Anda di halaman 1dari 3

TEKNIK KARANGAN Kepelbagaian Ungkapan Menarik dianggap bonus dalam Penulisan Karangan Salam sejahtera dan Salam Pertemuan.

Bertemu kita sekali lagi dalam keluaran bulan Februari 2011. Masihkah anda ingat faktor GARAM dalam keluaran yang lalu? Bagaimana? adakah anda telah mencubanya? Cikgu berharap kaedah tersebut dapat membantu anda dalam menghasilkan penulisan yang baik. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan , tidak kurang juga berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian . Justeru, anda masih belum terlambat untuk memulakan langkah membuat persediaan rapi menjelang hari peperiksaan. Pembaca yang budiman, Keluaran kali ini, ingin saya mengajak anda melihat pencirian yang menjadikan penulisan karangan anda itu lebih menarik. Pencirian yang dimaksudkan ialah penggunaan variasi ungkapan. Penggunaan kepelbagaian ungkapan menarik ini dapat kita katakan dengan mengaplikasi beberapa simpulan bahasa, peribahasa, kata-kata pemimpin, mutiara kata, kata-kata hikmah, hadis, slogan dan berbagai-bagai lagi. Penggunaan ungkapan sedemikian menjadikan penulisan karangan kita lebih mantap daripada aspek bahasa, seolah-olah penulisan itu kelihatan lengkap dan bergaya sekali. Para pemeriksa kertas karangan sering kali mencari keistimewaan yang ditulis oleh calon-calon peperiksaan. Maka, Cikgu ingin sekali mengharapkan agar anda dapat menggunakan peluang ini untuk menambahbaikan penulisan karangan anda itu. Rebutlah hati dan penglihatan tajam pemeriksa tersebut agar mereka mengiktiraf karangan anda dalam kategori cemerlang. Pembaca yang dikasihi, Cikgu ingin juga mencadangkan kepada anda bagaimana anda hendak memperoleh bahan-bahan ungkapan yang Cikgu katakan sebentar tadi. Caranya mudah, mulakan dengan mengumpul kepelbagaian ungkapan menarik itu menerusi akhabar, majalah, buku-buku motivasi, internet, mendengar radio dan berbagai medium lagi. Bercakap tentang radio, sering kali Cikgu mendapati juruhebah Radio IKIM.FM suka menyelitkan kata-kata sarjana Islam dan golongan pemikir yang lain. Cikgu kira, anda boleh mengumpul bahan-bahan tersebut dan mencatatkannya dalam buku nota karangan anda. Pembaca yang dikasihi, Ketika anda menulis karangan, bagaimanakah anda hendak memasukkan ungkapan-ungkapan yang bersesuaian? Pertama, anda perlu memastikan isu apa yang dibincangkan dalam karangan tersebut. Trend karangan sejak akhirakhir ini kerap mengeluarkan isu-isu berkaitan kerjasama antarabangsa, hal ehwal negara kita, masyarakat, keluarga dan individu. Kedua, setelah anda dapat mengenal pasti isu yang akan dibincangkan, sisipkanlah simpulan bahasa, peribahasa dan berbagai ungkapan lagi dalam setiap rangkap penulisan karangan anda itu. Andai kata anda telah memulakan karangan dengan menggunakan kaedah menulis peribahasa, seharusnya anda perlu juga memastikan bahan tersebut berkolerasi dengan isu yang bakal dibincangkan. Hasilnya nanti, kita akan dapat melihat bentuk keseragaman penulisan yang mempunyai konsep tersendiri. Jumlah sisipan ungkapan yang dipetik haruslah secukup rasa, sama seperti secubit garam yang dimasukkan oleh ibu untuk menyedapkan kuah gulai masakannya.

Mari kita lihat dan merenungi beberapa ungkapan menarik yang telah diaplikasikan dalam pengenalan karangan, penulisan idea dan penutup karangan.

Contoh Soalan : Golongan remaja sekarang lebih gemar membaca kisah dunia hiburan atau cerita-cerita tahyul yang ternyata tidak banyak memberikan faedah. Sebagai pencinta bidang sastera, anda berpendapat bahawa minat terhadap kesusasteraan perlu dipupuk dalam kalangan remaja kerana bidang ini banyak memberikan kebaikan. Tulis pandangan anda itu selengkapnya. Contoh Pengenalan : Bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Begitulah yang dapat kita kaitkan dengan kehadiran majalah atau akhbar tabloid yang dijual secara meluas di pasaran. Dalam situasi sebegini, kita dapat mengkategorikan sebahagian besar majalah itu adalah majalah hiburan. Hal ini jelas menunjukkan arah aliran minat pembaca di negara ini terutamanya golongan remaja yang lebih gemar membaca cerita-cerita sensasi kehidupan artis, tahyul, seks dan hiburan yang sebenarnya tidak membentuk perkembangan minda golongan ini. Imam Abu Hamid Muhammad al-Ghazali pernah menyatakan bahawa buruk laku itu menambah buruknya amalan, sebagaimana cuka merosakkan madu . Justeru, kita berasa bimbang sekiranya budaya membaca bahan-bahan picisan ini menjadi trend golongan remaja, maka penyuburan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam kesusasteraan pasti akan mengundang masalah. Contoh Idea/Isi : Saya berpandangan ibu bapa sewajarnya menanamkan minat terhadap karya-karya sastera kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi. Isu rakyat Malaysia kurang membaca amat menyedihkan banyak pihak. Peranan dan tanggungjawab ibu bapa menjadi titik tolak kepada budaya intelektual dalam kalangan masyarakat. Mereka sewajarnya membelikan buku-buku yang bersesuaian dengan tahap perkembangan anak-anak. Buku-buku sastera yang terdapat di pasaran cukup banyak. Antaranya, 366 Cerita Rakyat Malaysia , Antologi Sehijau Warna Daun , Novel Ranjau Sepanjang Jalan dan pelbagai genre sastera lain turut terdapat di pasaran. Tindakan ibu bapa bertepatan dengan pepatah Melayu yang mengatakan jikalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya . Hal ini bermakna, ibu bapa telah mengambil inisiatif menyediakan bahan-bahan bacaan sastera yang bersesuaian untuk anak-anak mereka. Tidak mustahil, suatu hari nanti anak-anak generasi muda ini akan dapat mempertahankan warisan nenek moyang kita.

Contoh Penutup : Kesimpulannya, kesusasteraan merupakan satu bidang yang indah dan menarik. Namun begitu, minat orang ramai khususnya golongan remaja terhadap sastera berkurangan kerana tiadanya pendedahan yang meluas. Semua pihak yang terlibat dalam bidang ini haruslah bergabung tenaga untuk memastikan produk sastera sampai ke tangan pengguna. Rakyat Malaysia harus menginsafi bahawa fungsi bidang ni adalah sebagai wadah santapan jiwa dan minda serta memastikan kelangsungan melahirkan manusia yang menjunjung nilai budi sepanjang zaman. Renungilah Sabda Rasulullah S.A.W Tidak dihitung kaya orang yang banyak harta, tetapi kaya sebenar ialah kaya jiwa Sebagai kesimpulannya, Cikgu telah tunjukkan bagaimana kita boleh mengaplikasikan kaedah menyisipkan kepelbagaian ungkapan menarik ini dalam setiap perenggan karangan. Anda tidak perlu bimbang sekiranya anda tidak mampu mengingati mutiara kata orang-orang yang hebat. Tetapi cukuplah sekadar, anda memasukkan simpulan bahasa, peribahasa ataupun slogan yang biasa anda dengar. Anda harus memulakan latihan menulis dengan sepenuh jiwa anda. Cikgu pasti, anda berpuas hati setelah mencubanya!

Sekian, kita bertemu lagi nanti. Selamat Maju Jaya.