Anda di halaman 1dari 15

Tik,tok,tik,tok..,. Bunyi detikan jam di dinding seolah olah mengiringi irama detikan di jantungku. Debaran kian terasa.

Peluh mula timbul di celah-celah anak rambut di dahiku. Tanganku tidak berhenti-henti menggerak-gerakkan tetikus. Sekali-sekala jari jemariku ditekan-tekan sehingga mengeluarkan bunyi. Itu merupakan satu tabiat burukku apabila aku berasa cemas. Kini giliran jari jemariku pula memainkan peranan, dengan menaip halaman e-Gtukar di tapak pencarian Google. Setelah alamat sesawang yang ditaip tadi kelihatan di paparan skrin komputer ribaku, dengan sepantas kilat ak klik pada halaman yang dicari tadi. Dengan hati yang berdebar-debar, aku menaip kata laluan dan ID pengenalanku pada halaman e-Gtukar seperti mana yang telah aku lakukan dua bulan sebelum ini. Ini merupakan cubaan kali keduaku untuk berpindah tempat berkhidmat setelah mencurahkan segala bakti dan jasa di sekolahku sekarang. Sebuah sekolah rendah yang berada di daerah Hulu Selangor dengan jumlah muridnya yang tidak sampai seratus orang keseluruhannya. Sekolah ini adalah sekolah yang pertama dalam perkhidmatanku sebagai seorang guru bertauliah. Setelah ID dan kata laluanku disahkan oleh sistem, maka paparan dalam sistem pun tertera di skrin. Aku mula mencari paparan yang menyatakan keputusan di sebelah kiri paparan utama. Tanpa teragak-agak, aku terus klik pada ikon tersebut dan keputusan pertukaran pun keluar di paparan skrinku. Aku dapat melihat dengan jelas, namaku beserta nombor pengenalan diri berada di paparan tersebut. Namun terdapat sebaris ayat yang membuatkan mata dan diriku terkesima sebentar di hadapan skrin. Aku membaca ayat tersebut dengan teragak-agak, satu persatu dan mengulangi ayat tersebut berulang kali. Aku merasakan seolah olah apa yang ku lihat itu satu paparan yang tidak benar. Namun begitu, aku mula tersenyum puas dan menjerit kegirangan apabila dengan jelas tertera ayat yang menyatakan bahawa permohonan aku untuk berpindah diluluskan dan daerah serta sekolah pertukaran itu pula sama seperti yang aku kehendaki. Aku mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana permohonan aku diluluskan walaupun sekadar percubaan kali kedua. Selepas menyemak keputusan tersebut, komputer ribaku disimpan kemas ke dalam beg galas yang aku bawa dan meletakkannya di bahagian bawah tepi sebelah kerusi pemandu. Dengan berbekalkan berita gembira itu aku pun keluar dari kereta dan

menuju ke restoran tempat semua rakan-rakan sekerja ku berada. Pada malam ini, merupakan satu malam yang ditunggu-tunggu oleh semua guru di mana satu acara terbesar telah diadakan bagi meraikan usaha keras para guru SK Lembah Beringin terhadap tugasan kami bagi tahun ini. Ianya merupakan satu majlis makan malam utama yang diadakan di Restoran Steamboat di daerah Hulu Selangor. Di tengahtengah kemeriahan majlis tersebut, pengerusi majlis dengan berseloroh bertanyakan tentang keputusan pertukaran tersebut kepada aku dan seorang lagi rakanku yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris. Rakanku itu juga memohon pertukaran tetapi memohon pertukaran beliau adalah ke negeri lain. Percubaan ini merupakan percubaannya kali ketiga. Dalam majlis tersebut, pengerusi majlis telah membuat pengumuman yang menyatakan bahawa keputusan pertukaran telah keluar dan beliau dengan berseloroh menyatakan bahawa kemungkinan sekolah akan kehilangan seorang guru dan guru itu adalah aku. Penonton yang lain dengan tegas menghalang keputusan itu. Mereka menyatakan bahawa permohonan aku itu tidak mungkin berjaya kerana perkhidmatan aku masih diperlukan di sekolah ini dan Guru Besar juga dengan berlelucon menyatakan bahawa kelulusan dari pihak beliau diberi sekiranya terdapat pengganti. Dalam keriuhan suasana usik mengusik itu, aku pun bangun dan bergerak ke arah pengerusi majlis. Aku telah memohon kebenaran dari pihak pengerusi majlis untuk membuat pengumuman secara terbuka pada waktu itu. Pengerusi majlis membenarkan aku untuk membuat pengumuman. Kini, mikrofon berada dalam genggamanku. Aku berada di hadapan semua hadirin yang hadir. Di kala semua mata memandang ke arahku itu, perasaan sebak dan hiba mula menyelubungi diri. Namun aku gagahi juga membuat pengumuman mengenai keputusan yang baru ku terima sebentar tadi. Semua hadirin yang hadir pada waktu itu menjadi senyap seketika. Seorang dari rakanku bertanyakan sama ada pengumuman ini satu gurauan atau satu perkara yang benar. Suasana mula menjadi hening. Pengumuman yang baru ku sampaikan sebentar tadi membuatkan suasana menjadi hiba seketika. Namun, aku sempat memberikan sepatah dua kata yang akhirnya membuatkan semua hadirin kembali ceria dan mendoakan kejayaan ku di tempat baru.

Namun begitu, hati ku menjadi gundah-gulana. Hati ku menjadi ragu-ragu. Persoalan demi persoalan timbul yang membuatkan hati ku menjadi semakin gusar. Apakah sekolah baruku itu dapat menerima ku seperti mana sekolah sekarang? Apakah beban kerja yang akan aku pikul nanti? Bolehkah aku menerima keadaan tempat baru? Di tempat baru sudah pasti guru-guru ada kumpulan mereka sendiri. Sudah pasti aku keseorangan nanti. Seribu persoalan demi persoalan yang tiada jawapan berlegar-legar di kepala ku. Apakan daya hanya doa yang mampu ku lakukan. Aku mengharapkan supaya kedatangan ku ke sekolah baru akan member satu pengalaman baru juga padaku. Kini, hari yang ditunggu-tunggu tiba. Seawal jam 6 pagi lagi aku sudah bangun dari tidurku. Seperti biasa, aku mempersiapkan diri ku seperti hari-hari bekerja sebelum ini walaupun pada waktu itu adalah cuti sekolah. Tiba-tiba pagi itu hatiku menjadi semakin berdebar-debar. Kaki ku terasa berat untuk melangkah ke tempat berkhidmatku yang baru, seolah-olah ada seketul batu yang sangat besar terikat di kaki ini. Debaran di hati juga semakin terasa. Aku berdebar-debar kerana aku berasa

sangat gementar untuk bertemu dengan majikan yang baru. Majikan baru ku nanti merupakan seorang pentadbir perempuan. Kebiasaannya aku mendengar berita yang disampaikan oleh rakan-rakan yang bahawa majikan perempuan lebih beremosi dan agak cerewat dalam segala hal. Ini lebih membuatkan ku berdebar-debar untuk berhadapan dengan pentadbir baru ini. Selain itu, aku juga berasa cemas kerana apabila berada di tempat baru, aku perlu membina semula hubungan dan komunikasi dengan rakan sekerja ku yang lain. Aku perlu memahami dan mengetahui budaya kerja guru-guru di tempat baru. Perkara ini membimbangkan aku. Ini kerana aku bimbang sekiranya aku tidak mampu menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan yang lain. Walau bagaimanapun, arahan dari pihak atasan mesti dan lebih wajib

diutamakan berbanding dengan hal lain. Oleh itu, aku pergi juga melaporkan diri di pejabat sekolah. Pada pagi itu, aku telah sampai awal dan melangkah dengan rasa cemas menuju ke pejabat untuk melapor diri. Sewaktu saja aku sampai di sekolah tersebut, salah seorang pekerja di pejabat menyapa ku dengan penuh berhemah. Tanpa teragak agak aku pun betanyakan kepada pekerja tersebut tentang tujuan

kehadiran ku pada pagi itu. Pekerja tersebut tersenyum ke arahku lalu menyampaikan berita kehadiranku itu pada Guru Besar. Sementara pekerja tadi memberitahu Guru Besar sekolah baruku itu tentangku, aku dikehendaki untuk duduk di kerusi menunggu pelawat yang telah dikhaskan di tepi bilik Guru Besar. Sewaktu aku menunggu itu sempat aku membaca carta organisasi sekolah bagi mengetahui nama majikan yang bakal ku temui ini. Tertera di papan pada dinding pejabat sekolah tersebut nama Guru Besar sekolah ku, Puan Sarah. Seorang Guru Besar yang telah berkhidmat di sekolah ini bermula pada tahun 2008 sehingga sekarang. Setelah mengetahui bahawa majikan yang bakal ku temui ini seorang perempuan, aku mula menyiapkan mental dan penampilanku agar kelihatan kemas dan baik untuk pertemuan kali pertama ini. Sehelai kemeja berwarna merah jambu dengan seluar jeans biru yang longgar dipakai olehku memandangkan hari ini merupakan cuti sekolah, jadi aku merasakan pakaian ku itu cukup sesuai untuk hadir sekadar melaporkan kehadiranku di sekolah baru. Setelah menunggu lebih kurang lima minit, aku mendengar suara dari dalam bilik itu memanggil aku untuk masuk. Tanpa berlengah, aku terus menuju ke arah panggilan itu. Dengan langkah yang bersemangat dan berdebar-debar, aku bergerak menuju kearah Puan Sarah. Seorang perempuan yang kelihatan sudah berumur tetapi Nampak masih bertenaga dan aktif. Terdetik di dalam hatiku mengatakan Puan Sarah mungkin berada dalam lingkungan usia empat puluhan berdasarkan cara penampilannya yang berpakaian kasual, bermekap dan memakai kasut tinggi. Kemas tetapi elegen. Dari jauh kelihatan Puan Sarah tersenyum di atas kerusinya menyapa kehadiranku. Satu senyuman menyambut kedatanganku buat kali pertama. Aku merasa lega kerana ianya kelihatan sebagai satu petanda baik. Setelah memperkenalkan diriku kepada Puan Sarah, beliau pun mempersilakan ku untuk duduk. Sesi perkenalan bermula. Setelah memperkenalkan sejarah perkhidmatan ku padanya, Puan Sarah ada menyatakan bahawa dia akan bersara pada tahun hadapan. Satu kenyataan yang membuatkan aku terperanjat. Terkejut kerana tekaan ku padanya mengenai usia meleset sama sekali. Penampilannya yang kemas serta pergerakannya yang bertenaga diusia yang hampir 60 tahun membuatkan aku berasa kagum dan hormat padanya. Namun begitu dalam perbualan tersebut, aku

ada sedikit terkilan dengan ayat yang dinyatakan oleh Puan Sarah. Pada awal-awal perbualan tersebut dia ada menyatakan bahawa sekolah ini semakin kekurangan jumlah murid berbanding sebelumnya mungkin kerana faktor persekitaran seperti sekolah baru di perumahan berdekatan. Puan Sarah juga ada menyatakan bahawa disebabkan jumlah yang berkurangan itu, sebuah kelas dari setiap tahun ditutup bagi memenuhi bilangan murid dalam satu kelas. Maka bilangan kuota guru juga mengikut bilangan murid yang ada. Sekiranya mengikut bilangan kuota tersebut bilangan guru sudah mencukupi lebih-lebih lagi opsyen yang aku miliki sebenarnya sudah maksimum bilangannya di sekolah ini. Puan Sarah juga menyatakan bahawa aku merupakan guru lebihan di sekolah ini yang dihantar oleh pihak jabatan selain kehadiran ku ini tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihaknya. Kenyataan yang diberikan itu membuatkan ku sedikit terkilan kerana bukan tanggungjawabku menentukan

penempatan ku di mana-mana sekolah. Ya, sememangnya aku memilih sekolah ini dalam senarai tiga sekolah pilihan yang diminta. Namun begitu keputusan akhir penempatan ini merupakan keputusan yang dibuat oleh pihak Kementerian, bukan satu keputusan mutlak dari aku. Kini aku merasa sedikit terkilan dan dapat merasakan bahawa kehadiran ku seperti tidak dialu-alukan. Sewaktu melangkah keluar dari bilik Guru Besar itu, hati ku diruntun rasa pilu dan tidak senang. Kedatangan ku ke sekolah merupakan satu perkara yang tidak disangka oleh mana-mana pihak. Aku pun bergerak meninggalkan perkarangan sekolah setelah semua keperluan peribadiku diisi dalam rekod sekolah. Sampai sahaja aku di rumah, aku menceritakan kisah sedih itu kepada ibuku. Seorang pendengar dan penasihat hidupku. Ibu ku mendengar dengan penuh kesungguhan dan tersenyum padaku lalu berkata, Jangan sedih. Sebuah mutiara akan sentiasa bersinar walau di mana ia berada. Yang penting percaya pada diri sendiri,. Sebaris ayat yang membuatkan aku berfikir dan termenung seketika. Ada kebenarannya kata-kata itu. Sekiranya aku ingin menjadi seperti mutiara yang ibu ku katakana tadi, aku sepatutnya kuat dan tahan cabaran. Aku memotivasikan diriku untuk lebih bersemangat dan buktikan pada semua yang tidak menyangka kehadiranku ke sekolah ini bahawa aku bukanlah satu beban yang akan merugikan mana-mana pihak. Berbekalkan semangat

baru itu, aku pun melangkahkan kaki ke sekolah di hari pertama perjumpaan semua guru sebelum hari persekolahan bermula. Dalam perjumpaan yang diadakan ini, semua guru diwajibkan hadir bagi membincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh semua guru kelas dan guru-guru bilik khas yang lain untuk lebih bersedia menerima murid setelah cuti persekolahan yang panjang bagi memulakan sesi persekolahan yang baru. Dalam mesyuarat yang diadakan itu, Guru Besar telah memperkenalkan aku kepada semua guru yang lain. Mereka kelihatan agak terkejut dengan kehadiranku ini. Seorang cikgu yang duduk di sebelah ku menyatakan bahawa kehadiran aku di sekolah ini kerana seorang cikgu lain telah mendapat pertukaran ke sekolah di sebelah perumahan ini. Namun begitu guru yang sepatutnya berpindah itu masih kelihatan di dalam mesyuarat tersebut. Pada mulanya aku menganggap bahawa dia sudah melaporkan diri di sekolah baru namun perlu menghadiri mesyuarat di sekolah lama sebagai mesyuarat terakhir sebelum menutup tirai 2012. Mesyuarat bagaimanapun berakhir dengan tugasan-tugasan rutin guru. Namun, tugasan serta jadual untuk diri aku masih belum ku terima. Guru Penolong Kanan Pentadbiran menyatakan bahawa kehadiran ku di sekolah merupakan kehadiran yang tidak dimaklumkan oleh pihak pejabat pelajaran, maka jadual ku tidak disediakan oleh pihak jawatankuasa. Aku memahami situasi yang berlaku dan cuba untuk menerima secara positif. Walau bagaimanapun GPK Pentadbiran mengingatkan aku untuk hadir berjumpanya di biliknya bagi membincangkan mengenai jadual dan opsyen yang berkaitan. Setelah tamat mesyuarat, aku dikehendaki bergerak ke bilik guru dahulu bagi mengenal pasti kedudukan meja guru ku. Setelah perbincangan dilakukan dengan cikgu Sofia, aku telah memilih untuk duduk di meja di tepi tingkap. Pada asalnya, terdapat dua tempat lain yang lebih sesuai dan aku suka dengan kedudukannya yang strategik dan tidak mengganggu mana-mana pihak. Pada mulanya aku bertanya tentang status meja berkenaan sama ada ianya kepunyaan orang lain atau tidak. Kebanyakan guru yang berada di dalam bilik berkenaan mengatakan bahawa meja tersebut adalah kosong. Namun apabila aku sedang membersihkan meja tersebut, seorang guru perempuan lain masuk dan menyatakan bahawa meja tersebut adalah

meja kepunyaannya. Aku memohon maaf dan beransur dari meja tersebut. Akhirnya aku berpindah ke meja yang lain. Aku menunggu seketika sekiranya meja tersebut sudah bertuan dan akhirnya meja tersebut sememangnya masih belum dimiliki. Sedang aku mula untuk berkemas, tiba-tiba arahan dikeluarkan bahawa meja lama yang ada di bilik guru dibawa keluar dan digantikan dengan meja baru. Meja baru tersebut baru sahaja tiba dan aku terlibat salah seorang guru yang bermeja lama dan perlu diganti itu. Kelihatan beberapa guru lelaki membantu guru perempuan yang lain untuk menjalankan proses penggantian tersebut. Aku pun menanti dengan sabar. Menunggu sehingga semua meja yang baru bagi cikgu-cikgu yang senior di sekolah itu diberikan kepada mereka terlebih dahulu. Akhir sekali giliran aku pula. Aku memberitahu kepada cikgu lelaki berkenaan mengenai meja tersebut untuk meminta jasa baiknya mengangkat ke tempat ku. Namun begitu, permintaan ku tadi dipandang sepi. Aku masih mendiamkan diri lagi. Aku berfikiran positif bahawa guru tersebut perlu menyelesaikan maslaah guru perempuan yang lain. Namun begitu, aku menanti sehingga hampir masa untuk balik, namun tiada bantuan ku terima. Dengan perasaan yang sedikit kesal, aku pergi sendiri ke bilik yang terdapatnya meja baru tersebut. Pada mulanya aku beranggapan aku mampu untuk mengangkat sendiri namun, terasa meja tersebut agak berat. Aku pun cuba berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dan akhirnya aku berjumpa dengan pekerja pembersihan di sekolah. Aku memintanya untuk membantu aku mengangkat meja tersebut. Meja tersebut berjaya diangkat sehingga ke tempat yang telah ditentukan di bilik guru tadi. Namun begitu, laci untuk meja berkenaan masih di bilik stor di bawah. Aku pun turun sekali lagi. Kali ini bagi mengangkat laci bagi meja tersebut. Sedang aku berjalan menuju ke bilik stor itu, aku berjumpa dengan seorang guru lelaki. Aku memintanya untuk membantu aku mengangkat laci tersebut memandangkan ianya berat dan aku tidak mampu mengangkatnya. Namun begitu, guru lelaki berkenaan tidak membantu aku malah memberi cadangan bahawa aku perlu mengambil troli dan kerja akan lebih mudah menggunakannya. Cadangan itu membuatkan aku terkesima. Namun tetap menyabarkan diri walaupun aku tahu kehadiran aku sememanangnya tidak dimaklumkan awal. Walaupun begitu, aku berasa

kecewa dengan segelintar sikap guru ini yang kelihatan agak berkira dalam perbuatan. Aku mengeluh sendiri. Aku dapat merasakan bahawa budaya kerja seperti ini perlu aku hadapi untuk hari-hari mendatang. Aku berfikiran positif dan memberi motivasi pada diri agar tidak berasa kurang bersemangat untuk bekerja. Namun begitu, terdapat juga beberapa orang guru yang boleh diharap dan boleh dicontohi kerana sikap mereka yang professional dan tidak berkira. Sekurang-kurangnya, aku gagah juga untuk meneruskan pekerjaanku untuk hari-hari yang mendatang dengan lebih bersemangat. Pada keesokan harinya, aku perlu berjumpa dengan GPK Pentadbiran seperti yang diminta oleh beliau di dalam mesyuarat sebelum ini. Tanpa berlengah lagi aku pun berjalan menuju ke pejabat. Sampainya aku di sana, aku membaca nama yang ada serta jawatan yang tertera pada papan yang dilekatkan di setiap pintu bagi mengenal pasti bilik mana yang harus ku tuju. Akhirnya kelihatan papan yang menunjukkan nama, Pn Salmi dan jawatannya, GPK Pentadbiran di sebelah pintu bilik Guru Besar. Setelah selesai mengenal pasti bilik yang mana harus ku tujui, aku pun melangkah dengan penuh tertib menuju ke bilik berkenaan. Aku mengetuk pintu dengan ketukan yang agak ringan dan bagi ku cukup sekadar boleh didengari oleh pihak di sebelah dalamnya. Aku mendengar suara yang memberi kebenaran untuk ku masuk. Aku pun bergerak masuk seperti yang diminta. GPK Pentadbiran sekolah aku merupakan seorang guru kanan perempuan yang berada dalam lingkungan usia hujung empat puluhan. Setelah aku melangkah masuk, GPK mempersilakan aku untuk duduk di kerusi yang berada di hadapannya. Tanpa melengahkah waktu, aku pun duduk dengan tertib di hadapan Puan Salmi. Puan Salmi pun menyatakan tujuan dia memanggil aku untuk menerangkan kedudukan ku di sekolah ini. Beliau menyatakan bahawa sebenarnya seorang guru di sekolah ini telah secara tidak sengaja memohon pertukaran ke sekolah berdekatan dengan harapan bahawa permohonannya tidak akan dilayan atau ditolak. Walau bagaimanapun, nasibnya agak bertuah dan permohonannya diluluskan. Walau bagaimanapun, guru tersebut tidak mahu berpindah dan sedang berusaha untuk memohon kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah untuk menarik semula penempatan baru itu. Oleh sebab itu, cikgu tersebut masih kelihatan di sekolah ini seperti mana yang

aku lihat dalam mesyuarat semalam. Puan Salmi juga menyatakan bahawa disebabkan cikgu tersebut masih dalam proses rayuan, beliau akan masih di sekolah ini dengan jadual yang telah dikeluarkan kepadanya. Oleh yang demikian, kedudukan aku di sekolah ini sekadar memenuhi jadual guru ganti. Melalui berita ini, ia serba sedikit membuatkan hati ku berasa kurang termotivasi. Aku merasakan kedatangan aku tidak dialu-alukan bukan satu halusinasi tetapi realiti sebenar dan aku tidak selesa dengan layanan dan komunikasi beberapa orang guru lain yang menganggap aku sebagai guru baru yang baru ditempatkan buat kali pertama dan ada juga yang menganggap aku sebagai guru ganti yang tidak berkelayakan sedangkan aku sudah berkhidmat selama lima tahun. Keadaan ini mengecewakan aku dan aku sememangnya berada dalam keaadan yang kurang selesa. Setiap hari, aku ke sekolah dalam keadaan yang tidak bersemangat dan kurang motivasi diri. Kerja ku setiap hari hanyalah menggantikan guru yang cuti sakit atau keluar kerana bermesyuarat. Tugasan ini aku lakukan selama sebulan. Dalam tempoh sebulan ini jugalah aku telah bergerak secara sendirian. Bukan kerana aku tiada kawan tetapi aku masih dalam proses mengenali guru-guru di sini. Ada sebahagian daripadanya sukar didekati, ada yang mudah didekati tetapi mempunyai beberapa sikap yang aku kurang senangi dan ada juga yang mudah didekati serta menghiburkan apabila berkomunikasi bersama. Bagi golongan ini, aku akan mudah berkawan rapat dengan mereka. Namun begitu, Cikgu Azman, guru yang sepatutnya berpindah itu perlu melaporkan diri di sekolah baru tetapi dia masih enggan berbuat demikian. Pihak Pejabat Pendidikan Daerah terpaksa mengambil tindakan tegas terhadapnya dan memberi kata dua kepadanya untuk melaporkan diri juga di sekolah baru dalam kadar segera. Jika tidak penerimaan gajinya untuk bulan seterusnya akan dihentikan seketika sehingga dia melaporkan diri ke tempat bertugas yang sepatutnya. Akhirnya setelah mendapat amaran dari pihak pejabat pelajaran daerah, Cikgu Azman dengan terpaksa telah berpindah ke sekolah baru tersebut. Oleh itu bermulalah tugas rasmi ku sebagai tenaga pengajar di sekolah ini. Namun bagitu, tugasan yang ku terima merupakan menerimaan tugas yang disandang oleh Cikgu Azman sebelum ini. Aku diberi tugasan untuk mengajar mata pelajaran Matematik tahun 6, 4 dan 3 serta

menjadi guru penyelaras ICT sekolah. Pada mulanya aku merasakan tugas yang diterima ini boleh dipikul dengan baik memandangkan hanya ini sahaja tugasan yang diterima olehku. Walau bagaimanapun, aku mengingatkan diri, walau apa pun tugasan yang diberi aku sebagai guru, perlu melakukan yang terbaik dan memberi contoh teladan yang boleh diikuti oleh anak bangsa. Sebulan sudah berlalu. Kini sudah sepatutnya penyerahan tugas yang di sandang oleh Cikgu Azman dulu diserahkan secara rasmi pada pihak sekolah. Namun begitu, dia masih belum berbuat demikian. Namun begitu, cikgu Azman akan turun ke padang setiap petang bagi melihat peningkatan kemahiran latihan murid bola baling dibawah seliaannya. Pada suatu petang, aku telah mengambil kesempatan itu untuk berjumpa dengan cikgu Azman. Aku mengharapkan bahawa dia akan memberikan sedikit taklimat atau penjelasan penting berkaitan laman web sekolah serta semua yang berkaitan ICT terutama pembinaan VLE Frog 1Bestarinet yang dilancarkan oleh kementerian bagi menggalakkan penggunaan pembelajaran secara maya seiiring dengan perkembangan teknologi terkini. Aku sangat memerlukan penjelasan serba sedikit mengenai tugasan yang sudah dilaksanakan olehnya untuk memahami tindakan seterusnya yang perlu aku lakukan. Pada petang itu, aku datang ke sekolah dalam jam lima petang. Namun begitu, kelibat cikgu Azman masih tidak kelihatan, yang ada hanyalah cikgu Azri yang sedang melatih murid untuk pertandingan olahraga yang akan diadakan tidak lama lagi. Aku bercadang untuk menunggu cikgu Azman di padang. Sementara itu, aku melihat latihan yang dijalankan oleh murid-murid olahraga. Tidak lama kemudian, kelibat cikgu Azman kelihatan dari jauh. Dengan kadar segera, aku pun meninggalkan padang dan menuju kearahnya. Apabila jarak semakin menghampiri, kelihatan cikgu Azman sedang minum air Ice Lemon Tea, satu minuman dalam tin sambil terduduk di tepi gelanggang futsal di tepi padang. Aku pun bergerak menghampirinya dengan senyuman. Namun begitu, senyuman ku tadi tidak dibalas. Kemudian aku berdiri di hadapan cikgu Azman yang sedang duduk itu lalu memintanya dengan baik mengenai kata laluan dan meminta khidmat nasihat untuk pembinaan halaman frog sekolah. Walau bagaimanapun, aku dimarahi olehnya dengan tidak semena-mena sehingga aku tertanya-tanya di mana

silap aku. Nanti bagi la! Ada je semua tu!! dengan suara yang lantang dan keras itu. Aku terkesima sebentar. Kenapa perlu sampai begitu sekali balasan yang aku terima?sedangkan aku hanya sekadar bertanya. Jika dia berada dalam keadaan yang tidak selesa mengapa tidak memberi isyarat atau menyatakan dengan sewajarnya bahawa nant dia akan hubungi aku semula. Murid-murid yang berdekatan dengan kami pada waktu itu memandang kea rah aku dan cikgu Azman dek lantaran suara yang agak kasar sebentar tadi. Aku menjadi malu dan geram di situ kerana aku merasakan tidak adil untuk aku menerima tindakan seperti itu. Namun, aku masih menyimpan rasa sabar di hatiku ini. Dengan nada yang rendah, aku menyatakan padanya yang aku akan rujuk dia kembali pada lain kali. Setelah itu aku terus beredar dan terus memandu pulang ke rumah. Tibanya aku di perkarangan rumahku,aku dengan geram menceritakan hal tersebut kepada ibuku. Ibuku meminta aku supaya bersabar dan mengulas tindakan cikgu Azman tadi yang tidak kena pada keadaan. Ibuku juga menasihatiku supaya tidak marah keterlaluan dan memaafkan perkara yang berlaku. Hati aku pada mulanya berasa marah dan ingin sahaja aku membalas dengan perbuatan yang sama juga nanti, tetapi lama kelamaan aku merasakan tindakan seperti itu tidak rasional dan tidak matang. Guruku pernah berkata, seorang yang mempunyai pelajaran atau ilmu sentiasa berada di darjat yang lebih baik daripada orang lain dan orang yang berilmu sentiasa bertindak mengikut ilmu dan akalnya tanpa sesekali menggunakan nafsunya. Selepas aku teringat kata-kata itu, cepat-cepat aku beristighfar dan menenangkan diri. Aku orang yang berilmu. Aku tidak akan sesekali bertindak mengikut nafsu kerana nafsu yang menjadi raja dalam keputusan akan menunjukkan kebodohan serta kejahilan diri sendiri. Pada keesokan harinya aku membuka halaman facebook ku. Tiba-tiba aku terlihat satu kenyataan yang ditulis oleh cikgu Azman di halaman web sekolah yang berbunyi seakan memerli seseorang. Aku mendiamkan diri dan mengharapkan agar cikgu Azman bermaksud pada perkara lain. Kemudian, tanganku dengan cepat membuka halaman lain dan menyiapka segala tugasan ku yang tergendala. Kini dua minggu berlalu bagaikan semalam berlaku. Hal yang terjadi di padang sudah lama aku padamkan dengan harapan akan bermula hari yang baru. Cikgu

Azman masih belum menyerahkan segala keperluan tugasan yang perlu disiapkan oleh aku. Aku mengadukan hal ini kepada dua lagi teman baikku. Mereka mencadangkan agar aku menceritakan segala permasalahan mengenai tugasan rasmi pada pentadbir supaya mereka dapat memberi pandangan atau cadangan yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini. Pada tengah hari itu, aku dipanggil oleh Puan Sarah, Guru Besar sekolah ke biliknya. Dia telah bertanyakan mengenai tugasan yang baru ku terima sama ada timbul masalah atau tidak. Pada mulanya aku tidak mahu menceritakan masalah aku padanya tetapi Puan Sarah terlebih dahulu bertanya sama ada cikgu Azman sudah memulangkan segala yang berkaitan sekolah kepadaku. Aku dengan jujur dan jelas menyatakan perkara sebenar dan memberitahu Puan Sarah yang aku masih menunggu pemberian sekolah yang disimpan oleh cikgu Azman. Puan Sarah merupakan seorang majikan dan ketua yang aku sangat hormati bukan kerana penampilannya tetapi kerana pengalamannya dalam bidang pendidikan yang lebih lama berbanding aku serta usianya yang lebih tua daripada usia ayahku. Bagi aku, Puan Sarah harus dihormati sama seperti aku menghormati orang tua aku. Oleh kerana aku bekerja dengan orang yang sudah berpengalaman ini dia memahami situasi aku. Puan Sarah dengan secara sukarelanya telah mencadangkan kepada aku supaya dia sendiri akan memaklumkan kepada cikgu Azman mengenai perkara tersebut. Selang beberapa hari, Puan Sarah menghubungi aku sekali lagi dan menyatakan bahawa cikgu Azman telah menghantar segala keperluan sekolah yang disimpan dan diserahkan kepada sekolah kembali pada sebelah petang hari sebelumnya. Walau bagaimanapun untuk pengurusan ICT sekolah, halaman web sekolah di facebook dan kumpulan perbincangan guru atas talian masih diurus selia oleh cikgu Azman lagi. Walaupun dia tidak lagi guru yang berkhidmat di sekolah ini, namun dia masih enggan menyerahkan segala kata laluan dan tugasan pengurusan tersebut kepada aku. Aku masih member peluang dan beranggapan bahawa cikgu Azman mempunyai niat yang baik untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua buah sekolah memandangkan dia juga merupakan guru penyelaras ICT di sekolah barunya itu. Kini di halaman rasmi sekolah, cikgu Azman sentiasa member infi terkini kepada berita

semasa serta hal-hal berkaitan pengurusan dan isu pendidikan semasa. Dalam tempoh ini juga aku Puan Sarah ada menyatakan bahawa cikgu Azman sedang memohon rayuan pertukaran semula balik ke sekolah ini. Namun begitu keputusan masih belum pasti. Tidak lama kemudian, keputusan rayuan pertukaran keluar dan rayuan cikgu Azman itu ditolak oleh pihak jaba tan pelajaran negeri. Oleh kerana rayuannya ditolak, cikgu ini telah mengemukakan aduan berkaitan pertukaran yang tidak adil baginya ini kepada pihak kementerian secara terus di halaman rasmi kementerian. TIndakan terburu-buru dan emosi cikgu Azman ini telah membangkitkan kemarahan pegawai yang berkaitan dengan penempatan pertukaran guru di pejabat pelajaran daerah. Oleh yang demikian, cikgu ini dikenakan boleh memohon pertukaran tetapi tidak akan dibenarkan memohon pertukaran ke sekolah asal dalam tempoh lima tahun. Namun begitu, cikgu ini sentiasa menulis ayat-ayat yang tidak sepatutnya seperti mempertikaikan keputusan pihak atasan termasuk keputusan yang dibuat oleh Puan Sarah Guur Besar sekolah ini yang tidak lagi menjadi majikannya. Pengurusan halaman juga tidak diserahkan padaku selaku penyelaras ICT sekolah. Kemudian perkara menjadi lebih buruk apabila aku menulis satu komen yang tidak ditulis kepada sesiapa sekadar hanya gurauan di kumpulan perbincangan guru dan kakitangan dalam facebook telah disalah ertikan. Rentetan dari itu, cikgu Azman seakan menganggap aku sebagai satu ancaman dan beban yang perlu dihalangi. Komen yang telah aku tulis itu telah di print screen kan dan diletakkan di dalam paparan utama akaun facebooknye dengan menuduh aku sebagai seorang kaki kipas, pengampu kepada pihak pentadbir. Aku sangat terkejut mendengar berita itu. Aku mendapat tahu mengenainya apabila salah seorang rakan sekerja ku menceritakan hal itu kepada aku. Aku tidak tahu hal ini kerana akaun ku telah disekat oleh cikgu Azman dari meilhat segala aktiviti yang dilakukan. Tambahan pula, pihak pentadbir juga memanggil aku untuk membincangkan hal ini. Mereka merasa tidak selesa dengan tindakan cikgu tersebut yang diaanggap melanggar hak asasi sekolah ini. Dia dianggap tidak menghormati privasi sekolah ini dengan sentiasa menulis kenyataan yang berbentuk perli, provokasi dan tuduhan tidak berasas. Pihak pentadbir juga menyatakan bahawa mereka sudah membaca kenyataan

atau tuduhan yang dibuat oleh cikgu terbabit. Puan Sarah berasa tidak puas hati dengan tindakan cikgu terbabit dan meminta aku untuk memadamkan akaunnya dari halaman sekolah di facebook. Ini kerana sebarang kenyataan atau perkara yang ditimbulkan di halaman maya facebook akan dibaca oleh mana-mana orang di seluruh dunia. Apabila cikgu tersebut membuat tuduhan dan penyataan yang tidak bertanggungjawab, ia akan terkesan bukan sekadar kepada individu yang dituju malah memberi kesan yang negative kepada pandangan sekolah di mata masyarakat. Secara jujurnya sememangnya aku berasa geram dengan kenyataan tersebut ettapi aku mengambil keputusan untuk tidak memerangi orang seperti ini dengan emosi. Segala tindakannnya itu dilihat sebagai tindakan yang tidak matang, tidak berfikiran jauh serta cetak pengetahuan. Tambahan pula aku merasakan bahawa sekiranya aku berbalas penyataan dengan guru tersebut di atas talian, terutamanya di halaman facebook, kesan buruk akan diterima bukan sahaja pada aku malah memberi kesan yang lebih negative kepada sekolah, pentadbir serta profesion keguruan itu sendiri. Namun begitu, perkara ini berlarutan hingga berbulan lamanya. Permintaan pihak pentadbir meminta aku untuk memadam akaunnya dari halaman rasmi sekolah ditunda berkali-kali olehku dengan harapan bahawa cikgu Azman ini sentiasa ada peluang untuk memperbaiki diri dan hubungan dengan warga sekolah. Tetapi harapan hanyalah tinggal harapan. Malah perkara menjadi semakin serius apabila cikgu Azman membuat penyataan mengenai senarai guru yang akan menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada tahun ini di halaman rasmi sekolah. Senarai ini merupakan satu perkara sulit dan peribadi. Ianya hanya diketahui oleh pihak pentadbir dan penerima anugerah sahaja. Tindakan melampau ini membuatkan Puan Sarah meminta dengan lebih serius kepada aku untuk membuang akaun cikgu tersebut dari halaman rasmi sekolah. Disebabkan permintaan yang serius ini, aku terpaksa juga melakukan perkara tersebut terhadap akaun cikgu Azman. Pada malam tersebut, aku berusaha mencari jalan untuk membuang cikgu tersebut dari akaun rasmi sekolah. Akhirnya aku berjaya membuang cikgu itu dari akaun rasmi sekolah. Namun begitu tindakan ini tidak kekal lama dan kali ini akaun dia muncul kembali dan akaun aku pula ditukar peranan malah

dia juga membuat satu penyataan yang sangat tidak bertanggungjawab di kumpulan perbincangan guru dan kakitangan sekolah. Tindakannya ini sebenarnya bukan menunjukkan kehebatannya tetapi memperlihatkan betapa cetak pemikirannya kerana dari segi logik akalnya seorang penyelaras ICT perlu mengurus tadbir halaman maya rasmi sekolah. Ini sememangnya di bawah bidang tugas guru penyelaras ICT. Namun begitu apabila dia membuat sekatan terhadap aku, halaman tersebut kini telah ditadbir urus oleh seorang penyelaras yang tiada kena mengena lagi dengan sekolah. Ini merupakan satu perbuatan yang melanggar hak peribadi sekolah serta satu tindakan tidak bertanggungjawab. Puan Sarah kini merasakan perkara ini sudah terlampau serius dan memanjangkan hal ini kepada pihak pegawai ICT yang bertanggungjawab di Pejabat Pendidikan Daerah bagi menasihati cikgu berkenaan mengenai isu ini. Oleh itu, guru berkenaan telah pun dipanggil oleh pihak PPD dan diberi peringatan serius untuk tidak melanggar hak peribadi sebuah sekolah dan melanggar etika pekerja bertanggungjawab. Tidak lama dari isu berkenaan diketengahkan kepada pihak atasan, cikgu tersebut telah memadamkan segala halaman yang berkaitan dengan sekolah. Aku berasa kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh guru tersebut. Dia bukan sahaja menjadikan aku sebagai musuhnya tetapi aku dianggap sebagai orang yang memberi ancaman terhadap kerjayanya sedangkan aku tidak pernah merancang untuk menjatuhkan mahupun mencampuri urusan orang lain. Segala yang berlaku kini menjadi pengalaman berharga dan satu cabaran buat aku untuk terus maju ke hadapan. Benarlah bak kata pepatah Melayu, rambut sama hitam, hati lain-lain.