Anda di halaman 1dari 6

REFLEKSI TUGASAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (EDU 3102)

IMPLIKASI KEJADIAN FITRAH MANUSIA KEPADA DIRI SEBAGAI SEORANG GURU Bersyukur kepada Allah S.W.T yang memberi kesempatan serta mengizinkan saya serta rakan sekumpulan untuk bergerak bersama-sama menyiapkan tugasan ini dalam masa yang ditetapkan dengan sempurna. Kumpulan saya

dipertanggungjawabkan untuk mengkaji dan mencari maklumat mengenai tajuk perkembangan sosioemosi kanak-kanak mengikut teori perkembangan psikososial Erik Erikson. Namun begitu, setelah mendengar kesemua pembentangan yang dilakukan oleh rakan-rakan saya, saya lebih tertarik kepada tajuk pembentangan yang pertama iaitu berkaitan dengan fitrah kejadian manusia. Pembentangan ini membincangkan dengan lebih lanjut mengenai persamaan dan perbezaan fitrah kejadian manusia mengikut perspektif agama dan biologi. Melalui pembentangan tersebut, saya memperoleh pengetahuan, pandangan serta pendapat mengenai konsep tersebut dan kaitannya dengan kehidupan saya sebagai seorang manusia. Dengan memahami konsep fitrah manusia yang sebenar dapat memberi penghayatan kepada anugerah kehidupan yang dikurniakan daripada Allah kepada saya selama ini. Perbandingan konsep melalui dua perspektif ini menunjukkan bahawa fitrah kejadian manusia itu mempunyai perkaitan yang rapat antara satu sama lain. Fitrah kejadian manusia yang asalnya dirujuk kepada kalam Allah S.W.T memperlihatkan kekuasaanNya dan melalui penemuan fitrah ini di dalam Al-Quran mencetuskan kajian para saintifik mengenai fitrah kejadian manusia serta mengaitkannya dengan perspektif biologi. Melalui kajian yang dijalankan, manusia itu berasal daripada 14 unsur yang penting yang juga terkandung di dalam tanah. Begitu

REFLEKSI TUGASAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (EDU 3102)

juga seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran di mana manusia ini dibuat daripada tanah. Hal ini membuktikan bahawa hasil kajian yang dijalankan selaras dengan apa yang terdapat di dalam kitab suci Allah. Kandungan Al-Quran itu adalah sahih dan tiada keraguan biarpun dikaji oleh golongan pakar. Tajuk ini sekaligus

memperkukuhkan lagi pegangan di dalam hidup saya sebagai seorang muslim apabila ayat-ayat suci Al-Quran dibuktikan kebenarannya melalui kajian yang menghasilkan satu hasil yang tidak dapat disangkal. Fitrah kejadian manusia yang mengaitkan dengan pandangan agama juga sedikit sebanyak membuka mata rakan sekelas yang buka beragama Islam bahawa apa yang diturunkan di dalam Al-Quran ternyata benar. Nyata, sebagai seorang bakal pendidik saya perlu menyampaikan ilmu yang benar dan sahih agar mereka yakin dan tidak terus tersesat dengan ilmu yang salah. Fitrah kejadian manusia sebenarnya berkait rapat dengan potensi seseorang individu sejak dia dilahirkan. Tajuk ini memberi kesedaran kepada saya bahawa setiap individu itu mempunyai tahap potensi yang berbeza dan saya sebagai seorang bakal pendidik harus mengambil berat akan perkara sebegini bagi mengelakkan ketidakadilan yang akan berlaku di dalam bilik darjah kelak. Namun begitu. saya juga perlu membentuk keperluan potensi murid-murid yang buka sahaja mementingkan duniawi tetapi seimbang dari segala aspek. Hal ini juga berkait rapat dengan tujuan hidup manusia di atas muka bumi. Menurut perspektif Islam, manusia adalah sebagai khalifah manakala menurut perspektif biologi pula mengatakan bahawa manusia hidup di atas muka bumi ini adalah untuk melakukan aktiviti sosial dan meneruskan kemandrian spesiesnya. Sehubungan dengan itu, perspektif dari sudut Islam dilihat lebih sempurna serta menyeluruh dan memerlukan pengoptimum potensi dalam diri

REFLEKSI TUGASAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (EDU 3102)

selaras dengan fitrah kejadian manusia yang telah ditetapkan agar memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak. Dari sudut agama, kestabilan emosi itu mampu diperolehi apabila kita beribadat manakala dari sudut biologi pula, kestabilan emosi itu berdasarkan perembesan hormon-hormon yang merangsang emosi seseorang. Namun begitu, pada pandangan saya, kedua perkara ini saling berkait rapat. Hal ini demikian kerana, apabila kita beribadat seperti solat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya, ia dapat meragsang kepada sifat-sifat sebatian kimia di dalam hormon tersebut serta mampu untuk mengawal serta menenangkan diri kita. Perkara ini menunjukkan kepada kita bahawa proses beribadat kepada yang Maha Esa itu mampu untuk memberi kesihatan yang bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari segi mental. Sebagai seorang bakal pendidik, seharusnya saya mempunyai kestabilan emosi yang terkawal agar tidak memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran kelak. Untuk mencapai keseimbangan emosi tersebut, saya harus istiqamah dalam melaksanakan ibadat yang wajib serta sunat agar kehidupan saya lebih sejahtera dan rohaniah sebagai seorang hambaNya dan sebagai seorang pendidik lebih kukuh. Guru tanpa kestabilan emosi tidak akan mampu untuk melaksanakan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, saya sebagai seorang bakal guru perlu sentiasa mengekalkan kestabilan emosi agar kita dapat menjamin diri kita kekal sebagai guru yang berkualiti, seterusnya dapat mendidik pelajar agar menjadi insan yang seimbang dan harmonis. Kehidupan yang mementingkan aspek jasmani dan rohani menurut perspektif agama memperlihatkan matlamat kehidupan yang lebih kepada ukhrawi. Berbeza pula dari sudut biologi yang berfokus kepada aspek fizikal dan fisiologi semata-mata. Hal ini sebenarnya berkait rapat dalam pembinaan seorang insan yang menyeluruh.

REFLEKSI TUGASAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (EDU 3102)

Sebagai seorang bakal guru, saya perlu memperkembang potensi pelajar bukan sahaja dari aspek rohani dan jasmani tetapi meliputi segala aspek yang telah digariskan di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam pembentukan insan seseorang pelajar, setiap aspek JERIS itu penting iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial. Kekurangan salah satu daripada aspek ini dalam pembinaan seseorang insan, akan membuatkan insan yang dibentuk tidak menyeluruh dan tidak seimbang. Dalam kehidupan saya juga memerlukan penghayatan aspek JERIS yang menyeluruh. Usaha melalui aspek ini juga adalah untuk membentuk individu yang berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta mampu memberi

keharmonian kepada negara. Fitrah seorang manusia itu boleh dibentuk dengan pilihan kita sendiri. Fitrah kejadian manusia ini adalah sesuatu yang fakta dan tidak boleh diubah. Melalui tajuk ini juga memberi peluang kepada saya untuk menginsafi diri sebagai seorang hambaNya di muka bumi ini serta menemukan saya dengan beberapa pendapat yang boleh dihasilkan melalui perkaitan agama dan biologi dalam menjadi seorang guru yang lebih berkualiti. Tanpa penghayatan mengenai tajuk fitrah kejadian manusia ini, guru yang dilahirkan itu mungkin tidak memahami konsep yang perlu difahami atau diamal dalam mewujudkan kelompok masyarakat yang memenuhi aspek yang ditentukan. Manusia itu adalah sebaik-baik kejadian begitu juga pengaplikasianya di dalam aspek biologi dan juga pendidikan. Guru dan ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menentukan pilihan corak kehidupan seseorang itu. Semoga penghayatan di dalam tajuk ini mampu membentuk sahsiah guru yang terbaik dalam diri saya.

REFLEKSI TUGASAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (EDU 3102)

TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK DALAM PROSES P&P Teori perkembangan kanak-kanak banyak memberi idea dan pengetahuan kepada saya tentang bagaimana untuk mewujudkan amalan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kelak. Teori perkembangan ini juga terbahagi kepada beberapa aspek iaitu aspek bahasa, biologi, kognitif dan sosioemosi. Teori ini merupakan kajian yang dijalankan oleh tokoh-tokoh dan hasilnya berdasarkan sebilangan besar dan menunjukkan bahawa tidak semua kanak-kanak mengalami perkembangan seperti mana yang diteorikan. Melalui teori kognitif Jean Piaget, faktor yang boleh mempengaruhi pemikiran seseorang adalah interaksi individu tersebut dengan persekitaran. Melalui

pendapatnya ini memberikan kesimpulan bahawa individu tersebut perlu berinteraksi untuk memperoleh pemahaman terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Begitu juga halnya di dalam proses pengajaran dan pembelajaran apabila saya perlu banyak menggalakkan interaksi komunikasi bersama-sama pelajar untuk mengembangkan pemikiran mereka. Saya juga perlu menggalakkan mereka untuk bergaul antara satu sama lain di dalam kelas sesama rakan dan juga sesama persekitaran. Ia dapat membentuk pengalaman sosial yang juga boleh mempengaruhi pemikiran serta kognitif seseorang kanak-kanak tersebut. Aspek keseimbangan juga diperlukan dalam perkembangan kanak-kanak mengikut teori Jean Piaget. Setiap pengalaman baru yang diterima oleh mereka akan diserap sebagaimana proses asimilasi berlaku. Sebagai seorang guru, saya perlu memperkembangkan lagi proses itu ke peringkat akomodasi yang pelbagai dan bukannya bertumpu kepada satu bahagian sahaja. Dalam membentuk akomodasi, pelajar akan mengalami beberapa masalah kerana mereka perlu mengubah skema

REFLEKSI TUGASAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (EDU 3102)

lama kepada skema yang baru. Hal ini demikian kerana, proses adaptasi yang berlaku memerlukan pemahaman untuk menyesuaikan dengan pengalaman yang baru. Untuk menggalakkan proses pemikiran mereka, kaedah ini perlu sentiasa dilakukan supaya mereka lebih sentiasa berfikir dan membentuk keseimbangan pemikiran. Teori sosioemosi kanak-kanak yang berkait rapat sebagai seorang guru adalah pada peringkat ke 4 di mana pada waktu ini kanak-kanak mula mengalami zaman persekolahan. Dalam peringkat ini, timbul rasa kompetesi dan industri di dalam diri mereka dan jika mereka menemukan perkara yang menjadi minat mereka, segalanya akan dilakukan dengan sebaik mungkin. Sebagai seorang guru, saya harus melaksanakan aktiviti-aktiviti yang mencabar untuk mengasah kemahiran mereka tetapi aktiviti tersebut haruslah sesuai dengan kebolehan mereka. Di samping itu, saya perlu memberi galakan serta dorongan kepada mereka untuk bersaing dengan keupayaan mereka sendiri. Melalui kaedah ini, perkembangan mereka dapat dibentuk dengan baik. Melalui kaedah pengajaran secara scaffholding mengikut teori Lev Vygotsky juga memberi panduan kepada saya dalam mengembangkan potensi kanak-kanak. Bimbingan dan sokongan yang diberikan mampu meningkatkan lagi tahap perkembangan dan kemahirannya. Kaedah ini juga mampu dilaksanakan melalui komunikasi dan perlu dilakukan secara berulang sehingga mereka mencapai tahap yang tertinggi. Dengan mempelajari pelbagai teori ini memberi kesedaran serta pengetahuan kepada saya tentang bagaimana untuk menggunakannya di dalam proses P&P dengan betul serta menarik minat mereka untuk terus belajar. Pendapat melalui teori ini dapat saya jadikan sebagai panduan dalam mendidik anak bangsa kelak.

Anda mungkin juga menyukai