kementerian Pelajaran Malaysia kemudiannya memperkenalkan program Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris, MBMMBI. Perlaksanaan MBMMBI sebagai menggantikan PPSMI adalah rasional kepada beberapa faktor seperti kurangnya tenaga pengajar yang mampu menyampaikan isi pengajaran dalam bahasa Inggeris, jurang perbezaan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar dan pelajar di bandar serta lain- lain faktor. Pemansuhan PPMSI secara soft- landing diharap dapat mencapai objektif untuk menjadikan pelajar di Malaysia fasih berbahasa Inggeris dan dalam masa yang sama pelajar dapat menguasai mata pelajaran sains dan matematik secara menyeluruh tanpa kekangan. Cabaran- cabaran yang telah dihuraikan adalah antara cabaran umum yang dihadapi oleh sistem pendidikan di negara kita dewasa ini. Untuk menghadapi cabaran tersebut, pelbagai usaha serta perangkaan pelan- pelan berfokus kepada pendidikan telah dilakukan. Pendidikan dilihat sebagai medium terbaik dalam hala tuju negara kita untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia menjelang 2020. Abu Bakar Nordin (1994), melihat hala tuju pendidikan akan datang yang perlu bersifat fungsional dan berorientasikan pembinaan masyarakat. Adalah penting mewujudkan masyarakat ilmuan yang bermatlamatkan untuk mengetahui alam semesta dan segala keajaibannya. Pembangunan yang dikehendaki harus tidak meniru sepenuhnya model barat yang melupakan aspek- aspek kemanusiaan. Amir Hasan Dawi (2002) menyatakan pendidikan adalah untuk masyarakat. Justeru fungsi utama pendidikan ialah untuk menjadikan masyarakat berilmu pengetahuan. Kepentingan warganegara yang berpengetahuan kepada negara dapat dilihat dalam cabaran ke- enam Wawasan 2020 iaitu untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Kearah mencapai sembilan cabaran yang digariskan dalam Wawasan 2020, penekanan diberikan dalam pembangunan modal insan. Rancangan Malaysia ke-9 dari tahun 2006 hingga tahun 2010 menetapkan tujuan pendidikan sebagai melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama dan bertaraf dunia. Bagi tujuan ini, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 4

2006- 2010, PIPP 2006- 2010 diperkenalkan berdasarkan enam teras strategik. Enam aspek utama dalam enam teras strategik tersebut adalah membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasa sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion perguruan serta melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Penambahbaikan melalui PIPP bukan sahaja memberi penekanan kepada kumpulan pelajar, malahan pemartabatan profesion perguruan dapat dilaksanakan melalui program seperti Program Pensiswazahan Guru, PPG. Sebagai salah satu daripada enam bidang keberhasilan utama negara (NKRA), bidang pendidikan sekali lagi diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia ke- 10. Dalam usaha membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia, transformasi pendidikan sekali lagi dilakukan. Dalam RMK10 (2011- 2015), kerajaan akan mengguna pakai rangka kerja pembangunan modal insan yang bersepadu. Rangka kerja ini akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat di sepanjang kitar hayat, bermula daripada pendidikan awal kanakkanak, pendidikan asas, pendidikan tertiari sehingga ke alam pekerjaan dengan melaksanakan strategi berikut; Merombak sistem pendidikan untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan signifikan, meningkatkan kemahiran rakyat untuk meluaskan kebolehpasaran, dan menyusun semula pasaran pekerjaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Antara strategi rombakan yang dperkenalkan ialah merendahkan umur bagi memulakan sesi persekolahan daripada 6 tahun kepada 5 tahun. Selain itu, pada tahun 2011, program pembangunan awal kanak- kanak berumur 4 tahun dan ke bawah, iaitu PERMATA telah ditubuhkan dan diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, KPM. Tumpuan PERMATA kepada kanak- kanak dengan pendapatan isi rumah bawah RM1500 sedikit sebanyak membantu dalam memastikan pendidikan awal dapat diberi secara menyeluruh dan mengurangkan jurang perbezaan prestasi pelajar yang mempunyai latar belakan sosio ekonomi yang berbeza. Program penyaringan Literasi dan Numerasi, LINUS juga diperkenalkan sebagai medium untuk memastikan penguasaan literasi dan numerasi di kalangan pelajar sebagai langkah dalam meminimumkan masalah kekiciran pelajar berpunca daripada ketidakupayaan mereka untuk mengikuti pembelajaran. Intervensi awal melalui program LINUS akan menempatkan fasilitator dan guru pemulihan di sekolah. Rombakan sistem pendidikan juga dilakukan dengan perlaksanaan MBMMBI.

Malaysia adalah komited dalam prestasi pelajarnya pada peringkat antarabangsa. Malaysia telah menyertai TIMSS bagi memastikan pencapaian dan peningkatan pelar dapat diukur secara objektif dan konsisten dengan negara lain. Dalam RMK10, dinyatakan bahawa Malaysia akan mengambil bahagian dalam Programme for International Student Assessment (PISA) di samping meneruskan penyertaan dalam TIMSS. Kedua- dua PISA dan TIMSS adalah alat pengukuran perbandingan pencapaian pelajar yang didiktiraf tinggi pada peringkat global.

KESIMPULAN Dalam usaha menghadapi cabaran abad ke-21, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami transformasi mengikut keadaan semasa. Transformasi sistem pendidikan Malaysia adalah berpandukan objektif pencapaian Wawasan 2020 dan didasari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, FPK yang diperkenalkan pada tahun 1989. Pembangunan individu secara holistik dan bersepadu dalam melahirkan individu yang seimbang dari segi keupayaan intelek, jasmani, emosi, rohani dan sahsiah menjadi dasar tetap dalam proses penambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia. Sokongan dari semua pihak secara am dan masyarakat pendidikan khususnya, untuk memartabatkan sistem pendidikan amat diperlukan. Kolaborasi yang mantap dari rakyat Malaysia adalah perlu untuk mengupayakan sistem pendidikan kebangsaan dalam menghadapi cabaran global. Cabaran sentiasa datang dalam usaha melahirkan modal insan pewaris negara dan hadirnya cabaran adalah dalam bentuk yang pelbagai. Hala tuju yang tetap perlu dijadikan garis panduan dalam perangkaan penambahbaikan. Tindakan yang didasarkan dengan asas FPK yang kukuh adalah perlu supaya kesepaduan dan persefahaman wujud dalam konteks rakyat majmuk di negara Malaysia.

RUJUKAN Abu Bakar Nordin. 1994. Pendidikan: Menghadapi Cabaran Tahun 2020, dalam Abu Bakar Nordin. ed. Reformasi Pendidikan Dalam menghadapi Cabaran 2020. Kuala Lumpur. Nurin Enterprise.

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. 2008. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Perak. Quantum Books.

Amir Hasan Dawi. 2002. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Perak. Quantum Books.

Amir Hasan Dawi. 2009. Sekolah dan Masyarakat. Perak. Quantum Books.

Kementerian Pelajaran Malaysia (atas talian) Pembelajaran Secara Konstruktivisme http://www.moe.gov.my/bpk/bsk/bpanduan/konstruktivisme.pdf. Dicetak 22 April 2012.

Kementerian Pelajaran Malaysia (atas talian) Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris http://www.moe.gov.my/userfiles/file/MBMMBI.pdf. Dicetak 21 April 2012.

Kementerian Pelajaran Malaysia (atas talian) RMK 10 (Pendidikan) http://www.moe.gov.my/userfiles/file/RMK10bab5%2014_6_10.pdf Dicetak pada 21 April 2012

Nik Azis Nik Pa. 1999. Pendekatan Konstruktivisme Radikal Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya.

Anda mungkin juga menyukai