Anda di halaman 1dari 10

SOALAN 24 : PUNCA BERLAKUNYA GEJALA RASUAH DAN CARA

MENGATASINYA.

Rasuah

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang


dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini
kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-
apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah
diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan
bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya. Perkataan rasuah berasal daripada
perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata
umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu
dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “
memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan
kesalahan jenayah rasuah. Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan
pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain
mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan
budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka
hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka.

Dari sudut istilah bahasa, rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan
undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau
keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas
memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama,
pertama meminta atau menerima rasuah. Kedua, menawar atau memberi rasuah.
Ketiga, membuat tuntutan palsu. Keempat, menyalahguna jawatan atua kedudukan.

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah


sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka
kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa. Rasuah di kalangan
penguatkuasa adalah perkara biasa di kebanyakan negara pengeluar petroleum dan
negara miskin terutamanya di Amerika Latin.
Elemen Rasuah ialah penyogok dan penerima sogokan. Rasuah memerlukan dua
pihak yang korup, pemberi sogokan (penyogok) dan penerima sogokan. Di
beberapa buah negara, rasuah sudah menjadi suatu budaya.

Indeks Persepsi Rasuah

Indeks ini ialah Indeks Persepsi Rasuah yang dikumpul dari ahli perniagaan
atau bisnes yang memberi mata dengan skala 0 hingga 10 dengan 10 (bersih dari
rasuah) dan 0 (kadar rasuah yang amat tinggi). Indeks ini telah dirangka oleh
Transparency International satu badan antarabangsa yang menganalisa ketelusan
serta kadar rasuah di peringkat sejagat. Kajian yang dilakukan oleh Transparency
International Malaysia yang mengatakan bahawa golongan berpendapatan tinggi di
Malaysia lebih cenderung memberi rasuah kepada pihak berkuasa. Menurut kajian
itu, golongan berpendapatan bulanan RM5,000 ke atas didapati paling ramai
memberi rasuah iaitu 52%, diikuti kumpulan berpendapatan bulanan RM3,001
hingga RM5,000 (40%), RM1,501 - RM3,000 (31%) dan kurang RM1,500 (18%)
(Berita Harian 6 Mac 07).

Antara negara-negara yang mempunyai kadar rasuah yang amat tinggi dan
mendapat mata di antara 1.5 dan 2.0 dalam TI Corruption Perceptions Index 2004
termasuklah negara Haiti, Bangladesh, Nigeria, Myanmar, Chad, Paraguay,
Azerbaijan

Di kalangan negara ASEAN (selain Myanmar), Indonesia mempunyai mata


yang sangat rendah iaitu pada 2.0. Manakala Malaysia terletak di bahagian yang
lebih tinggi iaitu dengan mata 5.0. Namun negara ASEAN yang mendapat keyakinan
paling tinggi ialah Singapura dengan 9.3

Laporan rasuah oleh Transparency International pada 2005 melaporkan


bahawa Malaysia telah jatuh 16 tangga dalam tempoh 10 tahun ini dari tempat ke-
23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004. Menyedari akan hal ini, maka
tidak hairanlah pihak kerajaan bertungkus-lumus dalam usaha membasmi
peningkatan kadar gejala rasuah di negara ini. Antara lengkah bagi mengatasi
gejala rasuah ini ialah, mewujudkan badan pencegahan rasuah. Pada tahun 2008,
Kerajaan dan Parlimen telah bersetuju supaya sebuah Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan bagi meningkatkan keberkesanan dan
kecekapan dalam usaha pencegahan rasuah serta untuk memperbaiki persepsi
kebebasan dan ketelusan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi Suruhanjaya. SPRM
akan turut disokong oleh mekanisme memeriksa dan mengimbangi dalam
memastikan Suruhanjaya bertindak selaras dengan kehendak perundangan, negara
dan aspirasi masyarakat. Suruhanjaya ini mula beroperasi secara rasmi pada 1
Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia.

Natijah akhirnya, rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan mengikut


Akta Pencegahan Rasuah 1997. Rasuah dianggap jenayah kerana perbuatan ini
melanggar etika sesuatu bidang pekerjaan malah secara tidak langsung si
pelakunya mengambil atau ‘mencuri’ hak orang lain. Justeru seharusnya langkah
kerajaan dalam membendung gejala rasuah ini wajar disokong oleh semua pihak
memandangkan rasuah mampu meninggalkan implikasi terhadap semua pihak.
Sesungguhnya, tanpa rasuah segala urusan pembangunan dapat berjalan dengan
lancar. Keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat juga akan dapat
dipertahankan dan semua rakyat tanpa mengira kedudukan dan bangsa akan hidup
dengan aman.

Isu Melapor Bagi Yang Mengetahui

Menurut hukum Islam, individu yang mengetahui wajib ke atasnya untuk


melaporkan kepada pihak berkuasa. Jika tidak, ia dikira bersubahat dan turut
mendapat dosa hasil menyembunyikannya. Penyembunyian atau membiarkan
gejala ini berterusan di sekeliling kita akan memberikan kesan buruk kepada Islam,
syarikat, organisasi dan negara. Akhirnya, semuanya akan terkesan dan merudum
jatuh. Antara halangan utama seseorang yang mengetahui atau mempunyai
maklumat dari melaporkannya ialah, pertama, tidak punyai bukti bertulis atau jika
ia miliknya sekalipun ia tergolong dalam katergori dokumen rahsia rasmi. Jika
didedahkan si pelapor pula yang akan ditangkap di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Masalah ini mestilah diselesaikan oleh pihak berkuasa jika benar-benar serius dalam
usaha membanteras rasuah.

Kedua, Tidak sampai hati untuk melapor kerana mereka yang terlibat adalah
rakan dan kenalan rapat. Bagi sesiapa yang terlibat dalam kategori ini, sedarialh
anda turut berdosa kerana bersubahat.

Ketiga, Bersikap tidak peduli yang berpegang dengan falsafah ‘lantak hang
la, asalkan tidak libat aku, sudah'. Ini juga dikira berdosa di dalam Islam.

Keempat, malas untuk terlibat dan ulang alik ke mahkamah untuk keterangan
di sana dan di sini. Sepatutnya, tiada malas dalam menjalankan tugas memerangi
mungkar dan kemaksiatan. Malas begini menandakan hati yang semakin ‘mati' dari
iman.

Kelima, takut diri sendiri terjerat apabila kerahsiaan dirinya sebagai pelapor
tidak di jamin selamat. Ini juga perlu di selesaikan oleh pihak berkuasa. Tanpanya,
semua hanya akan berdiam diri.

Keenam, kurang yakin kepada pihak berkuasa. Bimbang pihak berkuasa juga
akan dirasuah hingga akhirnya si pelapor pula yang dibuang kerja atau di ambil
tindakan. Pihak berkuasa perlu berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat
kepada mereka. Keyakinan tidak boleh dipaksa-paksa, ia akan dating dengan
pembuktian tahap kesungguhan mereka.

Ketujuh, takut kerana individu yang terlibat rasuah itu punyai ‘cable', jawatan
tinggi , hebat dan besar. Bagi keadaan ini, ia adalah tanda kehancuran sedang
menanti bagi Negara yang punyai keadaan ini. Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

"Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang


terhormat dari mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang
bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwaku ada di
tanganNya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku
potong tangannya!"

Punca Rasuah
Antara punca berlakunya rasuah ialah ialah, pertama, kelemahan peribadi
seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh
agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan
peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham
Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia
asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk,
tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi
mereka yang lemah keperibadiannya.

Kedua, kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang


lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap
menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

Ketiga, sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan


tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-
hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya.
Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah
melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

Keempat, modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak


diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya
rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran
wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan
untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan
para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha
untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah
diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan
bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan
projek dan sebagainya.

Kelima, politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk


berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk
mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan,
menagih populariti dan sebagainya.

Kesan rasuah
Antara kesan rasuah. Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana
kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan
adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang
atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah
negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah
akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara
kita.

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku,
maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang
sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka
pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan
manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan
pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan
masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat
dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan
pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan
sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan
amalan rasuah yang tidak terbendung.

Antara langkah mencegah rasuah adalah seperti berikut, pertama, memantapkan


iman dan mengukuhkan jatidiri. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah
benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap
individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera
kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat
menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka
luas di hadapan mata.

Kedua, memasukkan sukatan pelajaran bahaya rasuah dalam sistem


pendidikan. Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar
dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah
akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas.
Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada
rasuah.

Ketiga, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman.


Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar
masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras
dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan
berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang
bakal diterima.

Keempat, memudahkan urusan menggunakan ICT. Prosedur diproses yang panjang,


sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan
kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu
diringkaskan supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga,
kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya
rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.

Antara keadaan yang mencetuskan rasuah ialah, pertama, pemusatan kuasa,


terutamanya dalam kalangan para pembuat dasar/pembuat keputusan, yang tidak
berhubungan langsung dengan rakyat, seperti yang sering terjadi di wilayah-
wilayah yang dianggap tidak demokratik.

Kedua, kurangnya ketelusan dalam urusan pentadbiran kerajaan. Ketiga,


kempen-kempen politik yang mahal, yang kadang kala melepasi had yang
dibenarkan undang-undang. Keempat, projek mega yang melibatkan penggunaan
wang pembayar cukai yang besar. Kelima, sikap individu tertentu dan jaringan
"teman lama". Keenam, lemahnya pemahaman tentang undang-undang apatah lagi
untuk melaksanakannya. Ketujuh, kelemahan sistem pelaksana dan sistem
kehakiman. Kelapan, kebebasan bersuara atau kebebasan media disekat
Kesembilan, gaji penjawat awam yang kecil. Kesepuluh, rakyat yang tidak kritikal:
mudah dibohongi, kagum dan seterusnya kogam dengan politiking, seterusnya
"malu" melaporkan kecurangan yang berlaku. Kesebelas, waktu-waktu pemilihan
parti atau pilihan raya: politik wang sukar dikesan dan dibanteras.

Impak Negatif
Demokrasi

Rasuah ialah musuh pembangunan. Dalam dunia politik, rasuah menjejaskan


perjalanan demokrasi dan pentadbiran yang cekap apabila formaliti diabaikan.
Rasuah dalam pilihan raya atau pemilihan umum lain dan dalam badan
perundangan/legislatif merosakkan akauntibiliti dan kecekapan juga; rasuah dalam
sistem pengadilan pula mencabul ketertinggian undang-undang; dan rasuah dalam
pentadbiran awam menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial. Secara
umum, rasuah mengikis kemampuan sesuatu sistem; kerana ketidaktertiban
prosedur, kemerosotan sumber daya/usaha, dan pejabat diiktiraf/dinaikkan oleh
jabatan bukan kerana prestasi. Keseluruhannya, rasuah menghancurkan
kepercayaan masyarakat terhadap sistem-sistem yang ada.

Ekonomi

Rasuah merosakkan keadilan sosial dan kesaksamaan ekonomi.

Rasuah mempersulit kemajuan ekonomi apabila kecekapan menurun selain


mengubahsuaikan sistem yang selama ini diterima pakai dan efektif. Dalam sektor
swasta, perbelanjaan akan meningkat kerana wujudnya perbelanjaan "di luar
akaun", belanja perundingan dengan pejabat/jabatan yang korup (duit kopi?), dan
serta risiko pembatalan projek/konsesi. Walaupun ada yang menyatakan bahawa
rasuah mengurangkan kos kerana birokrasi berjaya "dicairkan", penyelidikan
terbaru mendapati hal demikian tidak berlaku, sebaliknya lebih tinggi lagi kosnya
kerana pejabat/jabatan korup tersebut akan membuat lebih banyak peraturan dan
hambatan yang baru. Rasuah juga menjejaskan persaingan dalam perniagaan dan
pasaran seluruhnya apabila syarikat tertentu yang mempunyai "hubungan"
dilindungi daripada persaingan, lantas melahirkan syarikat/industri yang tidak
berdaya maju.

Rasuah menimbulkan kekacauan dalam sektor awam apabila perbelanjaan awam


untuk projek-projek kemasyarakatan yang sememangnya banyak, naik mendadak
kosnya, sehingga melepasi peruntukan awal. Pejabat/jabatan awam (mungkin juga
kontraktor) mungkin "mengubahsuai" projek tersebut (selepas menerima
peruntukan daripada peringkat kerajaan yang lebih tinggi, misalnya), walaupun
sebenarnya tidak diperlukan, sebagai usaha menyorokkan rasuah yang berlaku.
Kemudiannya, keselamatan, keselesaan, dan kesan alam sekitar projek tersebut
menjadi pertaruhan . Rasuah juga menjejaskan kualiti perkhidmatan sektor awam
dan infrastruktur yang dirancangkannya, sekali gus mengenakan tekanan yang
hebat kepada belanjawan/bajet kerajaan.

RUJUKAN
1. Artikel ‘Komitmen Perangi Rasuah’ oleh Misiah Taib, Berita Harian, 4 Disember,
2003.
2. Kamus Dewan (2007), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
3. Pelan Integriti Nasional, Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan Pelan Integriti
Nasional dan
Institut Integriti Malaysia, Putrajaya, 23 April 2004.
4. www.bpr.gov.my
5. www.oecd.org/corruption/asiapacific

6. 1994. Soal Jawab Untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Kuala Lumpur: International


Law Book
Services.
7. 1992. Tonggak Dua Belas: Penerapan nilai, norma dan etika perkhidmatan. Kuala
Lumpur:
INTAN.
8. 2004. Usaha-usaha peningkatan kualiti perkhidmatan awam dalam konteks
penerapan nilai-
nilai murni: satu analisis. Kuala Lumpur. MAMPU.
9. Abd Rahim Abd Rashid. 2004. Nilai-nilai murni dalam pendidikan: menghadapi
perubahan
dan cabaran alaf baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.
Bhd.
10. Institut Tadbiran Awam Malaysia.1994. Citra Karya: Falsafah, Nilai dan Etika
Dalam
Perkhidmatan Awam. Kuala Lumpur: INTAN.
11. Institut Tadbiran Awam Negara.1991. Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan
Awam. Kuala
Lumpur: INTAN.
12. Muhamad Ali Embi, Rozita Abdul Mutalib. 2006. Esei-Esei Pentadbiran Awam.
Kuala Lumpur:
Prentice Hall.
13. Mustafa Haji Daud. 1994. Pengurusan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications
&
Distributors Sdn. Bhd.
14. Norliza Abd Rahman. 6 Disember 2006. Utusan Malaysia. KSN: Ada ruang boleh
diperbaiki.
Kuala Lumpur.
15. Yusof Ismail, Khayati Ibrahim. 2004. Dasar-dasar Kerajaan Malaysia: tinjauan
menyeluruh.
Kuala Lumpur: Penerbit A.S. Noordeen.
16. ‘Tolak Rasuah untuk Berjaya’ Utusan Malaysia,8 Januari 2003