Anda di halaman 1dari 11

Peranan Agen Moral Dalam Proses Sosialisasi Individu

Pengenalan Sosialisasi adalah proses di mana seseorang individu mempelajari dan menerima nilai, sikap, kemahiran yang dipunyai oleh masyarakat bagi membentuk personalitinya yang tersendiri untuk menjadi ahli masyarakat tersebut. Sosialisasi adalah proses seumur hidup. Tanpa sosialisasi seseorang tidak dapat berinteraksi, bekerja sebagai satu kumpulan atau melakukan kawalan diri. Sosialisasi bukan sahaja menolong seseorang memainkan peranan sosialnya dengan sempurna tetapi secara keseluruhannya ia juga boleh dikatakan sebagai alat untuk mengekalkan kumpulan dan masyarakat. Idea-idea, nilai-nilai dan pola-pola tingkah laku yang menyatukan masyarakat akan terus kekal walaupun ahli-ahlinya berganti. Sosialisasi berlaku secara sedar atau tidak sedar. Walaupun kanak-kanak diajar secara langsung (delibrate) cara-cara tingkah laku, sikap-sikap dan nilai-nilai yang baik di rumah dan di sekolah, tingkah laku, sikap dan nilai kumpulan dalam masyarakat yang lain secara tidak langsung juga akan dipelajari oleh kanak-kanak hasil daripada tingkah laku-tingkah laku atau perbuatan-perbuatan orangorang dewasa di sekitarnya. Ramai ahli sosiologi berpendapat bahawa kita tidak dilahirkan sebagai manusia, tetapi kita menjadi manusia melalui proses interaksi sosial atau sosialisasi. Sosialisasi mengubah organisme bilogikal kepada insan sosial. Melalui sosialisasilah seseorang belajar isi kandung kebudayaannya. Melalui sosialisasilah kebudayaan manusia dapat dipindahkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Proses sosialisasi bertujuan untuk : a. mengajar asas-asas kehidupan dalam masyarakat b. menanamkan aspirasi-aspirasi masyarakat c. menyebarkan kemahiran-kemahiran yang penting dalam masyarakat d. mengajar untuk memenuhi peranan-peranan sosial. Tiga perkara mesti berlaku untuk memastikan kejayaan sosialisasi : a. Seseorang mesti faham apa yang diharapkan daripada mereka. Ia mesti tahu tingkah laku apa yang patut dipelajari sebagaimana yang diingini oleh masyarakat. b. Seseorang mesti berusaha memenuhi kehendak-kehendak masyarakat. Untuk bertingkah laku sebagai mana yang dikehendaki, individu boleh mempelajari kemahiran-kemahiran intelektual, sosial dan fizikal daripada ibu bapa, sekolah dan sumber-sumber lain daripada persekitaran. c. Seseorang mesti akur dan rela mengikut peraturan-peraturan masyarakat. Norma Sosial Norma sosial merupakan kelakuan yang standard yang dimiliki oleh anggota sesuatu kumpulan dan anggota kumpulan itu dijangka akan mematuhinya. Sebagai tingkahlaku yang standard, norma sosial merupakan peraturan yang ditentukan dan dipersetujui oleh sebahagian besar anggota masyarakat dengan mengambil kira mengenai munasabah atau tidaknya tingkah laku itu. Norma sosial boleh dianggap sebagai suatu garis panduan bagi anggota masyarakat bertingkah laku mengikut sesuatu situasi. Penerimaan serta kepatuhan kepada norma sosial adalah penting bagi mewujudkan perpaduan di dalam sesuatu kelompok atau masyarakat. Beberapa norma sosial yang diterima oleh kebanyakan masyarakat ialah seperti larangan terhadap perlakuan membunuh, merogol, mencuri

dan merompak. Tanpa norma sosial sistem masyarakat akan terganggu atau menjadi kacau bilau. Apabila sesuatu perlakuan dianggap sebagai satu norma atau bersifat normatif, kita sebenarnya menekankan hakikat bahawa perlakuan itu mematuhi atau bersesuaian dengan jangkaan dan kehendak masyarakat umumnya. Tingkah laku yang tidak mematuhi norma sosial atau bertentangan dengan harapan sebilangan besar ahli masyarakat adalah dianggap sebagai penyimpangan atau deviance atau lencongan. Dalam masyarakat yang menganggap keikhlasan sebagai satu standard kelakuan atau norma, maka penipuan adalah penyimpangan. Norma sosial wujud akibat dari interaksi sosial. Ia mencerminkan jangkaan dan harapan bersama mengenai tingkahlaku yang diingini dalam sesuatu kelompok. Norma sosial dipelajari melalui proses sosialisasi dan penghayatan. Norma sosial bukannya sesuatu yang tetap. Ia berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan masyarakat. Pengetahuan yang baru dan keadaan yang berubah boleh menyebabkan berkembangnya norma-norma baru. Folkways dan mores sesuatu masyarakat mempunyai hubungan rapat dengan norma sosial masyarakat tersebut. Folkways adalah cara-cara bertingkah laku yang dianggap wajar dalam sesuatu masyarakat seperti sikap bersopan santun dan berbudi bahasa. Ia berasaskan kepada adat resam dan tradisi yang diwarisi dari generasi ke generasi melalui proses sosialisasi. Folkways berbeza daripada masyarakat kepada masyarakat lain. Ia tidak dikuatkuasakan melalui undang-undang, tetapi oleh kawalan sosial yang tidak formal. Perbuatan yang melanggar folkways biasanya tidak dianggap sesuatu yang serius. Mores pula merupakan norma sosial yang lebih asas bagi kehidupan sosial. Ia menentukan standard moral bagi sesuatu tingkah laku. Anggota sesuatu masyarakat adalah wajib mematuhi mores dan ketidakpatuhan akan mengakibatkan hukuman tidak formal yang keras seperti ejekan, hinaan dan penyingkiran dari kelompok-kelompok yang berkenaan. Jadi mores adalah satu bentuk kawalan sosial. Satu contoh mores yang boleh dikatakan sejagat ialah pantang larang mengenai sumbang kadim. Kawalan Sosial Kawalan sosial adalah cara yang digunakan oleh masyarakat untuk mempengaruhi tingkah laku ahlinya supaya mereka mematuhi norma-norma sosial, tradisi dan pola-pola tingkah laku yang penting bagi melicinkan perjalanan masyarakat itu. Kawalan sosial boleh bercorak positif atau negatif dan kedua-dua bentuk ini juga boleh bersifat formal atau tidak formal. Kawalan sosial positif adalah ganjaran yang diterima oleh seseorang yang mematuhi apa yang diharapkan oleh masyarakat. Ganjaran yang diberi boleh jadi dalam bentuk senyuman, hadiah, kenaikan gaji atau pangkat, atau pemberian pingat untuk menunjukkan seseorang itu telah berjasa kepada masyarakat dan negara. Satu bentuk kawalan sosial yang lebih asas adalah bergantung kepada penghayatan individu mengenai norma sosial, nilai dan jangkaan penghayatan individu mengenai norma sosial, nilai dan jangkaan peranannya melalui proses sosialisasi. Akibat daripada proses ini, individu didorong untuk mematuhi norma-norma sosial yang dipercayainya. Kawalan sosial yang negatif adalah berdasarkan kepada amaran serta ancaman terhadap hukuman. Ketakutan terhadap hukuman seperti denda, penjara, kesakitan, kematian dan sebagainya diandaikan dapat menghalang individu daripada melakukan tingkah laku. Peranan Agen-agen Sosialisasi 1. Keluarga Keluarga adalah agen sosialisasi yang banyak mempengaruhi perkembangan kanak- kanak. Lazimnya ibu bapa akan mengajar anak-anaknya mengenai apa yang harus dilakukan dan apa yang harus dilarang. Daripada ibu bapa, kanak-kanak itu akan mempelajari kemahiran, sikap, norma dan nilainilai seperti kejujuran, amanah, rajin, bersih dan hormat menghormati. Kanak-kanak semasa dilahirkan diibaratkan seperti sehelai kain putih. Ini bermakna kanak-kanak itu tidak jahat dan tidak baik. Bagaimana personalitinya dibentuk adalah bergantung kepada keluarganya,

rakan sebayanya, sekolahnya dan unsur-unsur lain yang terdapat dalam alam sekitarnya. Pada peringkat awal, kanak-kanak menghabiskan sebahagian besar masanya dengan keluarganya. Cara ibu bapa mengasuh anaknya adalah berbeza. Bagi ibu bapa yang garang dan autokratik, anakanak membesar menjadi individu yang patuh, pasif, takut memberi pandangan dan kurang berinisiatif. Sebaliknya, ibu bapa yang bersifat laissez-faire atau terlalu berlembut dengan anak serta cepat melayani segala permintaan mereka akan mendapati bahawa anak-anak itu akan membesar menjadi individu yang kurang bertanggung jawab, terlalu bergantung kepada orang lain, kurang berikhtiar dan kurang menghormati orang-orang tua. Keluarga yang bersifat demokratik, iaitu di mana ibu bapa sentiasa berbincang secara terbuka, melibatkan anak dalam membuat keputusan seperti menentukan tempat peranginan yang hendak dikunjungi serta menerangkan sebab-sebab mengapa anak-anak dihukum akan berjaya membentuk individu yang lebih tinggi keyakinan dirinya. Selain itu anak-anak itu juga lebih aktif, bersopan santun, gemar berkongsi satu-satu masalah dan lebih bersifat mementingkan hal lahiriah daripada hal batiniah diri sendiri (ektrovert). Segala nilai dan norma yang ditekankan oleh ibu bapa akan cepat mempengaruhi perkembangan personaliti anak-anak mereka. Sebagai contohnya, Encik Zaidi baru sahaja pulang dari pejabat. Dia berasa letih dan ingin berehat. Tiba-tiba telefon berdering. Anaknya Nasir telah mengetuk pintu biliknya kerana panggilan itu adalah untuknya. Encik Zaidi meminta Nasir memberitahu pemanggil bahawa dia tiada di rumah. Situasi di atas jelas menunjukkan amalan menipu. Kalaulah situasi seperti ini berlaku berulang kali, Nasir akan berpendapat bahawa dalam kehidupan sehari-hari kita, amalan menipu tidaklah salah. Saiz keluarga juga mempengaruhi sosialisasi seseorang individu. Pertuturan dan interaksi adik beradik akan menggalakkan individu itu bertutur dengan lebih cepat dan lebih luas perbendaharaan katanya. Anak-anak dalam keluarganya yang besar mempunyai tugasan masing-masing manakala anak tunggal atau anak keluarga kecil lebih dimanjakan. Nilai- nilai serta sikap yang dihargai oleh adik beradik juga akan mempengaruhi seseorang individu itu. 2. Sekolah Apabila kanak-kanak bersekolah, interaksinya dengan masyarakat menjadi bertambah luas. Ia bukan sahaja sekadar biasa dengan peraturan-peraturan dan amalan-amalan keluarganya, ia akan sedar bahawa alam persekolahan juga mempunyai peraturan- peraturan yang ketat yang memerlukannya berkelakuan baik. Di sekolah kanak-kanak bukan sahaja belajar sosialisasi secara formal yang ditentukan oleh kurikulum sekolah tetapi ia juga melalui kurikulum tersembunyi dengan cara menyesuaikan diri dalam suasana baru sekolah seperti beratur mengikut giliran, mengikut peraturan, bekerjasama dengan orang lain dan bersaing dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Guru-guru dan rakan sebayanya menjadi orang-orang yang penting kepadanya. Adalah didapati guru-guru memainkan peranan yang penting selepas ibu bapa dalam perkembangan moral kanak- kanak. Cara pentadbiran sekolah, persekitaran sekolah. personaliti dan pergaualan guru besar dan guru lain, termasuk kaki tangan sekolah, mempunyai pengaruh terhadap perkembangan moral kanak-kanak di sekolah. 3. Rakan Sebaya Seseorang kanak-kanak juga dipengaruhi oleh rakan sebayanya. Apa yang mereka cakapkan, lakukan, bahasa yang digunakan, semua ini akan meninggalkan kesan ke atas kanak-kanak. Sosialisasi melalui rakan sebaya adalah yang paling efektif berbanding dengan sosialisasi melalui keluarga mereka kerana sosialisasi rakan sebaya berlaku secara tidak formal dan tidak sengaja. Kumpulan rakan sebaya adalah kumpulan yang mengandungi individu yang biasanya mempunyai umur dan taraf yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya boleh jadi kumpulan bermain kanak-kanak, satu geng, atau satu clique. Aktiviti kumpulan rakan sebaya adalah berbentuk sukarela, ahlinya terdiri daripada yang sama taraf dan dipilih berdasarkan suka sama suka. Dalam kumpulan rakan sebaya mereka suka tanpa diganggu oleh pihak yang lebih berkuasa seperti ibu bapa atau sekolah. Mereka belajar berdikari dan

membentuk peraturan, nilai dan norma kumpulan tersendiri. Kumpulan rakan sebaya, terutama peringkat remaja, mempunyai pengaruh kuat ke atas tingkah laku individu. Kesan buruk rakan sebaya boleh berlaku apabila ahli kumpulan dikehendaki menolak nilai-nilai ibu bapa dan masyarakat, dan mengikut nilai norma kumpulannya. Pada peringkat remaja ahli kumpulan rakan sebaya biasanya mempunyai sub-budaya tertentu, mereka mempunyai cara bercakap, jenis-jenis pakaian, muzik, nilai dan norma kumpulan rakan sebayanya. Jurang generasi kerap berlaku pada peringkat ini. Walau bagaimanapun harus diingat bahawa tidak semua kumpulan rakan sebaya membelakangkan nilai dan norma yang dipegang oleh keluarga dan masyarakat, terdapat kumpulan rakan sebaya yang diwujudkan dengan bantuan dan restu daripada keluarga ahli-ahli kumpulan rakan sebaya masingmasing. Adalah didapati kumpulan rakan sebaya hari ini memainkan peranan penting dalam proses sosialisasi individu berbanding dengan masa dahulu. 4. Agama Agama di dapati mempunyai hubungan dengan perlakuan moral. Ramai berpendapat agama adalah penting untuk mencapai perlakuan moral yang baik. Adalah didapati kanak-kanak yang menghadiri kelas-kelas agama lebih jujur daripada kanak-kanak yang tidak menghadiri kelas agama. Ramai berpendapat kanak-kanak menggunakan ajaran agama sebagai petunjuk dalam proses perkembangan moral mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga kes-kes di mana orangorang yang percayakan agama tidak menggunakan prinsip-prinsip moral yang tinggi dalam perlakuan mereka seharian. Ini kerana tidak ada keimanan di dalam diri mereka. Sekiranya kanak-kanak ini diberi didikan agama yang kuat dan berpegang kepada keimanan nescaya mereka tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan moral manusia malahan agama itulah yang akan membentuk jiwa, moral dan akhlaknya kerana di dalam agama itu ada cara dan kaedah untuk membentuk akhlak-akhlak yang baik dan berjiwa luhur kepada tuhan seperti yang terkandung di dalam agama Islam.

5.

Media Massa

Ada pendapat yang mengatakan media massa mempunyai pengaruh sosialisasi sama kuatnya seperti pengaruh rakan sebaya dan sekolah. Media massa yang merangkumi surat khabar, majalah, radio dan terutama televisyen boleh meninggalkan kesan yang negatif dan positif ke atas sosialisasi seseorang. Pengaruh baik atau buruk yang diterima oleh kanakkanak melalui media massa bergantung kepada apakah bahan atau unsur yang didedahkan kepada mereka. Rancangan-rancangan televisyen mempunyai tema yang berbagai. Tema yang baik seperti cerita di mana orang yang baik selalu mendapat kejayaan dan sebaliknya orang jahat menerima hukuman atau balasan dapat membantu perkembangan pertimbangan moral kanak-kanak. Kanak-kanak patut digalakkan untuk menonton rancangan sedemikian. Sebagai ibu bapa dan guru yang bertanggung jawab adalah menjadi tanggung jawab mereka untuk mendidik kanak-kanak supaya mereka tahu memilih apakah rancangan televisyen dan bahan-bahan bacaan yang baik dan sesuai untuk mereka.

PROSES SOSIOLISASI
Pengertian Sosialisasi

Pengertian sosialisasi mengacu pada suatu proses belajar seorang individu yang akan mengubah dari seseorang yang tidak tahu menahu tentang diri dan lingkungannya menjadi lebih tahu dan memahami. Sosialisasi merupakan suatu proses di mana seseorang menghayati (mendarahdagingkan - internalize) norma-norma kelompok di mana ia hidup sehingga timbullah diri yang unik, kerana pada awal kehidupannya tidak ditemukan apa yang disebut dengan diri. Dengan mempelajari bagaimana orang berinteraksi maka kita dapat memahami orang lain dengan lebih baik. Dengan memperhatikan orang lain, diri sendiri dan posisi kita di masyarakat maka kita dapat memahami bagaimana kita berfikir dan bertindak. Terdapat beberapa konsep yang berkaitan dengan sosialisasi, iaitu the significant others , the generalized other , looking glass self serta impression management Masing-masing konsep tersebut memberikan sumbangan yang bererti dalam diri seorang individu yang mengalami proses sosialisasi. Produk penting dari proses sosialisasi adalah self/personality/diri. Dalam rangka interaksi dengan orang lain, seseorang akan mengembangkan suatu keunikan dalam hal perilaku, pemikiran dan perasaan yang secara bersama-sama akan membentuk self. Agen sosialisasi meliputi:keluarga, rakan sebaya, sekolah atau institusi, masyarakat atau komuniti dan media massa. 1. Keluarga Ibu bapa merupakan orang yang paling peka terhadap perkembangan moral seseorang kanakkanak pada peringkat awal. Kanak-kanak akan diasuh menerusi proses praktis pemeliharaan dan menerusi tingkahlaku yang akan diteladani. Asuhan memainkan peranan yang penting dalam proses sosialisasi individu. Ibu bapa yang bersikap penguasaan serta autokratik akan mendapati anak-anaknya begitu taat pada arahan tetapi menjadi pasif dalam tingkah laku mereka. Sebaliknya, ibu bapa yang mengamalkan sikap bebas akan mendapati sikap anakanaknya tidak bersopan -santun, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh berdikari. Ibu bapa yang mengamalkan cara demokrasi dan sering berbincang masalah-masalah dengan anak-anak mereka serta mempertimbangkan pendapat-pendapat anak-anak, apabila membuat keputusan-keputusan penting akan mendapati anak-anak mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Kanak-kanak juga menjadi lebih aktif, cerdas dan lebih bersopan-santun. Selain itu, saiz keluarga juga akan mempengaruhi proses sosialisasi individu, iaitu dengan interaksi secara lisan dan fizikal antara individu, contohnya di antara adik-beradik.

Interaksi ini akan membantu individu bercakap lebih awal serta memperkembangkan dan menambahkan perbendaharaan katanya. Nilai-nilai yang diwujudkan oleh adik-beradiknya akan disanjung oleh seseorang individu. 2. Rakan Sebaya Rakan sebaya merupakan satu lagi faktor yang mempengaruhi proses sosialisasi. Pengaruh keluarga semakin merosot apabila kanak-kanak meningkat remaja. Apabila mereka menjadi semakin dewasa, kumpulan sebaya menjadi pengaruh yang lebih berkesan dalam proses pembentukan budi pekerti mereka. Oleh kerana keperluan untuk diterima oleh kumpulan sebaya amat penting kepadanya, seseorang remaja akan menepati norma dan nilai yang ditonjolkan oleh kumpulan tertentu. Ini boleh membawa sama ada kesan positif ataupun negatif. Cara berpakaian, fesyen rambut dan sifat seseorang boleh dipengaruhi oleh kegemaran dan khayalan kumpulan tersebut. Bandura juga berpendapat bahawa ibu bapa bukanlah role model untuk kanak-kanak. Perlakuan orang dewasa yang lain, rakan sebaya dan punca-punca simbolik yang lain juga ditiru oleh kanak-kanak. Pengaruh kumpulan sebaya menjadi lebih utama di peringkat remaja. Kumpulan remaja merupakan satu punca nilai-nilai dan akan memainkan peranan yang utama dalam menentukan kedudukan nilai yang diterima dan diamalkan oleh seseorang individu terutamanya mengenai corak dan tingkahlaku yang mereka anggap perlu dipatuhi. Walaupun pengaruh kumpulan sebaya amat mempengaruhi di peringkat remaja, ia juga berperanan penting dalam pelbagai peringkat umur. Ia juga penting di peringkat geng iaitu semasa kanak-kanak berumur antara tujuh tahun. Piaget mengatakan bahawa bukan sahaja pembelajaran yang berlaku di antara rakan sebaya juga merupakan prasyarat bagi perkembangan autonomi. Sebaliknya Kohlberg menyatakan bahawa perkembangan moral di kalangan kanak-kanak yang dipencil atau diasingkan adalah tidak berbeza daripada kanakkanak yang banyak menerima pendedahan. 3. Sekolah/Institusi Sekolah merupakan agen kebudayaan dan sebahagian daripada fungsi pengajaran adalah untuk melahirkan nilai-nilai kebudayaan. Dengan itu, proses sosialisasi pelajar-pelajar merupakan satu fungsi yang sah serta positif untuk dikendalikan oleh pihak sekolah. Menurut Durkheim, peranan pendidikan moral dan tugas sekolah adalah untuk mengajar pelajar-pelajar tentang nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan. Beliau berpendapat bahawa keluarga terlalu kecil dan terlalu berunsur peribadi untuk menggambarkan keseluruhan sistem sosial. Juga, beliau menganggapkan guru sebagai agen yang utama dan merupakan pertalian yang kritikal dalam proses pengaliran kebudayaan. Ahli-ahli teori pembelajaran sosial lebih mementingkan peranan ibu bapa tetapi model tersebut adalah konsisten dengan pendapat Durkheim yang mengatakan bahawa sekolah merupakan alat masyarakat untuk mengalirkan nilai-nilai moral dan kebudayaan. Oleh kerana pelajar-pelajar berada di sekolah setiap hari selama enam hingga lapan jam,

sekolah amat mempengaruhi perkembangan pelajar-pelajar tersebut. Kadangkala konflik nilai boleh berlaku akibat perbezaan di antara nilai dan norma pelajar yang diajar di rumah dan di sekolah. Contohnya, sekolah mengajar pelajar tentang keburukan merokok, manakala di rumah, terdapat ibu bapa yang merokok dan tidak menghiraukan sama ada anak mereka mencontohi dan mengikut tabiat mereka atau tidak. 4. Komuniti/Masyarakat Masyarakat di mana seseorang itu dibesarkan mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dalam membentuk personaliti anggotanya. Ahli psikologi Margaret Mead telah menjalankan kajian ke atas beberapa masyarakat primitif. Mead mendapati dalam masyarakat Samoa terdapat zaman perantaraan yang harmoni antara zaman kanak-kanak dan dewasa. Mereka dibimbing oleh masyarakat sekeliling dan hidup ditentukan dengan jelas melalui permuafakatan dan tidak terdapat punca-punca yang nyata bagi menimbulkan sebarang kerunsingan. Jarang terdapat perbuatan kurang bermoral di dalam masyarakat tersebut kerana setiap anggotanya dianggap sebagai ahli keluarga terdekat yang perlu dijaga dengan sempurna. Kajian beliau di Amerika Syarikat adalah sebaliknya. Masyarakatnya tidak mempedulikan hal orang lain menyebabkan pelbagai perbuatan kurang bermoral dari peringkat kanak-kanak lagi. Menurut Kohlberg (1981) pula, kanak-kanak perlu berinteraksi dengan masyakarat tidak kira tahap umur kerana ini membolehkan mereka bertingkahlaku sesuai dengan norma-norma masyarakat seperti orang dewasa. Masyarakat yang sensitif melahirkan kanak-kanak yang peka terhadap keadaan sekeliling.

5. Media Massa Satu lagi faktor yang mempengaruhi proses sosialisasi ialah media massa. Kanak-kanak didedahkan kepada pelbagai jenis media massa seperti radio, suratkhabar, dan televisyen ataupun buku-buku yang memang mempengaruhi perkembangan moral mereka. Iklan-iklan dari majalah, surat khabar dan sebagainya juga memainkan peranan yang sama. Melalui peniruan dan modelling, kanak-kanak mudah dipengaruhi oleh model-model yang simbolik daripada media massa. Secara tidak disedari, melalui program dan bahan yang dihasilkan khas untuk kanak-kanak, pengajaran moral dan peranan kanak-kanak sebagai anggota masyarakat disampaikan kepada mereka. Contohnya seperti cerita-cerita dongeng, dan sebagainya. Namun, masalah yang serius mungkin timbul apabila program dan bahan bacaan yang tidak sesuai timbul, misalnya keganasan, kebendaan dan pergaulan bebas ditonton dan dibaca oleh kanak-kanak. Pengiklanan, khususnya jenis iklan memujuk, yang menumpukan kepada keinginan memiliki barang atau perkhidmatan, juga boleh meninggalkan kesan buruk atau pengaruh yang tidak baik kepada kanak-kanak. Dengan perkembangan sains dan teknologi, media massa boleh mempengaruhi kemoralan sesuatu kelompok atau masyarakat dengan mendedahkan masyarakat itu kepada norma dan nilai masyarakat lain. Dengan itu, maka perlulah diadakan satu tahap atau standard untuk sebarang tingkahlaku yang membayangkan kemoralan masyarakat Malaysia yang tidak tercemar. Pelajar-pelajar pula hendaklah diberi perlindungan dan dididik sebaiknya agar mereka dapat menilai pengaruh luar, mana yang baik dan bermoral, mana pula yang

sebaliknya.

Peranan dan tanggungjwab guru dalam melahirkan generasi yang berwawasan dan berkualiti. Dalam era moden kini, tugas dan peranan seorang guru semakin berat untuk dipikul. Semakin hari kita didedahkan dengan pelbagai perlakuan yang tidak bermoral di kalangan pelajar sekolah. Terlalu banyak usaha-usaha yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk melahirkan insan yang bermoral selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menitikberatkan setiap perkembangan moral rakyatnya,tetapi apa yang berlaku kini? Ramai pelajar telah menjadi manusia yang tidak bermoral dengan melakukan pelbagai gejala yang tidak sihat. Bahkan ada yang pelajar yang sanggup membunuh demi kepuasan dirinya. Satu persoalan yang timbul, kenapakah pelajar dahulu dan sekarang mempunyai nilai yang jauh berbeza sehinggakan mereka kini terpaksa diajar subjek Pendidikan Moral dan Nilai-Nilai Murni dalam Bahasa Melayu Penulisan. Sesungguhnya apakah faktor-faktor yang menjadi penyebab kepada kemerosotan nilai dalam kehidupan masyarakat pelajar pada masa kini?. Sebagai seorang guru, adalah menjadi tanggungjawab dan tugas kita untuk melahirkan pelajar yang berwawasan serta mempunyai etika dan kemoralan yang tinggi. Setiap guru harus sedar bahawa tugas sebagai seorang guru bukan sekadar hanya mengajar, tapi perlu menganggap diri mereka sebagai teman, fasilitator dan kaunselor kepada pelajar. Sistem hubungan dua hala antara guru dan pelajar bukan sekadar melibatkan masalah akademik tetapi juga masalah peribadi pelajar untuk membolehkan pihak sekolah mengesan gejala yang tidak sihat di peringkat awal sebelum mereka benar-benar terjebak dalam kes polis. a. Guru sebagai role model. Harus diingat bahawa, pelakuan seharian kita sebagai seorang guru sentiasa diperhatikan dan seringkali ditiru oleh pelajar. Seorang guru harus menunjukkan contoh yang terbaik supaya kita menjadi role model kepada setiap pelajar kita. Guru lelaki yang menasihati pelajarnya agar tidak merokok ibarat ketam mengajar anaknya berjalan, sekiranya guru itu sendiri merokok di khalayak ramai seperti di kantin sekolah, di padang ataupun di tempattempat lain yang kononnya tersembunyi. Begitu juga dengan sebahagian guru wanita yang menasihati anak muridnya supaya tidak berkuku panjang sedangkan dia sendiri yang berkuku panjang. Jadi, haruslah diingat di sini bahawa, sebagai seorang guru, kita seharusnya memperbetulkan dan merperindahkan dulu budi pekerti dan kemoralan diri kita sebelum menasihat atau menegur pelajar supaya pelajar menyanjung dan memartabatkan kita sebagai role model terbaik untuk dirinya. b. Kaedah pengajaran Dewasa ini, mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral sering dianggap sebagai subjek pelengkap di kalangan pelajar. Dengan kata lain, subjek ini dipelajari hanya disebabkan subjek ini adalah mata pelajaran wajib yang diambil kira dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Justeru itu, para pelajar kurang penghayatan terhadap subjek ketika proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kurang

penghayatan dalam mata pelajaran kerohanian ini akan memberikan pelbagai implikasi negatif yang membimbangkan. Antaranya, wujud gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat yang membabitkan kes-kes jenayah terutama salah laku seksual. Memandangkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral merupakan satu-satunya mekanisme yang mampu membina jiwa, membentuk kerohanian dan memupuk akhlak mulia dalam diri pelajar, guru-guru sewajarnya memainkan peranan mencegah salah laku seksual ataupun pelbagai gejala negatif lain yang tidak bermoral dengan menekankan penghayatan subjek-subjek ini kepada pelajar di sekolah. Guru seharusnya mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Guru seharusnya cuba berusaha mendekati pelajar, membimbing dan menjadi rakan terbaik kepada pelajar supaya pelajar merasakan diri mereka hampir dengan guru agar segala permasalahannya dapat diluahkan. Kelemahan kaedah penyampaian sesuatu mata pelajaran boleh menghapuskan minat seseorang pelajar terhadap pelajaran tersebut. Sikap guru yang hanya sekadar menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sahaja, perlu diperbetulkan. Dalam apa juga mata pelajaran di sekolah, guru boleh menerangkan mengenai pengajaran dan ikhtibar yang boleh diambil daripada sesuatu perkara yang diajar. Pelbagai peristiwa dalam sejarah boleh digunakan sebagai contoh. Tayangan video ataupun VCD tentang apa sahaja yang berkaitan dengan moral boleh ditayangkan kepada pelajar demi menarik mereka terhadap pelajaran tersebut. Dalam erti kata lain, guru di zaman globalisasi kini seharusnya lebih kreatif dan inovatif dalam penyampaian kaedah pengajaran supaya pelajar lebih cenderung ke arah perlakuan yang lebih beretika dan bermoral. c. Pemupukan nilai-nilai murni Nilai-nilai murni merujuk kepada perkara-perkara yang positif yang diamalkan oleh seseorang itu. Nilai ini turut beriringan dengan norma-norma budaya negara yang memberi penekanan terhadap aspek kesopanan seseorang. Cuma perkara yang dikesalkan dalam aspek ini ialah pelajar pada zaman ini sudah mula melupakan nilai-nilai murni ini. Mereka sudah melupai jati diri mereka yang seharusnya menghormati ibu bapa, beradap sopan apabila berbicara, bersikap jujur dan amanah dan pelbagai lagi nilai-nilai murni yang lain, yang kian hari kian lenyap dalam diri mereka. Pemantapan komponen akhlak dalam Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dapat membantu pelajar dalam penghayatan nilai-nilai murni tersebut. Guru dikehendaki menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak Islam ketika menerangkan adab dan amalannya dalam kehidupan pelajar. Penerapan nilai-nilai murni dalam diri seperti amalan berdisiplin, adil, bertanggungjawab, kerjasama dan toleransi perlu dicanai dalam diri mereka. Ini kerana, pendidikan akhlak merupakan wadah penting untuk merungkai permasalahan akhlak dan melahirkan manusia yang baik. Agama Islam sebagai ad-Deen atau cara hidup amat menekankan kepada pendidikan akhlak. Selain itu, Pendidikan Moral juga merupakan satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran, perasaan moral dan tingkah laku moral. d. Melayan pelajar sebagai pelanggan

Kualiti diertikan sesuatu yang memenuhi kehendak pelanggan iaitu apa-apa yang pelanggan (pelajar) mahu dari kita. Keperluan pelajar sepatutnya dipenuhi dan bagaimana keperluan pelajar itu dilihat sebagai faktor penting terhadap kejayaan. Keperluan-keperluan yang dimaksudkan di sini boleh terdiri dari perkhidmatan dan layanan yang ingin diterima oleh pelajar. Antara ciri-ciri guru yang baik pada pandangan pelajar ialah guru bukan sahaja boleh menyampaikan isi pelajaran tetapi juga dapat memahami pelajar sebagai individu, sentiasa disenangi dan mudah dibawa berbincang. Setiap kehendak pelajar harus diikuti asalkan kehendaknya itu tidak melampaui batasan. Guru seharusnya bersabar dengan karenah pelajar yang macam-macam. Perbuatan, tuturkata dan tingkahlaku guru yang menggambarkan sifat penyayang dan nilai baik seperti saling menghormati, mempercayai, membimbing, memberi sokongan dan pengiktirafan, dapat menolong dan membantu guru melaksanakan tugas dengan perasaan gembira dan menyeronokkan. Di samping itu, sifat-sifat seperti ini juga dapat mempengaruhi perlakuan dan tingkah laku pelajar. Guru yang bermoral dan beretika, dapat melahirkan pelajar yang lebih bertanggungjawab dan berwawasan kerana guru sebegitu adalah idola pelajarnya. Guru bagaikan ibu bapa kepada murid atau pelajar. Kalau ibu bapa kandung memberi tempat tinggal, pakaian dan makan minum, guru pula memberikan ilmu, didikan, budi dan akhlak serta membentuk kepandaian dalam kehidupan. Guru yang penyayang akan mengambil tahu masalah muridnya serta sedia mendengar dan memberi perhatian kepada muridnya. Murid yang lemah dikasihani, yang silap ditegur dengan baik. Kecemerlangan pelajar adalah kejayaannya. Sebarang bantuan diperlukan oleh pelajar akan dibantu guru. Itulah guru yang penyayang. Guru seumpama itu akan disanjung dan diingati oleh pelajarnya. Pelajar akan terasa rindu untuk ke sekolah. Pelajar akan mengikut arahan dan meniru peribadinya. Pendek kata guru itu akan menjadi idola kepada pelajarnya. Hasil jalinan kasih sayang ini, sekolah akan menjadi model pendidikan yang terbaik. Kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum akan dapat dicipta oleh sekolah tersebut hasil kerjasama erat. Dalam masa yang sama akhlak dan etika pelajar juga dapat dibentuk, digilap dan dibajai dengan secukupnya supaya menjadi generasi yang bertanggungjawab dan berwawasan.

Penutup Sejak berkurun lamanya, institusi pendidikan telah memainkan peranan dalam mencorakkan kualiti moral dan akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh masyarakat. Melalui sistem pendidikan, pelajar akan melalui proses sosialisasi moral dan proses pembesaran yang diorientasikan dan diperkukuhkan dengan pelbagai tanggungjawab sosial. Pembangunan serta perubahan sosial dalam masyarakat memerlukan perubahan dalam sistem pendidikan di sekolah bagi memenuhi pelajar sesuai dengan keadaan sekeliling. Kita perlu memikirkan kembali sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan kita pada hari ini memandangkan isu gejala sosial remaja semakin hari semakin menular. Perkembangan manusia yang sempurna perlu dilengkapkan dengan penguasaan emosi dan insaniah sejajar dengan kepentingan akademik. Kedua-dua bentuk kurikulum (formal atau tidak formal) di dalam dan di luar bilik darjah, perlu digunakan sepenuhnya dan secara

bersepadu untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni berhasil dan berkesan. Penilaian terhadap pelajar perlulah menyeluruh. Kualiti pendidikan dapat ditegakkan dengan cara membina benteng ketahanan dalam diri seseorang pelajar melalui penggarapan nilai-nilai moral dan etika. Penggarapan nilai-nilai moral dan etika mampu untuk membebaskan masyarakat daripada sebarang gejala buruk dan menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang bebas dari gejala jenayah dan keruntuhan moral. Oleh yang demikian, seluruh kaum pendidik hendaklah mempunyai visi, wawasan dan keterampilan bagi menghadapi cabaran alaf akan datang. Mereka wajar mempunyai ciri-ciri kecemerlangan dan melakukan anjakan paradigma bagi membolehkan mereka diiktiraf, sekaligus berperanan bertanggungjawab melahirkan pelajar yang berwawasan dan berkualiti.