Anda di halaman 1dari 4

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan

Dalam sistem hidup manusia, bahasa berperanan sebagai pengawal kepada proses ketamadunan. Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah menyatakan bahawa sesebuah negara wujud akibat daripada wujudnya bahasa dan budaya dalam proses pembinaan tamadun dan peradaban manusia. Sesuatu bangsa itu tidak teguh jika tidak dipertahankan bahasa dan budayanya. Keduaduanya merupakan agen utama perpaduan di antara sesuatu bangsa. Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada beberapa kaum utama ini, sebagai langkah memastikan masyarakat pelbagai kaum di negara ini bersatu padu, adanya bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan adalah sangat penting. Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 152 (1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula menghendaki bahasa kebangsaan digunakan untuk maksud rasmi. Bahasa Melayu merupakan bahasa kebanggaan bangsa Melayu sejak zaman-berzaman. Keagungannya tidak dapat disangkal seawal abad pertama Masihi lagi apabila ia menjadi bahasa ekonomi yang pada ketika itu disebut sebagai bahasa pasar kerana sifatnya sebagai lingua franca ekonomi perdagangan dan sosial di bumi Nusantara. Pada ketika itu, tidak kiralah dari hemisfera sebelah mana, asal sahaja berhajat untuk meluaskan jalan dagangan, wajib mempelajari Bahasa Melayu. Bukan sahaja sebagai bahasa ekonomi, Bahasa Melayu turut menjadi bahasa ilmu yang unggul sejak tahun 673 Sebelum Masihi di mana Pendeta I Tsing yang ingin mempelajari agama Buddha telah menuntut di Sriwijaya dan perlu mempelajari Bahasa Melayu untuk tujuan itu.

Itu semua sejarah. Masa-masa lalu yang pernah dibangga-banggakan sebelum ini. Kini, Bahasa Melayu seakan melayu di bumi sendiri. Pelbagai langkah telah diambil untuk mengembalikan semula keagungannya, namun tidak kurang juga langkah-langkah yang tersilap langkah seakan merendahkannya pula. Bahasa Melayu yang dahulunya dipandang sebagai lingua franca dunia perdagangan dan ilmu, kini dikelaskan sebagai bahasa kampungan yang tidak mampu membawa pengamalnya ke arah kemajuan. Bertitik-tolak dari ini, keagungan bahasa Melayu terus merudum dan dipandang sepi. Bahasa ilmu dan perdagangan atau kini disebut sebagai bahasa kemajuan dirampas oleh bahasa Inggeris akibat daripada suatu peralihan pesat yang dipanggil globalisasi. Lebih mendukacitakan, wujud pula satu golongan yang digelar Inggerisofili yang muncul dengan nostalgia mereka yang amat tebal terhadap bahasa Inggeris; budaya pelacuran bahasa wujud dan berleluasa tanpa sebarang sekatan. Di kalangan golongan elit Malaysia juga telah timbul satu perasaan kecurigaan tentang kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa penghantar ilmu sains dan teknologi. Selain itu penggunaan bahasa Inggeris yang memang berleluasa dalam sektor swasta juga tidak pernah tergugat atau digugat (Hashim Musa 1996). Satu lagi titik besar yang merubah martabat dan kedudukan bahasa Melayu adalah Akta Pendidikan 1996, tafsiran Seksyen 2 yang menerangkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa penghantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Walau bagaimanapun, menurut Seksyen 17(1) Menteri ada kuasa mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di mana-mana institusi pendidikan lain. Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan iaitu dengan syarat bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa

maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain. Nik Safiah Karim (1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Namun, dengan pengecualian ini, wujudlah idea pembelajaran ilmu sains dan metametik dalam bahasa Inggeris sebagai syarat kononnya bagi mempersiapkan generasi pelapis negara dengan ilmu kemajuan; menerusi bahasa yang dipanggil bahasa kemajuan. Terbaru, tiga langkah utama yang dirangkum daripada 13 syor telah ditetapkan bagi memperkasakan bahasa Melayu iaitu meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mengiktiraf peranan Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan (JKIMBK) dan usaha merancakkan industri buku kebangsaan. Enam jawatankuasa dibentuk bagi melaksanakan program dan tindakan daripada 13 syor tersebut yang terdiri daripada Jawatankuasa Dasar Buku Negara, Jawatankuasa Dasar Bahasa dan Garis Panduan Pelaksanaan, Jawatankuasa Kerja Media Massa dan Jawatankuasa Penggalakkan /Pemupukan dan Kegiatan, Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam dan Jawatankuasa Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta. Tidak cukup dengan itu, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai berkata Kabinet telah bersetuju untuk memberi kuasa kepada DBP mendenda pencemar bahasa di negara ini. Denda RM1,000 itu akan dilaksanakan apabila Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda dan diluluskan Parlimen yang akan menyambung persidangan selepas Hari Raya ini. Namun, tumpuan hanya pada papan iklan dan notis awam. Satu Khidmat Nasihat Bahasa untuk orang ramai dibuka bagi merujuk penggunaan bahasa yang betul untuk mengelakkan pencemaran bahasa kebangsaan (penulis lebih setuju

jika dirujuk sebagai bahasa Melayu) terhadap paparan di tempat umum yang dibuat oleh pihak berkenaan. Kaedah pemantauan yang digunapakai oleh pihak DBP adalah dengan menggunakan jaringan kerja sedia ada yang terdiri daripada 159 munsyi bahasa (guru atau penulis yang berdaftar dengan DBP) di seluruh negara untuk melaporkan sebarang paparan awam yang mencemar bahasa. Langkah-langkah ini diambil mungkin kerana sudah timbul kesedaran akibat daripada pengamatan sejarah lampau ataupun pengamatan ke arah hemisfera yang tidak luntur kecintaan pada bahasa natifnya, namun masih lagi mampu bergelar negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman mungkin. Kerana ini kita benar-benar bersyukur. Perlu diperhalusi, bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah, maka negara dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang ini.