ISU PEMBUANGAN BAYI DISEDIAKAN OLEH : SITI AINIZAH BINTI SAMSURI Hamka pernah mengungkapkan, anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita. Setiap pasangan yang berkahwin pasti ada menyimpan impian untuk mempunyai cahaya mata sendiri sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di dunia ini. Apabila anak telah dilahirkan, anak tersebut pasti akan dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh ibubapa. Namun, dalam dunia yang dilingkari arus kemodenan ini sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa masalah sosial turut menghambat masyarakat dan salah satu masalah sosial tersebut ialah kes pembuangan bayi yang semakin meningkat saban hari. Jika dilihat pada hari ini, bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa ada rasa belas kasihan. Bagi mengatasi masalah ini, pemangkin atau faktor permasalahan yang merobek nilai-nilai kemanusiaan ini perlu dikaji dengan teliti sehingga ke akar umbinya. Selain daripada kepincangan keluarga, tidak dapat kita nafikan lagi bahawa terdapat juga faktor lain yang membawa kepada berlakunya gejala pembuangan bayi ini. Antara punca utamanya berlakunya gejala sosial ini ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Kebiasaannya dalam organisasi keluarga, ibubapa dianggap sebagai tonggak utama dalam menggerakkan keluarga supaya menjadi sebuah keluarga yang bahagia. Pada zaman globalisasi ini, kebanyakan ibubapa terlalu sibuk dengan tugas-tugas harian sehinggakan anak-anak terabai menyebabkan mereka kekurangan kasih sayang dan seterusnya mereka akan mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial ini seperti melakukan seks bebas dan melahirkan anak luar nikah. Bagi menyelesaikan masalah ini, jalan terbaik yang mereka pilih adalah dengan membuang bayi yang dikandungkan supaya perbuatan terkutuk mereka tidak terbongkar. Disini jelaslah dapat dilihat bahawa kerapuhan institusi keluarga merupakan punca perdana kepada berlakunya gejala pembuangan bayi ini. Di samping itu, antara faktor lain yang menyebabkan berlakunya kemelut ini adalah kerana kurangnya ilmu agama dalam kalangan remaja hari ini. Kekurangan nilai agama ini mungkin disebabkan kurangnya ilmu agama pada ibubapa itu sendiri serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Secara tidak langsung, apabila mereka cetek pengetahuan dalam ilmu agama menyebabkan mereka mudah terpengaruh oleh desakan seksual mereka. Hal ini ditambah pula pada seusia mereka itu merupakan zaman mereka untuk mencari keseronokan dunia sepuas-puasnya. Kesannya, remaja mudah terjebak kepada gejala negatif ini.
Sudah terang lagi bersuluh, ternyata bahawa media juga memainkan peranan yang penting dalam menyumbangkan kepada berlakunya gejala negatif ini. Hampir setiap hari, terdapat paparan yang tidak sewajarnya ditayangkan di televisyen kerana penonton ini boleh terdiri daripada pelbagai aras usia seperti kanak-kanak, remaja, dewasa. Maka, apabila paparan itu tidak disekat, golongan kanak-kanak dapat menontonnya tanpa ada rasa bersalah ataupun malu. Budaya-budaya negatif dari Barat diserap sepenuhnya oleh golongan remaja akibat terpengaruh dengan siaran yang ditayangkan di televisyen. Misalnya, unsur-unsur seks yang tidak disekat siarannya di televisyen menyebabkan remaja ingin cuba aksi tersebut sehingga menyebabkan terhasilnya anak luar nikah. Jalan mudah yang sering diambil adalah dengan membuang anak tersebut walaupun maruah itu sudah dinodai. Konklusinya, bagi mengatasi gejala pembuangan bayi ini ia memerlukan komitmen dan kerjasama dari semua pihak. Paradigma masyarakat harus berubah dalam menangani masalah ini. Perkara utama yang perlu diubah adalah tanggapan masyarakat pada remaja hari ini. Sikap suka menghukum moral seseorang itu secara terburu-buru haruslah dikikis supaya remaja berasa selamat untuk meluahkan masalah mereka kepada kita. Manakala, pihak kerajaan hendaklah mengadakan program-program yang bermanfaat untuk golongan remaja bagi mengisi masa lapang mereka. Remaja hari ini tidak sepatutnya dibiarkan sendirian mengemudikan kehidupan mereka kerana mereka bukanlah nakhoda yang profesional. Apabila dihempas gelombang, mereka pasti akan karam. Oleh itu, didikan agama hendaklah dipasak teguh pada jiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan nafsu mereka sendiri. Mudah-mudahan dengan pelbagai langkah pencegahan yang dijalankan, hasrat negara untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dicapai dan permasalahan pembuangan bayi ini tidak lagi menghantui di minda masyarakat. (612 patah perkataan)