Anda di halaman 1dari 43

PENGENALAN Sistem Pendidikan Malaysia berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan kepada perkembangan emosi diri

pelajar secara menyeluruh untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Falsafah ini digunakan bagi melahirkan warganegara yang berketrampilan dan bertanggungjawab dalam segala bidang serta mampu menghadapi cabaran dalam menuju wawasan Negara. Walaubagaimanapun, kurikulum pendidikan masih berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana falsafah memainkan peranan sebagai dasar yang menjadi arah tuju, panduan dan bimbingan. Tanpa falsafah sesuatu kurikulum pendidikan itu adalah tanpa asas. Kurikulum yang berteraskan falsafah ini umumnya untuk membentuk pelajar bagi perkembangan menyeluruh meliputi dimensi insrtrumental / sosial dan dimensi intrinsik. Kurikulum ialah segala rancangan pendidikan (akademik dan kokurikulum) yang dikendalikan oleh sesebuah institusi pendidikan untuk mencapai matlamat pendidikan. Ia suatu rancangan yang meliputi segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma, unsurunsur kebudayaan dan kepercayaan masyarakat untuk diwariskan kepada ahli-ahlinya. Kurikulum kebangsaan yang ditetapkan hendaklah menentukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dijangka akan diperolehi oleh murid-murid pada akhir tempoh persekolahan masing-masing (Akta Pendidikan 1996). Oleh itu, kurikulum amat penting dalam sistem Pendidikan di Malaysia. Kurikulum pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam diri setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting untuk melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan (Mastura Badzis, 2008).

KONSEP ASAS FALSAFAH

Istilah falsafah berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu philos (bermakna mencintai) dan Sophia (bermakna kebijaksanaan). Dengan berpandukan kepada makna dua perkataan Yunani ini, istilah falsafah boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan.

Pada zaman Yunani yang bertamadun kira-kira 2500 tahun dahulu, ahli-ahli falsafah yang terkemuka seperti Socrates, Plato dan Aristotle sentiasa berusaha dan cuba memikir, menilai, mentafsir kehidupan dan pengalaman manusia dengan tujuan mencari kebenaran dan nilai kehidupan yang sempurna. Konsep ini dapat dikesan daripada dialog ahli-ahli falsafah yang direkodkan dalam zaman Yunani tersebut. Sebagai contoh, Socrates (469 399 SM) pernah berkata : Kehidupan manusia yang tidak dinilai merupakan kehidupan yang tidak berguna. Dalam zaman Yunani, ahli-ahli falsafah sering memikir soalan-soalan setiap fenomena alam sekitar. Sesetengahnya memandang jawapannya harus diperoleh terus melalui perbahasan. Manakala, sesetengah ahli yang lain menegaskan jawapan itu hanya boleh didapati melalui pemikiran deduktif, dan akhirnya menghuraikan falsafah sebagai pemikiran atas fikiran manusia.

Maka, tugas utama seseorang ahli falsafah ialah menilai kehidupan dan pengalaman manusia dengan cara menganalisis dan memberi interprestasi, kemudian mencari rumusan yang boleh membawa kepada taksiran secara menyeluruh terhadap ilmu dan kebenaran yang berkaitan dengan kehidupan dan pengalaman manusia. Penemuan dan rumusan ahli falsafah adalah amat berguna, dan akan dapat menjadi pedoman kepada manusia untuk mencari kehidupan yang sempurna serta menentukan haluan untuk pembangunan dan kemajuan negara.

Falsafah, dalam zaman Yunani dan selepas beberapa kurunnya, merangkumi bidang yang sangat luas, termasuk perkara-perkara seperti sains, matematik, teologi, psikologi, sosiologi dan ekonomi. Secara khususnya, falsafah melibatkan diri terhadap kajian tentan ilmu, alam nyata, fitrah manusia dan masyarakat. Ini adalah kerana ramai ahli falsafah berpendapat bahawa falsafah boleh membawa kemajuan manusia melalui usaha mencari ilmu dunia. Immanuel Kant (1724 1804) seorang ahli falsafah yang terkenal dan paling berpengaruh dari Jerman, berpendapat : Perkara yang berkaitan dengan falsafah ialah bukan menentukan peraturan, tetapi menganalisis pendapat peribadi terhadap penjelasan umum.

Menurut Russell (1946), falsafah dimaksudkan sebagai sesuatu fahaman atau pengertian di antara teologi dan sains. Ini kerana, seperti teologi, falsafah mengandungi spekulasi terhadap perkara yang belum tepat dibuktikan. Manakala, seperti pendekatan sains, falsafah pula berusaha menggunakan taakulan dan logik untuk membuktikan fahamannya. Oleh itu, Russell memandang falsafah merupakan sebagai sesuatu bidang kawasan tanpa manusia, didedahkan untuk serangan antara teologi dan sains.

Fung Yu-Lan (1966), dalam bukunya Sejarah Ringkas Falsafah China, menghuraikan falsafah sebagai pemikiran relektif yang sistematik terhadap kehidupan. Menurut beliau, seseorang ahli falsafah harus berfalsafah dengan memikir secara relektif terhadap kehidupan, kemudian menyatakan pemikirannya secara sistematik. Maka, semua teori kehidupan dan alam semesta, serta ilmu adalah hasil daripada pemikiran relektif tersebut.

Mengikut E.D Miller dalam bukunya Questions That Matter (1984), falsafah boleh ditakrifkan sebagai usaha untuk berfikir secara rasional dan kritis terhadap perkara-perkara yang penting. Sehubungan ini, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai satu usaha berfikir secara rasional dan kritis terhadap perkara yang penting mengenai pendidikan.

Ringkas kata, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membukti kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

FALSAFAH : CABANG, PERSOALAN DAN PENYELESAIAN

Pada amnya, falsafah diklasifikasikan kepada empat cabang atau bidang kajian, iaitu :

1. Metafizik Metafizik adalah salah satu cabang falsafah yang berkaitan dengan kajian sifat dan asal usul mengenai realiti mutlak. Istilah ini berasal daripada nama tajuk Meta ta physica dalam karya

Aristotle Prinsip Pertama. Oleh sebab tajuk itu bermakna Selepas Fizik, maka pengertian metafizik ialah berkaitan perkara yang keluar daripada fizik. Metafizik Aristotle (384 322 SM) pada asasnya berkaitan dengan masalah-masalah seperti bahan dan penyebabnya (temasuk sebab pertama, atau Tuhan), serta kewujudan yang telah menjadi kajian dalam ontologi, sesuatu cabang atau bidang kajian metafizik.

Mengikut istilah falsafah, ontologi ialah pengajian kewujudan (existence) atau kejadian (being). Ahli ontologi sentiasa berusaha mengetahui makna apabila kita mengatakan kewujudan sesuatu. Misalnya, epistemologi dan aksiologi Plato (421 347 SM) adalah berlandaskan ontologi. Mengikut Immanuel Kant (1724 1804), konsep metafizik tentang persepsi kebenaran sebenarnya hasil struktur kognitif dalam minda manusia.

Masa kini, pengertian metafizik ditafsir sebagai cabang falsafah mengenai kajian realiti yang muktamad. Cabang falsafah metafizik ini mengkaji realiti dengan mempersoalkan perkara seperti: 1. Apa dia alam semester? 2. Apa dia kehidupan? 3. Apa dia pemikiran? 4. Apa dia demokrasi? dan sebagainya.

Di samping itu, ia juga mempersoalkan perihal Tuhan; misalnya, adanya Tuhan atau tiada Tuhan?

Rumusan yang didapati daripada soalan-soalan tersebut dikaitkan dengan falsafahnya, misalnya metafizik pragmatisme, metafizik idealisme, metafizik eksistensialisme dan sebagainya. Sebagai contoh, mengikut metafizik idealisme, semua realiti dapat digolongkan kepada satu perkara iaitu kerohanian.

Epistemologi

Epistemologi ialah cabang falsafah yang mengkaji ilmu pengetahuan. Epistemologi mempersoalkan perkara seperti Apa dia ilmu? Bagaimana kita memperoleh ilmu? Bagaimana kita bukti kesahihannya? Apakah perkaitan ilmu dengan pembelajaran?

Di dalam proses perkembangan epistemologi, sejak tamadun zaman purba kala, telah wujudnya mazhab materialisme dan idealisme, iaitu pendekatan-pendekatan dialektik dan metafizik yang bertentangan. Melalui kedua-dua pendekatan ini, maka materialisme dan idealisme berkembang bersama dengan empirisisme dan rasionalisme yang mana idea mereka dianggap lebih mantap dan lebih sistematik.

Secara umumnya, epistemologi yang berlandaskan mazhab idealisme menekankan penguasaan ilmu daripada kesedaran kepada kefahaman. Ahli mazhab idealisme berpendapat ilmu didapati daripada pemikiran rasional atau pengalaman yang subjektif. Mereka menolak ilmu sebagai refleksi otak manusia terhadap dunia secara objektif. Manakala, epistemologi yang berlandaskan mazhab materialisme menekankan pendekatan ilmu daripada kefahaman kepada kesedaran. Oleh sebab ahli materialisme memandangkan ilmu sebagai sesuatu persepsi secara langsung dan refleksi yang pasif, maka teori epistemologi mereka tidak dapat menghuraikan masalah ilmu rasional dengan tepat.

Teori epistemologi yang berlandaskan materialisme dialektikal, meletakkan perlaksanaan teorinya sebagai tempat pertama, menggunakan pendekatan dialektik (proses interaksi di antara tesis dan antitesis demi menghasilkan sintesis) untuk menyelesaikan masalah semasa proses ilmu, iaitu mulai daripada persepsi yang menggerakkan pemikiran abstrak, demi mendapat penyelesaian secara saintifik berkenaan masalah sumber, proses, tujuan dan fungsi ilmu.

Teori epistemologi yang berlandaskan emperisisme dan rasionalisme merupakan dua mazhab yang paling berpengaruh terhadap pendidikan masa kini. Kedua-dua teori merupakan huraian falsafah secara sistematik yang berkembang di bawah konteks revolusi sains pada abad ke17. Kedua-dua pendekatan memberi pertimbangan utama kepada pencarian ilmu asas yang kekal. Model rasionalisme yang menarik perhatian ahli falsafah pendidikan mereka seperti Descartes, Leibniz dan Spinoza adalah didapati daripada demonstrasi formal dalam logik dan matematik tanpa pemerhatian atau eksperimen. Mereka berusaha membentuk semula secara kritis segala ilmu manusia dengan mengaplikasikan pemikiran tulen asas dan aksiomnya,

sebagaimana yang dinyatakan oleh Descartes : Saya memikir, maka saya wujud. Sedangkan, ahli emperisisme seperti Locke, Berkeley dan Hume menggunakan persepsi yang diperoleh daripada pengalaman sensori sebagai ilmu yang benar.

Perbahasan antara ahli rasionalisme dan ahli emperisisme adalah berpusatkan khasnya ke atas kemungkinan ilmu yang dilahir secara semula jadi, sama ada ilmu diperoleh sebagai a priori, iaitu didapati melalui penaakulan tanpa pengalaman dahulu, atau a posterior, iaitu ilmu didapati daripada pengalaman atau sesuatu yang tidak terpisah daripada pengalamannya. Ahli emperisisme menekankan minda manusia sebagai lembaran kosong sehingga kesan persepsinya ditinggalkan daripada pengalaman sensorinya. Immanuel Kant (1724 1804), seorang ahli falsafah dari Jerman dalam abad ke-18, menggabungkan emperisisme dan rasionalisme dalam teori epistemologi beliau, dan mensintesiskannya di antara pengalaman dengan konsep. Mengikut beliau, tanpa organ-organ deria manusia, kita tidak dapat mengenal pasti kesan dan kesedaran benda yang terwujud, tetapi tanpa kefahaman, kita tidak dapat membentuk konsep daripadanya. Maka, proses memperoleh ilmu ialah menggabungkan sesuatu yang melibatkan persepsi, imaginasi dan kefahaman yang berinteraksi dengan proses penaakulan. Menurut Kant, struktur mengorganisasikan konsep asas tidak boleh diperoleh daripada pengalaman sahaja. Tetapi, ia perlu digunakan untuk membolehkan kita menginterprestasikan pengalaman dunia secara keseluruhan. Maka, konsep ini adalah sebenarnya telah wujud sebelum pengalaman yang diperoleh seseorang.

Aksiologi Cabang falsafah aksiologi merupakan kajian terhadap nilai, dengan mempersoalkan perkara seperti apakah yang bernilai? Sebagaimana yang telah dihuraikan, cabang falsafah aksiologi ini adalah diklasifikasikan kepada dua bahagian, iaitu etika dan estetika.

Cabang etika mengkaji perkara seperti nilai-nilai moral, prinsip moral dan tingkah laku serta sifat murninya. Maka cabang etika ini pula dikenali sebagai falsafah moral. Istilah etika diperoleh daripada perkataan Yunani ethos, yang membawa maksud adat resam dan kelakuan. Etika sebagai suatu disiplin pula dibahagikan kepada etika normatif dan metaetika. Etika normatif mengkaji dan mencadangkan prinsip-prinsip kelakuan yang betul dan salah, baik dan jahat.

Pada masa dahulu, kebanyakan ahli falsafah menumpukan kajian berasaskan etika normatif. Sejak abad ke-19, metaetika semakin mendapat perhatian ahli falsafah dengan menggunakannya untuk mempersoalkan perkara seperti peranan etika dalam kehidupan, asas logikal tentang sesuatu sistem etika dan kesahihannya.

Di dalam kebanyakan sistem organisasi sosial, kelakuan etika biasanya dipandang sebagai penyempurnaan kendiri melalui usaha mengejar kebaikan, kewajiban terhadap orang lain atau menerima prinsip-prinsip kebaikan, atau kedua-duanya. Penyempurnaan kendiri mungkin boleh diperoleh daripada kegembiraan atau keseronokan, atau daripada usaha mengejar sesuatu yang ideal. Kewajiban biasanya termasuk bukan sahaja kehormatan kepada orang lain dan norma masyarakat, tetapi juga sebagai perkhidmatan kepada Tuhan.

Estetika mengkaji nilai-nilai mengenai kecantikan dan seni. Istilah estetika pula diperoleh daripada perkataan Yunani yang membawa maksud persepsi deria. Estetika mempersoalkan perkara seperti apakah kecantikan, Apakah nilai-nilai kecantikan?, dan sebagainya. Tentang persoalan seni, Plato dan Aristotle memandangnya sebagai peniruan dan kecantikannya sebagai ungkapan kualiti universal. Plato pula membezakan seni dari segi kecantikan yang ideal dengan objek yang cantik. Manakala, Aristotle menganggap kecantikan adalah direka bentuk dalam harmoni kerja seni.

Kepada orang Yunani, konsep seni merangkumi semua kraf tangan, bentuk simetri, keseimbangan dan perpaduan dalam tenunan, seni tembikar, puisi dan seni pahat. Sejak abad ke-19, seni menjadi sesuatu yang berkaitan dengan lukisan, seni pahat dan sastera, dan dikenali sebagai seni halus.

Immanuel Kant memberi tafsiran baru kepadanya dengan memandang penikmatan seni bukan semata-mata persepsi kecantikan instrinsiknya, tetapi sebagai penglibatan penilaian yang subjektif.

Hari ini seni tidak lagi digunakan dalam upacara agama atau sivil sahaja, tetapi dipandang sebagai refleksi psikologikal, sosial dan politikal. Di dalam mazhab Marxisme, seni sering

digunakan untuk tujuan sosial, menyokong atau melemahkan keadaan ekonomi yang sedia ada.

Konsep nilai etika atau estetika adalah berbeza-beza dengan falsafah yang berlainan. Misalnya, dalam aksiologi idealisme, nilai adalah mutlak dan kekal secara abadi. Manakala, aksiologi pragmatisme memandang nilai sebagai relatif atau tertakluk kepada keadaan.

Logik Logik adalah pengkajian terhadap perkara-perkara yang berbentuk penaakulan sah. Ia adalah berkaitan dengan usaha mencari kaedah yang boleh membezakan penaakulan sah dengan penaakulan tidak sah atau tidak rasional. Perkataan logik berasal daripada perkataan Yunani logik dan Aristotle merupakan seorang ahli falsafah yang pertama mengorganisasikan hukum-hukum penaakulan. Aristotle dikatakan menyusun dunia dalam beberapa kategori, yang membawa ilmu-ilmu dengan mengenal pasti kualiti-kualiti am di dalam entiti yang berbeza. Lantaran itu, perkataan silogisme dicipta dengan membawa idea logik Aristotle seperti berikut : Diberi dua premis, sesuatu kesimpulan (atau inferens) akan diikutinya.

Misalnya : Premis 1 : Semua manusia ialah makhluk yang fana. Premis 2 : Socrates ialah seorang manusia. Premis 3 : Jadi, Socrates ialah makhluk yang fana.

Berdasarkan huraian di atas, jelaslah pendekatan logik Aristotle digunakan mirip dengan kaedah deduktif, iaitu menggunakan sesuatu prinsip am untuk membuat kesimpulan terhadap perkara khusus. Logik deduktif serupa ini adalah sering berkait dengan mazhab falsafah idealisme dan realisme.

Selain kaedah deduktif, logik induktif sebaliknya digunakan untuk membuat kesimpulan berasaskan perkara-perkara yang khusus. Seperti kaedah deduktif, kaedah induktif juga banyak digunakan dalam pemikiran falsafah idealisme dan realisme. Sesungguhnya, pendekatan penaakulan tidak terhad kepada deduktif dan induktif sahaja. Misalnya, di bawah

pemikiran falsafah rasionalisme, ahli-ahli falsafah yang menggunakan pendekatan rasionalis berusaha mencari kebenaran atau prinsip dengan cara penaakulan ataupun melalui perhubungan dengan logik.

Logik berkait rapat dengan ketiga-tiga cabang falsafah, iaitu metafizik, epistemologi dan aksiologi. Sesungguhnya, logik merupakan kaedah yang digunakan dalam setiap pemikiran mazhab falsafah. Ia digunakan untuk mengkaji peraturan-peraturan falsafah yang membolehkan ahli-ahli falsafah berfalsafah dengan membentuk dan mengesahkan usul-usul atau hujah-hujah falsafah.

MAKSUD KURIKULUM Kurikulum bermaksud skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di institusi pendidikan seperti di sekolah dan universiti. Kurikulum ditentukan dan ditetapkan oleh sesebuah Negara itu melalui Kementerian Pendidikan. (Wikipedia, ensiklopedia bebas). Kurikulum berasal daripada perkataan Latin currere maksud race course atau laluan/jejak/jurusan. Curriculum dalam bahasa inggeris bermaksud jelmaan. Menurut Goodlad (1973): Kurikulum merupakan satu bidang yang sukar ditakrifkan. Menurut Smith et al (1957): Kurikulum merupakan satu urutan pengalaman yang disediakan di sekolah bagi tujuan mendisiplinkan pelajar dalam cara berfikir dan bertindak secara kumpulan. KURIKULUM KONSEP Dokumentasi khas dan panduan. Tumpuan kepada kaedah penyampaian. Program pengajian yang merujuk kpd mata pelajaran Membentuk pengalaman pembelajaran terancang. Konsep yang tersirat. MATLAMAT/ OBJEKTIF Garis panduan dan penentu sempadan ilmu. Penyampaian maklumat ikut peringkat. Relevan dan sesuai dengan kehendak semasa. Membina modal insan abad ke 21. Melahirkan insan seimbang (J.E.R.I.S)

Kurikulum yang sama ideologi masyarakat yang sekata dan bersatu. Melahirkan insan yang sayang dan cintakan tanah air.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PEMBENTUKAN KURIKULUM 1. Falsafah Pendidikan

Falsafah pendidikan negara memainkan peranan yang penting dalam mencorak sistem pendidikan di sesebuah negara, khususnya di Malaysia. Falsafah pendidikan kebangsaan kita adalah seperti berikut: Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteran diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara (PPK, 1988) Falsafah pendidikan negara mempunyai implikasi yang besar terhadap pembentukan kurikulum. KBSR dan KBSM adalah hasil perubahan yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Antara perubahan-perubahan yang jelas terdapat dalam kedua-dua tersebut ialah; i.Sukatan pelajaran yang digubal memberi penekanan kepada aspek kesepaduan dan keseimbangan. Oleh itu konsep-konsep seperti penggabungjalinan (penyatuan kemahirankemahiran) dan penyerapan (penyatuan isi ) sentiasa dititik beratkan. ii.Penekanan baru diberikan kepada penerapan nilai-nilai murni. Ia seharusnya diserapkan dalam setiap mata pelajaran yang diajar di sekolah.

iii.Program pendidikan disusun agar dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. iv.Program pendidikan yang menitik beratkan pendidikan umum diperkenalkan. v.Penekanan diberikan kepada pendidikan teknik dan vokasional. vi.Penekanan juga diberikan kepada bahasa merentasi kurikulum. vii.Pemupukan budaya sains dan teknologi terus ditekankan. viii.Pemupukan budaya keusahawanan dan budaya niaga ditegaskan. ix.Pengukuhan dan perluasan bahasa Melayu sebagai satu cabang ilmu pengetahuan. x.Peningkatan pendedahan dan penguasaan bahasa Inggeris. xi.Penekanan kepada melahirkan individu yang berkeyakinan diri dan bersikap berdikari. (Kamaruddin Haji Husin, 1994)

2. Kehendak Masyarakat Kurikulum digubal dan dilaksanakan mengikut kehendak dan desakan masyarakat. Masyarakat juga menentukan samada kurikulum itu sesuai atau pun tidak dengan kehendak mereka. Namun begitu bukanlah mudah untuk memenuhi semua tuntutan masyarakat terhadap kurikulum dan sumbangannya pada budaya, lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang kompleks dan mengalami perubahan yang pesat. Hilda Taba (1962: 24) menyatakan: "It is not an easy task to establish what demands society makes on education and what contribution education can or should make to culture, especially in a complex society in which vast and rapid changes are occuring." Penilaian atau kajian berterusan adalah diperlukan untuk memastikan matlamat dan kehendak masyarakat terhadap pendidikan benar-benar terlaksana. Misalnya dalam masyarakat industri, pendidikan harus mempunyai strategi terhadap ciri-ciri ekonomi, politik, sosial dan budaya

masyarakat tersebut. Dalam masyarakat pertanian pula, ciri-ciri kurikulumnya adalah berbeza. Masyarakat mengkehendaki murid-murid mempelajari kemahiran-kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira; konsep-konsep asas cara hidup masyarakat dari segi politik, sosial dan ekonomi; serta teknik-teknik asas untuk menyertai kehidupan sesuatu masyarakat, seperti mengambil bahagian dalam perbincangan, kepimpinan dan pemikiran kritis dalam suatu sistem demokratik.

3. Faktor Politik Francis P. Hunkin (1987) dalam bukunya Curriculum Planning menyatakan: Curriculum Development is also a political process. It requires dealing with people and their various power bases and their views of what makes for good education Wiles Bondi (1989) dalam bukunya Curriculum Development: A Guide to Practice turut menjelaskan pengaruh politik dalam pembentukan dan perkembangan sesuatu kurikulum. Ini jelas menunjukkkan bahawa perkembangan kurikulum dipengaruhi oleh proses politik, kerana setiap kali pucuk pimpinan sesebuah negara itu bertukar, maka setiap kali itulah kurikulum pendidikan akan dikaji semula. Kurikulum pendidikan menjadi saluran penting bagi setiap badan pemerintahan untuk menguatkan pengaruh mereka. Kerajaan bertanggungjawab menetapkan Dasar Pendidikan Negara sejajar dengan hasrat pemerintah. Di Malaysia misalnya, ketika British berkuasa di negara ini, dasar pelajaran hanya bertujuan menjadikan anak-anak Melayu petani dan nelayan yang lebih baik daripada ibubapa mereka. Pihak British tidak langsung menitikberatkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. Apabila negara mencapai kemerdekaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan turut berkembang dan berubah. Dasar Pelajaran Kebangsaaan yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 menitikberatkan aspek-aspek yang berkaitan dengan perpaduan negara dan penghasilan tenaga kerja. Melalui kurikulum Pendidikan disalurkan aktiviti-aktiviti yang boleh membentuk keperibadian dan perwatakan individu yang baik dan boleh membawa ke arah perpaduan. Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak 1956 dianggap sebagai salah satu asas sistem pendidikan kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara itu.

4. Faktor Pembangunan Negara Dan Perkembangan Dunia Perkembangan kurikulum juga dipengaruhi oleh faktor pembangunan negara dan perkembangan dunia. Negara yang ingin maju dan membangun tidak seharusnya mempunyai kurikulum yang statik. Oleh itu ia harus diubahsuai mengikut peredaran masa dan kemajuan sains dan teknologi. Menurut Hida Taba (1962): Technology has changed and is changing not only the face of the earth and the institutions of our society, but man itself Kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa perkembangan teknologi telah membawa perubahan yang pesat pada kehidupan manusia di muka bumi ini. Oleh itu perkembangan kurikulum haruslah sejajar dengan pembangunan negara dan perkembangan dunia. Kandungan kurikulum pendidikan perlu menitikberatkan mata pelajaran sains dan kemahiran teknik atau vokasional kerana tenaga kerja yang mahir diperlukan dalam zaman yang berteknologi dan canggih ini. (Ee Ah Meng, 1995)

5. Faktor Perubahan Sosial Selain menjadi tempat menyalurkan pengetahuan dan melatih kemahiran akademik, sekolah juga merupakan agen sosial. Melalui pendidikan di sekolah, nilai-nilai sosial yang diperlukan dalam dan luar negara diserapkan. Dewasa ini masalah keruntuhan moral dan jenayah di kalangan remaja dan murid-murid semakin meningkat. Mereka terdedah dengan masalah penagihan dadah, minum minuman keras, merokok, pergaulan bebas dan melakukan perkara-perkara jenayah seperti mencuri, merompak, merogol dan sebagainya. Jika masalah ini tidak dibendung dengan segera, pastinya boleh merosakkan dan menghalang pembangunan negara. Menyedari hakikat ini, negara telah mewujudkan Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan itu perkembangan kurikulum harus sejajar dengan perubahan sosial agar nilai-nilai

murni dalam diri individu tidak pupus ditelan arus pembangunan (Mohammad Nor, 1990; Kamaruddin Hj. Husin, 1994).

6. Faktor Perancang Dan Pelaksana Kurikulum Perubahan yang begitu pesat dalam masyarakat dan dunia membuat kurikulum hari ini perlu disesuaikan mengikut peredaran masa. Sehubungan dengan itu perancang kurikulum bertanggungjawab menyemak semula dari masa ke semasa. Pengguguran, perubahan atau pertambahan terhadap kurikulum harus dilakukan mengikut peredaran masa, kehendak masyarakat dan kemajuan negara. Kita hidup dalam masyarakat yang berubah-ubah, iaitu pengetahuan baru sentiasa ditemui, sementara pengetahuan lama yang dibuktikan kurang tepat diperkemaskinikan. Masalah pertambahan pengetahuan yang banyak menimbulkan masalah pemilihan apa yang hendak dipelajari serta pertimbangan semula bagaimana pembelajaran harus berlaku. Dengan menyedari bahawa murid-murid harus disediakan untuk menyesuaikan diri dengan permintaan masyarakat yang cepat berubah, guru-guru dan perancang kurikulum harus menyemak semula apa yang mereka kemukakan kepada murid-murid (Kamaruddin Hj. Husin, 1994). Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pelaksana kurikulum, perancang harus sentiasa peka dengan perubahan yang timbul serta bersedia mencari penyelesaian dalam mengubah kurikulum. Perancang dan Pelaksana kurikulum merupakan orang yang penting dalam penggubalan atau pembentukan kurikulum

7. Faktor Murid, Kehendak, Dan Keperluan Masyarakat Pelajar sebagai individu mempunyai kehendak dan keperluan asas yang melibatkan kehendak dan keperluan asas yang melibatkan keselamatan, kasih sayang, bermasyarakat dan kehendak penyempurnaan kendiri. Kurikulum yang akan dibentuk sewajarnya dapat memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran agar kehendak dan keperluannya sebagai murid dan individu dapat dipenuhi. Ini bermakna, kurikulum yang dibentuk akan menyediakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang merangsang perkembangan potensi mereka secara menyeluruh iaitu merangkumi intelek, jasmani, rohani dan sosial (Ee Ah Meng, 1995).

Perancangan kurikulum yang baik sentiasa mengambil kira keperluan murid serta mampu memberi faedah secara menyeluruh. Ini bermakna faktor minat dan perkembangan individu dalam bidang kognitif, psikomotor dan afektif perlu difikirkan semasa membentuk kurikulum tersebut.

Kajian hendaklah dilakukan terhadap keperluan individu, sekurang-kurangnya dari peringkat bayi hingga remaja. Hasilnya, segala keperluan tersebut dapat diserapkan ke dalam sistem pendidikan itu dan dilaksanakan di sekolah-sekolah dengan berkesan. Murid adalah individu yang bakal menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat. Oleh itu, kurikulum haruslah bertanggungjawab menyediakan murid-murid dengan pendidikan yang berkaitan dengan masyarakat di mana mereka tinggal dan juga bentuk masyarakat yang akan mereka hadapi kelak.

8. Faktor Perkembangan Ilmu Dan Kepentingannya Masa yang berlalu turut membawa perubahan kepada masyarakat yang seterusnya menuntut mereka menerima pendidikan yang lebih sempurna selaras dengan keperluan kemajuan yang kian pesat. Ilmu yang bersifat dinamik menyebabkan ia sentiasa berkembang. Perkembangan ini disebarkan kepada masyarakat menerusi perancangan kurikulum yang lebih kemas dan sesuai dengan kehendak masyarakat dan negara. Penemuan baru dalam pelbagai bidang seperti perubatan, teknologi dan sebagainya menjadikan bidang itu terus berkembang. Perkembangan ini penting dalam pembentukan kurikulum supaya ia dapat dikemaskini dari masa ke semasa agar ilmu-ilmu baru ini dapat disalurkan kepada murid-murid bagi mengimbangi keperluan zaman. Selain itu, pengenalan ilmu atau bidang-bidang baru ke dalam pendidikan membantu meningkatkan taraf pendidikan itu sendiri. Contohnya, memperkenalkan ilmu pengurusan dan perhubungan ke dalam bidang pendidikan, khususnya ke dalam bidang kurikulum, meningkatkan lagi keberkesanan proses perkembangan kuriklum itu sendiri.

9. Pengaruh Psikologi Pendidikan

Teori disiplin mental yang berlandaskan konsep falsafah yang dimajukan oleh Plato dan Aristotle banyak mempengaruhi pengajaran aritmetik pada abad ke 19. Salah satu aspek disiplin mental yang penting ialah psikolgi fakulti. Psikologi Fakulti mempunyai pengaruh yang begitu kuat terhadap isu mengapa kurikulum dalam bidang kemahiran perlu dipelajari oleh kanak-kanak. Manakala ahli fahaman perkaitan menganggap pembelajaran sebagai pembinaan unit-unit kecil yang terdiri daripada rangkaian R-G untuk menghasilkan tingkah laku. Fahaman ini telah menghasilakn startegi pengajaran aritmatik kepada fakta dan kemahiran kecil untuk diajar dan dinilai secara berasingan. Kesan utama pendekatan ini terhadap sekolah ialah kurikulum dalam bidang kemahiran seperti matematik diajar sematamata dengan menggunakan teknik latih tubi (Nik Aziz Nik Pa, 1992).

KEPENTINGAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN TERHADAP PENDIDIKAN NEGARA

Pendidikan merupakan proses asas dan utama dalam pembinaan seseorang individu yang seimbang dan baik serta boleh menjayakan hasrat serta hala tuju Negara Konsep asas yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah mengenai nilai ilmu dan peranan ilmu dalam membangunkan insan dan masyarakat secara am nya. Nilai ilmu bukan sahaja menerangkan kepada manusia mengenai sesuatu perkara, malah hal yang lebih penting adalah bagaimana ilmu tersebut boleh mempengaruhi, mengubah dan membentuk seseorang individu dan masyarakat. Nilai sesuatu ilmu adalah tinggi apabila ia boleh mengubah diri serta masyarakat dan proses ini adalah proses sepanjang hayat.

Ini adalah selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menginginkan pembangunan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi merealisasikan wawasan 2020 melalui aktiviti pendidikan. Modal insan yang ingin dihasilkan juga mestilah mampu berfikir secara kritis, kreatif, menyelesaikan masalah serta mampu mencipta peluang-peluang baru seseuai dengan persekitaran global yang sering berubah-ubah (Zulfahmi, 2008).

Dalam konteks Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), hasrat agar matlamat pendidikan Negara tercapai berteraskan Falsafah Pendidikan Negara (1988) dan seterusnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pada tahun 1993 Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah dijenamakan semula dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah serta menggantikan mata pelajaran seperti Alam Dan Manusia dengan Sains dan Kajian Tempatan pada tahun 1994. Usaha ini bertepatan dengan mengakui bahawa dengan peredaran zaman yang membawa bersama pelbagai perubahan dan cabaran baru, sudah tiba masanya kita melihat semula pelaksanaan agenda ini. Ini termasuklah usaha memperbaiki kelemahan yang wujud, memantapkan strategi dan pendekatan sedia ada dan sekali gus merintis pembaharuan (pioneering change) terhadap sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

Bagi Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan daya intelek, pemupukan nilai-nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar. Dalam edisi penyemakan Matematik ini, kesepaduan dan kesinambungan unsur-unsur ini diteruskan. Kurikulum Matematik Sekolah Menengah bertujuan untuk membentuk individu yang berpemikiran matematik dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik dengan berkesan dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan supaya berupaya menangani cabaran dalam kehidupan harian bersesuaian dengan perkembangan sains dan teknologi.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) telah menggariskan matlamat pendidikan adalah seperti berikut:

1.Memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI); 2.Meningkatkan kreativiti dan inovasi dan budaya ilmu pelajar; 3.Membudayakan sains dan teknologi dan pembelajaran sepanjang hayat; 4.Menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, dan

5.Meningkatkan matlamat pendidikan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Bagi memenuhi keperluan tugasan yang berkaitan dengan opsyen mata pelajaran saya, yakni matematik sekolah menengah maka kupasan akan berkisar kepada Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). Matlamat wawasan negara dapat dicapai melalui masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik. Antara usaha ke arah mencapai wawasan ini, perlu memastikan masyarakat membudayakan matematik dalam kehidupan seharian. Justeru itu, kemahiran penyelesaian masalah dan berkomunikasi dalam matematik perlu dipupuk supaya dapat membuat keputusan dengan berkesan. Matematik ialah satu mata pelajaran teras di peringkat sekolah menengah. Mata pelajaran ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam kehidupan harian secara berkesan dan bertanggungjawab semasa menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Kandungan sukatan pelajaran Matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ini merangkumi pengetahuan dan kemahiran daripada tiga bidang yang saling berkait iaitu Nombor, Bentuk dan Ruang, dan Perkaitan (Sukatan Pelajaran Matematik KBSM, 2000).

Sifat matematik secara tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran. Dengan sebab itu matematik ialah antara bidang yang terpenting dalam sebarang usaha pembinaan insan. Berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Kurikulum Matematik ini telah diolah dan disusun semula. Langkah yang diambil ini adalah selaras dengan keperluan untuk menyediakan pengetahuan dan kemahiran matematik kepada muridmurid yang mempunyai latar belakang dan keupayaan yang pelbagai. Dengan pengetahuan dan kemahiran tersebut, mereka berkemampuan untuk meneroka ilmu, membuat adaptasi, modifikasi dan inovasi dalam menghadapi atau menangani perubahan dan cabaran masa depan.

KONSEP PENDIDIKAN Pendidikan, mengikut pandangan umum, bermaksud proses atau aktiviti untuk mengembangkan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) untuk menambahkan kemahiran, kebolehan dan pengetahuan supaya dapat memberi kebahagiaan, faedah dan kemajuan dalam hidup dan dapat bertindak rasional untuk diri sendiri, bangsa dan agama (Annick, 1999). Pendidikan merupakan proses perubahan manusia untuk mencapai aktualisasi diri atau dengan kata lain mencapai kesedaran diri. Ia berkait rapat dengan kesedaran hubungan antara manusia dengan pencipta, manusia lain, makhluk lain dan alam.

Secara khususnya, pendidikan boleh diertikan sebagai aktiviti persekolahan. Ini bermakna pendidikan merupakan aktiviti-aktiviti yang mempunyai objektif, rancangan dan organisasi untuk mendidik murid-murid supaya menjadi insane yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan menguasai kemahiran tertentu, demi berupaya menyesuaikan diri dalam masyarakatnya pada masa depan.

Usaha utama pendidikan adalah untuk menyediakan seseorang individu memainkan peranan yang positif dan berkesan dalam masyarakat. Di dalam usaha ini juga, pendidikan menjadi suatu agen untuk menyebar dan mengekalkan kebudayaan yang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan semasa. Dalam masyarakat moden ini, pendidikan adalah penting untuk menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi cabaran kehidupan dan pembaharuan serta membuat pengubahsuaian demi memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat itu.

Pandangan Tokoh-Tokoh Falsafah Barat Terhadap Pendidikan Falsafah dan pendidikan merupakan dua disiplin ilmu yang berbeza tetapi mempunyai perkaitan yang sangat erat. Kehidupan manusia membentuk falsafah yang tersendiri. Perkembangan manusia yang berkait dengan pendidikan membawa kepada pertembungan falsafah dalam pendidikan. Pendidikan pula memerlukan kurikulum sebagai pengisiannya bagi membolehkan manusia memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan budaya untuk survival dalam kehidupannya dan generasi yang seterusnya. Perkataan pendidikan mempunyai tafsiran yang berlainan bagi setiap individu. Pengertian pendidikan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, tujuan dan tugasnya. Pada asalnya, perkataan education dibentuk daripada dua perkataan Latin, iaitu educere yang bermakna membimbing atau melatih, dan educare, iaitu melatih atau mengasuh.

Plato (427 347 SM), seorang ahli falsafah yang terkemuka pada zaman Yunani, berpendapat pendidikan merupakan suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia. Beliau menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan adalah untuk memberi latihan moral kewarganegaraan yang baik. Proses pendidikan dapat membentuk warganegara yang baik serta setia dan mematuhi undang-undang negara.

Plato percaya seseorang hanya dapat ilmu apabila dia berusaha bersungguh-sungguh dengan menggunakan pemikiran secara kritis. Mengikut beliau, ramai orang bersedia menerima fenomena yang diperhatikan kali pertama, seperti dengan orang yang berpuas hati melihat bayang yang dipantulkan sinar dari luar ke atas dinding gua. Orang ini enggan meninggalkan tempatnya untuk menghadapi realiti, dan tidak seperti ahli falsafah yang menggunakan masa hidup sepenuhnya berusaha secara bersungguh-sungguh mencari kebenaran.

Menurut Plato, orang yang mencintai kecantikan, benda yang baik atau tindakan yang adil adalah orang yang ada pendapat, tetapi bukan ilmu. Seorang yang berilmu mencintai kecantikan, kebaikan dan keadilan yang sebenar. Bagi Plato, pendapat adalah berkaitan dengan objek yang dipersepsikan, dan ini boleh disalahertikan. Manakala, ilmu yang sebenar adalah di luar persepsi dan berkaitan dengan dunia abadi yang mana tidak boleh disalahertikan. Maka, perkara yang khusus adalah pendapat dan bukan ilmu. Seorang yang berilmu adalah dimotivasikan oleh hasrat yang mencintai apa yang sebenar, terbaik, tulen, tertinggi dan abadi.

Plato, di dalam buku Republic, menjelaskan fungsi pendidikan sebagai pemilihan murid yang sesuai untuk melatih mereka berdasarkan potensi masing-masing. Kandungan pelajaran harus dirancang mengikut peringkat-peringkat perkembangan individu. Pendidikan merupakan interaksi antara individu dengan masyarakatnya. Oleh itu, ciri-ciri sosio-budaya harus mempengaruhi perkembangan kognitif individu, termasuk tingkah lakunya. Mengikut Plato, pendidikan adalah tanggungjawab negara. Republik yang idealnya adalah : Jika pendidikan individu dapat memenuhi keperluan masyarakat dan negara, dan potensi individu dapat diperkembang mengikut perbezaan individu, maka pendidikan ini akan dikatakan mencapai tujuan dan fungsinya.

Aristotle (384 322 SM), ahli falsafah Yunani yang terkemuka selepas Plato, dalam bukunya Politik, menghuraikan pendidikan sebagai ilmu yang bersifat etikal dan politikal. Mengikut beliau, tujuan pendidikan ialah memberikan setiap warganegara segala peluang untuk mencapai kebahagiaan hidupnya. Proses pendidikan dapat melatih warganegara mematuhi peraturan-peraturan dan tingkah laku yang baik dan cekap dalam pengurusan pentadbiran serta keupayaan mempertahankan kedaulatan negara.

Logik yang diperkenalkan oleh Aristotle adalah berkaitan rapat dengan pemikiran deduktif, iaitu mengaplikasikan generalisasi umum untuk menghuraikan kes khusus atau membentuk generalisasi baru. Logik Aristotle menggunakan silogisme yang merangkumi dua premis yang benar dan satu kesimpulan yang sah.

Sebagai contoh : Premis 1 : Semua manusia adalah makhluk yang fana. : Plato ialah manusia. : Plato ialah makhluk yang fana.

Premis 2 Kesimpulan

Mengikut Aristotle, kebaikan adalah kecemerlangan manusia. Maka, tujuan pendidikan ialah memupuk kebaikan murid. Semua rakyat bertanah harus dididik apa yang berguna untuk mereka, agar mereka berbudaya mempunyai kebaikan dan masa untuk memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam pentadbiran negara.

Rumusan Falsafah Pendidikan Aristotle 1. Pendidikan adalah berhubung rapat dengan politik, dan perlu berkuatkuasa sebelum

perlaksanaannya. 2. Pendidikan sekolah harus dihadkan kepada warganegara sahaja. Kanak-kanak hamba

tidak layak dididik. 3. 4. Pendidikan harus mengutamakan rasionaliti individu. Oleh kerana pembentukan konsep, teori dan prinsip berdasarkan pengalaman konkrit,

pendekatan pembelajaran yang betul ialah daripada konkrit kepada abstrak dan daripada spesifik kepada umum. Teori yang dibentuk harus diaplikasikan. Jean Jacques Rousseau (1712 1778), seorang pendidik di negeri Eropah, memandang pendidikan sebagai suatu proses yang berterusan dan bermula dari masa-masa kanak-kanak

kecil. Dalam proses ini, segala potensi semulajadi lahir dengan sendirinya mengikut kehendak dan peraturan semulajadi.

Pandangan Tokoh-Tokoh Pendidikan Barat Terhadap Pendidikan Di dalam buku A Philosophy of Education, John Macdonald menghuraikan perbezaan pendidikan di antara masyarakat primitif dengan masyarakat moden. Menurut beliau, pengertian pendidikan di dalam masyarakat primitif ialah latihan vokasional dan pelajaran adat resam, kepercayaan serta cara bersembahyang, disampaikan melalui tunjuk ajar dengan secara tidak langsung daripada keluarga dan pergaulan dengan orang dewasa. Manakala pengertian pendidikan dalam masyarakat moden merupakan latihan khusus menguasai kemahiran dan memperoleh ilmu pengetahuan yang penting untuk kehidupan, disampaikan melalui pengajaran secara langsung daripada guru yang berilmu tinggi serta mempunyai kemahiran mengajar. Mengikut Froebel (1782 1852), pendidikan adalah bertujuan mencapai kehidupan yang lurus, suci dan mulia. John Stuart Mill (1806 1873) pula memandangkan pendidikan sebagai suatu proses yang member bantuan untuk setiap individu supaya hidup dengan penuh kegembiraan. Seorang pakar pendidikan yang lain, T.H. Huxley (1825 1895), di dalam bukunya Science of Education, menegaskan orang yang benar-benar dikatakan berpendidikan sempurna akan bersedia untuk berkhidmat demi kemajuan diri dan masyarakatnya, serta rela melaksanakan kerjanya dengan ikhlas dan patuh kepada undang-undang alam, penuh bertenaga, bersemangat, berseni dan bermasyarakat. Maria Montessori (1870 1952), seorang doktor dan pendidik di Itali, mentafsirkan pendidikan sebagai proses membentuk dan mengembangkan intelek, jasmani, rohani dan sosial kanak-kanak. John Dewey (1859 1952), seorang pakar pendidikan dari Amerika Syarikat, pernah mengatakan pendidikan merupakan satu proses perkembangan individu. Menurut beliau, pendidikan merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi

pengetahuan semula jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat lagi.

Konsep Falsafah Pendidikan Pada asasnya, konsep falsafah pendidikan adalah berbeza dengan konsep falsafah dan pendidikan. Secara ringkasnya, falsafah pendidikan merupakan konsep filososfikal dalam pendidikan, yang berkait rapat dengan pendekatan falsafah yang digunakan untuk membina teori pendidikan berdasarkan masalah atau isu pendidikan di bawah kajian pengkaji.

Di dalam jurnal Harvard Education Review (1955), terkandung beberapa makalah yang membincangkan pengertian, ciri-ciri, tujuan dan isi falsafah pendidikan. Maka, berdasarkan dapatan perbincangan masing-masing, konsep falsafah pendidikan dirumuskan seperti berikut : 1. Definisi falsafah pendidikan haruslah ditentukan berdasarkan ciri-ciri falsafah iaitu

ditentukan melalui kaedah spekulatif, normatif dan analitik. Menurut Frankena, falsafah pendidikan yang dikaitkan dengan ilmu harus berlandaskan criteria utamanya iaitu epistemologi, diikuti dengan aplikasi metafizik, kaedah deduksi dan logiknya untuk membentuk teori pedagogikal. 2. Falsafah pendidikan seharusnya ialah teori pendidikan. Frankel C. menghuraikan

penentuan tujuan dan pendidikan adalah aplikasi pendekatan yang sistematik daripada falsafah pendidikan. 3. Falsafah pendidikan mengandungi ciri-ciri tersendiri. Soalan asas falsafah pendidikan ialah Apakah pendidikan?. Maka, hasil daripada falsafah pendidikan adalah atas usaha kajian intelektual dengan tujuan pendidikan, realiti objektif, prinsip asas dan nilainya.

E.D. Miller, dalam bukunya Question That Matter (1984), mmenginterpretasikan falsafah sebagai usaha memikir secara rasional dan kritis atas perkara-perkara yang penting. Maka, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai usaha memikir secara rasional dan kritis atas pendidikan. Berdasarkan huraian-huraian di atas, falsafah pendidikan boleh dirumuskan sebagai panduan, arah tuju atau pendapat terhadap pendidikan.

Aliran Falsafah Pendidikan Pendidikan Barat Masa Kini Falsafah pendidikan tidak sekadar bertanyakan tentang asas metafizik, epistemologi dan aksiologi malah ia juga akan membincangkan berkaitan dengan pendidikan. Di samping itu,

ia juga cuba memberi makna kepada konsep-konsep sejagat yang mendefinasikan proses pendidikan, konsep pendidikan, tujuan pendidikan, kurikulum, pembelajaran dan sebagainya. Tujuan atau matlamat pendidikan ialah untuk mengembangkan potensi individu dan mencapai kesedaran kendiri. Falsafah Pendidikan Barat masa kini mengandungi unsur-unsur falsafah tradisional dan juga aliran moden. Antara falsafah pendidikan tradisional yang utama ialah essensialisme dan parennialisme. Manakala falsafah pendidikan moden yang berpengaruh ialah progressivisme, rekonstruktivisme dan eksistensialisme.

Essensialisme Pendidikan essensialisme bersifat fleksibel di mana ia terbuka untuk perubahan, toleran dan tidak terikat dengan doktrin tertentu. Nilai yang jelas dan tahan lama serta guru yang memiliki sifat autoriti. Falsafah aliran ini mementingkan pembentukan peribadi dan kurikulumya disusun dari topik yang mudah kepada yang lebih kompleks serta menekankan kemahiran 3M iaitu menulis, mengira dan membaca. Ahli-ahli essensialisme mengkaji semula perkara-perkara yang akan dimasukkan ke dalam kurikulum dan membezakan program-program sekolah kepada pelajaran yang penting dan kurang penting serta membentuk autoriti guru di dalam bilik darjah.

Menurut Mok Soon Sang (2004), guru menurut fahaman essensialisme hendaklah memainkan peranan yang penting dalam proses pendidikan. Mereka berperanan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan mengajar mereka memperolehi keperluan dan kualiti kehidupan orang dewasa supaya mereka boleh berjaya dalam hidup. Guru juga hendaklah bersifat demokratik, kreatif, mempuyai inisiatif dalam pengajaran dan mahir menggunakan taktik ganjaran dan denda kepada pelajar (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Ahli-ahli essensialime menganggap segala inisiatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran terletak di bawah tanggungjawab guru. Guru juga hendaklah mencerminkan kebaikan sesuatu masyarakat (Azizi Jaafar, 2009). Oleh itu, kaedah pengajaran yang disarankan termasuklah pembacaan, syarahan, ingatan, ulangan dan peperiksaan.

Pendidikan membolehkan setiap individu menyedari keupayaannya. Kanak-kanak akan hadir ke sekolah agar dapat memahami keadaan dunia sekelilingnya dan dapat mentafsirkannya mengikut minat dan kemahuannya. Fahaman ini mementingkan pengalaman masyarakat daripada pengalaman perseorangan. Sesuatu kebudayaan yang kompleks memerlukan sistem pendidikan yang baik, oleh itu guru yang berdisiplin dan berdedikasi dalam melaksanakan

amatlah dikehendaki. Selain itu, kurikulum essensialisme di bahagikan kepada dua bahagian kepada mata pelajaran penting seperti matematik dan sains manakala mata pelajaran yang kurang penting ialah seni, muzik, Pendidikan jasmani dan vokasional. Bahan pengajaran juga disediakan dengan sempurna dan dirancang dengan sistematik.

Kriteria kenaikan darjah hendaklah ditetapkan mengikut pencapaian pelajar semasa peperiksaan. Semasa di sekolah rendah lagi, pendekatan secara 3M telah dijalankan (Azizi Jaafar, 2009). Pendidikan essensialisme ini menyarankan penerapan nilai-nilai sosial, kebudayaan, politik, cendiakawan dan penulisan terkenal dan guru juga hendaklah mempunyai kelayakan dan kemahiran dalam bidang nilai masyarakat tradisi dan moden. Elemen-elemen yang diperlukan dalam pendidikan pula meliputi pengetahuan semasa dan masa lampau. Maka tumpuan kurikulumnya berkaitan dengan perkara yang benar-benar penting dan diperlukan. Jadi semua aktiviti ko-kurikulum kurang diberi keutamaan.

Perennialisme Parennialisme berasaskan daripada falsafah tradisional yang banyak dipengaruhi oleh fahaman idealisme. Mengikut ahli parennialisme, nilai moral dan rasional manusia semakin merosot. Oleh itu, untuk meyelamatkan umat manusia daripada kelenyapan fungsi utama pendidikan hendaklah mengutamakan perkembangan potensi rasional individu, membantu mencari prinsip mutlak dan memahami dunia yang sebenar.

Maka parennialisme memandang pendidikan sebagai jalan iaitu proses mengembalikan kebudayaan sekarang. Ahli-ahli parennialisme menganggap bahawa ciri-ciri asas semulajadi manusia berbentuk universal dan tiada had masa. Manusia itu bersifat rasional. Rasionaliti serta intelek ini hendaklah disemai melalui pendidikan. Tujuan pendidikan adalah untuk mengajar nilai dan pengetahuan yang berbentuk universal dan tiada had masa (Azizi Jaafar, 2009). Selain itu, mereka menganggap tujuan sejagat pendidikan adalah untuk mencari dan menyebarkan kebenaran. Ini kerana, kebenaran merupakan perkara yang universal dan tidak berubah-ubah. Maka, proses utama dalam pendidikan adalah mendisiplinkan mental dan jiwa pelajar di samping mengembangkan potensi penaakulan (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Oleh itu, pembacaan tulisan-tulisan agung dan bahan-bahan masa lampau merupakan tugas yang penting bagi para pelajar. Dengan pembacaan ini, secara tidak langsung pelajar dapat idea daripada pemikiran para cendiakawan. Dengan ini pelajar dapat menonjolkan bakat yang ada pada dirinya yang selama ini terpendam disebabkan tiada asuhan atau tunjuk

ajar daripada pihak luar. Kurikulum parenialisme pula berpegang kepada kembali ke asal kerana yang asal itulah yang benar. Pendidikan adalah sama bagi semua orang kerana manusia mempunyai potensi yang sama dan guru mempunyai kuasa autoriti di dalam kelas (Azizi Jaafar, 2009). Isi kandungan kurikulum adalah tetap dan tidak berubah tetapi ia boleh menggunakan kaedah pembelajaran Socrates. Kebenaran dalam kurikulum parenialisme adalah sejarah dan sekolah merupakan agensi masyarakat yang bertujuan untuk membentuk manusia menjadi manusia yang rasional. Mata pelajaran yang diutamakan adalah matematik, bahasa, doktrin-doktrin dan buku-buku ternama. Ia juga menekankan 3M dalam kurikulum dan mewujudkan kelas vokasional bagi pelajar yang kurang pandai. Kaedah pengajaran yang dicadangkan adalah ingatan, pembacaan, penulisan, latih tubi dan ulangkaji.

Progressivisme Pengajaran progressive pula, mereka menggunakan pendekatan induktif dalam mencapai matlamat pendidikan kerana pendekatan induktif tidak memerlukan teori tetapi memerlukan mereka membentuk penerangan sendiri yang akan menerangkan fenomena yang didedahkan. Menurut Mok Soon Sang (2010), guru hanyalah berfungsi sebagai pembimbing atau penasihat dalam penyelesaian masalah. Kurikulum mereka memberi tumpuan kepada proses pelajaran manakala kurikulum essensialisme dan parenialisme memberi tumpuan kepada mata pelajaran (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986). Pelajar bebas memilih dan membuat keputusan ke atas dirinya jika ia dianggap baik. Mereka menggambarkan pendidikan adalah penghidupan dan bukan persedian untuk hidup. Pencarian kebenarannya melalui pengalaman dan isi kandungan kurikulum adalah pengetahuan asas dan pengalaman. Kaedah pengajaran secara inquiri iaitu secara penyelidikan. Kebenaran merupakan milik masyarakat. Sekolah merupakan tempat menggalakan kerjasama bukannya persaingan serta sekolah juga menggalakkan demokrasi.

Pelajar akan diberikan kebebasan secara fizikal dan mental untuk mengembangkan bakat dan kemampuan yang terpendam dalam diri mereka tanpa dikekang oleh rintangan daripada orang lain. Oleh itu, falsafah ini tidak bersetuju dengan fahaman parennialisme dan essensialisme yang bersifat autoriti. Ini disebabkan autoriti akan mematikan pengembangan dan daya kretiviti pelajar. Fahaman ini menyatakan kurikulum yang paling wajar dilakukan ialah kurikulum yang bersifat fleksibel dan terbuka. Kurikulum jenis ini mudah diubah dan dibentuk sesuai dengan peredaran zaman. Kurikulum hendaklah berpusatkan kepada pengalaman atau eksperimen. Guru hendaklah menggalakkan pelajar mengambil inisiatif

sendiri dan menggunakan kaedah praktikal dan pengalaman dalam mencari ilmu pengetahuan. Hanya ilmu sains sahaja merupakan ilmu yang benar. Oleh itu, peranan guru hanyalah sekadar pembimbing dan penasihat kepada pelajar. Bagi mereka, pelajar merupakan seorang individu yang berpengalaman, berfikiran dan suka mengembara. Buku pula dianggap sebagai alat dalam proses pembelajaran dan bukan sebagai sumber pengetahuan yang tidak boleh dipersoalkan. Sekolah pula tempat pelajar bekerjasama bukannya tempat untuk bersaing.

Rekonstruktivisme Rekonstruktivisme merupakan falsafah pendidikan yang dipecahkan daripada aliran fahaman progresivisme dan menjadi suatu falsafah sendiri. Pelopor utama aliran fahaman rekonstruktivisme ialah George S. Counts (1899 1974) dan Harold O. Rugg (1886 1960), kedua-duanya adalah penyokong pragmatism John Dewey.

Ahli-ahli rekonstruktivisme berpendapat falsafah pendidikan progresivisme hanya sesuai digunakan dalam masyarakat yang stabil; oleh itu adalah perlu mengadakan suatu falsafah krisis seperti rekonstruktivisme untuk menyelamatkan kebudayaan masyarakat yang kian diancam dan menghadapi masalah keruntuhan. Tambahan pula mengikut mereka, progresivisme terlalu mementingkan pendekatan dan proses pendidikan, sehingga mengabaikan objektif dan hasilnya. Mereka berpendapat tugas utama pendidikan harus mengandungi objektif eksplisit, iaitu membentuk Order Baru Masyarakat sebagai objektif yang ideal, membaiki masyarakat, merealisasikan demokrasi untuk masyarakat dan sarwa jagat demi membawa kebajikan dan kesejahteraan untuk manusia.

Aliran fahaman rekonstruktivisme mula menjadi perhatian di dalam tahun 1950-an, apabila Theodore Burghard Hurt Brameld (1904 1987) menggabungkan teori progresivisme dengan behavioural sains sebagai asas rekonstruktivisme. Beliau berpendapat pengalaman sebenarnya ialah hasil interaksi manusia dengan elemen-elemen dalam alam persekitaran dan alam sosial, di mana pengalaman individu merupakan tempat utama dalam proses interaksi tersebut. Nilai berubah mengikut perubahan masyarakat. Nilai yang tertinggi akan dapat dicapai apabila individu dan masyarakat memperoleh kepuasan dalam peringkat penyempurnaan. Sehubungan ini, sekolah seharusnya menjadi sesuatu organisasi yang mengamalkan prinsip rekonstruktivisme. Hal ini memerlukan murid mematuhi segala prinsip tingkah laku yang ditentukan dan berusaha mempertingkatkan kualiti pembelajaran mereka.

Mengikut mereka, teori progresivisme yang menyarankan kaedah penyelesaian masalah tidak mempunyai objektif dan nilainya dan cara yang berkesan untuk mengkaji masalah sosial ialah teknik perbincangan, yang akan dapat mencapai matlamat penyelesaian masalah sosial, dan seterusnya membentuk masyarakat sosial yang harmoni dan sempurna.

Maka, teori rekonstruktivisme, di dalam usaha membina masyarakat baru, menumpukan usaha kepada perkembangan ekonomi dan kebajikan sosial manusia. Mereka percaya bahawa sekolah boleh memainkan peranan membentuk semula masyarakat yang harmoni dan sempurna. Maka, peranan guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga membawa isu-isu sosial yang penting untuk dibincang dan diselesaikan secara usahasama. Ringkasnya, teori rekonstruktivisme menekankan teknik perbincangan dan penggunaan kemahiran berfikir secara kreatif dan kreatif dalam penyelesaian masalah. Untuk mencapai matlamat pendidikan ini, bahan-bahan pelajaran hendaklah distrukturkan secara sistematik dan bersepadu. Mata pelajaran kemanusiaan hendaklah menjadi fokus utama dalam rancangan kurikulum sekolah agar dapat membentuk murid yang berperikemanusiaan, berlandaskan kebudayaan masyarakat yang ideal.

Eksistensialisme Aliran fahaman eksistensialisme mengutamakan pembelajaran kendiri dan bukan mencari ilmu pengetahuan. Pelajar tidak seharusnya mengorbankan individualiti mereka untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Oleh itu hanya pembelajaran yang berkesan sahaja yang mempunyai makna kepada individu berkenaan. Fokus utama kurikulum hendaklah dipindahkan daripada perkara alam dunia kepada dunia personaliti. Kurikulum eksistensialisme pula mementingkan kebebasan. Kurikulum eksistensialisme tidak tetap kerana kurikulumnya berdasarkan minat pelajar itu sendiri. Pelajar akan memilih program pelajaran tanpa ada paksaan atau hasutan dari sesiapa. Guru bukan penyebar ilmu tetapi membantu pelajar berjaya dalam usaha mencari kesedaran kendiri. Mereka menyokong kaedah pembelajaran Socrates. Kebenaran eksistensialisme berakhir pada diri. Bahan pembelajaran, cara pembelajaran, kuantiti pembelajaran dan nilai pembelajaran hendaklah ditentukan oleh pelajar itu sendiri (Azizi Jaafar, 2009). Keputusan yang dibuat oleh pelajar itu sama ada betul atau silap adalah di bawah tanggungannya. Guru hendaklah menghormati pandangan dan pemilihan pelajar dan tidak mempengaruhi pelajar dalam membuat keputusan. Sekolah pula tempat untuk menyediakan peluang untuk memupuk kemahiran berfikir reflektif untuk menilai diri serta keupayaan disiplin diri. Ahli eksistensialisme ini

tidak memberi perhatian kepada kewujudan kebenaran muktahir. Mereka menolak kebenaran adalah mutlak. Semua makna dan kebenaran adalah hak individu. Mereka menganggap semua kehidupan di dunia ini hanyalah sesuatu yang tidak bermakna.

Perkara yang paling penting dalam pendidikan eksistensialisme ini ialah individu hendaklah mendidik diri sendiri dan juga berupaya mambuat keputusan mengenai kelakuan, kursus yang ingin diambilnya dan kaedah pembelajaran yang dikehendakinya. Pendidikan tidak terarah kepada peningkatan intelek semata-mata tetapi perlu diberi perhatian kepada sikap, perasaan, nilai dan komponen-komponen subjektif yang lain. Mata pelajaran merupakan pengetahuan yang disusun dan bukan dianggap sebagai satu matlamat atau satu cara untuk menyediakan pelajar kepada pekerjaan. Sebaliknya ia digunakan sebagai satu cara untuk mencapai perkembangan diri. Oleh itu, dalam proses pembelajaran, seseorang itu berkuasa ke atas buku teks. Ahli-ahli fahaman ini mengatakan bahawa sukar untuk menyatakan bahawa sesuatu mata pelajaran itu penting atau tidak kerana kebaikan sesuatu mata pelajaran akan ditentukan oleh pelajar itu sendiri.

Pendekatan dan Metodologi Falsafah Pendidikan Pendekatan digunakan untuk falsafah pendidikan adalah bergantung kepada interprestasi konsepnya. Sebagai contoh, sekiranya falsafah pendidikan dipandang sebagai suatu cabang disiplin sosial, maka pendekatan lazimnya akan menggunakan falsafah penggunaan dan konsep pendidikan, yang akan digunakan untuk kajian perkembangan idea baru dalam pendidikan.

Gowin D.B. (1969), dalam penulisannya yang bertajuk Philosophy of Education, Encyclopedia of Education Research, 4th Edition, memperkenalkan lima metodologi utama sebagai kajian berlandaskan falsafah pendidikan. 1. Analisis Konsep : iaitu menganalisis dan mengenal pasti masalah di bawah konsep

pendidikan dan menghuraikannya dengan cara eksplisit. 2. Analisi Bahasa : iaitu menganalisis penggunaan bahasa, sama ada tepat, jelas, kabur

atau diputarbelit, dan menghalusinya untuk mengelakkan aplikasi silap dalam analisis konsep. 3. Kaedah Dialektikal : kaedah ini sering digunakan dalam falsafah, untuk memeriksa di

antara idea-idea yang menentang supaya mendapat kebenaran.

4.

Pembentukan Teori : iaitu membentuk model atau teori baru berdasarkan teori

pendidikan yang sedia ada. 5. Kaedah Fenomenikal : iaitu penggunaan kaedah ini untuk membantu kefahaman

terhadap realiti secara objektif dan tepat.

Falsafah Pendidikan dan Peranannya Sebagaimana yang telah dihuraikan, falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membukti kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

Berdasarkan huraian di atas, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini adalah digubal daripada usaha berfikir secara rasional dan kritis, berlandaskan ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, termasuk Rukun Negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan, sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan.

Kesimpulan Falsafah barat memainkan peranan penting terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia. Falsafah pendidikan Kebangsaan mempunyai beberapa ciri-ciri yang diterapkan dari falsafah barat. Falsafah pendidikan barat terbahagi kepada dua bahagian iaitu falsafah tradisional dan falsafah barat. Falsafah tradisional pula diri daripada essensialisme dan parennialisme manakala falsafah moden terdiri daripada progressivisme dan eksistensialisme. Kedua-dua bahagian ini mempunyai mazhab-mazhab tertentu dan secara keseluruhannya penumpuan kesemua mazhab berdasarkan faktor kurikulum, peranan guru, kaedah mengajar dan peranan murid. Di dalam falsafah pendidikan barat terdapat mazhab yang memberikan penumpuan pembinaan insan yang berketerampilan dan aspek ini juga terdapat dalam falsafah pendidikan kita. Keempat-empat falsafah yang telah dibincangkan ini boleh dikatakan sebagai asas kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Walau bagaimanapun, falsafah-falsafah ini digabungkan dan diubahsuai mengikut keperluan negara kita. Hanya mengambil aspek-aspek yang penting dan berguna sahaja yang diambil kira dalam penggubalan Falsafah Pendidikan

Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga meletakkan kembali asas kepada perkembangan insan berjiwa kemerdekaan iaitu kepercayaan kepada Tuhan.

Rujukan Abd. Rahman Hj. Abdullah (2005). Wacana Falsafah Ilmu : Analisis Konsep-konsep Asas Falsafah dan Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur : Utusan Publications. Abdul Rahman dan Zakaria Kasa (1986). Falsafah dan Konsep Pendidikan (Edisi Ketiga). Serdang : Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd. Azizi Jaafar (2009). Aliran-Aliran Falsafah Pendidikan, diambil pada 7 April, 2012, daripada http://abuakhyar1.blogspot.com/ Mok Soon Sang (2004). Ilmu pendidikan untuk KPLI. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Percetakan Seasons Sdn. Bhd Mok Soon Sang (2010). Falsafah dan Pendidikan Di Malaysia. Selangor : Multimedia Marketing Sdn Bhd. Mok Soon Sang (2012). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia (Edisi Ketiga). Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

ASAS KURIKULUM [FALSAFAH]

Falsafah berasal daripada perkataan yunani iaitu philos (cinta) dan sophia (ilmu/pengetahuan) dan boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan. Falsafah pendidikan negara dirumuskan pada tahun 1988 dan disebut dalam Akta Pendidikan 19696 yang berbunyi :

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab

dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara"

Kurikulum dibina atas dasar falsafah-falsafah tertentu dan kurikulum perlu dipelajari dengan lebih mendalam. Bagi mencapai kurikulum yang berkesan, asas utama yang perlu diterapkan adalah falsafah. Falsafah dapat menghubungkan dengan sistem persepsi, nilai dan kepercayaan kita. Falsafah juga dapat memberi rangkan kerja bagi mengurus sekolah, kelas, dan dapat memberi jawapan kepada soalan seperti :

a) Sekolah untuk apa? b) Bagaimana murid belajar? c) Apakah kaedah dan alatan mengajar yang patut digunakan?

Falsafah dapat digunakan bagi membuat keputusan membina kurikulum. Pelbagai cabang falsafah perlu difahami yang menjadi asas kepada pembentukan FPK (Falsafah Pendidikan Kebangsaan) dan FPG (Falsafah Pendidikan Guru).

CABANG-CABANG FALSAFAH

1) METAFIZIK / ONTOLOGI (realiti) - Berkaitan dengan realiti. - Jauh melampaui hal fizikal dan kebendaan merujuk kepada siasatan saintifik. - Bersifat spekulasi dan fokus pada isu seperti hubungan sebab akibat. - Berkaitan dengan mengajar hal yang berkenaan denagn fikiran tentang matlamat pendidikan, pemilihan kandungan dan matlamat pendidikan yang

sesuai terhadap sifat semulajadi pelajar. - Metafizik mengemukakan soalan-soalan yang berikut : a) Adakah suatu bahan ilmu sejagat untuk dipelajari? b) Adakah pelajar baik dan amanah?

2) EPISTEMOLOGI (kebenaran) - Berkaitan dengan sifat semulajadi ilmu - Jawapan-jawapan kepada persoalan epistemologi memberikan rasional untuk memilih bahan yang layak untuk diajarkan dan dipelajari lalu mencadangkan cara maklumat harus diajarkan. - Epistemologi lebih kepada makna dan mendapatkan jawapan. - Tertumpu kepada apa yang boleh dihuraikan sebagai cara untuk mengetahui dan kesahan kaedah mengetahui. - Antara contoh soalan epistemologi adalah seperti : a) Apakah ilmu tetap atau berubah? b) Apakah yang membentuk ilmu?

3) AKSIOLOGI (nilai) - Berhubung kait dengan nilai seperti etika dan agama. - Berasal daripada perkataan yunani yang bermaksud "nilai" - Menumpukan perhatian kepada apa yang seharusnya berlaku dan berkaitan dengan nilai dan berhubung dengan pengajaran nilai moral dan pengembangan sahsiah.

- Berkaitan dengan topik moral, etika dan estetika dan sifat kelakuan yang betul adalah perkara yang penting dalam aksiologi. - Contoh soalan : a) Apakah unsur kewujudan? b) Apa itu kecantikan?

4) LOGIK (penaakulan) - Sains tentang pemikiran tepat dan berkaitan dengan hubungan antara idea dan prosedur. - Membantu untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan dengan menggalakkan fikiran yang teliti dan sistematik. - Logik terbahagi kepada dua : a) Logik Deduktif - bermula dengan kesimpulan umum dan kemudiannya diterangkan dengan lebih khusus dan terperinci. b) Logik Induktif - bermula dengan butiran dan kemudiannya diterangkan secara keseluruhan.

Bagaimanakah cabang falsafah ini berkaitan dengan FPK (Falsafah Pendidikan Kebangsaan)?

Cabang-cabang falsafah ini berkaitan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan memalui empat cabang falsafah yang utama iaitu Metafizik, Epistemologi, Aksiologi dan Logik. Melalui Metafizik, FPK dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu yang bermaksud badan ilmu sejagat yang harus diajar oleh guru dan dipelajari oleh murid. Melalui Epistemologi pula, FPK dilakukan melalui usaha yang berterusan di mana ilmu sentiasa berubah dan tiada

ilmu yang mutlak. Melalui Aksiologi pula, FPK dilakukan berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan serta berakhlak mulia dan bertanggungjawab. Logik pula dilakukan oleh FPK melalui keterampilan.

Analisis FPK dengan rujukan kepada pelbagai cabang falsafah? Cabang Falsafah Metafizik Ciri-ciri FPK Menyeluruh dan bersepadu. Maksudnya, badan ilmu sejagat yang harus diajar oleh guru dan dipelajari oleh murid Implikasi *Potensi dan kebolehan individu penting untuk berkembang secara menyeluruh dan bersepadu *Penyesuian diri mengikut peredaran zaman dan perkembangan semasa amat penting, misalnya teknologi maklumat(ICT), k-ekonomi dan sebagainya, *Perubahan ilmu akan menggalakkan perkembangan pengetahuan dan kemahiran diri, *Penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat *Peranan hubngan vertikal (iaitu individu dengan Tuhan), *Peranan hubungan mendatar iaitu individu dengan orang lain, individu dengan alam sekeliling, *Penerimaan Tuhan sebagai pencipta yang Maha Esa *Kepentingan pengajaran agama dan moral, *Fokus kepada pembinaan insan, *Penekanan kepada perkembangan sahsiah *Keperluan prosedur kerja yang sistematik dan betul *Pemupukan kompetensi diri

Epistemologi

Usaha yang berterusan. Maksudnya,ilmu sentiasa berubah, tiada ilmu mutlak

Aksiologi

(i)Kepercayaan dan kepatuahan kepada Tuhan. Maksudnya, l unsur kewujudan, peranan agama, (ii)Berakhlak mulia dan betanggungjawab. Maksudnya, peranan nilai moral, etika dan sahsiah

Logik

Berketerampilan. Maksudnya, kepentingan penaakulan sah dan tidak sah.

FALSAFAH PEMBENTUKAN KURIKULUM ALIRAN FALSAFAH

Falsafah merupakan satu pegangan atau fahaman atau pun prinsip seseorang terhadap sesuatu perkara, bidang dan sebagainya. Ia wujud hasil pemikiran dan pemerhatian serta pengalaman yang telah dilalui oleh seseorang dan dalam kehidupan harian. Aspek-aspek dalam falsafah pula menjadi panduan dan landasan terhadap seseorang dalam membuat keputusan.

2.0

KEPENTINGAN FALSAFAH

2.1

Menjadi Panduan Dan Landasan Dalam Membuat Keputusan

Kita perlu membuat sesuatu keputusan terhadap penyelesaian sesuatu masalah dalam kehidupan harian. Maka, kita hrus mempunyai pendirian tersendiri berdasarkan falsafah yang dipegang tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Keputusan yang dibuat juga harus memenuhi keperluan falsafah yang dipegang.

2.2

Mempunyai Kefahaman Yang Mendalam Dan Sistematik

Falsafah membantu pendidik memahami apa yang sedang berlaku dalam pelajaran. Contohnya, pendidik muzik harus menceburkan diri dalam alam esoterik Socrates, Plato, Aristotle, Spencer dan Dewey. Ini membolehkan mereka memikir secara mendalam dan sistematik tentang isu-isu intelek, asas pendidikan dan kehidupan manusia.

2.3

Stabil Dan Sukar Berubah, Bersifat Statik

Pendidik harus tekal terhadap apa yang berlaku di dalam atau di luar bilik darjah. Jika pendidik kerap kali menukar dan mengubah isi pelajaran, ini mungkin akan mengelirukan pelajar. Jadi, falsafah sebagai panduan untuk pengekalan pendidik dalam pengajaran.

3.0

Idealisme

Falsafah ini dibentangkan oleh Socrates dan diikuti oleh Plato. Mengikut Plato, Saya fikir, oleh itu saya wujud, segala realiti adalah kebenaran hanya wujud dalam fikiran manusia. Kewujudan objek-objek fizikal di alam ini hanyalah manifestasi yang timbul dalam fikiran manusia.

Pendidik beraliran ini sangat pentingkan aspek nilai yang tinggi dalam muzik. Nilai muzik dianggap kekal, justeru hanya muzik yang bermutu sahaja dipelajari oleh pelajar. Malah, perancangan dan pembentukan kurikulum diberi perhatian serta tumpuan yang bersungguhsungguh.

3.1

Kelebihan Idealisme

Falsafah ini berteraskan kesedaran intelek dan sistem berfikir secara rasional dan logik untuk mengenalpasti apa yang benar. Logik adalah alat untuk menentukan apa yang harus dilakukan dan tidak boleh digunakan pada setiap kali serta dalam semua situasi. Falsafah ini lebih bersifat statik, stabil dan sukar berubah. Ia juga kurang berminat terhadap inovasi, seperti fesyen pakaian yang sentiasa berubah.

3.2

Kelemahan Idealisme

Anggapan terhadap sesuatu nilai atau kebenaran yang kekal sepanjang masa, masih tidak mendapat persetujuan serentak daripada manusia tentang beberapa perkara. Tokoh falsafah tidak berupaya untuk menjelaskan kepercayaan baharu atau idea baru yang sering berubah dan berlaku dari semasa ke semasa. Malah, logik adalah senjata utama idealisme, tapi tidak semuanya boleh dipakai kerana terdapat perubahan dari semasa ke semasa.

4.0

Realisme

Falsafah ini dibentangkan oleh Aristotle. Pada pendapat beliau, realiti yang sebenarnya adalh terletak kepada apa yang dapat dilihat secara fizikal dengan mata, bukannya melalui idea atau pandangan. Secara am, ia tertakluk kepada sesuatu yang jelas dan nyata tetapi bukan kepada sesuatu yang ghaib dan abstrak.

Kebanyakkan tokoh falsafah ini bersetuju bahawa persepsi manusia atau akal manusia boleh dianggap sebagai cermin realiti kerana apa yang dilihat merupakan satu realiti yang sebenarnya. Akal manusia hanya boleh melihat dan memahami apa yang terdapat dalam fizikal sahaja. Maka, sistem pemerhatian dan pembuktian secara saintifik boleh dikirakan yang paling sah bagi pengikut-pengikut realisme.

Ahli falsafah ini bertentangan dengan falsafah naturalisme bahawa pelajar boleh belajar dengan lebih berkesan dengan kaedah jumpa sendiri. Mereka juga menolak pendapat falsafah idealisme bahawa cara yang terbaik untuk menghasilkan sesuatu adalah melalui pemikiran yang rasional.

4.1

Kelebihan Realisme

Falsafah ini merupakan falsafah yang amat praktikal kerana ia berdasarkan reality dan boleh dilihat secara fizikal. Manusia tidak perlu menembus alam yang luas daripada kemampuan pancaindera. Manusia percaya bahawa pengetahuan manusia yang sedia ada kurang sempurna atau lengkap maka ini membolehkan manusia meneruskan usaha mereka untuk mencari kebenaran dan premis yang sedemikian.

Dalam konteks muzik, falsafah ini menyanjung pakar dan tokoh dalam bidang muzik. Teknik pernafasan sewaktu menyanyi dan posisi serta postur bdan yang betul sewaktu bermain gitar merupakan penemuan oleh pakar nyanyian pada waktu dahulu. Menurut falsafah idealisme, kesemua ini merupakan teknik yang sah diguna pakai. Teknik yang lain sekiranya ditemui, ia hanyalah satu kesilapan.

4.2

Kelemahan Realisme

Falsafah realisme adalah berkenaan dengan keyakinan yang begitu kuat yang diletakkan pada pendapat pakar-pakar. Dari segi psikologi, perselisihan pendapat di kalangan pakar sering terjadi. Pengamal dan pendukung utama falsafah ini ialah manusia. Persepsi manusia melalui deria ada kalanya boleh jadi tersilap. Ini disebabkan perlakuan manusia tidak boleh diukur secara saintifik untuk menentukan pencapaiannya.

5.0

Pragmatisme

Ahli-ahli falsafah ini percaya bahawa pengalaman manusia menggambarkan realiti. Segala yang wujud sentiasa berubah dan tidak tetap atau kekal. Jadi, sesuatu idea harus dipraktikkan dahulu secara objektif untuk mengesahkan kebenaran sesuatu idea.

Mereka menganggap bahawa jika alam ini mempunyai sesuatu tujuan yang tersembunyi daripada manusia, maka tujuan tersebut dianggap tidak nyata kerana manusia tidak dapat mengalaminya. Maka, dalam pragmatisme, manusia adalah pengukur utama. Ia terikat ketat dengan cara saintifik (kaedah yang memerlukan sesuatu andaian dibentangkan dan dikajikan dengan teliti).

5.1

Kelebihan Pragmatisme

Keteguhan falsafah ini terkandung dalam keutamaan yang diberi kepada proses untuk mendapat kebenaran. Cara saintifik merupakan cara yang anggap paling sesuai untuk mengenali yang benar atau realiti kerana proses uji-menguji itu sendiri akan menghasilkan apa yang benar. Dalam falsafah ini, timbulnya kehendak sosial dan individu di mana idea tindakan yang baik timbul daripada kehendak etika dan estetika yang dianggap penting oleh masyarakat. Falsafah ini turut menghasilkan konsekuen awam. Nilaian akhir dibuat apabila terdapat kesan sesuatu tindakan atau objek atas masyarakat. Setiap tindakan wujud hanya dalam konteks pengalaman manusia. Tindakan tersebut akan dikatakan baik apabila masyarakat menganggap tindakan tersebut berguna.

Malah, para pendidik juga mempunyai kepelbagaian kaedah pengajaran bergantung kepada perubahan situasi pembelajaran

5.2

Kelemahan Pragmatisme

Hanya satu cara untuk mengenalpasti kebenaran dan realiti iaitu bergantung kepada kaedah saintifik sahaja. Malah, aspek nilai dan moral tidak begitu jelas dan kurang diberi penekanan dalam pandangan pragmatisme. Mengikut pandangan falsafah, nilai-nilai kemanusiaan kurang stabil kerana segalanya sentiasa berubah. Contohnya, bagaimanakah pendidik dapat berfungsi dengan baik tanpa nilai atau objek yang stabil dan tertentu.

Kesimpulannya, untuk falsafah realisme, pendidik muzik perlu melihat aspek-aspek yang bersesuaian untuk dipraktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Walaupun terdapat

beberapa kelemahan, maka ia boleh diubahsuai dan tidak bergantung semata-mata kepada prinsip yang terkandung dalam falsafah.

Dengan aspek falsafah idealisme pula, citarasa muzik manusia telah meningkat. Hanya muzik yang berkualiti dipilih. Ini membolehkan murid mempelajari muzik yang lebih berkualiti secara berkesan. Malah, disiplin juga dipentingkan dan guru memainkan peranan sebagai model kepada pelajar.

Dalam falsafah pragmatisme pula, ia penting untuk menghasilkan pelajar yang berdikari kerana dapat mewujudkan motivasi melalui pengalaman sendiri. Yang penting sekali, dalam pendidikan, segala pengajaran dan pembelajaran yang dirancang haruslah terarah dan adanya hala tuju.

KESIMPULAN

Kurikulum adalah rancangan untuk pembelajaran. Semua rancangan mengandungi visi yang mentakrifkan nilai sosial dan struktur yang diterjemahkan ke dalam pengalaman. Perkembangan kurikulum ialah proses yang dinilai, diterjemah dan disusun ke dalam pengalaman pembelajaran.

Perkembangan kurikulum, sebagai satu proses, merupakan putaran asas yang mengandungi: menganalisis, merekabentuk, melaksanakan dan menilai. Proses ini digunakan di semua peringkat dalam pembentukan konsep dan menyepadukan semua usaha untuk meningkatkan kualiti program persekolahan.

Kurikulum ialah segala pengalaman pembelajaran yang dirancang dan diarahkan oleh sebuah sekolah untuk mencapai matlamat pendidikan. Di bawah kurikulum akademik, terdapat pelbagai jenis kurikulum, seperti kurikulum integrasi, teras dan aktiviti atau pengalaman yang dapat digabungkan untuk membentuk kurikulum formal.

Pembentukkan dan perubahan dalam kurikulum dipengaruhi oleh polisi-polisi kerajaan, matlamat dan keutamaan program, keperluan negara dan masyarakat, keperluan individu serta keperluan menyeluruh.

PENUTUP

Proses perkembangan kurikulum sebagai sifatnya yang sentiasa berubah turut dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran yang merangsang reaksi manusia yang terlibat dalam

kepentingannya. Hasrat terhadap perubahan kurikulum itu menggambarkan keperluan pendidikan yang menjadi wadah peneerusan kepada kemajuan tamadun bangsa dan negara itu sendiri.

Sebenarnya, faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan dan [perkembangan kurikulum adalah elemen yang saling berkait antara satu sama lain. Dapatlah dikatakan bahawa faktorfaktor yang mempengaruhi perkembangan kurikulum itu sendiri mencerminkan idealisme dan perubahan keperluan masyarakat dan negara, melalui institusi persekolahan yang akan meneruskan kebudayaan atau mencetuskan tamadun baru.

BIBLIOGRAFI

1.Ee Ah Meng.(1995). Pendidikan Sebagai Satu Proses. Shah Alam: Fajar Bakti. 2.Kamaruddin Hj. Husin.(1994). Asas Pendidikan III: Perkembangan dan Perlaksanaan Kurikulum. Kuala Lumpur: Longman. 3.Mohamed Nor(1990). Asas-Asas Pendidikan: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur: Flo Enterprise. 4.Mohd. Daud Hamzah(1995). Perkembangan Kurikulum Sekolah. Kuala Lumpur: DBP.

5.Mohd. Daud Hamzah(1995). Penerokaan Teori Kurikulum. Kuala Lumpur: DBP. 6.Taba. H. (1962). Curriculum Development - Theory & Practise. New York: Harcourt, Brace and World. 7.Wiles. J. & Bondi. J.(1989). Curriculum Development: A Guide to Practice. Ohio: Merrill Publishing Company.