Anda di halaman 1dari 6

AHMAD AWANG

Sintaksis Dialek Kelantan

Oleh:
Ahmad bin Hj. Awang
Pegawai Perpustakaan, MPPP
Sintaksis Dialek Kelantan
Karya: Abdul Hamid bin Mahmood
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit: 1994
Harga: RM15.00

Kajian tentang dialek Kelantan telah dilakukan sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi.
Beberapa orang pegawai pentadbir British seperti C.C.Brown, A.J.Sturrock dan Berwik telah
membuat kajian tentang dialek Kelantan. Kajian-kajian yang telah dilakukan oleh pegawi
pentadbir British tidaklah boleh dianggap ilmiah kerana tidak mengikut disiplin linguistik.
Pada tahun-tahun 1960-an dan seterusnya, terdapat kajian-kajian saintifik dilakukan oleh
pengkaji-pengkaji tempatan seperti Nik Safiah Karim (1965), Ismail Hussein (1973), Hashim
Musa (1974) dan Abdul Hamid Mahmood (1971). Sejak awal tahun 1980-an banyak terdapat-
dapat kajian-kajian tentang dialek dilakukan, terutamanya oleh mahasiswa-mahasiswa yang
mengikuti Kursus Kajian Dialek di Jabatan Bahasa, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti
Pertanian Malaysia. Kini Jabatan Bahasa, Fakulti Pengajian Pendidikan telah menjadi Fakulti
Pengajian Bahasa Moden dan Universiti Pertanian Malaysia telah menjadi Universiti Putra
Malaysia. Kertas-kertas ilmiah juga banyak dihasilkan tentang kajian-kajian dialek.

Buku Sintaksis Dialek Kelantan ini ditulis oleh seorang anak jati Kelantan. Beliau merupakan
ahli bahasa dan linguistik Melayu. Beliau ialah Prof. Dr. Abdul Hamid bin Mahmood, seorang
Profesor di Universiti Putra Malaysia. Buku Sintaksis Dialek Kelantan ini merupakan hasil
kajiannya yang teliti dan mendalam terhadap dialek Kelantan. Dialek Kelantan dituturkan
oleh penutur-penutur yang berasal dari negeri Kelantan.

Kajian ini adalah bertujuan untuk menghuraikan sintaksis dialek Kelantan dengan
menggunakan kaedah yang telah digunakan oleh Prof. Dr. Asmah bt. Hj. Omar (1969) dalam
"The Iban Language of Sarawak: A Grammatical Description". Kajian ini dibuat berdasarkan
pertuturan pengarang dan keluarganya sendiri yang menuturkan dialek yang dikaji. Di
samping data-data yang dikumpulkan daripada beberapa orang informan yang terdiri
daripda pelbagai golongan dari pelbagai daerah di sekitar negeri Kelantan dan daerah-
daerah sempadan.

Dialek ialah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur
dalam satu-saatu masyarakat bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam
kawasan tertentu dan berbeza daripada bentuk yang standard dari segi sebutan,
tatabahasa, dan penggunaan kata-kata tertentu, tetapi perbezaannya tidaklah begitu besar
untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain.

Faktor-faktor yang menimbulkan dialek terdiri daripada faktor-faktor geografis, politik,


penjajahan, perdagangan, masa, dan seumpamanya. Misalnya, faktor politik telah
membahagi-bahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil menjadikan negeri
Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu,
dan Kelantan, yang menyebabkan timbulnya dialek tempatan.
Dialek-dialek tempatan di Semenanjung Malaysia sebenarnya adalah variasi daripada
bahasa Melayu. Malah, dalam satu-satu dialek tempatan di Malaysia, terdapat pula ideolek-
ideolek, iaitu kelainan pengucapan yang disebabkan oleh perbezaan individu, dan kelainan
stilistik yang terjadi sebagai akibat prbezaan konteks. Semua kelainan ini disebut dialek,
tetapi penutur-penuturnya masih saling bersefahaman antara satu sama lain. Fonemena
seperti inilah yang telah menarik perhatian Abdul Hamid Mahmood untuk membuat kajian
yang lebih mendalam terhadap salah satu dialek tersebut.

Dalam Bab 1 bahagian pendahuluan, Abdul Hamid Mahmood membincangkan tentang latar
belakang dialek Kelantan. Apabila dibandingkan dialek Kelantan dengan bahasa Melayu,
didapati bahawa terdapat beberapa perbezaan yang amat dominan terutamanya dalam
domain yang berikut:

1. Fonologi - dari segi pengucapan dan fonem.


2. Morfologi - dari segi struktur morfem terikat, jenis dan jumlah morfem terikat, dan
keseringan pemakaian morfem terikat.
3. Ayat - dari segi susunan ayat pasir, susunan kata aspek dalam ayat dan susunan kata
penguat dalam ayat.
4. Leksikal - dari segi kata-kata seperti berikut:

• Kata-kata yang ada dalam dialek Kelantan, tetapi tidak terdapat dalam bahasa
Melayu.
• Kata-kata yang terdiri daripada satu suku kata.
• Kata-kata yang sama, tetapi berbeza erti antara dialek Kelantan dengan bahasa
Melayu.
• Kata-kata daripada bahasa Melayu yang disesuaikan dalam dialek Kelantan.

Korpos perbincangan yang lebih mendalam bagi menjelaskan perbezaan-perbezaan tersebut


dilakukan oleh pengarang dalam lima bab yang beikutnya.

Bab Kedua menghuraikan bidang morfologi. Bab ini menghuraikan proses pembentukan
kata, morfem terikat kerja dan morfem terikat nama.

Morfem terikat dalam dialek Kelantan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu morfem
terikat nama dan morfem terikat kerja. Terdapat 15 morfem terikat dalam dialek Kelantan,
iaitu 8 morfem terikat kerja dan 7 morfem terikat nama. Morfem terikat kerja terdiri daripada
5 awalan, 1 akhiran, 1 imbuhan apitan, dan 1 suprafiksa kepanjangan konsonan. Manakala
morfem terikat nama terdiri daripada 3 awalan, 1 akhiran, 2 imbuhan apitan, dan 1
suprafiksa. Bagi setiap morfem tersebut terdapat pula fungsi-fungsinya yang berbeza dalam
konteks ayat yang berlainan.

Golongan kata yang dihuraikan dalam Bab ketiga merupakan lanjutan daripada bidang
morfologi, kerana kata dalam dialek Kelantan dapat digolongkan kepada golongan-golongan
tertentu dengan menggunakan kriteria morfologi dan sintaksis. Kriteria morfologi mengkaji
struktur kata, umpamanya satu kata sempurna itu boleh terbentuk daripada satu morfem
bebas dan morfem trikat. Kriteria sintaksis mengkaji penyebaran kata yang lain dalam satu-
satu frasa atau ayat.

Kata dalam dialek Kelantan dapat juga dibahagikan kepada tiga golongan besar berdasarkan
posisi yang dihadiri oleh kata dalam satu-satu struktur tertentu, hubungannya dengan kata-
kata yang lain, kemungkinannya untuk berganti tempat dengan kata lain, dan fungsinya.
Golongan-golongan kata tersebut terdiri daripada:
i. Kata nama
ii. Kata kerja, dan
iii. Kata tugas.

Bab Keempat membincangkan tentang frasa. Dalam tata tingkat nahu, frasa menduduki
setingkat lebih tinggi daripada kata dan setingkat lebih rendah daripada klausa. Berdasarkan
fungsinya, frasa ialah satu unsur daripada ayat. Dalam kajian ini, frasa itu boleh terdiri
daripada satu kata sempurna, deretan kata sempurna, deretan partikel dan kata sempurna
atau klausa.

Pengarang telah mengemukakan juga beberapa jenis frasa lain yang turut membentuk ayat-
aya dalam dialek Kelantan seperti frasa selapis, frasa majmuk dan termasuk juga golongan
frasa seperti frasa nama, frasa kerja, dan frasa adverda berserta contoh-contoh yang
menarik.

Perbincangan dalam Bab Kelima mengandungi ayat tunggal dan jenis-jenisnya. Menurutnya,
ayat tunggal atau ayat selapis ialah unit tatabahasa yang tertinggi jika dibandingkan dengan
unit-unit tatabahasa yang lain. Ayat terbentuk daripada unit-unit lain yang lebih rendah,
iaitu klausa, frasa, dan kata. Ayat tunggal ialah yang mengandung satu subjek dan satu
predikat.

Dalam dialek Kelantan, unsur-unsur ayat terdiri daripada FN, FK dan Adv (Adverba) yang
tersusun mengikut satu-satu struktur ayat. Berdasarkan intonasi, iaitu kontor nada suara,
ayat dalam dialek Kelantan dapat dibahagikan kepada empat jenis seperti yang berikut:

i. Ayat Penyata - terdiri daripada tiga jenis iaitu; ayat aktif, ayat pasir (pasif jati dan
pasir semu), dan ayat ekuasional.
ii. Ayat Tanya - terdiri daripada ayat tanya ya/tidak, dan ayat tanya bukan/ya/tidak.
iii. Ayat Perintah - terdiri daripada ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan, ayat
ajakan.
iv. Ayat Seru - Terdiri daripada ayat seru gembira, sedih, marah, terperanjat, dan
sakit.

Bab Keenam membicarakan tentang ayat majmuk. Ayat majmuk ialah ayat yang
mengandung lebih daripada satu subjek atau predikat. Ayat majmuk terbentuk daripada
gabungan ayat-ayat bebas dan ayat tak bebas. Ayat bebas ialah ayat yang boleh berdiri
sendiri yang mempunyai satu subjek dan satu predikat. Ayat tak bebas pula merupakan ayat
yang tidak dapat berdiri sendiri, didahului oleh kata hubung tak setara seperti 'kalau', 'oleh
sebab', 'bila', 'masa', 'ketika' dam lain-lain.

Buku ini amat sesuai dijadikan panduan dan rujukan oleh para penuntut, guru, pengkaji
yang ingin mendalami pengtahuai mereka terhadap dialek ini. Setiap contoh yang
dikemukakan dalam buku ini disertakan dengan transkripsi-transkripsi fonetik yang
membentuk kata, frasa, dan ayat yang terdapat dalam dialek Kelantan di samping tulisan
yang biasa. Hal ini membolehkan para pembaca yang bukan penutur dialek Kelantan
menguasai sebutan atau pengucapannya dengan tepat dan jelas.
Binaan Makna

Oleh:
Ahmad bin Hj. Awang
Pegawai Perpustakaan, MPPP

Binaan Makna
Karya:Darwis Harahap
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit: 1994
Harga: RM12.00

Perkara yang penting dalam perbincangan tentang bahasa ialah binaan bunyi, binaan kata,
binaan ayat dan binaan makna. Bidang binaan makna agak jarang diperkatakan secara
khusus. Biasanya bidang binaan makna diperkatakan semasa membincangkan binaan bunyi,
binaan kata dan binaan ayat. Pada kebiasaannya binaan makna hanya memperkatakan
tentang makna luaran sahaja.

Bab Pertama dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Pengenalan, Latar Belakang Semantik
dan Rangkuman. Membincangkan tentang bahasa, kita tidak terlepas daripada perkataan
semantik, iaitu ilmu tentang erti atau perubahan erti sesuatu perkataan. Secara umumnya
semantik ialah ilmu tentang erti atau perubahan erti sesuatu perkataan. Secara khusus pula
semantik ialah kajian tentang lambang-lambang atau tanda yang menyatakan makna,
hubungan antara satu makna dengan makna yang lain serta pengaruh makna terhadap
masyarakat.

Bahagian latar belakang semantik, penulis telah membincangkan persoalan semantik


bermula dari Zaman Yunani iaitu dari Socrates (469 - 399 SM) sehingga tahun 1980-an.
Antara tokoh yang disenaraikan ialah de Saussure, Charles Moris, John Rupert Firth yang
terkenal dengan Teori Semantik Kontekstual, Chomsky, J. McCawley, Mansoer Pateda, dan
lain-lain lagi.

Chomsky dan McCawley mempunyai pengertian yang berbeza tentang semantik. Kesan
daripada pertentangan itu maka timbullah semantik generatif yang dipelopori oleh
McCawley dan semantik interpretif yang dipelopori oleh Chomsky.

Bab kedua membincangkan tentang Semantik dan Ilmu Lain. Bab ini membincangkan secara
sepintas lalu tentang peranan makna dalam bidang disiplin ilmu yang lain seperti bidang
falsafah, psikologi, antropologi dan sosiologi, susastera, sejarah, komputer dan linguistik.

Para ahli psikologi berpendapat bahawa makna timbul daripada rangsangan dan tindak
balas sesuai dengan gambaran fikiran terhadap benda nyata dan tidak nyata dan juga hasil
daripada proses pemelajaran seseorang. Sebaliknya daripada sudut susastera, makna terdiri
daripada lapisan makna biasa (makna bersurat), makna yang tersirat, makna kreatif dan
makna pribadi.

Ditinjau dari segi linguistik, banyak ahli bahasa menyatakan bahawa makna telah wujud
semasa bahasa masih berada pada tahap struktur dalaman. Takrifan tersebut dapat
dijelaskan dengan mengambil contoh bahasa Melayu yang mempunyai pembinaan kata
dengan cara pengimbuhan, pengulangan, dan pemajmukan (pemaduan) yang bertujuan
untuk memperluaskan makna.

Bab Ketiga memperkatakan tentang "Makna sebagai Sumber Perkataan". Beberapa teori
diperkatakan di awal bab ini. Teori yang dikemukakan ialah teori tekanan sosial, teori
anomatopia, teori interjeksi, teori seruan, teori ding-dong, teori permainan vokal, teori
isyarat oral dan lain-lain.

Dalam "Takrifan Makna", penulis telah mengemukakan beberapa teori yang dikemukakan
oleh ahli bahasa. Antara mereka termasuklah Ferdinand de Saussure, Bloomfield, Firth, dan
Chomsky. Kesimpulannya, semantik ialah cabang linguistik yang mempelajari erti daripada
kata, erti daripada ayat, erti daripada frasa, dan cara erti itu dibentuk. Daripada huraian
yang dilakukan, penulis menyimpulkan bahawa bahasa tidak sahaja memperlihatkan cara
berfikir seseorang tetapi bahasa juga dapat mengambarkan cara berfikir seseorang atau
penutur yang menggunakan bahasa tersebut.

Bab Keempat bertudul "Perkataan dan Makna". Perkara-perkara yang dibincangkan ialah
beberapa istilah yang amat erat hubungannya dengan kata dan makna. Istilah yang
dimaksudkan itu ialah sinonim, antonim, homonim, homofon, hiponin dan emotif, luas dan
sempit, gaya dan tekanan, laku dan situasi, taksa dan lojik. Berdasakan judul-judul tersebut
penulis memberi huraian terhadap sesuatu kata, sama ada kata itu mempunyai makna yan
sama atau berbeza, atau perkataan tersebut mempunyai bentuk yang sama tetapi berlainan
makna dan berbagai-bagai lagi.

Bab Kelima bertajuk "Makna Gramatis". Makna gramatis ialah makna yang terrkandung
dalam sesuatu imbuhan apabila digabungkan dengan kata dasar mahupun dengan
perkataan yang telah mendapat pengimbuhan sebelumnya (kata terbitan). Makna gramatis
dianggap suatu ciri yang istimewa dalam bahasa Melayu kerana bahasa Melayu memiliki ciri
pengembangan makna melalui pengimbuhan. Jika sesuatu kata dasar itu tidak cukup untuk
mewakili makna yang dimaksudkan, maka kata dasar tersebut dapat dibina dengan
imbuhan sehingga menimbulkan makna yang baru.

Bab Keenam bertajuk "Makna Leksikal". Makna leksikal ialah makna yang terdapat dalam
kamus atau makna perkataan yang terlepas daripada hubungannya dengan perkataan lain
dalam ayat. Perkara yang dibincangkan dalam bab ini ialah apakah yang dimaksudkan
dengan kamus, bagaimana menggunakan kamus, kelompok kata dan kata paduan dan
rangkuman.

Bab Ketujuh bertajuk "Makna Kata Tugas", iaitu perkataan yang bertugas memberi
keterangan kepada kata inti. Hal-hal yang dibincangkan dalam bab ini ialah pengenalan,
Kata Tugas untuk Kata Nama, Kata Tugas untuk Kata Kerja, Kata Tugas untuk Kata Sifat, Kata
Tugas Memberikan Kata Karyaan, Kata Tugas untuk Ayat dan Rangkuman. Dari huraian yang
diberikan, dapatlah dirangkumkan bahawa kata tugas tidak memiliki makna tetapi ia
memberi keterangan sama ada pada kata nama, kata kerja, kata sifat, kata karyaan
mahupun pada ayat. Walaupun kata tugas ini tidak memiliki makna, ternyata ia mempunyai
tugas yang penting dalam pembinaan makna kerana jika penggunaannya salah
mengakibatkan makna keseluruhan ayat tersebut tidak boleh diterima (tidak gramatis).
Dengan demikian, penggunaan kata tugas sama pentingnya dengan penggunaan kata inti
kerana kedua-duanya saling melengkapi.

Bab Kelapan bertajuk "Makna Ayat". Hal-hal yang dibincangkan dalam bab ini ialah tentang
makna tersurat, dan makna yang tersirat yang dibahagikan kepada makna kiasan, bidalan,
pepatah, perbilangan, lidah pendeta, cogan kata atau moto, pemeo, dan ungkapan atau
simpulan bahasa.
Menurut penulis, makna ayat dalam bahasa Melayu pada umumnya hanya membincangkan
makna yang tersurat dan dapat menolong kita memahami makna yang tersurat dan tersirat.
Apabila seseorang itu telah memahami kedua-dua makna tersebut baharulah ia akan
mengetahui makna yang tersirat. Jadi untuk mempelajari sesuatu bahasa yang lengkap dan
luas, maka seseorang itu amat perlu mempelajari bentuk atau ayat yang tersirat.

Bab Kesembilan adalah merupakan kesimpulan daripada perbincangan yang telah dilakukan
oleh penulis. Satu sifat bahasa yang perlu disedari ialah sesuatu yang baharu atau yang
asing pada mulanya tidak difahami tetapi jika ia sering diutarakan maka ia menjadi mudah
difahami. Jadi, pada dasarnya pemahaman terhadap bahasa ialah keseringan atau
keberulangan. Jika sesuatu perkataan itu sering diulang maka masyarakat pengguna akan
mudah difahami.

Buku ini telah dapat menghuraikan konsep-konsep yang ada dalam bidang semantik dengan
menggunakan bahasa yang mudah. Penggunaan contoh yang banyak memudahkan
pembaca untuk memahami sesuatu konsep atau huraian. Penulis buku ini, Darwis Harahap
adalah seorang pensyarah bahasa, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains
Malaysia. Beliau telah berjaya menulis dalam bidang kepakarannya. Semoga buku ini dapat
memberi faedah kepada pengguna bahasa Melayu.

Anda mungkin juga menyukai