Anda di halaman 1dari 2

Setiap penyakit ada penawarnya. Masalah disiplin yang berlaku di sekolah dapat dibendung dengan beberapa langkah.

Ibu bapa sebagai role model anak, seharusnya mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibu bapa kini terlalu mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan anakanak. Hal ini telah menyebabkan keruntuhan akhlak anak yang menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah. Ibu bapa harus membantu pihak sekolah mengatasi masalah disiplin pelajar kerana banyak masa pelajar dihabiskan di rumah bersama ibu bapa. Justeru, ibu bapa perlu memberikan nasihat yang sewajarnya kepada anak mereka untuk mengamalkan nilal-nilai murni di sekolah dan tidak melanggar peraturan sekolah. Ibu bapa harus mengajar anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa juga harus menjadikan diri sebagai contoh kerana bak kata pepatah, bapa borek anak rintik. Anak akan mencontohi segala perbuatan ibu bapa tidak kira baik atau buruk kerana mereka tidak tahu membezakan antara kaca dengan permata. Ibu bapa bertanggungjawab untuk membentuk akhlak anak sejak kecil lagi kerana anak bagai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Di samping itu, ibu bapa juga mesti bertanyakan anak-anak tentang masalah yang dihadapi di sekolah dan cuba membantu mereka untuk menyelesaikannya. Hal ini kerana kebanyakan anak mengalami tekanan mental. Fikiran mereka sentiasa berkecamuk, berserabut dan bercelaru apabila menghadapi masalah. Oleh itu, mereka akan melepaskan stres dengan menimbulkan masalah di sekolah. Ibu bapa harus mengetahui cara untuk membantu anak supaya anak tidak berasa dirinya diabaikan. Kesannya, anak akan berasa lebih disayangi oleh ibu bapa dan berubah dari segi akhlak dan akan menjadi seorang manusia yang lebih bermoral. Mereka juga tidak akan berasa takut atau malu untuk meluahkan perasaan mereka kepada ibu bapa. Pendek kata, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah. Sah dan sahihlah, pihak sekolah memainkan peranan dominan untuk mengatasi masalah disiplin. Sekiranya ditinjau dari perspektif yang berbeza, pendidikan di sekolah hanya berfokus kepada kecemerlangan akademik pelajar. Pendidikan di sekolah tidak harus hanya mengambil pencapaian akademik sebaya kayu ukur kecemerlangan seseorang pelajar. Guru-guru harus menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran, bukan sahaja dalam Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik, tetapi dalam subjek-subjek lain juga. Selain itu, pihak disiplin sekolah mesti berfungsi dengan baik dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Mereka harus menghukum mana-mana pelajar yang melakukan kesalahan supaya pelajar dapat menyedari kesalahan. Pelajar harus tahu bahawa mereka tidak sepatutnya beraja di mata dan bersultan di hati dan melakukan apa-apa secara semberono. Pelbagai program mesti diadakan untuk menangani masalah displin pelajar seperti mengadakan program membentuk pelajar cemerlang dan bersahsiah dalam akademik. Di samping itu, guru kaunseling harus mengambil inisiatif untuk membantu pelajar dalam menyelesaikan masalah mereka. Guru-guru harus bersifat prihatin terhadap pelajar yang umur baru setahun jagung dan darah baru setampuk pinang kerana mereka mudah bertindak mengikut nafsu tanpa berfikir secara rasional. Seterusnya, pihak sekolah harus menggalakkan pelajar-pelajar untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang turut dapat membentuk akhlak pelajar. Kesannya, pelajar akan dapat membentuk disiplin diri dan tidak menimbulkan masalah di sekolah. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar tiada masa untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau

kacang hantu. Secara tidak langsung akan dapat menghindari pelajar-pelajar daripada terjebak dengan gejala sosial. Sesungguhnya, pihak sekolah bertanggungjawab dalam mengatasi masalah disiplin di sekolah. Sebagai intiha, semua pihak harus bersinergi untuk membendung masalah disiplin di sekolah sehingga ke akar umbinya kerana kita tidak tergamak untuk melihat remaja menjadi parasit yang akan memusnahkan negara. Komitmen yang holistik supaya hasrat menzahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan spiritual menjadi kenyataan. Hasrat tersebut akan menjadi bagai menghitung bulu kambing jika terdapat pihak yang memandang enteng terhadap masalah ini. Janganlah kita hanya menghamburkan kata-kata yang manis seperti menanam tebu di tepi bibir. Usaha bersepadu semua pihak bagai aur dengan tebing amat perlu dalam menangani masalah tersebut dengan efektif.

Anda mungkin juga menyukai