Anda di halaman 1dari 4

Ferdinand De Saussure Menurut bukunya Cours de Linguistique Generale, De Saussure menerangkan perilaku bertutur sebagai satu rantai perhubungan

di antara dua orang dan lebih, penutur A dan penutur B. Perilaku ucapan ini terdiri daripada bahagian luar (fizikal) yang dibatasi oleh mulut, telinga dan bahagian dalam iaitu bahagian jiwa atau akal yang terdapat dalam otak yang juga dinamakan pusat penghubung. Di dalam otak penutur A terdapat fakta-fakta mental atau konsep-konsep yang dihubungkan dengan bunyi-bunyi linguistik sebagai pewujudnya, iaitu dipakai untuk menerbitkan konsep-konsep tersebut. Baik konsep-konsep mahupun bayanganbayangan bunyi berada dalam otak iaitu dalam pusat penghubung. Jika penutur A ingin mengemukakan satu konsep kepada pendengar B, maka konsep tersebut

membukakan pintu kepada pewujudnya yang serupa iaitu bayangan-bayangan bunyi yang masih berada dalam otak dan merupakan fenomena psikologi. Kemudian dengan terbukanya pintu bayangan bunyi ini, otak pun mengirim satu impuls atau desakan hati yang sama dengan bayangan bunyi tadi kepada alat-alat yang mengeluarkan bunyi dan ini merupakan proses fisiologi. Kemudian gelombang bunyi bergerak dari mulut A ke telinga B dan ini merupakan proses fizikal. Dari telinga B gelombang bunyi bergerak terus ke otak B dalam bentuk impuls atau desakan hati dan terjadilah pula proses psikologi yang menghubungkan bayangan bunyi ini dengan konsep yang sama. Dalam perilaku ucapan ini dibezakan pula di antara pelaksana, iaitu pusat penghubung penutur dan telinga pendengar yang kedua-duanya sebagai bahagian yang aktif, dan penerima, iaitu pusat penghubung pendengar dan telinga penutur yang kedua-duanya sebagai bahagian yang pasif. De Saussure membezakan bertutur atau bercakap bahasa dan gabungan daripada keduanya dinamai ucapan dan mempelajari hubungan-hubungan di antara ketiga-tiganya dalam perilaku ucapan.

Oleh itu, linguistik menurut De Saussure, haruslah mengkaji bahasa, kerana bahasa adalah fakta sosial, sedangkan bertutur merupakan perlakuan individu dan hanya merupakan embrio daripada ucapan. Dengan kata lain, apa yang keluar dari mulut penutur dalam bentuk ayat-ayat selalu berubah-ubah dan bersifat idiosinkratis dan kerana itu tidak layak dijadikan bahan kajian linguistik, sedangkan dalam kalangan anggota-anggota masyarakat yang dipertalikan oleh bahasa akan tercipta sesuatu average yang merupakan tanda-tanda atau lambang-lambang yang sama dan berpola dan digabungkan dengan konsep-konsep yang sama dan berpola dan tidak berubahubah daripada satu individu ke individu lain dan inilah yang layak dijadikan bahan kajian linguistik. Contoh penerapan teori ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk teori De Saussure tersebut ialah kemahiran mendengar dan bertutur. Bagi kemahiran mendengar dan bertutur semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung memperlihatkan bahawa murid-murid akan menyampaikan idea ketika mereka bertutur. Aktiviti yang dapat dilaksanakan ialah dialog, perbualan murid dengan guru atau perbualan murid dengan murid dan sebagainya. Ketika aktiviti dialog misalnya, memperlihatkan bahawa gelombang bunyi yang bergerak dalam bentuk impuls atau desakan hati yang menunjukkan berlakunya pemindahan konsep yang telah dibuktikan oleh Ferdinand De Saussure di dalam teorinya tersebut. Proses mendengar dan bertutur merupakan salah satu cara untuk bersosial dan berkomunikasi dan secara tidak langsung terlibat dalam membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran bertambah menarik dan semakin berkesan.

Leonard Bloomfield Semua pernyataan didasarkan pada hubungan berpola di antara perilaku ucapan dan erti. Data-data daripada teori linguistik Bloomfield adalah lambang-lambang ucapan atau perilaku ucapan (r .. s) dan hubungannya dengan erti (S & R). Bahasa menurut Bloomfield merupakan sekumpulan ujaran-ujaran atau ucapanucapan yang mungkin muncul di dalam satu masyarakat ucapan speech community. Ungkapan-ungkapan inilah yang harus dikaji untuk mengetahui bahagian-bahagiannya. Dalam masyarakat-masyarakat tertentu, beberapa ujaran atau ucapan adalah sama dalam bentuk dan erti (Bloomfield, 1933:144). Harus juga diterangkan bahawa satu perilaku ucapan adalah satu ujaran (Bloomfield, 1926:154). Oleh itu, dapatlah kita simpulkan bahawa perilaku ucapan adalah satu kompleks yang terdiri daripada lambang-lambang ucapan dan ini merupakan fitur-fitur bunyi dan fitur-fitur rangsangan gerak balas atau laku ucapan. Contoh penerapan teori ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk teori Bloomfield tersebut ialah konsep rangsangan gerak balas dan konsep peneguhan positif dan ganjaran. Bagi konsep rangsangan gerak balas semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung memperlihatkan bahawa murid-murid akan memberikan respons apabila diberikan rangsangan. Aktiviti yang dapat dilaksanakan ialah guru menunjukkan kad gambar kepada murid-murid, guru menayangkan video kepada murid-murid, guru memperdengarkan audio kepada murid-murid seperti lagu patriotik dan sebagainya. Selain itu, konsep peneguhan positif dan ganjaran yang diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Misalnya, guru akan memberikan kata-kata pujian kepada murid-murid serta guru akan menghadiahkan pensel kepada murid-murid jika berjaya menjawab soalan yang diajukan. Hal tersebut menunjukkan bahawa proses menggunakan bahasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan rangsangan gerak balas dan peneguhan positif serta ganjaran yang memperlihatkan bahawa proses pembelajaran

berlaku apabila murid-murid didorong oleh sesuatu yang menarik agar murid-murid lebih bersemangat untuk belajar dan mereka akan berlumba-lumba serta bersaing untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Anda mungkin juga menyukai