Anda di halaman 1dari 7

PITO 105-MALAYSIA ABAD KE 19

PITO 105-MALAYSIA ABAD KE 19

PERJANJIAN PANGKOR 1874 1.0 PENGENALAN Pada 20 Januari 1874 bertempat di atas kapal HMS Pluto, Raja Muda Abdullah bersamasama dengan para pembesar yang menyokong baginda menandatangani Perjanjian Pangkor di hadapan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke. Satu kesilapan yang dilakukan oleh Raja Abdullah Ibni Sultan Jaafar, tetapi hanya disedari setelah semuanya ditandatangani. Menerusi Perjanjian Pangkor ini, British mula memasuki bidang pentadbiran negeri Perak, dan seterusnya negeri-negeri Melayu yang lain. Simboliknya, Perjanjian Pangkor ini sebenarnya tidak lebih merupakan satu alat kuasa yang digunakan oleh pihak British untuk menguasai negeri Perak demi kepentingan ekonomi, politik dan sosialnya.

2.0

PERUBAHAN DALAM SISTEM PEMERINTAHAN BERAJA DAN PEMBESAR MELAYU DI PERAK

Dalam mukaddimah perjanjian ini, ternyata penglibatan British agak munasabah dengan alasan menjadi kewajipannya kerana sudah terikat dengan persetiaan bagi melindungi Perak dan membantu raja-rajanya dalam pentadbiran. Alasan kewajipan inilah yang menjadikan British seolah-olah berkuasa dalam sebarang tindakannya di negeri Perak. Dalam Fasal I, dipersetujui tentang perlantikan Raja Muda Abdullah sebagai Sultan Perak. Setelah British melantik Raja Muda Abdullah menjadi Sultan Perak dengan berkuatkuasanya Perjanjian Pangkor yang direncanakan oleh Sir Andrew Clarke itu, dengan kebenaran Sultan Abdullah sendiri, Andrew Clarke bertindak memecat Raja Ismail yang menjadi sultan ketika itu. Tindakan ini membuktikan betapa pengaruh British itu mula meresap dalam politik negeri Perak, walhal telah ada adat istiadat yang menentukan kedudukan sultan dan orang-orang besar di negeri itu. Pengiktirafan sultan yang baru ini membolahkan British meneruskan rancangannya untuk menasihati sultan dalam hal ehwal negerinya, dengan memerangkap sultan Abdullah bagi menerima sistem Residen British serta peraturan-peraturan baru yang kebanyakkannya bercanggah dengan nilai-nilai tradisi atau adat istiadat Melayu ketika itu. Sementara itu, aspek kuasa sultan pula disentuh dalam Fasal V yang mengkehendaki pendapatan yang dikutip dan semua perlantikan adalah dibuat atas nama sultan. Sebaliknya, kandungan fasal ini sebenarnya

PITO 105-MALAYSIA ABAD KE 19

telah memberikan kuasa kepada pihak British untuk melibatkan diri dalam ekonomi dan politik negeri Perak. Misalnya tindakan Birch yang meletakkan keturunan British yang dilantik kononnya sebagai wakil sultan untuk memungut cukai. Malah tindakan Birch ini turut diluluskan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andew Clarke. Ini bermakna, sesiapa yang memungut cukai yang bukan keturunan British akan dikenakan denda. Ternyata sekali tindakan British ini bertujuan untuk mengambil alih hak memungut cukai daripada tangan sultan dan para pembesar Melayu melalui pegawai-pegawai British yang dilantik di atas nama sultan. Peruntukan terpenting dalam Perjanjian Pangkor ini tentunya berkenaan dengan perlantikan Residen, yang termaktub dalam Fasal ke-VI. Peruntukan ini memerlukan Sultan Perak menerima perlantikan seorang Residen British yang akan menasihati sultan dalam semua aspek pentadbiran kecuali dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Ini bermakna, pemerintahan negeri yang disusun oleh British ini dilaksanakan oleh raja yang bertindak mengikut nasihat Residen yang bukan bertanggungjawab kepada baginda tetapi kepada gabenor. Residen serta kakitangannya akan mentadbir segala pendapatan, merangka serta menyusun polisi dan undang-undang negeri Perak yang akan dijalankan dalam pelbagai aspek. Semua pentadbiran negeri termasuk pungutan dan kawalan cukai pula akan dijalankan di atas nama sultan, tetapi disusun dan diatur menurut nasihat residen. Sementara itu, gaji dan elaun sara hidup Residen akan dibayar oleh sultan dan bukannya oleh kerajaan British. Justeru, kos pentadbiran British boleh dijimatkan di samping dapat mengaut segala kekayaan hasil bumi Perak ketika itu untuk membangunkan negara mereka sendiri. Sebenarnya, Sultan Abdullah memang tidak mahukan seorang Residen yang bertindak lebih daripada kedudukannya sebagai penasihat sahaja. Baginda dan penyokong baginda tidak meminta pihak British atau Residen memerintah Perak. Seorang penasihat hanyalah bertugas memberikan nasihat sahaja, itupun jika nasihatnya diminta dan tidak pula semestinya diikuti oleh sultan. Walau bagaimanapun, pihak British, seperti yang ditunjukkan oleh Birch dan kemudiannya William Jervois, yang menggantikan Andrew Clarke sebagai Gabenor, berfikir sebaliknya. Malah sememangnya wujud keanehan dalam sistem Residen itu sendiri kerana Residen British dilantik oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat dengan persetujuan Setiausaha Negara Tanah Jajahan di London, manakala tugas-tugas yang diberikan kepada Residen pula merupakan tanggungjawab yang diarahkan oleh kerajaan British dan bukannya sultan. Keadaan

PITO 105-MALAYSIA ABAD KE 19

ini membuktikan niat sebenar pihak British yang sememangnya berhasrat untuk menguasai dan menjajah negeri Perak melalui sistem Residennya yang akan terus dipelihara dan dipergunakan demi kepentingannya sendiri. Pembentukan Persekutuan 1896, dimana pemusatan kuasa di tangan Residen Jeneral. Pemusatan kuasa pentadbiran di Kuala Lumpur menyebabkan Majlis Mesyuarat Negeri turut kehilangan fungsinya. Majlis Mesyuarat Negeri hanya meluluskan keputusan dan sultan di kehendaki menandatangani sahaja. Pada 1903, Sultan Idris telah membuat bantahan terhadap pemusatan kuasa Residen Jeneral dalam Durbar kedua di Kuala Lumpur (d) Majlis Mesyuarat Persekutuan 1909. Manakala Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) 1909 ditubuhkan untuk mengurangkan kuasa Residen Jeneral dan berusaha mengembalikan kuasa serta mengembalikan kuasa pentadbiran kepada sultan-sultan. Pembentukan MMP ini telah mengurangkan lagi kuasa sultan. Perubahan peranan pembesar di Perak, dimana pengenalan sistem Residen (1874) telah mengubah peranan dan kedudukan pembesar berbanding peranan sebelumnya. Menurut sistem Residen pembesar-pembesar Melayu hanya mengekalkan kedudukan. Setelah majlis Negeri dibentuk pada tahun 1877, Residen telah menggantikan peranan pembesar-pembesar sebagai Penasihat Sultan dan pembesar cuma sebagai ahli rasmi, tugas-tugas lain seperti mengawal keamanan, keadilan dan keselamatan yang dilakukan oleh Laksamana dan Temenggung telah diambil oleh pegawai-pegawai Inggeris yang berada di bawah tanggungjawab Residen. Pembesar-pembesar juga tidak berkuasa dalam undang-undang yang diambil alih oleh pasukan polis. Kedudukan Bendahara sebagai ketua hakim dan Penghulu Bendahari sebagai pemungut cukai telah diganti oleh pegawai-pegawai British (Pemungut Hasil dan Majistret). Kedudukan dan peranan pembesar turut berubah dari segi ekonomi. Di larut pula, seorang Penolong Residen yang mempunyai kuasa serupa dengan Residen tetapi jawatannya lebih rendah daripada Residen bakal dilantik. Kapten Speedy yang merupakan bekas panglima pasukan askar Menteri Ngah Ibrahim telah dilantik menjadi Pembantu Residen, yang akan menolong Menteri Ngah Ibrahim untuk mentadbir daerah Larut. Dalam kandungan terakhir fasal ini pula, menyebut tentang pengakuan Menteri Larut sebagai berhutang kepada Kerajaan Negeri-negeri Selat terhadap pembayaran charge dan perbelanjaan penyiasatan dan usaha menyelematkan negeri Perak dan keselamatan perdagangan. Ini bermakna, Menteri Larut

PITO 105-MALAYSIA ABAD KE 19

terpaksa menanggung segala perbelanjaan pentadbiran termasuklah perbelanjaan pentadbiran pegawai-pegawai British di negeri Perak. Ternyata, Fasal ke-XIV ini tidak memberikan keuntungan langsung kepada pemerintah Melayu di Perak bahkan menyebabkan British mengambil kesempatan untuk mentadbir sesuka hati pula. Buktinya, pendapatan Ngah Ibrahim sebagai Menteri di Larut, kian merosot dan bertambah hutangnya kerana terpaksa menanggung segala perbelanjaan pentadbiran oleh Kapten Speedy ini. Sementara itu, penglibatan British dalam urusan pentadbiran menerusi Penolong Residennya itu, menyebabkan kedudukan Ngah Ibrahim ini tergugat. Kini, kuasa, hak dan ketuanan Melayu sejak zaman dahulu telah terjejas. Malah, semasa menghadap Sultan Abdullah di Bota pada 30 Disember 1874, Ngah Ibrahim mengakui dan mengingatkan baginda bahawa beliau sendiri kehilangan kuasa dan wang akibat perlantikan Kapten Speedy di daerah Larut ini. Sebab utama Perjanjian Pangkor ditandangani tentunya berkaitan dengan kepentingan ekonomi British. Bahkan British pastinya tidak akan berminat menguasai Perak jika negeri Perak tidak mempunyai sumber alam yang amat diperlukan dalam sektor ekonomi British khasnya bijih timah. Melalui fasal ke-X perjanjian ini, pungutan dan kawalan semua pendapatan dan pentadbiran am negeri akan ditadbir di bawah nasihat Residen British. Sebelum ini, para pembesar negeri yang menguasai sistem ekonomi termasuk pungutan cukai bijih timah dan hasil mahsul. J.W.W Birch yang dilantik sebagai Residen pertama di Perak iaitu pada bulan November 1874, mengkehendaki semua cukai dikutip oleh pegawai kerajaan negeri atau pegawai Eropah. Beliau tidak membenarkan cukai dalam negeri dipungut oleh sultan dan orang-orang besar di Perak seperti yang dijalankan sebelumnya, dan akan menghukum sesiapa sahaja yang melanggar peraturan ini. Tujuannya ialah untuk memperbaiki keadaan kewangan, menjelaskan hutangpiutang negeri dan membayar gaji pegawai-pegawai termasuklah gaji residen walaupun pada hakikatnya Birch sebenarnya cuba untuk mengambil alih hak atau kuasa memungut cukai daripada tangan sultan dan para pembesar Melayu. Buktinya, pada pertengahan bulan Disember, Birch telah membakar rumah Raja Ngah, Tengku Panglima Besar yang juga sepupu bekas Sultan Ismail di Bidor, disebabkan Raja Ngah mengutip cukai pelombong di situ. Birch turut membatalkan pajak hasil Kuala Sungai Perak yang telah dibuat oleh Sultan Abdullah dengan seorang saudagar Cina. Malah Birch kemudiannya bertindak menghapuskan cukai bijih timah Batang Padang yang sebelum itu dinikmati oleh Sultan, Laksamana dan pembesar lain, sebaliknya Birch gantikan pula dengan royalti $9/- bagi setiap bahara yang bijih yang dipungut

PITO 105-MALAYSIA ABAD KE 19

di Kuala Perak. Pada 3 Febuari pula, Birch meminta Sultan Abdullah menandatangani pengistiharan masa residen memungut semua cukai di suatu tempat manakala pada 24 Julai 1875, pengistiharan penyerahan kuasa berkaitan pungutan cukai akhirnya ditandatangani oleh Sultan Abdullah. Dengan itu, kuasa memungut cukai di Perak telah diambil alih oleh Residen British. Walaupun tindakan ini tidak dipersetujui oleh para pembesar Melayu ketika itu termasuklah Sultan Abdullah yang berpendapat pihak British telah merampas hak mereka untuk memungut cukai serta mengesyaki hasil cukai yang didapati di Perak itu mengalir masuk ke tabung kerajaan British, namun pandangan tersebut tidak dihiraukan oleh Birch kerana tujuan utama beliau bukanlah untuk menyenangkan sultan dan para pembesar sebaliknya membaiki keadaan di Perak demi kepentingan pihak British. Semua tindakan Birch yang mewakili kepentingan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pembesar Melayu ketika itu yang beranggapan tindakan Birch ini amat bercanggah dengan nilai-nilai tradisi atau adat istiadat Melayu. Jelasnya, para pembesar Melayu ketika itu terpaksa tunduk kepada arahan residen British ini yang menggunakan kedudukan Sultan untuk berkuasa serta melaksanakan tindakannya. Di samping itu, perjanjian ini turut memberi hak kepada Residen British untuk menguasai lombong-lombong dan mengambil alih jentera bagi memulihkan kacau bilau di Perak. British kononnya menjadi orang tengah di antara 20 pemimpin Cina yang berkepentingan di Larut dengan menguasai lombong yang diduduki dan cara-cara urusniaga. Pemimpin-pemimpin Cina ini turut menyetujui aturan mengenai bekalan air ke lombong tertakhluk kepada perintah yang dikeluarkan oleh Residen yang berpejabat di Perak dan Larut. Dengan persetujuan ini, bermakna orang Cina ini tidak mahu Menteri Larut memerintah mereka lagi. Penguasaan ke atas lombonglombong dan jentera ini pula pastinya memberikan faedah ekonomi yang besar kepada British. Pada bulan April 1874, Frank Swettenham dan Residen Birch telah menemui Kapten Speedy di Larut untuk meninjau sendiri keadaan perlombongan bijih timah dan kemudian menukar nama Kelian Pauh kepada Taiping dan Kelian Baru kepada Kemunting. 3.0 KESIMPULAN Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 ini tidak dinafikan sebagai satu usaha yang dapat mengamankan negeri Perak, memulihkan kekacauan di Larut dan menyelesaikan sengketa politik di negeri Perak. Namun begitu, pada hakikatnya perjanjian ini

PITO 105-MALAYSIA ABAD KE 19

hanyalah sebuah alat yang memberikan kuasa dan hak kepada British untuk melibatkan diri dalam politik, sosial dan ekonomi negeri Perak dan seterusnya Negeri-negeri Melayu yang lain demi kepentingan British itu sendiri. 4.0 Bibliografi

Andaya Barbara Watson dan Andaya Leonard Y. (1983). Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan Publisher (M) Sdn. Bhd.Sadka Emily. (1962). The State Councils in Perak and Selangor, 1877-1895 dalam K.G. Tregonning. (1962). Malayan History. Singapore: Malaya Publishing House Ltd. Hal 89-119. Haji Buyong Adil. (1975). Penentangan terhadap Penjajah British Abad ke 15-19. kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Tregonning K.G. (1962). Malayan History. Singapore: Malaya Publishing House Ltd. Khoo Kay Kim. (1992). Sistem Residen dan Pengenalannya di Perak dan Selangor dalam Zainal Abidin Shuhaimi b. Adul Wahid et al. Malaysia-Warisan dan Perkembangannya. Kuala Lumpur: dewan Bahasa dan Pustaka. Hal 86-98. M.A Fawzi Basri. (1986). Sejarah Kesultanan Negeri Perak. Yayasan Perak. Mohd Zamberi A. Malek. (2001). Larut Daerah Terkaya. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Mokhtar Hj Shamsuddin (20.1.1980). Hari ini dalam Sejarah Jilid 1. Perjanjian Pangkor Di tandatangani. Kulala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara. Muhammad Kamil Awang. (2001). Sultan dan Perlembagaan. Mohd. Ashruddin Mohd. Tahar (Terjemah). Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. RO Winstedt & RJ Wilkinson. (1934). A History of Perak. Singapore: Printers Limite. Emerson Rupert. (1974). Malaysia: Satu Pengkajian dalam Pemerintahan secara Langsung dan Tidak langsung. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.